Pakaian solat, takwa & kaafiruun



From: "saiful"
Subject: pakaian dalam solat
Date: Wednesday, March 05, 2003 9:26 AM


salaamun alaikum

semoga saudara benar-benar dalam sejahtera sebagaimana doa saya di atas. saya baru download artikel-artikel terbaru saudara dan saya simpati kepada saudara yang jadi sasaran kerana laman web ini sediakan ruang e mail yang memang membuka ruang yang luas kepada manusia jahil yang jadikan saudara "sitting duck".

saya membaca karangan saudara dalam artikel solat dalam Al Quran, 
Pakaian untuk solat adalah yang baik atau cantik kerana ketika itu umat berhadapan serta berkomunikasi dengan Penciptanya.

saya ada terbaca dalam Al Quran bahawa pakaian yang terbaik adalah pakaian takwa. barangkali saya salah, tetapi mohon saudara berikan pandangan

terima kasih kerana sudi membaca e mail yang agak panjang ini. akhir kata janganlah saudara berputus asa untuk mendapatkan keridhaan Nya "walau kaarihal kaafiruun"

salaam

 

Salamun alaikum saudara Saiful yang budiman. Alhamdulillah, kami berada dalam keadaan sejahtera. Ribuan terima kasih atas doa, sokongan, serta kata-kata galakan yang sungguh padan buat dipakai oleh orang-orang yang ingin berbakti kepada Allah. Tentu Dia akan membalas budi baik saudara.

Mengenai pakaian dalam solat, pendapat kami sebagaimana yang disebut dalam artikel berkenaan adalah berdasarkan ayat 7:31 - "Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid." Kerana disuruh ambil perhiasan, maka pakaian dalam solat haruslah yang baik, cantik, dan bukan cuma berlengeng sahaja, misalannya.

Pakaian takwa memang ada disebut di dalam al-Qur'an, iaitu pada ayat 7:26 yang berbunyi, "Wahai Bani Adam, Kami telah turunkan kepada kamu suatu pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib kamu, dan (pakaian) perhiasan, dan pakaian takwa - itu lebih baik; itulah satu daripada ayat-ayat Allah, supaya mereka mengingati."

Mungkin ada orang yang mengertikan "pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib kamu, dan (pakaian) perhiasan" itu adalah pakaian takwa, yang harus dipakai dalam solat. Kami tidak menolaknya, namun, kami lebih condong kepada percayai bahawa ia (pakaian takwa) bukan sesuatu yang dibuat daripada kain, umpamanya, untuk menutup badan. Akan tetapi, ia bermaksud sifat takwa. Sebab, frasa "dan pakaian takwa - itu lebih baik" pada ayat di atas didapati berdiri dengan sendiri, tidak berkait dengan perkara lain yang terdahulu disebut.

Malah, di dalam al-Qur'an, kebanyakan daripada kalimat libas (yang diterjemah kepada pakaian di situ) tidak diguna untuk pakaian yang menutup badan, tetapi bagi:

isteri, suami (isteri dan suami sebagai pakaian - 2:187), 
kelaparan, ketakutan
("pakaian kelaparan dan ketakutan" - 16:112),
malam
("malam jadi pakaian" - 25:47 dan 78:10).

Lantaran, pada pandangan kami, pakaian takwa adalah sifat takwa yang disemat di dalam jiwa, iaitu sifat takut kepada Tuhan dengan percayai serta mentaati ayat-ayat-Nya, dan buat amalan-amalan yang diredai-Nya. (Sila rujuk artikel Syurga dan orang takwa yang menjelaskan mengenai orang takwa.)

Justeru, ajaran sesetengah pihak yang menetapkan pakaian takwa semacam suatu fesyen yang mereka wajibkan (ke atas kaum wanita) dan sunat (bagi lelaki) adalah difikirkan tidak sahih, kerana, bukan sahaja kalimat Allah itu telah disalahtafsir, malahan, orang-orang kafir dan munafik pada zaman Nabi Muhammad pun memakai pakaian yang serupa.

Selanjutnya, orang-orang kafir (yang turut digolongi kaum munafik) sejak dari zaman dahulu lagi telah cuba menghalangi jalan Allah. Mereka benci akan ajaran al-Qur'an.

Kebencian dan penghalangan mereka dapat dikesan hingga ke hari ini, dengan pakaian mereka yang menabiri ayat-ayat al-Qur'an daripada pengetahuan masyarakat umum. Contoh, ayat-ayat yang menyatakan ia sebuah Kitab yang lengkap, mudah difahami, satu-satunya Kitab yang diimani dalam Islam, dan ambil upah dalam mengajar agama - sekadar menyebut empat sahaja di sini.

Juga, beberapa dalih telah dicorak, termasuk mengguna konsep dan istilah yang hebat-hebat bunyinya, bagai menunjukkan ilmu di dada yang tinggi. Selanjutnya, pemakai corak yang berjalin-jalin dan kompleks itu didapati tidak selesa langsung memakai pakaian takwa berbenangkan ayat-ayat Allah yang perkataannya mudah lagi jelas. Kedudukannya sama dengan seorang paderi yang beritahu seorang saudara kami bahawa dia (paderi) hanya dapat memahami konsep Triniti, yang dikatakan kompleks, setelah sampai pengajian peringkat Ph.D! Begitu tinggi ilmu di dada, namun, hati yang di dalamnya tetap buta!

Antara mereka yang menyarungkan pakaian kebencian terhadap ajaran Tuhan, dan cuba menghitamkan keterangan dan bukti yang jelas daripada al-Qur'an, yang dibentang di laman web ini, sudah kami dedah di ruangan E-Mail atau Terkini. Ada pula yang belum, antaranya kitaserupa2002@yahoo.com. Dia menayangkan pakaian kaafiruun bersulamkan beberapa potong "hadis Nabi" demi mengaburi sebuah firman Allah yang kami paparkan. (Keterangan lanjut boleh didapati di sini di mana id tersebut baru diselitkan.)

Tidak syak lagi, mereka itulah antara orang-orang yang diterangkan oleh penulis surat di atas sebagai kaafiruun (kami bersetuju dengan beliau), dan menurutnya lagi, yang jadikan kami sitting duck buat dibedil. Allah sangat mengenali mereka kalipun mereka menyorok di belakang beberapa topeng. Lalu kepada-Nya kami memohon:

"Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya (kafir)" (2:250).

Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam!


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman