Debu dalam Suci

 

Buku kecil berjudul "Anti Hadith: Lemas Dalam Sejengkal Air" karangan Mohd.Nakhaie Haji Ahmad adalah dirujuk. Terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS/JAKIM) ini telah diedar kepada orang ramai pada hari sambutan Maal Hijrah 1417 (1996).

Karangan yang bertujuan untuk mencemuh golongan yang berpegang pada Al-Qur'an itu sebaliknya pula telah mendedahkan pegangan penulisnya yang berhalakan manusia, bukan Allah, dalam agama. Mohd. Nakhaie adalah seorang tokoh ulama yang terkenal di negara ini yang turut menganggotai Majlis Fatwa Malaysia.


Hikmah

Ulama Mohd. Nakhaie memulakan karangannya dengan huraian mengenai kata Allah "hikmah" yang tercatat di dalam Al-Qur'an. Dikemukakannya sebuah ayat (2:129) yang berbunyi "Wahai Tuhan kami, dan utuslah kepada mereka seorang Rasul ..... ajar mereka kitab dan hikmah dan membersihkan mereka" (muka 1). Kemudian beliau mengajukan pendapat ikutan agungnya, al-Syafi'i, yang mentafsirkan perkataan tersebut (hikmah) sebagai sunnah Rasulullah.

Pendapat Imam al-Syafi'i itu disahihkan dengan suatu disiplin ilmu dalam bahasa Arab yang dinamakan "ataf". Menurutnya, ataf berfungsi sebagai suatu perkara lain yang berikutan dengan perkara yang disebutkan terdahulu. Maka, menurut ilmu ulama ini, kata kitab dan hikmah di dalam ayat tersebut adalah dua perkara yang berlainan, iaitu Al-Qur'an dan sunnah Rasul.

Akan tetapi, pembaca yang celik akan tanya tentang perkara ketiga yang disebut di dalam ayat itu, iaitu kata membersihkan ("ajar mereka kitab dan hikmah dan membersihkan mereka"). Sekiranya yang pertama (kitab) itu Al-Qur'an, dan yang kedua (hikmah) sebagai sunnah Rasul, maka apakah ia yang ketiga (membersihkan) yang telah disebut tadi?

Andaikata ataf (ilmu yang diada-adakan itu) dibuang, maka dapat difahamkan bahawa ketiga-tiga perkara itu adalah satu. Dengan ini ayat itu bermaksud iaitu Rasul ajar mereka kitab, yang mengandungi hikmah, yang juga membersihkan mereka.

Oleh yang demikian (dan beberapa sebab yang lain), suruhan al-Syafi'i agar ajaran sunnah Rasul disuntik ke dalam Islam, untuk menjadi suatu yang diimani, adalah ditolak.


Syatahat

Hujah Mohd. Nakhaie berbelit-belit demi membenarkan pendapat al-Syafi'i itu. Untuk menangkis pendapat yang menyatakan hikmah itu adalah Al-Qur'an, disebutnya tentang hikmah yang dikurniakan Tuhan kepada Luqman dan Isa bin Maryam (muka 3). Beliau berlogik dengan berkata "Ini adalah kerana, jika hikmah itu dibataskan kepada al-Qur'an, bermakna al-Qur'an juga diturunkan kepada Luqman, kepada Isa bin Maryam, Daud dan lain-lain. Namun hal ini tidak berlaku sama sekali, kerana al-Qur'an hanya diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w." (muka 5).

Syatahat beliau, dan ulama lain, sudah jadi tanda tanya apabila mereka berlogik sambil turunkan hukum. Syatahat adalah kata yang dipinjam daripada buku beliau, yang bermakna latahan pemikiran. Kata kesat ini telah digunakannya untuk mencemuh pendokong Al-Qur'an.

Tiada siapa yang membaca, memahami, dan ikut Al-Qur'an membataskan kata hikmah itu kepada Al-Qur'an. Kita semua tahu hikmah yang diberi kepada Nabi Muhammad itu adalah Kitab Allah (Al-Qur'an), dan hikmah kepada yang lain juga Kitab Allah (Taurat, Zabur, Injil).

Namun, sekiranya diteliti nasihat Luqman kepada anaknya, iaitu suatu contoh hikmah yang dikisahkan di dalam Al-Qur'an, maka ia didapati sungguh Quranik. Begitu juga halnya dengan hikmah-hikmah Isa, Daud, dan yang lain. Semuanya Quranik.

Mohd. Nakhaie, dan juga al-Syafi'i, didapati tidak percayai Kata Allah yang menyatakan segala yang dikatakan hikmah adalah terkandung di dalam Kitab-Nya. Al-Qur'an itu kata-Nya adalah "penjelasan bagi segala sesuatu" (12:111), dan Kata-Nya lagi, "Di dalamnya (Al-Qur'an) segala urusan yang hikmah ditentukan" (44:4). Tidakkah Mohd. Nakhaie dan al-Syafi'i mahu beriman kepada ayat-ayat-Nya, seperti Rasul dan orang-orang yang beriman yang lain?


Dakwaan

Imam al-Syafi'i didapati pula, bukan sahaja mengatakan hikmah itu sunnah Rasul, setelah didengarnya orang lain berkata, bahkan beliau selanjutnya menyatakan bahawa sunnah Rasul itu adalah seperti perkataan Allah sendiri! Katanya, "saya telah mendengar daripada mereka yang mahir dalam al-Qur'an, mereka yang saya persetujui, menyatakan bahawa hikmah itu ialah sunnah Rasulullah s.a.w.. Ini samalah seperti perkataan Tuhan sendiri" (muka 9).

Dakwaan seperti ini adalah sungguh berat kerana Allah telah mengingatkan tentang larangannya di dalam sebuah ayat yang berbunyi "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah,'" (2:79). Di dalam dakwaannya juga terbongkar rahsia iaitu dia (Imam al-Syafi'i) tidak mahir dalam Al-Qur'an.


Tapis

Tambahan lagi, apa yang dikatakannya kata-kata Allah itu ditapis, atau dipilih, sebelum ia dapat diterima (maksudnya, kata-kata Allah itu ditolak sekiranya tidak diperkenankan!). Maka proses penapisannya diadakan oleh para ulama. Mohd. Nakhaie menjelaskan - "Untuk mempastikan sesuatu perkataan atau perbuatan itu sebagai sunnah atau hadith Rasulullah s.a.w. perlu melalui proses penyelidikan yang teliti dan metodologi yang kemas" (muka 18). Beliau turut mengaku adanya dapatan sesuatu pihak akan ditolak oleh pihak yang lain (yang menghalakan pujaan pada Imam yang lain, agaknya).

Sunnah Rasul yang sedemikian rupa dihukumkan pula sebagai wajib dipatuhi (muka 18) kerana metodologinya mengandungi sistem sanad "yang unik di dalam tradisi keilmuan Islam" (muka 26). Di dalam sistem ini terdapat perawi, dan "perawi itu mestilah seorang yang bertaqwa, tidak berdusta, kuat ingatannya dan berakhlak mulia, wara' dan tidak lakukan kemungkaran" (muka 27). Siapakah orang yang dapat menilai manusia sedemikian rupa?


Bertentangan

Imam Syafi'i mengaku bahawa terdapat juga sunnah Rasul yang tanpa nas daripada Al-Qur'an, tetapi ia, tegasnya lagi, adalah keterangan daripada kitab Allah! Syatahatnya kali ini berbunyi "Antaranya pula ialah keterangan dan huraian dari sunnah Nabi-Nya tanpa nas daripada Kitab Allah. Semuanya ini adalah merupakan keterangan yang bersumberkan kitab Allah" (muka 25).

Syatahat ini sememangnya bertentangan dengan kata-kata Allah (yang tanpa sistem sanad) berbunyi "Satu penurunan (Al-Qur'an) daripada Pemelihara semua alam. Sekiranya dia (Muhammad) mengadakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami ambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya. Dan tiadalah sesiapa daripada kamu yang dapat menghalangi dia. Sesungguhnya ia (Al-Qur'an) adalah Peringatan bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan)" (69:43-48). Nabi tidak mungkin jadi berani untuk mengadakan sesuatu yang selain daripada Al-Qur'an, setelah difahaminya ayat-ayat Allah yang tersebut.

Mohd. Nakhaie seterusnya menyatakan bahawa sunnah Rasul itu menjelaskan Al-Qur'an. Ini sukar dipercayai kerana lazimnya ia didapati menambah (bukan menjelas), atau membatalkan ayat-ayat Allah. Beliau didapati sukar untuk mengimani dua ayat Allah yang bunyinya serupa iaitu "Ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas (Al-Qur'an)" (5:92 dan 24:54).

Bukan sahaja tidak dipercayainya ayat-ayat Allah itu, malah beliau sangkalnya dengan kata-kata sinis berbunyi "Jadi, apakah sebenarnya fungsi Rasul itu? Bagi mereka fungsi Rasul hanya sampaikan al-Qur'an" (muka 21).


Mentaati

Beliau ada mengingatkan tentang perintah Allah mengenai mentaati Rasul. Perintah ini memang benar. Akan tetapi, perintah Allah itu ditafsirkan, seperti juga al-Syafi'i mentafsir, sebagai mentaati sunnah Rasul. Kata sunnah di sini adalah tambahan pada kata Allah yang suci, lantaran kata dan ajaran "sunnah Rasul" itu jadi debu dalam suci - debu dalam kesucian Islam.

Mentaati Rasul pula ada batasnya, iaitu selagi beliau tidak menyuruh yang tidak baik. Ini menurut Firman-Nya yang berbunyi ".... dan tidak juga ingkari kamu (Muhammad) pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka" (60:12). Oleh yang demikian apa yang tidak baik daripada Rasul hendaklah diingkari. Apa yang tidak baik, tidak syak lagi, adalah yang tidak Quranik.


Bohong

Tanpa sunnah Rasul, Mohd. Nakhaie bimbang perintah Allah tidak dapat difahami. Contoh yang diberinya ialah amalan membazir. Katanya, "Rasulullah s.a.w tahu apakah yang dikatakan membazir dan yang dikatakan tidak membazir. Bukankah cara Rasulullah s.a.w. berbelanja, cara Rasulullah s.a.w. mengendalikan urusan perbelanjaan dirinya dan keluarga itu, menjelaskan apa yang tidak dijelaskan oleh al-Qur'an mengenai amalan membazir dan tidak membazir" (muka 34). Kenyataan ulama ini adalah bohong, cuai, tidak ilmiah, dan terpisah dari ajaran Al-Qur'an, iaitu ajaran Islam yang sebenar.

Membazir bererti "menggunakan sesuatu dengan berlebih-lebihan sehingga terbuang, memboroskan, membuang-buang," (Kamus Dewan, 1994). Kata Arabnya ialah “asrafa”, tetapi pengertiannya menurut Al-Qur'an (iaitu seperti yang Nabi tahu), adalah lebih luas.

Pengetahuan Nabi mengenai amalan-amalan yang boleh jadi membazir adalah seperti yang di bawah:

 1.  makanan, minuman, perhiasan (pakaian) di masjid (7:31),

  2.  pemberian makanan, seperti buah-buahan (6:141),

  3.  pemberian nafkah (25:67),

  4.  pembunuhan (5:32 dan 17:33),

  5. buat kerosakan di bumi (26:151-152). Contoh-contoh kerosakan itu adalah seperti musnahkan tanaman dan anak-anak pokok (2:205), tidak membetulkan urusan anak yatim (2:220), mengurangkan sukatan dan timbangan (7:85), amalan sihir (10:81), mengingkari, sangkal, dan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah (10:91, 27:14, 16:88), mencuri (12:73), dan kerosakan pada bandaraya-bandaraya yang ditawan (27:34).

  6.  amalan homoseksual (7:81),

  7.  melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),

  8.  melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),

  9.  ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan

10. berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28).

Dengan adanya banyak keterangan di dalam Al-Qur'an, maka apa yang dikatakan oleh ulama Mohd. Nakhaie ("apa yang tidak dijelaskan oleh al-Qur'an mengenai amalan membazir dan tidak membazir") adalah, antara lain yang telah disebut, merupakan juga suatu pendustaan terhadap Allah; atau, suatu kebutaan terhadap Al-Qur'an. (Sila rujuk Kalimat membazir di dalam al-Qur'an.)


Solat

Satu lagi kesilapan besar Mohd. Nakhaie, dan ulama lain, ialah menganggap bahawa Allah tidak ajar cara solat. Memang betul cara solat karangan manusia (yang menggunakan nama Rasul) berbeza dengan suruhan Allah. Cara bersolat ajaran manusia tidak terdapat di dalam Al-Qur'an. Begitulah sebaliknya, cara bersolat di dalam Al-Qur'an tidak diamalkan oleh umat yang ikut ajaran sunnah Rasul ciptaan Imam zaman dahulu.

Sebagai contoh, disedarkan kepadanya dan ulama lain mengenai ayat-ayat Allah yang menerangkan bagaimana solat itu dimulakan, yang berbunyi "Katakanlah, 'Serulah Allah, atau Ar-Rahman; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik.' Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu. dan katakan, 'Segala puji bagi Allah yang tidak mengambil seorang anak, dan yang tidak ada sebarang sekutu dalam kerajaan, dan tidak juga sebarang wali (pelindung) daripada kerendahan diri.'" (17:110-111). Adakah sama lafaz pada permulaan solat antara ajaran Allah dengan ajaran manusia yang dikatakan alim, warak, dan sebagainya itu?

Ayat-ayat tersebut telah disampaikan oleh Rasul. Mengapa pula Rasul diingkari dengan lakukan yang selain daripada ajarannya (atau sunnahnya) yang sebenar?

Yang wajib tidak diajar tetapi yang remeh-temeh dibesar-besarkan. Seperti itulah suatu soalan ulama Mohd. Nakhaie berbunyi "Bagaimanakah rukuk' dan sujud?" (muka 23). Memang benar Al-Qur'an tidak ajar seperti berapa darjah bagi rukuk atau sujud, atau berapa tinggi punggung harus dinaikkan, atau boleh atau tidak membuka ketiak dalam sujud, dan sebagainya.

Rukuk dan sujud adalah dua laku yang telah diamalkan manusia dalam pengabdian mereka kepada Allah sejak dari zaman sebelum Muhammad lagi. Manakala keperincian seperti pada ajaran manusia untuk rukuk' dan sujud itu bukanlah soal pokok. Ini adalah sama dengan ibadah korban di mana Allah menyatakan bahawa bukan daging dan darah yang sampai kepada-Nya, tetapi yang sampai ialah takwa.


Berhalakan

Perkataan sunnah dan hadith memang wujud di dalam Al-Qur'an. Akan tetapi, pengertiannya (yang datang daripada Allah) adalah berbeza daripada pengertian ulama, seperti Imam al-Syafi'i. Ulama Mohd. Nakhaie mengaku ini adalah benar. Katanya, "Tidak dinafikan penggunaan perkataan sunnah di dalam al-Qur'an merujuk kepada suatu perjalanan alam, adat resam dan lain-lain. Demikianlah juga perkataan hadith di dalam al-Qur'an dimaksudkan bicara pada umumnya," (muka 14).

Mengapa pula tidak diikuti pengertian daripada Allah yang mencipta bahasa Arab itu sendiri? Dari manakah datang pengertian yang baru itu, yang akhirnya melahirkan ajaran Sunnah Rasul atau Hadith Nabi? Mengapa pula manusia diberhalakan dalam agama?

 

Penulis Bacaan
1996


Sebutan di akhbar mengenai artikel di atas, bertarih:
29 Mei 1996
1 Jun 1996


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman