Kaum di dalam al-Qur'an
Perkataan kaum di dalam al-Qur'an berjumlah sebanyak 382, maka cerita
mengenainya panjang, dengan beberapa kejadian diulang beberapa kali supaya
dapat diingati dengan senang. Daripadanya adalah ayat-ayat kaum yang di-Rahmati
Allah, tetapi kebanyakan daripadaya di-Murkai, termasuk kaum-kaum yang telah dihapuskan sama sekali, dan
yang lain ditukar atau diganti kaum lain, yang boleh berlaku lagi.
Kaum-kaum yang menjadi pengajaran adalah kaum Nuh, Ad, Tsamud dan kaum Ibrahim, dan kaum Hud, kaum Salleh, dan kaum Lut dan kaum Tubba. Tidak ketinggalan ialah kaum Firaun, iaitu orang-orang Arab-Mesir, kaum Nabi Musa (Bani Israil), dan kaum Nabi Muhammad.
Namun, di dalam al-Qur'an, perkataan kaum tidak hanya bermaksud bangsa. Ia boleh dimaksudkan kepada segolongan manusia dengan sesuatu kelebihan atau kelemahan, misalan terdapat ayat berbunyi, "Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang tahu," (41:3) di mana didapati bahasa Arab, yang bukan sahaja orang Arab tahu, malah orang-orang berbangsa lain pun turut mengetahuinya, dengan mendalam jua.
Ayat-ayat mengandungi perkataan kaum dikumpul menurut sifat, contoh, Kaum yang Yakin atau kaum tidak percaya, kemudian dibahgaikan kepada dua Bahagian, iaitu Dirahmati dan Tidak Dirahmati, sementara Bahagian ketiga, Umum, mengandungi ayat-ayat kaum yang menceritakan secara am.
Bahagian I mengandungi kaum-kaum yang Yakin, Faham, Tahu, Salih, Percaya, Mengingati, Memikirkan, Mendengar, Dia Cintai, Berterima Kasih, Mukmin, Bertakwa, dan Kaum yang Menyembah - kesemuanya berjumlah 13 sifat.
Bahagian II mengandungi kaum-kaum tidak percaya (Kafir), Zalim, Fasiq, Tidak Faham, Sesat, Berdosa, Membazir, Bodoh, Mendustakan Ayat-Ayat Kami atau Allah, Jahat, Melampaui Batas, Allah Murkai, menghalangi daripada Masjidil Haram, Buta, Rugi, Dihina, Bertekun pada Patung-Patung, yang Allah akan Musnahkan, Tidak Tahu, Mungkiri Sumpah-Sumpah Mereka, Takut, Kena Sihir, Paling Degil, Tinggi, Keji, Menderhaka, Diuji, Menyetarakan-Nya, Buat Kerosakan, dan Kaum yang Suka Bertengkar - kesemuanya berjumlah 30.
Dan, Bahagian III pula mengandungi ayat-ayat lain, misalan mengenai kaum-kaum yang tidak pernah diberi amaran, kaum Muhammad, dan sebagainya.
BAHAGIAN I:
Senarai kaum yang dirahmati Allah:
1. Kaum yang Yakin
Kaum ini adalah yang pertama disebut di dalam al-Qur'an. Terdapat empat ayat, menunjukkan betapa yakinnya mereka terhadap Allah dan Kata-Kata-Nya, dan al-Qur'an, dan hukum serta Ciptaan-Nya:
"Dan orang-orang yang tidak tahu berkata, 'Mengapa Allah tidak berkata-kata kepada kami? Mengapa satu ayat (isyarat) tidak datang kepada kami?' Demikianlah berkata orang-orang sebelum mereka, seperti ucapan mereka ini; hati mereka serupa. Namun demikian, Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang yakin." (2:118)
"Adakah putusan jahiliah yang mereka inginkan? Dan siapakah lebih baik putusannya daripada Allah bagi kaum yang yakin?" (5:50)
"Inilah (al-Qur'an) bukti yang nyata bagi manusia, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi kaum yang yakin." (45:20)
"Dan dalam ciptaan kamu dan apa-apa yang merayap yang Dia taburkan di merata-rata adalah ayat-ayat bagi kaum yang yakin," (45:4)
2. Kaum yang Faham
"Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, dan kapal yang berlayar di laut dengan manfaat kepada manusia, dan air yang Allah turunkan dari langit, dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati, dan Dia taburkan di merata-rata di dalamnya segala yang merayap, dan perkisaran angin dan awan yang dipaksakan antara langit dan bumi, sungguh, adalah ayat-ayat (tanda-tanda) bagi kaum yang faham" (2:164).
Selain ayat di atas terdapat 3 lagi mengenai Ciptaan-Nya yang menjadi ayat bagi kaum yang faham:
"Dia tundukkan untuk kamu malam dan siang, dan matahari, dan bulan; dan bintang-bintang ditundukkan dengan perintah-Nya" (16:12),
"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah Dia perlihatkan kepada kamu kilat, untuk ketakutan dan harapan, dan Dia turunkan dari langit air, dan Dia hidupkan bumi setelah ia mati" (30:24), dan,
"Dan pada pergantian malam dan siang, dan rezeki yang Allah turunkan dari langit, dan dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati, dan perkisaran angin," (45:5).
Ayat-ayat kaum yang faham seterusnya adalah mengenai manusia, (i) yang ditumbuhkan daripada jiwa yang satu, serta tempat menginap dan simpanannya (6:98), (ii) peninggalan daripada penduduk bandaraya yang diturunkan kemurkaan dari langit kerana fasiq yang menjadi bukti jelas bagi kaum yang faham (29:35) dan (iii) satu persamaan bagi persekutuan dalam rezeki di antara hamba dengan tuan dengan ayat berbunyi,
"Dia buatkan untuk kamu persamaan daripada diri-diri kamu sendiri: adakah bagi kamu, antara yang tangan-tangan kanan kamu miliki, sekutu-sekutu, dalam apa yang Kami rezekikan kamu, supaya kamu jadi sama padanya, dengan kamu takuti mereka seperti kamu takut pada diri-diri (sesama) kamu sendiri? Begitulah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang faham." (30:28)
Diakhiri dengan dua ayat mengenai tanaman:
"Dan di bumi, terdapat kawasan-kawasan yang berjiran, dan kebun-kebun (jannah) anggur, dan ladang-ladang yang sudah disemai, dan palma-palma yang berpasang, dan palma-palma yang tunggal, diairi air yang satu; dan Kami lebihkan sebahagian di atas sebahagian yang lain dalam hasilnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang faham" (13:4).
"Dan daripada buah-buahan palma dan anggur, kamu ambil daripadanya minuman yang memabukkan, dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang faham" (16:67).
3. Kaum yang Tahu
Mereka dijelaskan Allah mengenai perceraian "talak dua" dan bagaimana pasangan suami isteri itu dapat kembali semula (2:230) dan mengenai pengharaman perhiasan dan benda-benda yang baik dikeluarkan Allah untuk hamba-hamba-Nya yang tidak ditetapkan-Nya (7:32)
Selain daripada hukum, Dia telah menjelaskan bagi kaum yang tahu mengenai (i) bintang-bintang yang dibuat-Nya supaya manusia dapat petunjuk dalam kegelapan darat dan laut (6:97) dan (ii) matahari dan bulan yang dibuat-Nya sebagai sinaran dan cahaya, dan menetapkan bulan dengan pengkalan-pengkalan supaya manusia tahu bilangan tahun dan hitungan (10:5).
Turut dijelaskan Allah kepada kaum yang tahu ialah (i) mengenai orang-orang yang sekutukan-Nya, dan tidak mengendahkan sebarang pertalian dan perjanjian dengan Rasul tetapi jika mereka bertaubat, melakukan solat, dan memberi zakat, maka mereka menjadi saudara-saudara dalam agama (9:11), dan (ii) mengenai rumah-rumah kaum Tsamud yang telah roboh disebabkan mereka buat zalim, yang ditunjukkan Allah (27:52).
Dua ayat terakhir diturunkan di sini mengenai kaum yang tahu ialah mengenai al-Qur'an berbunyi,
"Begitulah Kami ulang-ulangi ayat-ayat (al-Qur'an) supaya mereka berkata, 'Kamu telah pelajarinya'; dan supaya Kami jelaskannya bagi kaum yang tahu" (6:105).
"Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang tahu," (41:3).
4. Kaum
yang Salih atau Baik
"Dan apabila mereka (paderi, rahib Kristian) dengar apa diturunkan kepada Rasul, kamu lihat mata-mata mereka mencucurkan air mata kerana mereka kenali yang benar. Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, kami percaya, maka tuliskanlah kami antara para saksi.
Tidakkah kami patut percayai Allah, dan yang benar yang datang kepada kami, dan inginkan supaya Pemelihara kami masukkan kami berserta kaum yang salih?'
Dan Allah ganjari mereka kerana apa mereka kata, dengan taman-taman, di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya; itulah balasan ke atas orang-orang buat baik" (5:83-85)."Bunuhlah Yusuf, atau buanglah dia ke mana-mana bumi, supaya muka bapa kamu bebas kepada kamu, dan setelah itu kamu jadi satu kaum yang salih" (12:9).
5. Kaum yang
Percayai
Ayat-ayat atau tanda-tanda atas kebesaran Allah bagi kaum yang percayai ialah (i) air yang turun dari langit, dengannya tunas segala tumbuh-tumbuhan keluar, dan daun-daun hijau, kemudian biji-bijian yang bersusun rapat; dan daripada pohon palma keluar seludang, kurma-kurma bertandan lebat yang boleh dicapai; dan kebun-kebun anggur, zaitun, dan delima, yang serupa dan tidak serupa sesamanya (6:99), (ii) burung-burung yang ditundukkan di udara di langit (16:79), (iii) malam untuk berehat, siang untuk melihat (27:86) dan (iv) Nabi Ibrahim terselamat daripada api (30:37).
Kitab al-Qur'an, bagi kaum yang percayai, merupakan (i) satu petunjuk dan satu pengasihan (7:52, 7:203 dan 16:64), (ii) satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan (12:111), dan (iii) satu pengasihan dan satu peringatan, seperti terkandung di dalam ayat berbunyi,
"Apa, adakah tidak mencukupi bagi mereka bahawa Kami turunkan kepada kamu al-Kitab yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu pengasihan, dan satu peringatan bagi kaum yang percayai" (29:51).
Bagi mereka lagi, Nabi Muhammad adalah hanya seorang pemberi amaran dan pembawa berita gembira (7:188), dan apa yang Kami bacakan mengenai Nabi Musa dan Firaun adalah benar (28:3).
Dan sebutan ayat terakhir bagi kaum yang percayai di sini berbunyi,
"Kamu tidak dapat sesuatu kaum yang percayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka" (58:22).
6.
Kaum yang
Mengingati
"Inilah jalan Pemelihara kamu, yang lurus; sesungguhnya Kami telah jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengingati" (6:126).
(Ayat-ayat al-Qur'an - jalan lurus - dijelaskan kepada kaum yang mengingati.)"Dan apa yang Dia cipta untuk kamu di bumi yang bermacam-macam warnanya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang mengingati" (16:13).
7.
Kaum yang Memikirkan
"Persamaan kehidupan dunia ini adalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya, daripadanya manusia dan binatang ternak makan, sehingga, apabila bumi telah mengambil gemerlapannya, dan menampakkannya indah, dan penduduknya sangka mereka sudah menguasainya, perintah Kami datang kepadanya, malam atau siang, dan Kami membuatnya tanaman yang tertinggal sesudah dituai, seakan-akan ia tidak tumbuh kelmarinnya. Begitulah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan" (10:24).
Kami jelaskan ayat-ayat. Bagi kaum yang memikirkan. Enam ayat yang menyusuli, dalam kategori ini, adalah juga ayat-ayat, mengenai beberapa Ciptaan-Nya, dan kerana tidak dibuat persamaan bersabit mereka, maka tidak dikatakan dijelaskan seperti di atas, tetapi hanya ayat-ayat, misalan ayat berbunyi, "Dia yang bentangkan bumi dan letak di dalamnya gunung-gunung dan sungai-sungai, dan daripada tiap-tiap buah-buahan, Dia membuatnya dua jenis; menutupi siang dengan malam. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan" (13:3).
Lima yang lain, mengenai Ciptaan-Nya, diringkaskan seperti berikut:
tumbuhan tanaman, zaitun, palma, anggur, dan segala macam buah-buahan (16:11),
lebah, yang makan tiap-tiap buahan, ikut jalan-jalan yang senang kepergiannya, dan kemudian keluar dari perut mereka, satu minuman bermacam warna, menjadi penyembuhan untuk manusia (16:69),
ciptaan isteri-isteri, supaya dapat berehat pada mereka, dan kewujudan cinta dan pengasihan (30:21),
jiwa dimatikan ketika kematian mereka, dan yang belum mati, dalam tidurnya; Dia menahan jiwa yang telah tentukan kematian, dan yang lain dibiarkan hidup hingga satu tempoh yang dinyatakan (39:42), dan,
ditundukkan kepada manusia apa yang di langit dan di bumi, kesemuanya, daripada-Nya " (45:13).
8. Kaum
yang Mendengar
Lagi terdapat Ciptaan-Nya yang sudah disebut menjadi ayat lagi, kali ini bagi kaum yang mendengar pula.
"Dia yang buatkan bagi kamu malam untuk berehat padanya, dan siang untuk melihat; sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang mendengar" (10:67).
"Dan Allah turunkan dari langit air, dan dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang mendengar" (16:65).
"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah tidur kamu pada waktu malam dan siang hari, dan kamu inginkan sebahagian daripada pemberian-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang mendengar" (30:23).
Mereka menjadi kaum yang mendengar (kepada Kata-Kata Allah) kerana mengambil Ciptaan-Nya, seperti malam dan siang atau air yang turun dari langit, sebagai ayat-ayat atau tanda-tanda kebesaran-Nya, lalu mereka berada dalam keadaan sentiasa mengingati-Nya.
Demikian lapan sifat bagi kaum atau kaum-kaum yang disebut lebih sekali di dalam al-Qur'an. Diturunkan pula, di bawah ini, lima lagi sifat, iaitu yang disebut hanya sekali sahaja, dan mereka dapat dikenali daripada frasa-frasa yang dikasarkan di dalam ayat-ayat berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan datangkan satu kaum yang Dia cintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Itu pemberian Allah; Dia berikannya kepada siapa Dia hendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui" (5:54).
"Dan tanah yang baik, tanamannya keluar dengan izin Pemeliharanya, dan yang rosak, ia keluarkan hanya sedikit. Begitulah Kami ulang-ulangi ayat-ayat bagi kaum yang berterima kasih" (7:58).
"Perangilah mereka, dan Allah akan azab mereka di tangan kamu, dan aibkan mereka, dan Dia akan tolong kamu terhadap mereka, dan datangkan penyembuhan bagi dada kaum yang mukmin" (9:14).
"Pada pergantian malam dan siang, dan apa yang Allah cipta di langit dan bumi adalah ayat-ayat bagi kaum yang bertakwa" (10:6) dan,
"Sesungguhnya di dalam ini (al-Qur'an) adalah satu penyampaian bagi kaum yang menyembah" (21:106).
Alangkah amat baik jika kaum di sini memiliki kesemua 13 sifat di atas!
~ Bersambung
21 Mei 2013
BAHAGIAN II
Senarai kaum yang tidak dirahmati Allah:
1. Kaum Tidak Percaya (Kafir)
Bermula dengan doa memohon pertolongan Allah terhadap kaum tidak percaya, berbunyi "Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya" (2:250). Kemudian terdapat tiga lagi, tetapi yang ketiga memohon diselamatkan dengan pengasihan-Nya pula. Semua diturunkan di bawah:
"Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau pertanggungjawabkan kami jika kami lupa, atau buat kesilapan. Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau bebankan kami sebagaimana Engkau telah bebankan orang-orang sebelum kami. Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau bebankan kami melebihi apa yang kami ada kekuatan untuk memikul, dan maafkanlah kami, dan ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami; Engkau Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya" (2:286).
"Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya" (3:147).
"Kepada Allah kami tawakal. Pemelihara kami, janganlah Engkau buat kami satu cubaan bagi kaum yang zalim,
Dan selamatkanlah kami dengan pengasihan Engkau daripada kaum tidak percaya (kaum Firaun)" (10:85-86).
Selanjutnya, terdapat lima ayat menyatakan Allah tidak beri petunjuk
kepada kaum tidak percaya. Ayat-ayat tersebut turut memberi sebab (i) sedekah yang
diikuti celaan dan gangguan, seperti orang yang nafkahkan
hartanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan dia tidak percayai Allah dan
Hari Akhir (2:264), (ii) walaupun Rasul yang disuruh Allah untuk sampaikan
apa-apa diturunkan dan Dia melindunginya pula daripada manusia, namun Dia tidak beri
petunjuk kepada kaum tidak percaya (5:67), (iii) menundakan bulan haram
lalu kaum itu tidak menyucikan apa yang Allah sucikan (9:37),
(iv) lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat
(16:107), dan (v) sebab seperti
disebut ayat di bawah,
"Bagaimanakah Allah akan beri petunjuk kepada kaum tidak percaya sesudah keimanan mereka, dan saksikan bahawa Rasul itu benar, dan bukti-bukti yang jelas telah datang kepada mereka? Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim" (3:86).
Terhadap
kaum tidak percaya, Allah mengingatkan supaya tidak berdukacita terhadap
mereka (5:68 dan 7:93), dan bahawa hanya mereka
sahaja yang berputus asa daripada
kesenangan Allah, menurut ayat berbunyi,
"Janganlah berputus asa daripada kesenangan Allah; daripada kesenangan Allah, tiada yang berputus asa melainkan kaum tidak percaya" (12:87).
Mereka
menjadi kaum tidak percaya (kafir) kerana menyembah atau mentaati selain daripada Allah,
yang halangi mereka daripada mempercayai-Nya. Firman Allah,
"Tetapi apa yang dia
sembah, selain daripada Allah, menghalanginya, kerana dia adalah
daripada kaum tidak percaya" (27:43). Seperti itu keadaan
orang-orang yang mengambil ajaran selain Allah, yang halangi mereka daripada
mempercayai ajaran-Nya.
Turut difahamkan iaitu orang-orang yang mereka seru selain daripada Allah adalah daripada kaum yang tidak percayai-Nya (43:88), dan bahawa bagi kaum ini, tiada ayat
(misalan apa yang ada di langit dan di bumi) mahupun amaran, berguna bagi mereka
untuk diyakinkan
(10:101).
Nabi
Yusuf telah didapati meninggalkan anutan kaum yang tidak percayai dengan berkata,
"Aku
telah tinggalkan anutan kaum yang tidak percayai Allah, dan mereka tidak percaya kepada akhirat" (12:37). Dan ayat
terakhir di sini mengisahkan kaum tersebut dihapuskan Allah kerana mendustakan
Rasul,
"Kemudian Kami utus Rasul-Rasul Kami berturut-turut. Setiap kali Rasulnya datang kepada satu umat, mereka dustakannya, maka Kami jadikan sebahagian mereka mengikuti sebahagian yang lain, dan Kami buat mereka hadis (buah tutur); maka nyahlah kaum yang tidak percayai!" (23:44)
~ Sila lihat artikel
Kafir dan Al-Qur'an.
2. Kaum Yang Zalim
Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim. Mereka terdiri daripada:
orang tidak percaya yang mendebat Ibrahim mengenai Pemeliharanya kerana Allah memberinya ke-raja-an, dan berkata dia juga yang menghidupkan dan mematikan manusia (2:258),
kaum tidak percaya sesudah keimanan mereka, dan menyaksikan bahawa Rasul itu benar, dan bukti-bukti yang jelas telah datang kepada mereka (3:86),
orang-orang yang percaya yang mengambil orang-orang Yahudi dan Kristian sebagai wali (sahabat) (5:51),
orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah untuk dia menyesatkan manusia tanpa sebarang pengetahuan (6:144),
orang-orang yang mengira pemberian air kepada orang-orang haji dan pengunjung Masjidil Haram, sama seperti orang yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan berjuang di jalan Allah (9:19),
orang-orang yang tidak mendirikan masjid atas takwa dan kepuasan hati-Nya (9:109),
orang-orang yang hanya ikut keinginan mereka tanpa petunjuk daripada Allah (28:50),
orang-orang tidak percaya dan menyombongkan diri terhadap al-Qur'an sedangkan seorang saksi daripada Bani Israil mempercayainya (46:10),
orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah apabila diseru kepada islam (61:7) dan ayat ke-10 berbunyi,
"Persamaan orang-orang yang dibebankan dengan Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti persamaan seekor keledai yang memikul buku-buku yang tebal. Adalah buruk persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Allah. Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim" (62:5).
Mereka
adalah juga kaum yang dustakan ayat-ayat Allah, selain didapati terjun atau
bermain-main dengan ayat-ayat Allah, dan apabila mereka melakukannya,
maka mereka harus ditinggalkan, tidak duduk bersama mereka
(6:68).
Kaum yang zalim dimusnahkan Allah dengan azab yang datang dengan tiba-tiba (6:47), atau dihapuskan seperti kaum Nuh (11:44) dan ada juga dengan Teriakan (23:41).
Terdapat
tiga doa, memohon supaya tidak diletakkan bersama kaum yang zalim (7:47,
7:150
dan 23:94), dan satu memohon untuk diselamatkan daripada kaum tersebut, iaitu
yang diucap oleh Nabi Musa:
"Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim (Firaun dan kaumnya)" (28:21).
Isteri Firaun juga telah berdoa agak serupa berbunyi, "Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim” (66:11).
Masih dengan doa, kali ini memohon supaya tidak menjadi cubaan bagi kaum yang zalim pula:
"Mereka (kaum Musa) berkata, "Kepada Allah kami tawakal. Pemelihara kami, janganlah Engkau buat kami satu cubaan bagi kaum yang zalim,
Dan selamatkanlah kami dengan pengasihan Engkau daripada kaum tidak percaya.'" (10:85-86)
Setelah diselamatkan daripada mereka Allah dipuji dengan menyebut, "Segala puji bagi Allah yang selamatkan kami daripada kaum yang zalim" (23:28).
Telah disebut bahawa kaum yang
lazim adalah kaum yang dustakan ayat-ayat Allah dan kaum tidak percaya. Apa yang mereka nafkahkan dalam kehidupan dunia ini adalah tidak
berguna sedikit pun bagi mereka. Firman-Nya,
"Persamaan apa yang mereka (tidak percaya) nafkahkan dalam kehidupan dunia ini seperti persamaan angin yang sangat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menzalimi diri-diri mereka sendiri, lalu ia musnahkannya; Allah tidak menzalimi mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan" (3:117).
~ Sila lihat artikel
Zalim: siapa mereka sebenarnya.
3.
Kaum yang Fasiq
Nabi Musa telah memohon kepada Allah supaya baginda dan saudaranya dipisahkan daripada kaumnya sendiri kerana kefasiqan mereka:
"Berkata, 'Wahai Pemeliharaku, aku tidak menguasai sesiapa, kecuali diriku dan saudaraku. Pisahkanlah antara kami dan kaum yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)'" (5:25).
Lalu Dia menyahut, "Maka ia diharamkan kepada mereka selama empat puluh tahun sedang mereka merayau-rayau di bumi; maka jangan kamu dukacita terhadap kaum yang fasiq" (5:26).
Kaum
Nabi Musa adalah kaum yang fasiq, iaitu kaum yang tidak
didukacitakan, seperti kaum tidak percaya. Serupa dengan kaum Firaun, yang turut dipanggil fasiq,
di samping
didapati dipanggil kaum tidak percaya dan kaum yang zalim. Antara ayat yang
menunjukkan kaum Firaun kaum yang fasiq berbunyi,
"Masukkan tangan kamu ke dalam dada kamu, dan ia akan keluar putih tanpa keburukan - antara sembilan ayat kepada Firaun dan kaumnya; mereka adalah kaum yang fasiq" (27:12).
Kaum Nuh turut menjadi kaum yang fasiq (51:46) dan kaum Lut, yang bukan sahaja fasiq malah dikatakan jahat juga (21:74).
Sama dengan
kaum-kaum tidak percaya dan yang zalim, Allah
turut tidak beri petunjuk kepada kaum yang
fasiq, terdiri daripada (i) orang-orang yang tidak mendatangkan kesaksian
yang sebenar, setelah mendengar wasiat tidak bertulis (5:108), (ii) orang-orang
yang lebih mencintai - bapa-bapa, anak-anak lelaki, saudara-saudara,
isteri-isteri, dan kerabat mereka, dan harta benda yang diperoleh, perdagangan
yang takut rugi, dan tempat tinggal yang mereka sangat berpuas hati - daripada
Allah dan Rasul-Nya serta berjuang di jalan-Nya (9:24), dan (iii) kaum Musa yang
menyakitinya walaupun mereka tahu baginda adalah Rasul Allah kepada mereka, dan
kerana mereka menyimpang Allah menyimpangkan hati mereka (61:5).
Bukan sahaja tidak diberi petunjuk malah tidak diampunkan jua, sambil nafkah yang mereka beri tidak diterima:
"Mintalah ampun bagi mereka, atau kamu tidak minta ampun bagi mereka; jika kamu mintakan ampunan untuk mereka tujuh puluh kali pun, Allah tidak akan ampunkan mereka; itu kerana mereka tidak percaya kepada Allah, dan Rasul-Nya. Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang fasiq" (9:80).
"Katakanlah, 'Nafkahkanlah dengan rela, atau dengan membencinya; ia tidak akan diterima daripada kamu (orang tidak percaya) kerana sesungguhnya kamu adalah kaum yang fasiq'" (9:53).
Allah tidak puas hati terhadap kaum yang fasiq, dan terhadap mereka, azab tidak
diminta untuk disegerakan, kerana mereka pasti akan dimusnahkan:
"Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu sangat puas hati terhadap mereka; tetapi, jika kamu sangat puas hati terhadap mereka, sungguh, Allah tidak puas hati terhadap kaum yang fasiq" (9:96).
"Maka sabarlah kamu, sebagaimana Rasul-Rasul yang mempunyai tekad bersabar. Janganlah minta disegerakannya untuk mereka - ia seakan-akan, pada hari mereka lihat apa yang mereka dijanjikan, mereka tidak tinggal melainkan sesaat daripada siang hari. Satu penyampaian! Dan tiadalah yang akan dimusnahkan melainkan kaum yang fasiq" (46:35).
4.
Kaum yang Tidak
Faham
Terdapat lima ayat, kesemua kelihatan berkisar pada Nabi Muhammad. Kaum yang tidak faham terdiri daripada orang-orang tidak percaya, yang mengambil panggilan kepada solat, dalam ejekan dan sebagai satu permainan. Hati mereka dipalingkan Allah daripada ayat-ayat-Nya kerana mereka berpaling. Tiga lagi ayat mengenai kaum tersebut menyentuh hal peperangan pula. Kesemua ayat mengenai mereka berbunyi,
"Dan jika kamu panggil kepada solat, mereka ambilnya dalam ejekan, dan sebagai satu permainan; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham" (5:58).
"Setiap kali sebuah surah diturunkan, mereka memandang kepada satu sama lain, "Adakah seseorang melihat kamu?" Kemudian mereka berpaling. Allah palingkan hati mereka kerana mereka adalah kaum yang tidak faham" (9:127).
"Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu, orang-orang yang sabar, mereka akan mengalahkan dua ratus; jika ada antara kamu seratus, mereka akan mengalahkan seribu orang tidak percaya, kerana mereka adalah kaum yang tidak faham" (8:65).
"Sungguh, kamu lebih menggerunkan di dalam dada mereka daripada Allah; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham.
Mereka tidak akan memerangi kamu kesemuanya, kecuali di dalam bandaraya-bandaraya yang berkubu, atau dari belakang tembok-tembok. Keberanian mereka adalah sangat di kalangan mereka; kamu sangka mereka sebagai satu kumpulan, tetapi hati mereka berlainan; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham" (59:13-14).
5.
Kaum
yang Sesat
Kaum ini tidak diberi petunjuk oleh Allah. Mereka yang dustakan ayat-ayat-Nya setelah dibacakan kepada mereka, akan mengaku menjadi sesat pada hari akhirat.
"Apabila dia (Nabi Ibrahim) lihat bulan terbit, dia berkata, 'Ini Pemeliharaku.' Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, 'Jika Pemeliharaku tidak beri petunjuk kepada aku, tentu aku jadi daripada kaum yang sesat'" (6:77).
"'Apa, tidakkah ayat-ayat-Ku dibacakan kepada kamu, dan kamu dustakannya?'
Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, kesusahan kami telah mengalahkan kami; kami adalah kaum yang sesat" (23:105-106).
Satu peringatan bagi ahli Kitab mengenai mengikuti kaum terdahulu yang sudah sesat:
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, jangan kamu berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan jangan ikut keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan sesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul'" (5:77).
~ Sila lihat artikel
Siapa sebenarnya orang sesat.
6. Kaum yang
Berdosa
Mereka dustakan Rasul lalu dimusnahkan Allah. Bencana yang menimpa tidak ditarik balik daripada mereka:
"Maka, jika mereka dustakan kamu, katakanlah, 'Pemelihara kamu, dalam pengasihan merangkumi, dan bencana-Nya tidak dapat dikembalikan daripada kaum yang berdosa'" (6:147).
"Sehingga, apabila Rasul-Rasul berputus asa, dengan berpendapat bahawa mereka telah dianggap pendusta-pendusta, pertolongan Kami datang kepada mereka, dan sesiapa Kami hendaki, diselamatkan. Bencana Kami tidak dikembalikan daripada kaum yang berdosa" (12:110).
"Kami musnahkan generasi-generasi sebelum kamu apabila mereka buat zalim, dan Rasul-Rasul mereka telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, tetapi mereka tidak mahu percayai; maka Kami balas kaum yang berdosa" (10:13).
Kaum Firaun, kaum Lut, dan kaum Ad disebut secara terus sebagai kaum-kaum yang berdosa:
"Maka Kami utus kepada mereka banjir, dan belalang juta, dan kutu, dan katak, dan darah - ayat-ayat yang jelas; tetapi mereka sombong, dan mereka (kaum Firaun) adalah kaum yang berdosa" (7:133).
"Mereka berkata, 'Kami diutus kepada kaum yang berdosa (kaum Lut),'" (15:58).
"Membinasakan segala sesuatu dengan perintah Pemeliharanya. Pada waktu pagi, tiada yang dapat dilihat melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Begitulah Kami balas kaum yang berdosa (kaum Ad)." (46:25)
Mereka adalah orang-orang tidak percaya, yang ayat-ayat Allah dibacakan kepada mereka tetapi mereka menyombongkan diri. Demikian akan diingatkan kepada mereka pada hari kiamat:
"Tetapi bagi orang-orang tidak percaya, 'Tidakkah ayat-ayat-Ku dibacakan kepada kamu, dan kamu menyombong, dan kamulah kaum yang berdosa?'" (45:31).
~ Sila rujuk artikel
Dosa dan Haram.
7.
Kaum
yang Membazir (Berlebihan)
"Kamu (kaum Lut) mendatangi lelaki-lelaki dengan hawa nafsu, bukan perempuan; tidak, kamulah kaum yang membazir" (7:81).
"Mereka (kaum Firaun) berkata, 'Kami meramalkan yang buruk daripada kamu. Jika kamu tidak berhenti, kami akan rejam kamu, dan akan menimpa kamu, daripada kami, azab yang pedih.'
Mereka (tiga utusan Allah) berkata, 'Ramalan kamu adalah bersama kamu, jika kamu diingatkan; tetapi kamu adalah kaum yang membazir'" (36:18-19)."Adakah Kami akan ketepikan Peringatan daripada kamu, kerana kamu adalah kaum yang membazir?" (43:5).
~ Walaupun membazir, Allah tidak ketepikan ayat-ayat-Nya daripada mereka.
~ Penjelasan lanjut mengenai "membazir menurut al-Qur'an" dapat dibaca
di sini.
8.
Kaum yang Bodoh
Terdapat empat kaum yang dikatakan bodoh:
"Dan Kami bawa Bani Israil menyeberangi laut, dan mereka datang kepada satu kaum yang bertekun pada patung-patung yang mereka ada. Berkata, 'Wahai Musa, buatkan untuk kami satu tuhan seperti tuhan-tuhan yang mereka ada.' Berkatalah dia, 'Sesungguhnya kamu adalah kaum yang bodoh (kaum Musa)" (7:138).
"Wahai kaumku, aku tidak minta harta kepada kamu untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah daripada Allah, dan aku tidak akan usir orang-orang yang percaya; sesungguhnya mereka akan temui Pemelihara mereka. Tetapi aku lihat kamu satu kaum yang bodoh (kaum Nuh)" (11:29).
"Apa, adakah kamu datangi lelaki dengan hawa nafsu (syahwat) bukan perempuan? Tidak, kamulah kaum yang bodoh (kaum Lut)" (27:55).
"Dia (Hud) berkata, 'Pengetahuan hanyalah di sisi Allah, dan aku sampaikan kepada kamu apa yang aku diutus dengannya; tetapi aku lihat kamu satu kaum yang bodoh (kaum Ad)'" (46:23).
~ Sila rujuk artikel Bodoh.
9.
Kaum
yang dustakan ayat-ayat Kami atau Allah
Bagi mereka dua persamaan buruk telah dibuat iaitu seperti anjing dan keledai.
"Dan sekiranya Kami hendak, tentu Kami naikkan dia dengannya, tetapi dia kekal (cenderung) kepada bumi, dan ikut keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itu persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka fikirkan" (7:176).
"Satu persamaan yang buruk ialah persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Kami, dan diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan" (7:177)."Persamaan orang-orang yang dibebankan dengan Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti persamaan seekor keledai yang memikul buku-buku yang tebal. Adalah buruk persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Allah. Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim" (62:5).
Mereka turut dikatakan kaum yang jahat, dan dibinasakan dengan kebinasaan yang sebenar-benarnya:
"Dan Kami menolongnya (Nuh) terhadap kaum yang dustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka kesemuanya" (21:77).
"Dan Kami berkata (kepada Musa), 'Pergilah kepada kaum yang dustakan ayat-ayat Kami"; kemudian Kami binasakan mereka dengan kebinasaan yang sebenar-benarnya'" (25:36).
Selain mendustakan ayat-ayat Allah, kaum-kaum didapati juga mendustakan Rasul atau para utusan. Antara ayat yang menjelaskan berbunyi,
"Jika mereka dustakan kamu (Muhammad), sesungguhnya sebelum mereka, kaum Nuh telah dustakan, dan Ad, dan Tsamud," (22:42).
"Kaum Nuh telah dustakan para utusan," (26:105).
"Kaum Lut telah dustakan para utusan" (26:160).
"Telah dustakan sebelum mereka, kaum Nuh, dan Ad, dan Firaun daripada pasak-pasak khemah" (38:12).
"Kaum Nuh, sebelum mereka, telah dustakan, dan golongan-golongan selepas mereka; tiap-tiap umat bermaksud terhadap Rasul mereka, untuk mengambilnya, dan mereka membantah dengan yang palsu untuk menyangkal yang benar dengannya. Kemudian Aku ambil mereka; dan bagaimanakah dengan balasan-Ku!" (40:5).
"Telah dustakan sebelum mereka, kaum Nuh, dan penduduk Ras, dan Tsamud" (50:12).
"Dan penduduk Aikah, dan kaum Tubba. Masing-masing dustakan Rasul-Rasul, dan ancaman-Ku menjadi wajar" (50:14).
Pertemuan di akhirat, dan amaran-amaran Allah, turut telah didustakan:
"Berkata pembesar-pembesar, orang-orang tidak percaya daripada kaumnya, yang dustakan pertemuan di akhirat, dan kepadanya Kami beri kesenangan dalam kehidupan dunia, 'Tiadalah ini, melainkan seorang manusia yang serupa dengan kamu, yang makan apa kamu makan, dan minum apa kamu minum'" (23:33).
"Kaum Lut dustakan amaran-amaran" (54:33).
10. Kaum yang Jahat
"Dan Lut, kepadanya kami beri Putusan, dan pengetahuan; dan Kami selamatkan dia daripada bandaraya yang buat pekerjaan keji; mereka adalah kaum yang jahat, fasiq" (21:74).
"Dan Kami menolongnya (Nuh) terhadap kaum yang dustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya mereka adalah kaum yang jahat, maka Kami tenggelamkan mereka kesemuanya" (21:77).
"Tidak, tetapi kamu sangka Rasul (Muhammad) dan orang-orang mukmin tidak akan balik (dari medan perang) kepada keluarga mereka selama-lamanya, dan itu dinampakkan indah di dalam hati kamu, dan kamu sangka dengan sangkaan buruk, dan kamulah kaum yang jahat" (48:12).
Kaum yang jahat termasuk kaum Muhammad!
11. Kaum
yang Melampaui Batas
"Kami tidak ada kuasa terhadap kamu; tidak, kamulah kaum yang melampaui batas." (37:30)
~ Pertengkaran di akhirat antara orang-orang yang diikuti dengan mereka yang mengikuti."Apa, adakah mereka saling berwasiat dengannya? Tidak, tetapi mereka adalah kaum yang melampaui batas" (51:53).
~ Mereka tidak saling berwasiat dengan apa yang disampaikan Rasul, malah mereka mengatakan bahawa Rasul adalah seorang ahli sihir, atau seorang yang dirasuk."Atau, adakah intelek mereka yang menyuruh mereka buat yang ini? Atau, adakah mereka kaum yang melampaui batas?" (52:32).
~ Perhatikan perkataan intelek. Kaum intelek yang melampaui batas!
12.
Kaum yang Allah Murkai
Orang-orang yang percaya tidak menjadikan kaum yang Allah murkai sebagai para sahabat. Mereka bersumpah bohong sedang mereka mengetahuinya, dan kerana mereka orang-orang tidak percaya, mereka berputus asa daripada akhirat:
"Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang jadikan, sebagai sahabat-sahabat, satu kaum yang Allah murkai? Mereka bukanlah daripada kamu, dan bukan juga daripada mereka; dan mereka bersumpah bohong, sedang mereka mengetahuinya" (58:14).
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah jadikan sahabat suatu kaum yang terhadap mereka Allah memurkai, dan yang berputus asa daripada akhirat, sebagaimana orang-orang tidak percaya berputus asa, daripada penghuni-penghuni kubur" (60:13).
Demikian senarai kaum tidak dirahmati Allah yang disebut lebih sekali di
dalam al-Qur'an, sementara yang disebut hanya sekali adalah seperti berikut:
Kaum yang menghalangi daripada Masjidil Haram adalah dibenci tetapi kebencian itu tidak harus membawa kepada perbuatan mencabul, tetapi bersikap tolong-menolong dalam ketaatan dan takwa, bukan dalam membuat dosa dan permusuhan (5:2).
Kaum yang buta, seperti kaum Nuh, telah bukan sahaja mendustakannya malah ayat-ayat Allah jua, lalu mereka ditenggelamkan (7:64),
Kaum yang rugi beberasa aman terhadap tipu daya Allah (7:99),
Kaum yang dihina (Bani Israil) telah diwariskan Allah semua yang di timur dan barat bumi yang diberkati-Nya kerana mereka sabar, sementara kerja-kerja Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka bangunkan telah dibinasakan (7:137),
Kaum yang bertekun pada patung-patung telah ditemui oleh Bani Israil setelah mereka menyeberangi laut, dibawa oleh Nabi Musa (7:138),
Kaum yang Allah akan musnahkan harus juga ditegur sebagai alasan kepada Allah, dan supaya mereka bertakwa (7:164),
Kaum yang tidak tahu adalah sebahagian daripada orang-orang yang sekutukan yang meminta perlindungan (semasa perang), dan mereka harus diberi perlindungan sambil didengarkan perkataan-perkataan Allah sebelum mereka disampaikan di tempat yang aman bagi mereka (9:6),
Kaum yang mungkiri sumpah-sumpah mereka harus diperangi, dan tidak berasa takut terhadap mereka kerana yang harus ditakuti adalah hanya Allah (9:13),
Kaum yang takut adalah orang-orang fasiq yang bersumpah bahawa mereka adalah daripada orang-orang yang percaya tetapi mereka bukan daripada orang-orang yang percaya (9:56),
Kami adalah kaum yang kena sihir, atau Penglihatan kami telah dikaburkan, adalah kata-kata orang-orang tidak percaya apabila sekiranya Allah bukakan kepada mereka sebuah pintu di langit, dan mereka terus naik ke dalamnya (15:15),
Kaum paling degil diberi amaran dengan al-Qur'an yang dimudahkan Allah dengan bahasa Rasul (19:97),
Kaum yang tinggi adalah nama panggilan bagi Firaun dan pembesar-pembesarnya yang sombong (23:46),
Kaum yang keji dan bapa-bapa mereka diberi Allah kesenangan hidup, tetapi mengambil pelindung-pelindung selain daripada-Nya, dan mereka melupakan Peringatan (25:18),
Kaum yang derhaka adalah kaum Lut, yang tinggalkan isteri-isteri yang Pemelihara mereka ciptakan untuk mereka (26:166),
Kaum yang diuji, Tsamud kaum Salleh, telah meramalkan yang buruk daripadanya dan orang-orang bersamanya setelah baginda menyuruh menyembah Allah dan minta ampun kepada -Nya (27:47),
Kaum yang menyetarakan-Nya telah ditanya siapa yang cipta langit dan bumi, turunkan air dari langit, tumbuhkan dengannya taman-taman yang dipenuhi keindahan, dan pohon-pohonnya mereka tidak dapat tumbuhkan - adakah tuhan selain Allah? (27:60),
Kaum yang buat kerosakan adalah kaum Lut, dan baginda telah memohon kepada Allah supaya dapat menolongnya terhadap kaumnya (29:30) dan,
Kaum yang suka bertengkar adalah kaum Muhammad yang membantah dengan soalan tidak wajar seperti sama ada tuhan-tuhan mereka lebih baik atau Mariam, yang dijadikan sebagai contoh oleh baginda (43:58).
Tidak mustahil didapati, kalau tidak semua tetapi kebanyakan daripada sifat di
atas menjadi pakaian bagi suatu kaum yang tidak dirahmati Allah.
~ Bersambung
26 Mei 2013
Sebelum
Nabi Muhammad
Rasul-Rasul sebelum Nabi Muhammad telah diutus kepada kaum-kaum mereka sendiri, dan berita mereka tidak diketahui oleh baginda mahupun kaum baginda sebelum al-Qur'an diturunkan. Berita mereka adalah bukan berita gembira kerana mereka berdosa terhadap ayat-ayat Allah, atau bukti-bukti yang jelas, yang didatangkan kepada mereka. Itu difahamkan daripada ayat-ayat pertama yang menjadi sajian di halaman ini, seperti berikut:
"Sesungguhnya, Kami telah utus sebelum kamu (Muhammad) Rasul-Rasul kepada kaum mereka, dan mereka datangkan kepada mereka bukti-bukti yang jelas; kemudian Kami lepaskan dendam kepada orang-orang yang berdosa; dan menjadi kewajipan kepada Kami menolong orang-orang mukmin." (30:47)
"Tidakkah datang kepada kamu berita orang-orang sebelum kamu (Muhammad) - kaum Nuh, dan Ad, dan Tsamud, dan kaum Ibrahim, dan penduduk Madyan, dan negeri-negeri yang telah musnah? Rasul-Rasul mereka telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas; Allah tidak menzalimkan mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan." (9:70)
"Itu adalah daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kamu; kamu tidak mengetahuinya, dan tidak juga kaum kamu sebelum ini. Maka sabarlah; kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang bertakwa." (11:49)
"Itu" di ayat ketiga, bermaksud berita mengenai Nabi Nuh yang panjang lebar diceritakan, bermula dari baginda diutus hingga ke kejadian banjir besar, termasuk cerita anak lelakinya, yang dapat dibaca mulai ayat 11:25 hingga 11:48.
Bagaimanakah mereka boleh tidak tahu, sedangkan cerita Nabi Nuh, dan yang lain, sudah lama tersiar melalui Kitab-Kitab sebelum al-Qur'an atau dibawa dari mulut ke mulut? Adakah kerana kedudukan kaum Muhammad yang jauh terpencil, lalu mereka menjadi jahil?
Namun begitu, pada berita-berita tersebut terserlah juga berita gembira mengenai orang-orang mukmin dan orang-orang bertakwa.
Pembesar-Pembesar
Daripada berita-berita ghaib yang Allah wahyukan Muhammad dan kaumnya dapat mereka fahamkan bahawa Rasul-Rasul yang membawa bukti-bukti yang jelas telah ditentang, terutamanya oleh pembesar-pembesar kaum mereka yang tentu termasuk ketua-ketua agama.
Pembesar-pembesar kaum Nuh yang tidak percaya, misalannya, menyatakan dia (Nuh) hanya seorang manusia seperti mereka, tidak mempunyai sebarang kelebihan, menuduhnya sebagai sesat, berdusta, dan bahawa para pengikutnya terdiri daripada orang-orang paling hina, dan bodoh. Mereka juga mensyakinya cuba menjadi orang lebih tinggi daripada mereka, selain didapati mengejek pula. Demikian diberitakan daripada ayat-ayat-Nya di bawah:
"Berkata pembesar-pembesar kaumnya (Nuh), "Kami lihat kamu dalam kesesatan yang nyata." (7:60)
"Maka berkatalah pembesar-pembesar daripada orang-orang tidak percaya daripada kaumnya (Nuh), 'Kami tidak lihat kamu selain daripada seorang manusia yang serupa dengan kami, dan kami tidak lihat mana-mana yang ikut kamu melainkan yang paling hina antara kami, dengan tanpa pertimbangan. Kami tidak lihat kamu mempunyai terhadap kami sebarang kelebihan; tidak, tetapi kami sangka kamu adalah pendusta-pendusta.'" (11:27)
"Berkata pembesar-pembesar daripada orang-orang tidak percaya daripada kaumnya (Nuh), 'Tiadalah ini, melainkan seorang manusia yang serupa dengan kamu, yang hendak menjadi lebih tinggi daripada kamu, dan jika Allah hendaki, tentu Dia turunkan malaikat-malaikat. Kami tidak pernah dengar yang ini pada bapa-bapa kami yang terdahulu.'" (23:24)
"Dan dia (Nuh) buat kapal; dan setiap kali pembesar-pembesar kaumnya melaluinya, mereka mengejeknya. Berkata, "Jika kamu ejek kami, sungguh, kami akan ejek kamu sebagaimana kamu ejek,'" (11:38).
Selanjutnya dalam
berita-berita ghaib tersebut, Muhammad dan kaumnya diberitahu mengenai sifat dan
apa dikatakan oleh pembesar-pembesar kaum-kaum lain seperti Hud, Salleh dan
Shuaib:
"Berkata pembesar-pembesar yang tidak percaya daripada kaumnya (Hud), "Kami lihat kamu dalam kebodohan, dan kami sangka kamu adalah daripada pendusta-pendusta.'" (7:66)
"Berkata pembesar-pembesar kaumnya (Salleh) yang sombong kepada orang-orang antara mereka yang percaya, yang dianggap orang-orang hina, 'Adakah kamu tahu bahawa Salleh seorang utusan daripada Pemeliharanya?' Mereka berkata, 'Pada apa yang dia diutus dengannya, kami adalah orang-orang mukmin.'" (7:75)
"Berkata pembesar-pembesar kaumnya yang sombong, 'Sungguh, kami akan usir kamu, wahai Shuaib, dan orang-orang yang percaya bersama kamu daripada bandaraya kami, atau kamu kembali kepada anutan kami.' Dia berkata, 'Apa, walaupun kami membencinya?'" (7:88)
"Berkata pembesar-pembesar kaumnya yang tidak percaya, "Sungguh, jika kamu ikut Shuaib, jika demikian, tentulah kamu orang-orang yang rugi.'" (7:90)
Saksikan bahawa sifat sombong, menghina orang-orang yang percaya, dan mengugut, telah menjadi pakaian pembesar-pembesar tersebut. Dan hari ini?
Pembesar-pembesar kaum Firaun pun turut diceritakan, dan didapati sombong juga.
Mereka menghasut Firaun supaya tidak membiarkan Musa dan kaumnya buat kerosakan di bumi dengan meninggalkan tuhan-tuhannya. Antara cerita mengenai
mereka dapat diketahui daripada empat ayat berikut:
"Berkata pembesar-pembesar kaum Firaun, 'Sesungguhnya ini (Musa) seorang ahli sihir yang alim (mahir),'" (7:109)
"Kemudian berkata pembesar-pembesar kaum Firaun, 'Adakah kamu akan tinggalkan Musa dan kaumnya untuk buat kerosakan di bumi, dan tinggalkan kamu dan tuhan-tuhan kamu?' Berkata, 'Kita akan bunuh anak-anak lelaki mereka, dan biarkan hidup perempuan-perempuan mereka; sesungguhnya kitalah yang menakluki mereka!'" (7:127)
"Kemudian Kami bangkitkan selepas mereka Musa dan Harun kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya dengan ayat-ayat Kami, tetapi mereka sombong, dan mereka adalah kaum yang berdosa." (10:75)
"Kemudian Kami utus Musa dan saudaranya Harun dengan ayat-ayat Kami, dan satu kuasa yang nyata,
Kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya, tetapi mereka sombong, dan mereka adalah kaum yang tinggi." (23:45-46)
Mereka didapati tidak percayai apa yang diutus kepada Nabi Musa. Hanya satu keturunan daripada kaum Musa sahaja yang telah mempercayainya, sementara yang lain di Mesir tidak, kerana takut dianiayai oleh Firaun dan pembesar-pembesarnya:
"Maka tiada yang percaya kepada Musa, kecuali satu keturunan daripada kaumnya, kerana takut pada Firaun dan pembesar-pembesar mereka, bahawa mereka akan aniaya mereka; dan Firaun tinggi di bumi, dan dia termasuk orang-orang yang membazir (berlebihan)." (10:83)
Kaum-kaum tersebut telah diberi amaran,
dan kemudian menerima padahnya. Sedikit mengenai kaum Firaun iaitu Arab-Mesir -
adalah difahamkan, apabila Mesir melantik Presidennya yang
pertama pada tahun 1953, beliau merupakan orang Arab-Mesir pertama menjadi pemerintah
negara sejak Firaun dihapuskan kira-kira 3000 tahun sebelum itu. Kaum Firaun telah diganti kaum lain sebagai pewaris
bumi Mesir:
"Mereka (kaum Firaun) tinggalkan berapa banyaknya taman (jannah), dan mata air,
Dan ladang-ladang yang telah disemai, dan betapa mulianya medan,
Dan kemewahan mereka bergembira di dalamnya,
Begitulah; dan Kami wariskannya kepada kaum yang lain." (44:25-28)
Muhammad Diutus
Semua kaum diberi amaran supaya mereka mendapat petunjuk, mengingati, dan tidak lalai daripada ayat-ayat Allah. Mana yang belum Allah akan utus seseorang, seperti Muhammad diutus, kepada kaum yang tidak pernah didatangi seorang pemberi amaran:
"Kamu (Muhammad) tidak berada di tepi Gunung ketika Kami panggil (Musa); tetapi kerana satu pengasihan daripada Pemelihara kamu, supaya kamu beri amaran kepada kaum yang kepadanya tiada pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka mengingati." (28:46)
"Atau, adakah mereka berkata, 'Dia (Muhammad) mengada-adakannya'? Tidak, ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, supaya kamu beri amaran kepada kaum yang kepadanya tiada seorang pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka dapat petunjuk." (32:3)
"Supaya kamu beri amaran kepada kaum yang bapa-bapa mereka tidak diberi amaran, lalu mereka lalai." (36:6)
Kaum Muhammad tidak pernah diberi amaran sebelum al-Qur'an diturunkan, dan baginda telah juga dituduh mengada-adakan Kitab tersebut.
Baginda didapati pula bukan sahaja diutus kepada kaumnya malah menjadi seorang pemberi amaran, dan seorang pemberi petunjuk bagi tiap-tiap kaum di dunia. Termasuk kaum jin?
"Orang-orang tidak percaya berkata, 'Mengapa satu ayat (mukjizat) tidak diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?' Kamu hanyalah seorang pemberi amaran, dan seorang pemberi petunjuk bagi tiap-tiap kaum." (13:7)
Demikian itu sejajar dengan sebuah firman lain berbunyi, "Kami tidak utus kamu melainkan sebagai satu pengasihan kepada semua alam." (21:107)
Seperti Rasul-Rasul sebelum baginda, Muhammad diutus kepada
kaum dengan bahasa kaumnya, supaya
apa yang disampaikan menjadi jelas, kemudian atas Allah untuk menyesatkan atau
memberi petunjuk kepada orang-orang Dia hendaki:
"Dan Kami tidak utus seseorang Rasul melainkan dengan lisan (bahasa) kaumnya supaya dia menjelaskan kepada mereka; kemudian Allah sesatkan sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana." (14:4)
Kaum Muhammad adalah orang Arab memandangkan Kitab yang dibawanya berbahasa Arab - "Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang tahu," (41:3), dan baginda selanjutnya dikatakan berasal daripada puak Quraisy yang disebut dalam Surah 106. (Mengenai orang Arab ia telah dibincang dalam artikel ARAB di dalam al-Qur'an dan Kaumku di 25:30. Apa yang disebut di sini adalah berita yang hanya didapati daripada ayat-ayat mengandungi perkataan kaum sahaja. Harap maklum.)
Dan mereka tahu bahawa Kitab itu, atau Peringatan, akan jadi perkara yang ditanya pula pada Hari Kiamat. Firman Allah,
"Sesungguhnya ia adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu; dan sungguh, kamu akan ditanya." (43:44)
Bagi kaum Muhammad al-Qur'an adalah dalam bahasa Arab. Bagi kaum lain pula al-Qur'an diterjemah ke dalam bahasa kaum masing-masing, dengan izin Allah. Penterjemahan Kitab-Nya sudah menjadi perlu seperti al-Qur'an itu sendiri, yang didapati banyak ayat berupa terjemahan kepada bahasa-bahasa para Rasul dan Nabi sebelum Muhammad.
Kemudian didapati al-Qur'an dibaca dan didengarkan kepada bukan sahaja kaum Muhammad malah kepada kaum jin
jua:
"Dan apabila Kami palingkan kepada kamu sekumpulan jin untuk mendengarkan al-Qur'an; dan apabila mereka menghadirinya, mereka berkata, 'Diamlah!' Kemudian, apabila ia telah selesai, mereka berpaling kepada kaum mereka, memberi amaran.
Mereka berkata, 'Wahai kaum kami, kami telah dengar sebuah Kitab yang diturunkan selepas Musa, mengesahkan apa yang sebelumnya, beri petunjuk pada yang benar dan pada jalan lurus.
Wahai kaum kami, sahutlah penyeru Allah, dan percayalah kepada-Nya, dan Dia akan ampun kamu atas kesalahan-kesalahan kamu, dan Dia akan lindung kamu daripada azab yang pedih.'" (46:29-31)
Maka kaum jin turut faham bahasa Arab! Bagaimanakah pula dengan kaum jin yang berbahasa Melayu, jika ada?
Kaum Muhammad
Kaum Muhammad didapati tidak jauh berbeza dengan kaum-kaum terdahulu. Mereka dustakan ayat-ayat Allah, seperti kaum Nuh dan lain disebut di bawah ini, yang dibenci-Nya:
"Kaum kamu dustakannya, padahal ia adalah yang benar." (6:66)
"Jika mereka dustakan kamu, sesungguhnya sebelum mereka, kaum Nuh telah dustakan, dan Ad, dan Tsamud,
Dan kaum Ibrahim, dan kaum Lut,
Dan penduduk Madyan; dan Musa didustakan juga. Dan Aku tangguhkan orang-orang tidak percaya, kemudian Aku ambil mereka; dan bagaimanakah dengan kebencian-Ku?" (22:42-44)
Dan,
mereka didapati menghalangi pula antara ayat-ayat Allah yang dibacakan kepada
mereka:
"Dan apabila putera Mariam dijadikan satu contoh, tiba-tiba kaum kamu menghalanginya," (43:57)
Yang halangi mereka ialah syaitan, dan apa yang mereka sembah selain daripada Allah, seperti Ratu Sabak dan kaumnya dihalang daripada mendapat petunjuk daripada Allah untuk menjadi kaum yang tidak percaya (kafir):
"Aku dapati dia (Ratu Sabak) dan kaumnya sujud kepada matahari, selain daripada Allah; syaitan menampakkan indah amalan-amalan mereka bagi mereka, dan ia halangi mereka daripada jalan, maka mereka tidak dapat petunjuk," (27:24)
"Tetapi apa yang dia (Ratu Sabak) sembah, selain daripada Allah, menghalanginya, kerana dia adalah daripada kaum tidak percaya (kafir)." (27:43)
Dan,
kejadian
buruk yang disebut di bawah ini memburukkan lagi nama kaum Muhammad, kerana ia dikatakan berkait dengannya, iaitu mengenai anak
perempuan yang baru dilahirkan kepada seseorang daripada ahli kaumnya.
Kedatangan bayi perempuan itu menjadi berita buruk, sehingga bapanya sanggup
menginjakkannya ke dalam tanah, atau membesarkannya dengan hina atau dihina oleh
kaumnya:
"Dan apabila seseorang daripada mereka diberi berita gembira dengan seorang (anak) perempuan, mukanya jadi hitam, dan dia tercekik di dalam dirinya,
Sambil dia sembunyikan diri daripada kaum kerana keburukan berita gembira kepadanya; sama ada dia akan peliharanya dengan hina, atau dia injakkannya ke dalam tanah. Alangkah jahat apa yang mereka putuskan!" (16:58-59)
Tambahan pula, telah disebut di Bahagian II bahawa kaum Muhammad adalah (i) kaum yang tidak faham, (ii) kaum yang jahat, dan (iii) kaum yang suka bertengkar.
Ayat-ayat lain mengenai kaum
Arab di sekeliling Muhammad menjadi catatan selanjutnya di sini. Bermula dengan
ayat berbunyi,
"Orang-orang tidak percaya berkata, 'Ini (al-Qur'an) tidak lain kecuali fitnah yang dia (Muhammad) ada-adakan, dan kaum yang lain membantunya." Maka mereka mendatangkan kezaliman dan dusta.
Mereka berkata, "Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia tulis, diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang.'" (25:4-5)
Mereka adalah zalim dan berdusta, kerana mengatakan baginda telah berfitnah atas al-Qur'an, dan bahawa kaum lain telah membantu baginda dalam penulisannya!
Kaum lain, atau bukan Arab, telah dituduh membantu Muhammad dalam menghasilkan al-Qur'an, sedangkan kaum yang lain juga telah sebenarnya mengelirukan perkataan-perkataan al-Qur'an daripada makna-maknanya:
"Wahai Rasul, janganlah mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak percayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya," (5:41).
Mereka (kaum Muhammad) turut didapati berpaling
apabila dipanggil untuk pergi berperang. Mereka berpaling kerana takut mati:
"Katakanlah kepada orang-orang Arab yang ditinggalkan, 'Kamu akan diseru terhadap kaum yang mempunyai kekuatan yang sangat untuk memerangi mereka, atau mereka tunduk patuh. Jika kamu taati, Allah akan beri kamu upah yang baik; tetapi jika kamu berpaling, sebagaimana kamu telah berpaling dahulu, Dia akan azab kamu dengan azab yang keras.'" (48:16)
"Kemudian sejurus setelah perang dituliskan bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka akan takut kepada Allah, atau lebih takut ........
Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun kamu berada di dalam menara-menara yang dibangunkan. Jika yang baik menimpa mereka, mereka berkata, 'Ini daripada Allah'; tetapi jika keburukan menimpa mereka, mereka berkata, 'Ini daripada kamu.' Katakanlah, 'Semuanya daripada Allah.' Bagaimanakah dengan kaum ini? Mereka hampir-hampir tidak faham sebarang hadis." (4:77-78)
Mereka mengatakan segala yang baik yang menimpa mereka dalam peperangan adalah daripada Allah, tetapi yang buruk, mereka katakan datang daripada Muhammad. Mereka tidak faham bahawa semua, buruk dan baik yang menimpa dalam peperangan, adalah daripada Allah.
Demikian berita mengenai kaum Arab yang berada di sekeliling Nabi Muhammad. Di akhirat, baginda mengadu kepada Allah bahawa kaumnya telah mengambil al-Qur'an sebagai suatu yang tidak dipedulikan:
"Rasul berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan.'" (25:30)
Perang Antara Kaum
Dalam peperangan, kaum yang memerangi, lazimnya daripada orang-orang tidak percaya atau munafik, adalah dikejar, tanpa mengira sakit yang akan menimpa kerana kesakitan yang sama akan menimpa mereka. Tapi mereka tidak dapat mengharapkan sesuatu daripada Allah:
"Jangan lemah dalam mengejar kaum itu. Jika kamu derita sakit, mereka juga derita sakit, sebagaimana kamu derita sakit, tapi kamu harapkan daripada Allah apa yang mereka tidak dapat harapkan; Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:104)
Terdapat pula kaum lain yang menkhianati, misalan melanggar perjanjian yang telah dibuat. Bagi mereka, dibalas dengan yang serupa mereka lakukan dalam pengkhianatan mereka semasa berperang dengan mereka:
"Dan jika kamu takut akan pengkhianatan daripada satu kaum, maka lemparkanlah kepada mereka yang sama; sesungguhnya Allah tidak suka pengkhianat-pengkhianat." (8:58)
Daripada ayat-ayat peperangan antara kaum terdapat beberapa perkara yang harus
diperhatikan. Misalan, orang-orang munafik yang inginkan orang-orang yang percaya menjadi tidak percaya
seperti mereka, dan mereka tidak
berhijrah
di jalan Allah, adalah diambil dan dibunuh di mana sahaja
mereka didapati kecuali,
yang pergi kepada satu kaum yang berhubungan dengan orang mukmin dengan satu perjanjian, atau datang kepada orang mukmin dengan dada berasa sesak daripada memerangi orang mukmin, atau memerangi kaum mereka, dan mereka tidak memerangi sambil melemparkan perdamaian (4:89-90),
dan yang lain yang hendakkan aman daripada orang mukmin, dan aman daripada kaum mereka, serta berundur dan melemparkan perdamaian kepada orang mukmin, dan menahan tangan-tangan mereka (4:91).
Lagi difahamkan iaitu apabila seseorang mukmin membunuh seorang mukmin lain dengan silap maka dia hendaklah:
merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka sedekahkannya,
jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan orang mukmin, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan
jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan orang mukmin dengan perjanjian, maka ganti rugi dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan merdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak dapatkan, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut (4:92).
Demikian itu adalah suatu taubat daripada perintah Allah.
Mengenai orang-orang yang percaya tetapi belum lagi berhijrah, maka bagi orang-orang mukmin (yang berhijrah dan orang-orang yang menolong mereka) tidak ada kewajipan persahabatan untuk melindungi mereka sedikit pun, sehingga mereka berhijrah. Akan tetapi, jika mereka minta pertolongan, demi agama, mereka hendaklah ditolong terhadap kaum yang bermusuhan dengan mereka, kecuali terhadap kaum yang terikat dengan perjanjian dengan orang-orang mukmin tersebut (8:72).
Aman dan Benci
Dalam keadaan aman daripada peperangan pula, permusuhan antara kaum tidak menjadi ketara atau jelas, tetapi kebencian mungkin tetap wujud. Kebencian terhadap sesuatu kaum (yang tidak hanya bermaksud bangsa tetapi sesuatu golongan manusia) tidak dapat dielakkan. Mungkin kerana sifat sombong, angkuh, tidak berterima kasih, dan lain yang menjadi basahan mereka.
Justeru, Allah mengingatkan orang-orang yang percaya kepada-Nya, walaupun mereka membenci, mereka harus berlaku adil, kerana amalan itu amat dekat dengan sifat takwa:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan di hadapan Allah, saksi-saksi untuk keadilan. Janganlah kebencian pada kaum mendesak kamu untuk tidak berlaku adil; berlakuadillah, itu lebih dekat dengan takwa. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat." (5:8)
Tercatat pula satu jenis
kebencian, iaitu kebencian
terhadap suatu kaum yang menghalangi daripada Masjidil Haram. Pada hari ini
penghalangan tersebut terlukis pada larangan mengunjunginya pada bulan-bulan
haji atau bulan-bulan haram yang lain. Tiada sebab diketahui, kecuali terdengar
satu bisikan menyatakan pihak berkuasa di situ memerlukan masa (tiga bulan!)
untuk membersihkan kawasan selepas musim haji.
Penghalangan dimaksudkan itu jelas tersurat pada firman berbunyi,
"Jangan kerana kebencian pada suatu kaum yang halangi kamu daripada Masjidil Haram, mendesak kamu untuk mencabul. Tolong-menolonglah kamu dalam ketaatan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam buat dosa, dan permusuhan. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam balasan-Nya." (5:2)
Syukurlah, tiada perbuatan mencabul dapat dilihat atas tindakan tersebut, tetapi hanya kerjasama dalam ketaatan dan takwa yang dirasai sedang diusahakan demi kesejahteraan tempat itu yang menjadi salah satu daripada tanda Allah.
Larangan mengejek sesuatu kaum pun
terakam di dalam al-Qur'an, misalan mengejek perempuan-perempuan mereka, atau menghina mereka dengan nama-nama gelaran.
Mereka yang melakukannya harus bertaubat:
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah sesuatu kaum mengejek kaum yang lain, yang mungkin lebih baik daripada mereka; dan jangan juga perempuan-perempuan memperolok-olokkan perempuan-perempuan yang mungkin lebih baik daripada mereka. Dan jangan mencari kesilapan sesama sendiri, dan jangan juga menghina satu sama lain dengan nama-nama gelaran. Satu nama yang buruk ialah fasiq setelah iman. Dan sesiapa tidak bertaubat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim." (49:11)
Selanjutnya, sesuatu kaum tidak harus ditimpakan sesuatu oleh kerana sesuatu berita yang didengar
daripada orang-orang fasiq. Segala berita yang diterima harus diteliti, supaya
tindakan yang diambil tidak menjadi suatu yang dikesali kemudian. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, jika orang fasiq datang kepada kamu dengan satu berita, maka telitilah supaya kamu tidak timpa satu kaum dalam kejahilan, dan kemudian jadi sesal daripada apa kamu buat." (49:6)
Mungkin berita yang diterima itu satu fitnah, yang sudah menjadi seperti suatu sarapan di sini, kerana kelihatan seolah tidak ada langsung hukuman bagi pemfitnah, sedangkan di sisi Allah perbuatan itu amat besar, lebih besar daripada kejahatan membunuh orang.
Selain itu terhadap kaum lain, iaitu kaum yang tidak
mengharapkan sesuatu daripada hari-hari Allah, seperti hari akhirat, mereka harus diampunkan
oleh orang-orang yang percaya. Biar Allah sahaja yang
membalas perbuatan jahat mereka:
"Katakanlah kepada orang-orang yang percaya, bahawa mereka ampunkan orang-orang yang tidak mengharapkan hari-hari Allah, supaya Dia balas kaum atas apa yang mereka usahakan.
Sesiapa buat kerja-kerja baik, ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa buat jahat, ia adalah terhadapnya sendiri; kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu akan dikembalikan." (45:14-15)
Ingatlah, bahawa amat susah mendapatkan sesuatu kaum yang
beriman, kecuali kaum Yunus, menurut berita daripada Allah seperti berikut:
"Mengapakah tidak ada sebuah bandaraya yang percaya, dan imannya bermanfaat kepadanya, melainkan kaum Yunus; apabila mereka percaya, Kami hilangkan daripada mereka azab kerendahan dalam kehidupan dunia, dan Kami beri kesenangan mereka untuk suatu waktu." (10:98)
"Kemudian Kami utus dia (Yunus) kepada seratus ribu, atau lebih,
Dan mereka percaya; maka Kami beri mereka kesenangan untuk suatu waktu." (37:147-148)
Balasan ke atas kaum yang percaya dan beriman ialah dihilangkan azab kerendahan dalam kehidupan dunia, atau menjadi tinggi di dunia, dengan kesenangan yang diberi Allah.
Kaum Diganti dan Dihapus
Andaikata terdapat sesuatu kaum yang diberi Kitab tetapi tidak percaya kepadanya maka Allah akan menggantinya dengan kaum lain yang akan mempercayai-Nya pula. Ayat di bawah menjelaskan:
"Mereka itulah orang-orang yang kepada mereka kami beri Kitab, dan Putusan, dan Kenabian. Jika mereka tidak percaya kepadanya, Kami amanahkannya kepada suatu kaum yang bukanlah orang-orang tidak percaya kepadanya." (6:89)
Maka adalah diharapkan iaitu Kitab yang diberi kepada kaum kita akan jadi kekal berada di tangan kita.
Beberapa kaum telah dihapuskan sama sekali dan diganti kaum lain, seperti berlaku
kepada Ad, kaum Hud, yang menyangkal ayat-ayat Allah dan mengikuti
perintah setiap penguasa yang degil (11:59).
Sebelum berlaku, Hud telah memberi amaran berbunyi,
"Tetapi jika kamu berpaling, aku (Hud) telah sampaikan kepada kamu apa yang aku diutus dengannya kepada kamu, dan Pemeliharaku akan jadikan satu kaum yang selain daripada kamu, pengganti-pengganti; kamu tidak akan mudaratkan-Nya sedikit pun. Pemeliharaku Penjaga atas segala sesuatu." (11:57)
Dan ia boleh berlaku pada hari ini, seperti sudah lama terjadi ke atas banyak bandaraya pada masa lampau. Amaran mengenainya sudah diberi berbunyi,
"Pemelihara kamu ialah Yang Kaya, Berpengasihan. Jika Dia hendaki, Dia hapuskan kamu, dan sesudah kamu, unuk menggantikan kamu, apa yang Dia hendaki, sebagaimana Dia tumbuhkan kamu daripada keturunan kaum yang lain." (6:133)
"Berapa banyaknya bandaraya yang zalim yang Kami jadikan berkecai, dan Kami tumbuhkan selepasnya kaum yang lain!" (21:11)
Atau, sesuatu kaum
ditukar dengan kaum lain, yang merupakan suatu azab daripada Allah, atas kesalahan enggan berperang di jalan Allah, atau enggan
membelanjakan di jalan Allah misalan belanja untuk menyampai atau menyebarkan ayat-ayat-Nya:
"Jika kamu tidak pergi (berperang), Dia akan azab kamu dengan azab yang pedih, dan Dia akan tukar kamu dengan kaum yang lain; dan kamu tidak akan mudaratkan-Nya sedikit pun, kerana Allah berkuasa atas segala sesuatu." (9:39)
"Hai, kamu ini; kamu diseru untuk nafkahkan di jalan Allah, dan antara kamu ada orang yang kikir. Sesiapa yang kikir, dia kikir hanyalah terhadap dirinya sendiri. Allah Yang Kaya; kamu yang fakir (berkeperluan). Jika kamu berpaling, Dia akan tukar kamu dengan kaum yang selain daripada kamu, kemudian mereka tidaklah yang serupa dengan kamu." (47:38)
Kaum yang mengganti adalah tidak serupa, yang mungkin lebih baik atau lebih jahat. Apapun, apabila keburukan sudah ditetapkan atau dijatuhkan ke atas sesuatu kaum ia tidak dapat ditarik balik dan kaum itu akan mendapati tiada sebarang pelindung, selain daripada Allah, yang akan melindungi mereka daripada azab yang menimpa. Firman-Nya,
"Dan jika Allah hendakkan keburukan bagi satu kaum, tidaklah ada pengembaliannya; selain daripada-Nya, mereka tidak ada pelindung." (13:11)
Ubah dan Harapan
Rahmat yang dikurniakan ke atas sesuatu kaum tidak akan berubah sehingga mereka ubah apa yang ada pada diri-diri mereka sendiri. Itu janji Allah,
"Itu adalah kerana Allah tidak akan ubah rahmat-Nya yang Dia anugerahkan satu kaum sehingga mereka ubah apa yang ada pada diri-diri mereka sendiri; dan sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui." (8:53)
"Allah tidak ubah apa yang di dalam satu kaum sehingga mereka ubah apa yang di dalam diri-diri mereka sendiri." (13:11)
Justeru, pada hari ini, kita
hanya mengharapkan pihak tertentu tidak menukar rahmat Allah yang diberi dengan
ketidakpercayaan (kekafiran) dan sekali gus tidak menempatkan kaum kita di
tempat tinggal yang akan binasa. Dan akhir sekali, kita mengharapkan juga bahawa
Allah tidak sesatkan kaum kita setelah Dia beri petunjuk al-Qur'an yang
menjelaskan segala apa yang kita patut takwakan.
"Tidakkah kamu lihat orang-orang yang menukar rahmat Allah dengan ketidakpercayaan (kekafiran), dan menempatkan kaum mereka di tempat tinggal kebinasaan?" (14:28)
"Allah tidak akan sesatkan satu kaum setelah Dia beri mereka petunjuk, sehingga Dia jelaskan kepada mereka apa yang mereka patut takwakan; sesungguhnya Allah tahu segala sesuatu." (9:115)
Demikian bunyi dua Peringatan daripada Allah untuk mengakhiri coretan kali ini.
Allah disanjung!
Sila rujuk kalimat
Kaum.
Terima kasih.
Penulis Bacaan
5 Jun 2013
Artikel /
English
Articles
Halaman Utama Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis
kepada
Pengurus Laman