Kaumku di 25:30
From: abdaziz
Subject: Prasa "Kaumku" dalam Al-Furqan: 30
Date: Fri, 1 Apr 2005 19:29:17 +0800
Salamun'alaikum,Saya mendoakan kesejahteraan jua, dilimpahkan Allah kepada saudara dan kita semua.
Saya telah beberapa kali, mengulangkaji prasa "kaumku" yang disebut dalam ayat 25:30. Jika secara harfiah (yang saya tidak setuju) prasa "kaumku" atau "my own people" My people" dari versi terjemahan Inggeris dirujuk kepada kaum Quraish sahaja maka saya nampak konteks ucapan, keluhan, rintihan Nabi itu bersifat communal.
Izinkan saya memetik sebuah tafsiran dan ulasan penulis kitab tafsir ini.
"Kemudian Rasul akan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah jadikan al-Quran ini sebagai suatu perkara yang bodoh tidak terpakai" Al-Furqan :30
Menurut penterjemah kitab tafsir ini (Abu Salah Muhammad Uthman el-Muhammady) beliau beri ulasan seperti berikut:
"Kaumku" sudah tentu mereka adalah orang-orang Quraish yang tidak beriman itu tetapi mereka itu hanya merupakan segolongan manusia yang tidak ramai, yang kepentingannya tersentuh oleh kerana pembaharuan-pembaharuan yang baik kesannya yang dimulakan oleh Islam itu. Tidak lama kemudian merekapun meninggal dunia, dan semua orang yang bercakap menggunakan bahasa Arab, mengganggap al-Quran itu sebagai satu perbendaharaan tentang kebenaran-kebenaran yang dilafazkan dalam bahasa yang sehabis indah mungkin, dengan maknanya jadi semakin bertambah mendalam dengan adanya penyiasatan (oleh mereka yang mahir di dalamnya - p.) (Tafsir al-Qur'anul "L-Karim - Terjemahan dan Huraian Maksud Jilid 4 ms. 1766)
Ada 2 soalan yang ingin saya ajukan di sini.
1. Dalam konteks lain, Rasullullah diutuskan untuk seluruh manusia, tetapi kenapa keluhannya bersifat "communal" sedangkan peristiwa ini berlaku di akhirat ?
2. Adakah orang-orang lain yang mengaku Islam dan menerima al-Quran pada zahirnya, hari ini yang telah membelakangkan al-Quran tidak termasuk dalam "kaumku"
Saya harap saudara dapat beri ulasan mengenai perkara ini.
Sekian'
Salam
abdaziz
Salamun alaikum, saudara.
Terima kasih. Sesungguhnya kita sama-sama mengharapkan kesejahteraan daripada-Nya dan supaya Dia menambahkan kita dalam ilmu.
Kandungan e-mel saudara dibaca dengan penuh minat kerana ia berbau suatu konflik fahaman di antara seorang Tokoh Maal Hijrah dengan seorang lagi tokoh iaitu yang menyarankan supaya hadis Nabi dinilai semula (sila betulkan kami di sini).
Sebelum membicarakan soal pokok kami ingin menarik perhatian kepada frasa "kaumku telah jadikan al-Quran ini sebagai suatu perkara yang bodoh tidak terpakai" (perkataan diwarnakan merah untuk kejelasan) yang terkandung di dalam ayat Al-Furqan :30 (25:30) tulisan Tokoh tersebut.
Ia menarik perhatian kerana didapati berbeza dengan terjemahan atau tafsiran beberapa tokoh pentafsir atau penterjemah al-Qur'an yang lain. Contoh:
"kaumku telah tinggalkan Qur'an ini." (Prof. Dr. Mahmud Yunus)
"kaumku banyak yang tinggalkan Qur'an." (M. Said)
"kaumku menjauhi Quran ini." (H. Zainuddin Hamidy et.al)
"kaumku jadikan Al Quraan ini suatu yang tidak diacuhkan." (Departemen Agama R.I.)
"kaumku telah jadikan Quran ini (sesuatu yang) tidak dipedulikan." (A. Hassan)
Sementara terjemahan kami (Bacaan) berbunyi "kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan."
Perkataan 'bodoh' tidak diguna oleh orang lain. Hanya beliau sahaja menggunakannya.
Tafsirannya
pula, bagi ayat tersebut, memberi gambaran bahawa orang-orang Quraisy tidak faham
bahasa Arab yang diguna di dalam al-Qur'an apabila pertama kali disampaikan kepada mereka.
Mungkin kerana itu dikatakannya mereka "bodoh".
Pandangannya jauh menyimpang daripada petunjuk yang diturunkan Allah. Menurut Allah, Dia turunkan al-Qur'an sebagai sebuah Kitab yang jelas supaya mereka (orang-orang Arab termasuk puak Quraisy) dapat memahami petunjuk-Nya. Firman-firman-Nya,
"Kami turunkannya sebagai sebuah
Qur'an bahasa Arab, supaya kamu
faham." (12:2)
"Kamu" di situ ialah Muhammad -
Quraish
- Arab. Ayat 43:3 juga mengandungi frasa "supaya kamu
faham". Dengan itu, menurut Allah, mereka faham bahasa Arab
al-Qur'an.
"Alif Lam Ra. Inilah ayat-ayat al-Kitab, dan
al-Qur'an yang jelas." (15:1)
Frasa "al-Qur'an yang jelas" juga terdapat di dalam ayat
36:69.
Sementara ayat
27:1 pula
menyatakan "ayat-ayat al-Qur'an, dan sebuah Kitab yang
jelas." Kalau Tuhan kata jelas maka ia tentunya jelas serta difahami
oleh mereka.
"Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan
sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab
bagi kaum yang tahu," (41:3).
Untuk mengandaikan kaum
Quraisy
tidak tahu bahasa Arab adalah suatu yang naif.
Tafsirannya juga membawa cerita iaitu selepas "kaumku" (yang diandainya orang-orang Quraisy) meninggal dunia barulah "semua orang yang bercakap menggunakan bahasa Arab" mula faham kandungan al-Qur'an kerana "adanya penyiasatan". Nyata sekali ceritanya kontradiksi dengan apa yang baru dijelaskan oleh Allah.
Atau, beliau bermaksud hanya sesudah mereka faham (setelah beberapa waktu) barulah mereka semua mula percaya dan ikut ajaran al-Qur'an? Di sini pun beliau tersilap, dan akan dijelaskan kemudian.
Masalah faham atau tidak faham tidak timbul. Ayat 25:30 menyatakan "kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan."
Memang benar, menurut Allah, antara orang-orang Arab di sekeliling Nabi ada yang tidak percaya (kafir) dan ada yang munafik. Ini juga akan dijelaskan lagi kemudian.
Kembali kepada pokok
perbincangan. Penafsiran perkataan
'kaumku' kepada orang-orang Quraish oleh Tokoh Maal Hijrah itu dibantah
di dalam e-mel di atas dengan alasan perkataan itu tidak seharusnya
difahamkan secara harfiah.
Bagi kami pula, kami lebih selesa jika perkataan itu bermaksud orang-orang Arab bukan khas bagi orang-orang Quraisy, atas dua sebab, iaitu:
satu-satunya sebutan perkataan 'Quraisy' di dalam al-Qur'an tidak menunjukkan mereka tidak beriman (sila rujuk surah 106).
Allah telah menggunakan frasa orang-orang Arab (di sekeliling Nabi) di banyak tempat.
Seperti yang baru disebut, ayat-ayat mengenai orang-orang Arab yang ingkar boleh dikatakan banyak dan dapat dibaca daripada atikel ARAB di dalam al-Qur'an. Tiga daripadanya diturunkan di bawah:
"Orang-orang Arab yang ditinggalkan akan berkata kepada kamu (Muhammad), 'Kami disibukkan dengan harta-harta kami dan keluarga-keluarga kami; maka mintalah ampun untuk kami!' Mereka berkata dengan lidah mereka apa yang tidak ada di dalam hati mereka." (48:11)
"Dan antara orang-orang Arab yang di sekeliling kamu, mereka adalah orang-orang munafik; dan sebahagian daripada penduduk Kota jadi berani dalam kemunafikan." (9:101).
"Orang-orang Arab lebih sangat dalam ketidakpercayaan dan kemunafikan, dan lebih wajar untuk tidak tahu had-had (hudud) yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya; dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (9:97)
Kami berpendapat ayat-ayat di atas yang menunjukkan alasan, ketidakpercayaan dan kemunafikan orang-orang Arab, iaitu kaum Nabi, padan dengan ayat 25:30 yang sedang dibincang, berbunyi,
"Rasul berkata, Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan.'"
Pendapat kami akan diteguhkan lagi sekiranya Quraisy diterima sebagai satu daripada puak-puak yang wujud di kalangan orang-orang Arab (kaum Nabi Muhammad). Sama seperti kaum Nabi Musa, Bani Israil telah dijadikan Allah berpuak-puak, menurut ayat berbunyi,
"Allah telah ambil perjanjian Bani Israil, dan Kami bangkitkan antara mereka dua belas ketua puak." (5:12)
Justeru itu, bagi kami, 'kaumku' adalah orang-orang Arab bukan Quraisy yang merupakan satu daripada puaknya sahaja.
Selanjutnya,
kami agak sukar untuk tidak menerima perkataan 'kaum' dengan harfiah.
Kerana di dalam semua ayat
(berjumlah kira-kira 347) yang mengandungi perkataan 'kaum' (berjumlah
kira-kira 382) maksudnya terbatas kepada sesuatu golongan manusia sahaja. Contoh:
"Wahai kaumku (Shuaib), janganlah perpecahan dengan aku mendesak kamu supaya menimpa kamu yang serupa dengan apa yang menimpa kaum Nuh, atau kaum Hud, atau kaum Salleh; dan kaum Lut, yang tidak jauh daripada kamu." (11:89)
"Dan apabila Musa berkata kepada kaumnya, 'Wahai kaumku, kamu telah menzalimi diri-diri kamu sendiri dengan ambilan Anak Lembu kamu'" (2:54).
"Dan kaum Ibrahim, dan kaum Lut," (22:43).
"Berkata pembesar-pembesar kaum Firaun, 'Sesungguhnya ini seorang ahli sihir yang alim (mahir)," (7:109).
Antara kaum-kaum yang baru disebut tentu ada yang berpuak-puak di dalamnya.
Kaum juga didapati bermaksud sekumpulan atau segolongan manusia yang sama pegangan. Hanya tujuh contoh daripadanya diturunkan di bawah:
kaum yang yakin (2:118).
kaum yang faham (2:164).
kaum yang tahu (2:230)
kaum tidak percaya atau kafir (2:250).
kaum yang zalim (2:258)
kaum yang fasiq (5:25)
kaum yang tidak faham (5:58)
(Sila rujuk Kalimat kaum di dalam al-Qur'an dan artikel Kaum di dalam al-Qur'an.)
Oleh yang demikian kami berpendapat bahawa perkataan 'kaum' harus diterima sebagai harfiah. Sekiranya Tuhan ingin maksudkan perkataan itu kepada 'umat', dan selanjutnya bermaksud umat dari dahulu hingga hari ini, maka frasanya akan jadi 'umatku' bukan 'kaumku'. Dan perkataan 'umat' sudah pula diguna dengan banyak di dalam al-Qur'an. (Sila lihat Kalimat umat di dalam al-Qur'an).
Atau, Dia ingin maksudkan kebanyakan manusia, dari zaman dahulu hingga sekarang, maka 'kaumku' akan diganti dengan frasa 'kebanyakan manusia'. Dan frasa itu juga sudah digunakan-Nya di dalam al-Qur'an dengan banyak. (Sila lihat artikel Kebanyakan Manusia. Terima kasih.)
Tambahan pula, sebagai sebuah Furqan, atau buku undang-undang, tiap-tiap perkataan di dalam ayat-ayat al-Qur'an disusun dengan rapi sehingga tidak ada kebengkokan di dalamnya. Kalau perkataannya 'kaumku' maka itulah maksudnya, dan orang Melayu tidak tergolong di dalam golongan itu, tetapi mungkin di dalam golongan kaum yang yakin atau kaum tidak percaya atau kafir, sebagai contoh.
Lagipun, Rasul tidak tahu yang ghaib (6:50) termasuk apa yang akan terjadi selepas kematiannya. Maka untuk mengertikan kaumku kepada seluruh manusia hingga ke hari ini, pada hemat kami, tidak menepati sasaran.
Dalam
kes ini, kami berpendapat tidak perlu keluarkan istilah yang bombastic
seperti harfiah atau tidak harfiah kerana Allah telah
menggunakan istilah muhkamat dan mutasyabihat bagi ayat-ayat
al-Qur'an.
Jangan pula ada pihak sangka ayat 25:30 boleh dimansuhkan kerana tidak bersangkutan dengan keadaan hari ini. Ayat itu tetap membawa sesuatu mesej yang berat. Umpamanya, beri peringatan kepada orang-orang yang mengaku dan berbangga kerana berketurunan daripada kaum Nabi, bahawa mereka tidak semestinya jadi Islam sejati atau suci dengan keturunannya.
Atau, beri peringatan kepada orang-orang yang bertuhankan orang Arab untuk dapat petunjuk yang benar, bahawa mereka tidak semestinya dapat petunjuk daripada orang-orang Arab atau yang menyerupai orang Arab.
Kami
memohon maaf kerana tidak dapat menyebelahi mana-mana pihak yang berselisih
atas tajuk kaumku di 25:30, baik pihak Tokoh Maal Hijrah mahupun tokoh yang
menyarankan supaya hadis Nabi dinilai semula. Pendirian kami yang berbeza
hanya menunjukkan bahawa kami harus dibetulkan.
Salaam.
5 April 2005
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman