Berita Harian, 20 Julai 1995, muka 1
Soal agama adalah sensitif
bagi semua pihak. Rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh orang-orang zaman
dahulu didapati tidak boleh ditegur lagi walaupun dengan hujah yang
berlandaskan ayat-ayat al-Qur'an. Apatah seterusnya untuk mempersoalkan
mengenai solat yang dianggap sebagai tiang agama oleh umat Islam.
Justeru itu, janganlah baca tulisan ini untuk menyangkal, atau menyalahkannya, atau untuk percayainya jua, tetapi bacalah ia menurut tujuan sebenar ia ditulis, iaitu untuk dipertimbangkan sahaja.
Kegusaran akan menyala apabila solat dipertikaikan, seperti dirakamkan di perenggan keenam berita di atas berbunyi,
"Buku itu (Bacaan) dikatakan bercanggah dengan ajaran Islam kerana ajar penganutnya sembahyang tiga kali sehari seperti dituntut Islam."
Tulisan itu mengelirukan, kerana tidak terdapat kenyataan mengenai ajaran tersebut di dalam buku itu. Yang menyebut solat sebanyak tiga kali sehari ialah penulis. Dia berpendapat demikian berdasarkan sebuah ayat al-Qur'an bermaksud,
"Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam; sesungguhnya perbuatan baik menghilangkan kejahatan. Itu adalah satu peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat" (11:114).
Solat dikatakan tiga kali (tiga waktu, sebenarnya) sehari semalam setelah menambahkan "dua tepi siang" dengan "awal malam". Namun, itu bukanlah satu-satunya mesej yang disampaikan oleh ayat Allah tersebut. Ayat itu pun menyatakan bahawa:
solat (tiga waktu itu) adalah perbuatan baik,
ia menghilangkan kejahatan, dan
itu adalah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat.
Antara tiga yang dinyatakan, mesej yang mengandungi maksud solat berfungsi sebagai penghilang kejahatan ingin diketengahkan di sini. Ia memberi gambaran iaitu orang yang melakukan solat tidak akan buat jahat.
Perkataan kejahatan pada ayat 11:114 tadi diterjemah daripada kalimat sayyi'ah yang diguna di dalam al-Qur'an. Oleh kerana Kitab itu lengkap (6:38, 12:111, 16:89), ia beri banyak contoh bagi apa yang diterangkan sebagai kejahatan.
Contoh-contoh yang diturunkan di sini dipetik daripada ayat-ayat yang mengandungi kalimat tersebut dan kalimat lain yang seakar dengannya seperti sa'a dan asa'a.
Contoh kejahatan yang pertama di dalam al-Qur'an, dan di sini, ialah orang-orang yang menulis kitab dan mengatakan kandungannya adalah daripada Allah, padahal bukan daripada Allah. Seperti orang-orang yang menulis Hukum Hudud, hukum halal haram, rukun sembahyang, dan sebagainya, dan mengatakan tulisan mereka adalah ajaran Islam sebenar tetapi bukan daripada Allah. Mereka turut menyatakan bahawa neraka adalah tempat sementara sahaja bagi orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya, walhal ia bukan. Ayat-ayat yang menyebut kejahatan tersebut berbunyi:
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah,' ..... Dan mereka berkata, 'Api tidak akan sentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung.' ..... Ia, sesiapa yang usahakan kejahatan, dan diliputi pelanggarannya, mereka itulah penghuni-penghuni Api (neraka); di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya" (2:79-81).
Bagaimana kalau orang-orang yang menulis itu nampak alim, yang tidak pernah tinggalkan solat lima waktu dan ditambah lagi dengan solat-solat "sunat"? Tentu ini bererti bahawa solat-solat mereka tidak berfungsi sebagai penghilang kejahatan yang mengalir dalam jiwa mereka.
Di kalangan orang Islam ada yang munafik. Mereka bersolat juga di samping lakukan kejahatan. Kejahatan jelas kelihatan pada kesaksian mereka ke atas kerasulan Nabi Muhammad berbunyi,
"Nasyadu innaka larasuulu Allah" (ayat 1, surah 63).
Sebutan itu bererti "Kami menyaksikan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar Rasul Allah." Kesaksian itu selanjutnya jadi sumpah yang berperanan pula sebagai selimut untuk menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Firman-Nya,
"Mereka ambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka halang jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa mereka buat" (ayat 2, surah 63).
Kesaksian atau sumpah orang munafik ke atas kerasulan Nabi Muhammad diguna untuk menghalangi orang lain daripada jalan yang ditunjukkan Allah di dalam al-Qur'an. Kejahatan ini mungkin serupa dengan orang-orang yang menggunakan nama Rasul atau Nabi untuk menjauhkan orang lain daripada ajaran al-Qur'an atau jalan Allah. Itu contoh kejahatan yang kedua di sini.
Ada lagi orang yang menghalangi jalan Allah tetapi dengan "menjual" ayat-ayat-Nya. Ayat-ayat itu tidak dijual secara literal, tetapi disembunyikan untuk kepentingan diri dan dunianya. Dengan buat demikian, kebenaran atau jalan Allah dapat dihalang supaya keuntungan berpihak kepadanya. Kejahatan itu disebut di dalam ayat berikut:
"Mereka jual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit, dan mengmenghalangi daripada jalan-Nya; sesungguhnya amatlah jahat apa mereka buat" (9:9).
Contoh ketiga itu dituruti dengan dua contoh kejahatan lain yang agak lebih luas dilakukan, iaitu tidak percaya kepada ayat-ayat Allah (4:18) dan mendusta serta memperolok-olokkannya (30:10). Kejahatan-kejahatan itu turut dilakukan oleh sesetengah orang yang kelihatan alim. Kadangkala didapati semakin kelihatan alim seseorang itu, dengan banyak bersolat, semakin degillah dia terhadap ayat-ayat Allah.
Orang-orang zalim pun dikategorikan sebagai orang-orang yang buat jahat (39:48). Ini contoh keenam. Untuk mengetahui siapa sebenarnya orang-orang zalim sila rujuk karangan berjudul Zalim: siapa mereka sebenarnya. Apabila menyebut orang zalim teringat akan kisah seorang teroris yang telah membunuh beberapa orang awam yang tidak memeranginya. Dia diberitakan tidak pernah tinggalkan solat. Namun, solatnya gagal untuk menjauhkan dirinya daripada kejahatan membunuh dan merosakkan harta benda orang lain.
Mengharamkan apa yang tidak diharamkan Allah adalah satu lagi contoh kejahatan di dalam al-Qur'an. Sebab utama ia dilakukan kerana ikut bapa-bapa atau orang-orang zaman dulu. Oleh kerana tidak mentaati Allah dalam hukum haram maka perbuatan itu menyamai perbuatan sekutukan-Nya (kerana mentaati ajaran selain daripada-Nya) atau menyembah selain daripada Allah. Firman-Nya,
"Maka kejahatan-kejahatan yang mereka buat menimpa mereka, dan mereka diliputi oleh apa yang mereka olok-olokkan. Orang-orang yang sekutukan berkata, 'Sekiranya Allah hendak, tentu kami tidak sembah, selain daripada Dia, sesuatu, kami dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan, selain daripada Dia, sesuatu.' Begitulah orang-orang sebelum mereka telah buat; tiadalah atas Rasul-Rasul, melainkan untuk sampaikan yang jelas" (16:34-35).
Mereka tidak mentaati Allah kerana tidak diajar. Sebaliknya mereka diajar supaya mentaati, kononnya, ajaran Rasul yang mulia seperti yang dilakukan oleh orang-orang dahulu. Ajaran Allah disangka tidak lengkap, maka pada hemat mereka, rasullah yang melengkapkan sehingga jadi ajaran Islam sebenar. Mereka tidak menerima tugas Rasul sebagai hanya sampaikan ayat-ayat Allah, seperti yang dinyatakan oleh Allah tadi. (Sila rujuk ayat 5:92 dan 24:54 juga). Ayat-ayat yang menegaskan tugas Rasul hanya untuk sampaikan ayat-ayat Allah telah diperolok-olokkan orang sesetengah orang yang kelihatan alim atau pandai dalam agama, tetapi jahat. Hampir kesemua mereka didapati lakukan solat dengan banyak.
Sesetengah ucapan dianggap jahat. Allah tidak menyukainya kecuali diucap oleh orang-orang yang dizalimi. Ayat yang mengandungi contoh kejahatan yang kelapan di sini berbunyi:
"Allah tidak suka kelantangan ucapan yang jahat, kecuali orang yang dizalimi; Allah Mendengar, Mengetahui" (4:148).
Ucapan yang jahat nampak bagai sudah dihalalkan amalannya di kalangan anggota masyarakat Islam yang menganggap diri sudah suci. Siapa saja yang tidak berkenan di hati jadi bahan untuk umpatan, cercaan dan fitnahan mereka.
Ia dilemparkan juga ke arah orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah. Lantaran, kata-kata yang jahat maksudnya seperti "orientalis", "zionis", "musuh Islam", "menghina Nabi" dan "sesat" dibaling kepada mereka. Perbuatan jahat terhadap orang-orang yang percaya tidak terbatas pada lidah sahaja, malah melanjut kepada tangan orang-orang jahat. Kalau mereka boleh, hendak dibunuhnya pula orang-orang yang percaya. Kejahatan itu dilakukan supaya orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah jadi tidak percaya macam mereka. Firman-Nya,
"Jika mereka jumpa kamu, mereka akan jadi musuh kamu, dan menjulurkan kepada kamu tangan-tangan mereka dan lidah-lidah mereka, untuk buat jahat kepada kamu, dan mereka inginkan supaya kamu tidak percaya" (60:2).
Dengan itu solat yang dilakukan oleh mereka adalah sia-sia belaka - umpama solat orang-orang yang melakukan kejahatan zina (17:32) dan homoseksual (21:74).
Demikianlah sepuluh contoh kejahatan yang dipetik daripada ajaran Allah, iaitu ajaran Islam sebenar. Untuk mengetahui selanjutnya sila layari halaman Kalimat jahat di dalam al-Qur'an selepas ini.
Orang-orang yang melakukan kejahatan, yang solatnya jadi terbuang kerana tidak mencegahnya daripada perbuatan jahat, harus bertaubat. Firman-Nya,
"Allah hanya terima taubat orang-orang yang buat jahat dalam kejahilan, kemudian dengan segera bertaubat; Allah akan terima taubat mereka, dan Allah Mengetahui, Bijaksana" (4:17).
"Dan orang-orang yang kerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan percaya, sesungguhnya Pemelihara kamu sesudahnya, Pengampun, Pengasih" (7:153).
"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang buat jahat dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih" (16:119).
Selain jadi penawar untuk menghilangkan kejahatan, solat juga "melarang kesumbangan dan mungkar" (29:45). Kesumbangan lazimnya dikaitkan dengan perbuatan yang tidak sedap didengar atau dilihat. Itu termasuk keinginan seks yang jahat seperti zina dan seks sejenis atau homoseksual bagi lelaki dan perempuan. Sementara mungkar pula bermaksud segala perbuatan yang bertentangan dengan perbuatan baik seperti suruhan Allah.
Mengapakah solat sesetengah orang Islam tidak menghilangkan mereka daripada perbuatan jahat dan menjauhkan daripada kelakuan sumbang dan mungkar? Adakah kerana orang-orang itu sedia jahat dan tidak boleh dibetulkan lagi, atau solat mereka tidak dilakukan dengan ikhlas, atau kerana tidak ikut ajaran Allah yang diketahui akan hakimkan segala amalan manusia nanti?
Adalah satu kesilapan besar untuk mengatakan bahawa Allah tidak ajar cara lakukan solat di dalam al-Qur'an. Cara yang ditunjukkan-Nya tidak ketat, banyak bergantung pada keikhlasan dan kemampuan diri sendiri. Tidak sama solat yang diajar oleh ulama palsu. Malah, terdapat beberapa kemungkaran dalam solat yang diajar oleh mereka. Antaranya adalah lima yang berikut:
1. Waktu solat
Maksud firman Allah:
"sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin" (4:103).
Banyak masa terbuang kerana tidak ikut waktu solat yang sudah ditentukan Allah. Misalnya masa bekerja, berniaga dan, yang membimbangkan sekali, ialah masa belajar di sekolah sesi petang. Sedikit masalah disiplin dikatakan timbul akibat pelajar dan guru tinggalkan kelas untuk menunaikan ibadah solat.
2. Ucapan dalam solat
Maksud firman Allah:
"janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan" (4:43).
Ucapan dalam solat harus difahami. Kalau tidak, ia menyerupai orang mabuk. Ulama palsu ajar solat hendaklah dalam bahasa Arab walupun tidak difahami.
3. Suara dalam solat
Maksud firman Allah:
"Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu" (17:110).
Suara dalam semua solat haruslah tidak begitu kuat dan tidak disenyapkan, tetapi dengan nada yang di pertengahan. Ulama palsu ajar ada solat atau sebahagian daripadanya dilakukan dengan senyap dan ada yang tidak.
4. Seru selain Allah
Maksud firman Allah:
"Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun" (72:18).
Apapun sebab nama-nama Nabi disebut, atau dipanggil, atau diseru, dalam solat adalah bertentangan dengan tujuan solat dilakukan, iaitu untuk menuluskan agama kepada-Nya, menyeru hanya nama-Nya, mengingati-Nya, menyanjung-Nya dan memohon kepada-Nya. Dan,
5. Wuduk
Maksud firman Allah:
"basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki" (5:6).
Allah ajar empat bahagian anggota badan untuk dibersihkan, tetapi ulama palsu ajar lebih banyak daripada itu. Siapakah Tuhan sebenar?
Lima adalah satu bilangan yang banyak, mungkin terlalu banyak, untuk melakukan kemungkaran terhadap Allah. Masih ingatkah kisah Iblis yang melanggar hanya satu perintah Allah lalu jadi kafir, tercela dan kotor?
Solat (yang betul) hapuskan segala kejahatan, kesumbangan dan kemungkaran dalam diri. Sekiranya sifat-sifat itu masih bernafas di dalam diri maka haruslah dinilai semula solat yang dilakukan. Sifat-sifat tersebut jadikan diri tidak suci. Seiringan itu solat dikatakan pula sebagai penawar untuk menyucikan diri (35:18) selain diri dapat disucikan dengan memberi harta sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang sangat bertakwa (92:18).
Rasanya tulisan sudah mencukupi untuk dipertimbangkan kali ini. Ia diakhiri dengan dua buah firman Allah untuk renungan bersama, berbunyi:
"... ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah ajar kamu apa yang kamu tidak tahu" (2:239).
(solat adalah satu daripada cara untuk mengingati-Nya)"Dan takutilah Allah; Allah mengajar kamu, dan Allah tahu segala sesuatu" (2:282).
Rujukan:
Kalimat Pilihan:
Jahat di dalam al-Qur'an
Solat di dalam al-Qur'an
Sumbang di dalam al-Qur'an
Mungkar di dalam al-Qur'an
Masjid di dalam al-Qur'an
Munafik di dalam al-Qur'an
Haram di
dalam al-Qur'an
Taubat di dalam
al-Qur'an
Artikel:
Zalim: siapa mereka sebenarnya
Tajuk lain
bagi solat di laman web ini:
Solat menurut
al-Qur'an
Islam Tiga Waktu
Solat
dan Sembah
Solat lengkap
Solat
pada Hari Berkumpul
Pakaian solat, takwa &
kaafiruun
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat
Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan
Lazim Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman