HAIWAN dan persamaan dengan manusia
seperti di dalam al-Qur'an
Segala makhluk yang merayap di bumi, dan burung-burung yang terbang dengan sayap-sayapnya adalah umat-umat yang serupa dengan manusia. Keserupaan menyerlah apabila sifat sesetengah daripada mereka disamakan pula dengan sesetengah manusia.
Semua haiwan dicipta oleh Allah, dan mereka dicipta daripada air. Allah menjelaskan dengan lebih lanjut,
"Allah cipta semua haiwan daripada air, dan sebahagian mereka berjalan di atas perut mereka, dan sebahagian mereka berjalan di atas dua kaki, dan sebahagian mereka berjalan di atas empat" (24:45).
Manusia pun dicipta daripada air (25:54), dan seperti manusia, haiwan diwarnakan Allah dengan pelbagai warna, dan Dia seterusnya rezekikan mereka berdua. Al-Qur'an menjelaskan,
"Antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya." (35:28)
"Berapa banyaknya haiwan yang tidak membawa rezekinya sendiri, tetapi Allah beri rezeki untuknya dan kamu!" (29:60)
Haiwan, bersama segala di langit dan di bumi, sujud kepada Allah, tetapi tidak dengan manusia, kerana ramai yang tidak turut sujud, lalu wajarlah mereka diazab. Firman Tuhan,
"Tidakkah kamu lihat bagaimana kepada Allah sujud segala di langit, dan segala di bumi, dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-gunung, dan pokok-pokok, dan haiwan-haiwan, dan ramai daripada manusia? Dan ramai, wajarlah azab ke atas mereka" (22:18).
Antara haiwan ada yang diburu. Namun, mereka haram diburu oleh orang-orang yang telah menetapkan untuk Haji. Mereka berada dalam keadaan haram, atau ihram seperti yang lazim disebut. Mereka dilarang kerana Allah ingin menguji mereka. Demikianlah menurut ayat-ayat di bawah:
"jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram)" (5:95).
"Allah uji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan yang tangan-tangan kamu, dan tombak-tombak kamu capai, supaya Allah tahu siapa yang takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib." (5:94)
Selanjutnya, orang-orang yang dalam keadaan haram, mereka bukan sahaja dilarang memburu, malah daging binatang buruan darat, yang diburu oleh orang lain pun diharamkan kepada mereka untuk dimakan. Iktibar diambil daripada sebuah firman bermaksud,
"Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam haram (ihram)" (5:96).
Apabila mereka telah menyelesaikan Haji mereka dibenarkan untuk terus memburu haiwan buruan. Firman-Nya,
"Tetapi, apabila kamu telah selesaikan, maka burulah binatang buruan." (5:2)
Dalam pada itu, mereka yang tidak dalam keadaan haram dibolehkan memburu binatang buruan. Tujuan memburu binatang adalah untuk dimakan. Untuk tujuan yang selain daripada itu al-Qur'an didapati tidak beri sebarang petunjuk.
Turut tercatat di dalam al-Qur'an mengenai haiwan ialah haiwan-haiwan buas, yang akan dikumpul pada Hari Akhir. Firman Tuhan,
"Apabila haiwan-haiwan buas dikumpulkan," (81:5).
Dan, haiwan yang keluar dari bumi. Terdapat dua ayat mengenainya. Pertama, ayat mutasyabihat, yang menyatakan ia akan berkata-kata kepada manusia, berbunyi,
"Apabila Ucapan jatuh kepada mereka, Kami keluarkan untuk mereka dari bumi, suatu haiwan yang berkata-kata kepada mereka - manusia tidak yakin akan ayat-ayat Kami." (27:82)
Kedua, ayat muhkamat, mengisahkan tentang kematian Nabi Sulaiman:
"Dan apabila Kami tentukan kematian kepadanya (Sulaiman), tiada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya, melainkan haiwan daripada bumi yang makan tongkatnya; dan apabila dia jatuh ....." (34:14)
Balik kepada tajuk binatang buruan, untuk menyentuh hal buruan di laut pula. Binatang buruan laut, dan makanan lain daripada laut, semua halal dimakan pada bila-bila masa sahaja, termasuk ketika berada dalam keadaan haram, dan tanpa syarat disembelih seperti yang di darat. Dari laut, baik yang airnya tawar mahupun masin, datang "daging yang segar" (16:14, 35:12) yang sedap dimakan.
Haiwan Ternakan
Seperti yang di laut, haiwan ternakan di darat dihalalkan untuk dimakan pada bila-bila masa sahaja termasuk ketika berada dalam keadaan haram. Firman-Nya,
"Dihalalkan bagi kamu ialah haiwan ternakan, kecuali apa yang dibacakan kepada kamu," (5:1)
Apa yang dibaca daripada al-Qur'an mengenai haiwan yang haram dimakan ialah "bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain daripada Allah, dan yang dicekik, dan yang dipukul, dan binatang yang jatuh lalu mati, dan binatang yang ditanduk, dan apa yang dimakan binatang buas, kecuali kamu korbankannya dengan patut, dan apa yang dikorbankan untuk berhala, dan membahagi dengan ramalan anak-anak panah" (5:3).
Namun begitu, mereka dibenarkan untuk dimakan dalam keadaan terpaksa dan dengan tidak inginkannya, dan tidak juga ingin menderhakai Allah.
Menyentuh sedikit mengenai haiwan yang diharamkan ke atas orang-orang Yahudi zaman dahulu. Kerana keangkuhan mereka, Allah haramkan mereka segala haiwan yang berkuku, dan lemak-lemak lembu dan kambing, kecuali yang melekat pada punggung-punggung mereka, atau usus mereka, atau apa yang bercampur dengan tulang mereka (6:146).
Bicara mengenai haiwan ternakan diteruskan. Selain dimakan, ada pula yang ditunggang. Bagi yang ditunggang, tatkala manusia duduk di atasnya, mereka harus mengingati rahmat Allah dengan menyebut seperti yang diajar-Nya. Firman Allah,
"Allah yang buatkan untuk kamu binatang ternak, sebahagian mereka untuk ditunggangi, dan daripada sebahagiannya, kamu makan." (40:79)
"dan kemudian mengingatkan rahmat Pemelihara kamu apabila kamu duduk di atasnya, dan berkata, 'Dia disanjung, yang tundukkan ini untuk kami, dan kami sendiri tidak setanding dengannya. Sesungguhnya kepada Pemelihara kami, kami balik.'" (43:13-14)
Mereka bukan sahaja disembelih, dimakan atau ditunggang, malah untuk mengangkut, seperti mengangkut barang ke tempat yang jauh, di samping dijadikan sebagai perhiasan. Al-Qur'an menjelaskan:
"Dan daripada binatang ternak, untuk pengangkutan dan untuk dihidangkan" (6:142).
"Dan mereka angkut beban-beban kamu ke sebuah negeri yang kamu tidak akan sampai padanya, melainkan dengan banyak kesusahan diri ..... Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu tunggangi mereka, dan sebagai perhiasan" (16:7-8).
Mereka turut diguna untuk perjalanan kerjakan Haji, dan sebagai haiwan yang dikorbankan dalam Haji. Firman Allah,
"Dan serulah manusia kepada Haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam," (22:27)
"Kami tentukan bagi tiap-tiap umat satu peribadatan supaya mereka mengingati nama Allah pada haiwan ternakan yang Dia rezekikan mereka." (22:34)
"Maka sebutlah nama Allah pada mereka, berdiri dalam barisan; kemudian, apabila lambungannya rebah, makanlah daripadanya, dan berilah makan kepada pengemis, dan orang yang meminta. Begitulah Kami tundukkan mereka untuk kamu, supaya kamu berterima kasih." (22:36)
Selanjutnya, pada mereka terdapat kehangatan dan pelbagai manfaat bagi manusia, dan daripada kulit-kulit mereka dapat dibuat rumah-rumah, yang ringan dibawa. Bulu dan rambut sesetengah daripada mereka dijadikan perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk suatu waktu. Tuhan menjelaskan,
"Dan binatang ternak, Dia ciptakan untuk kamu; padanya kehangatan, dan pelbagai manfaat," (16:5).
"Dan Allah buatkan satu tempat rehat bagi kamu daripada rumah-rumah kamu, dan buatkan untuk kamu, daripada kulit-kulit binatang ternak, rumah-rumah, yang kamu dapati ringan pada hari perjalanan kamu dan pada hari kamu menetap, dan daripada bulu-bulu mereka (biri-biri), dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu." (16:80)
Tambahan lagi, susu yang tulen lagi enak diminum didapati daripada mereka. Firman-Nya,
"Dan sesungguhnya pada binatang ternak ada pelajaran bagi kamu; Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang di dalam perut mereka, antara kotoran dan darah, susu yang tulen, enak bagi peminum-peminum." (16:66)
Pada binatang ternak terdapat kecantikan apabila mereka dibawa pulang dan apabila mereka dilepaskan untuk makan rumput - "Dan terdapat kecantikan padanya bagi kamu, apabila kamu membawanya pulang untuk merehatkan, dan apabila kamu melepaskannya keluar." (16:6) Kandang binatang ternakan disebut dalam ayat lain, iaitu 54:31.
Mereka juga jadi suatu keinginan hawa nafsu dalam kesenangan kehidupan dunia di kalangan manusia. Firman Tuhan,
"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itu kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)
Contoh Haiwan
Antara haiwan yang banyak disebut di dalam al-Qur'an ialah burung. Bicara mengenainya dimulakan dengan turunkan dua ayat berbunyi,
"Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat yang serupa dengan kamu." (6:38)
"Tidakkah mereka renungkan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka kecuali Yang Pemurah." (67:19)
Burung-burung didapati bersolat dan menyanjung Allah. Dia jelaskan,
"Tidakkah kamu lihat bagaimana segala di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? Masing-masing, Dia tahu solatnya, dan sanjungannya; dan Allah tahu apa mereka buat." (24:41)
Mereka boleh dijinakkan. Cerita-cerita yang berkait dengan mereka didapati di dalam lima kisah Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf, Daud, Sulaiman dan Isa.
Dalam kisah Nabi Ibrahim, mereka disebut apabila Nabi Ibrahim menyeru Tuhan supaya diperlihatkan kepadanya bagaimana Dia hidupkan orang-orang yang mati. Dia jelaskan dengan suatu suruhan supaya iktibar diambil daripadanya. Suruhan-Nya berbunyi,
"Ambil empat ekor burung, dan jinakkanlah mereka kepada kamu, kemudian letaklah sebahagian mereka di atas tiap-tiap bukit, kemudian serulah mereka, dan mereka akan datang kepada kamu dengan segera." (2:260)
Nabi Yusuf pula diminta interpretasi mimpi bagi seorang daripada dua banduan yang dipenjara bersamanya. Dia bermimpi membawa roti di atas kepalanya dan burung-burung memakan sebahagian daripadanya (12:36). Mimpi itu dihuraikan dengan Nabi Yusuf menyatakan bahawa,
"dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya." (12:41)
Kepada Nabi Daud, Tuhan telah buatkan gunung-gunung dan burung-burung memuji-Nya bersamanya (34:10). Dan burung-burung selanjutnya ditundukkan kepadanya:
"burung-burung dalam keadaan berkumpul, masing-masing kembali kepadanya." (38:19)
Anaknya, Nabi Sulaiman, telah diajar percakapan burung (27:16), yang jadi satu daripada barisan-barisan dalam tenteranya, selain jin dan manusia (27:17). Burung hud-hud berperanan sebagai peninjau yang membawa balik berita mengenai sebuah negeri, Sabak, yang diperintah oleh seorang perempuan (27:22). Hud-hud kemudiannya diperintah membawa sepucuk surat daripada Nabi Sulaiman kepada pemerintah tersebut.
Dan Nabi Isa, sebagai satu daripada mukjizatnya, telah buat dengan tanah liat suatu imej berbentuk seekor burung, kemudian dia hembus ke dalamnya lalu bentuk itu jadi seekor burung yang hidup (3:49).
Burung-burung, bersama beberapa haiwan lain, seperti yang sedia maklum, telah sejak dari zaman dahulu lagi dilatih untuk berburu. Begitu kata Allah berbunyi "daripada binatang berburu yang kamu ajar" (5:4).
Kecerdikan burung diriwayatkan lagi di dalam al-Qur'an. Seekor burung gagak telah dikirim oleh Allah kepada seorang anak Adam untuk mengajar cara mengebumikan mayat saudaranya yang dibunuhnya. Burung itu menunjukkan dengan mencakar-cakar tanah (5:31).
Allah juga telah utus burung-burung untuk menghancurkan sebuah angkatan tentera bergajah. Dia jelaskan,
"Dan Dia utus kepada mereka burung-burung berduyun-duyun, dengan membalingkan kepada mereka batu-batu daripada tanah liat yang dibakar," (105:3-4).
Sesetengah daging burung baik dimakan, seperti burung puyuh (salwa), yang diturunkan Allah kepada Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya semasa dalam pelarian (2:57, 7:161, 20:80). Kerana keistimewaan daging burung, ia akan jadi satu daripada hidangan yang diinginkan di syurga. Firman-Nya,
"Dan daging burung, seperti yang mereka inginkan," (56:21).
Untuk mengakhiri perbincangan mengenai burung, diturunkan sebuah misal daripada Allah berbunyi,
"sesiapa sekutukan Allah, ia seakan-akan dia jatuh dari langit dan burung-burung menyambarnya, atau angin terbangkannya ke dalam sebuah tempat yang jauh." (22:31)
Kisah tentera bergajah yang diceritakan tadi dilengkapkan dengan ayat- ayat di bawah, yang mengandungi satu-satunya perkataan gajah di dalam al-Qur'an:
"Tidakkah kamu melihat bagaimana Pemelihara kamu buat terhadap Orang-Orang Gajah? ..... Dia buatkan mereka seperti daun yang dimakan." (105:1-5)
Unta pula merupakan haiwan yang agak luar biasa. Bagaimana ia dicipta harus direnungkan. Firman Tuhan,
"Apa, tidakkah mereka renungkan bagaimana unta diciptakan," (88:17).
Selain ia amat berguna bagi perjalanan di padang pasir, dan kulitnya dibuat rumah, bulu-bulu atau rambutnya dibuat perkakas rumah tangga dan kesenangan lain, menurut ayat berbunyi,
"dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu." (16:80)
Dalam kisah Nabi Yusuf beberapa perkataan unta disebut. Misalan, kafilah yang terdiri daripada unta (12:82), bekalan makanan seberat beban yang dibawa seekor unta untuk ayah dan saudara-saudaranya (12:65), dan beban serupa itu sebagai hadiah kepada sesiapa yang jumpa gelas berkaki kepunyaan raja yang hilang (12:72).
Unta betina diceritakan dalam kisah Salleh, seorang Rasul. Kaumnya, Tsamud, didatangkan unta itu sebagai satu bukti yang jelas daripada Tuhan (7:73) dan sebagai satu cubaan (54:27). Kaumnya mendustakan apa yang didatangkan lalu mereka dihapuskan Tuhan setelah unta tersebut dilukai.
Mereka yang bunting akan ditinggalkan pada Hari Akhir - "Apabila unta-unta bunting ditinggalkan" (81:4).
Warna unta, dan cara ia minum air apabila kehausan, jadi misal-misal kepada bunga api daripada api neraka, dan kepada penghuni-penghuninya yang minum air mendidih. Firman-Nya,
"api yang menyala-nyala, yang membalingkan bunga api seperti istana, seolah-olah ia unta-unta keemasan." (77:31-33)
"Dan minum di atasnya air yang mendidih, dengan meminumnya seperti unta yang kehausan minum." (56:54-55)
Unta melintasi lubang jarum! Begitu mustahilnya bagi orang-orang yang mendusta dan sombong terhadap ayat-ayat Allah untuk masuk Taman (syurga). Firman Allah,
"Orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami, dan sombong terhadapnya, pintu-pintu langit tidak akan dibuka untuk mereka, dan tidak juga mereka akan masuk Taman sehingga unta melintasi lubang jarum. Begitulah Kami balas orang-orang yang berdosa." (7:40)
Seekor lagi haiwan yang diguna untuk ditunggang dan membawa beban ialah keledai. Ia turut diguna sebagai perhiasan. Firman-Nya,
"Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu tunggangi mereka, dan sebagai perhiasan;" (16:8).
Keledai kepunyaan seorang lelaki adalah antara yang dihidupkan semula oleh Allah setelah dia dimatikan selama seratus tahun ( 2:259).
Sebutan terakhir tentang keledai di sini ialah mengenai suaranya, yang tidak harus dicontohi oleh manusia. Allah mengingatkan,
"Sederhanakanlah dalam berjalan kamu, dan rendahkanlah suara kamu; seburuk-buruk suara ialah suara keledai." (31:19)
Beralih kepada kuda. Ia ditunggangi dan dijadikan sebagai perhiasan (16:8), dan jadi salah satu yang diinginkan oleh hawa nafsu dalam kesenangan kehidupan dunia oleh manusia (3:14).
Nabi Sulaiman telah dilekakan dengan kuda, yang dicintainya, lalu kecintaan itu jadi lebih daripada mengingati Tuhan, sehingga apabila hari menjadi gelap, dia masih dengan kuda-kudanya (38:31-32).
Haiwan yang pantas itu apabila dijadikan satu pasukan dalam tentera akan jadi suatu kekuatan yang ditakuti pihak musuh dalam peperangan (8:60).
Baghal hanya terbit sekali sahaja di dalam al-Qur'an, dan seperti kuda dan keledai, ia diguna untuk ditunggang dan sebagai perhiasan (16:8).
Lembu termasuk dalam kategori binatang ternak. Daripada binatang ternak yang diguna untuk pengangkutan dan untuk disembelih terdapat lapan pasangan, iaitu dua biri-biri dan dua kambing (6:143), dua unta dan dua lembu (6:144).
Lembu disebut dalam kisah tiga Nabi, iaitu Ibrahim, Yusuf dan Musa. Nabi Ibrahim telah menghidangkan seekor anak lembu panggang yang gemuk apabila Rasul-Rasul Allah (malaikat-malaikat) datang untuk berjumpa dengannya (11:69, 51:26).
Nabi Yusuf, yang mahir dalam interpretasi mimpi, telah menghuraikan mimpi raja, yang mengandungi lembu, seperti dinyatakannya sendiri berbunyi,
"Aku (raja) lihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus makan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering." (12:43)
Untuk mengetahui interpretasinya sila rujuk ayat-ayat 12:47-49.
Dan, Nabi Musa telah didatangkan dua masalah mengenai lembu. Pertama, sebuah patung Anak Lembu yang dibuat dan disembah oleh kaumnya ketika dia menemujanji dengan Tuhan selama empat puluh malam (2:51).
Kedua, apabila dia sampaikan perintah Tuhan supaya kaumnya mengorbankan seekor lembu. Kaumnya kemukakan pertanyaan yang banyak mengenai lembu itu, tetapi akhirnya, setelah hampir tidak lakukannya, mereka mengorbankan seekor lembu yang tidak tua dan tidak juga dara, yang keemasan, terang warnanya, dan yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman tetapi teguh, dengan tanpa sebarang tanda yang cacat padanya (2:67-71).
Seperti yang telah disebut lebih awal, orang-orang Yahudi, kerana keangkuhan mereka, telah diharamkan Allah daripada memakan lemak lembu, selain beberapa yang lain (6:146). Termasuk lemak kambing. Kulit kambing, yang ringan dibawa, berguna untuk buat rumah pada hari perjalanan dan menetap. Sementara bulu-bulu dan rambut mereka berguna untuk buat perkakas rumah tangga dan kesenangan lain untuk satu waktu (16:80).
Bulunya yang berjambak, yang ditarik, jadi umpamaan bagi apa yang terjadi pada gunung-gunung pada Hari Akhir. Firman Tuhan,
"Dan gunung-gunung seperti bulu (kambing) berjambak yang ditarik." (101:5)
Dan, kambing didapati suka merosakkan tanaman (21:78).
Biri-biri adalah seperti kambing pada kulit dan bulu dalam kegunaannya (16:80).
Nabi Daud telah diminta untuk mengadili dua orang yang bersaudara yang berselisih mengenai biri-biri betina. Seorang mempunyai sembilan puluh sembilan ekor dan yang seorang lagi hanya seekor. Saudara yang mempunyai yang banyak minta diserahkan yang seekor itu kepadanya, dan dia telah mengalahkan saudaranya dalam ucapan. Nabi Daud tidak bersetuju dengan kehendak saudara yang tamak itu (38:23-24).
Melencong sedikit daripada tajuk untuk menyebut kisah Nabi Nuh yang diperintah Allah supaya membawa bersamanya di dalam kapal "dua daripada tiap-tiap jenis" selain keluarganya, dan orang-orang yang percaya (11:40 dan 23:27).
Perkataan "jenis" di situ diterjemah daripada zawj, yang juga bermaksud "pasangan", diguna di dalam al-Qur'an dengan banyak terutama untuk dipadankan dengan lelaki dan perempuan, atau pasangan suami isteri. Ia juga dipadankan dengan biri-biri, kambing, unta dan lembu (6:143-144), haiwan ternak (42:11), buah-buahan (13:3), dan tumbuhan (20:53, 22.5, 26:7 dan 31:10).
Maka dengan itu dapat difahamkan segala yang diangkut di dalam kapal Nabi Nuh, iaitu keperluan untuk kehidupan baru di tempat baru setelah tempat tinggal Nabi Nuh dan orang-orang bersamanya dimusnah oleh banjir besar yang gelombangnya setinggi gunung (11:42). Tentu mereka tidak bercadang membuka sebuah zoo, atau sarkas, dengan membawa bersama segala haiwan, termasuk yang buas, seperti dicerita oleh sesetengah pihak, di tempat baru, dalam keadaan susah!
Kembali kepada contoh-contoh haiwan yang didapati di dalam al-Qur'an. Seterusnya ialah babi. Daging babi haram dimakan, kecuali terpaksa dan dengan tidak menginginkan dan tidak pula menderhakai Allah (2:173, 16:115).
Sifat babi tidak disenangi, kerana menurut ayat 5:60, orang-orang yang Allah laknat, dan padanya Dia murka, Dia jadikan mereka beruk dan babi. Orang-orang yang dilaknati dan dimurkai tentulah mereka yang tidak percaya kepada ayat-ayat-Nya.
Seekor lagi haiwan yang tidak disenangi oleh sesetengah pihak, tetapi tidak diharamkan Allah, ialah anjing. Ia telah jadi teman kepada beberapa orang pemuda beriman yang mengambil perlindungan di sebuah gua daripada ancaman orang-orang tidak percaya. Allah sudah matikan mereka, bersama anjing mereka, dan kemudian hidupkan mereka semula. Cerita mereka dapat dibaca di surah 18, ayat 9 hingga 26.
Antara golongan anjing, ada yang dilatih untuk memburu. Apa yang ditangkaphnya, dengan mulut dan gigi, dihalakan untuk dimakan dengan menyebut nama Allah ke atasnya (5:4).
Beruk telah diceritakan bersama babi tadi, iaitu orang-orang yang dilaknati dan dimurkai Allah dijadikan haiwan yang dua itu (5:60).
Turut dijadikan beruk ialah orang-orang yang mencabuli Sabat, dan orang-orang yang memandang rendah pada apa yang mereka telah dilarang. Kata-Nya, "Jadilah kamu beruk, menyelinap dengan melarat." (2:65, 7:166).
Ular disebut sebanyak lima kali di dalam al-Qur'an (7:107, 20:20, 26:32, 27:10 dan 28:31). Kesemuanya mengenai tongkat Nabi Musa yang jadi ular apabila dia melemparnya. Satu contoh ayat berbunyi,
"Maka dia lempar tongkatnya, dan tiba-tiba ia adalah ular yang nyata." (7:107)
Lebah yang keluarkan madu dinyatakan di dalam ayat-ayat berikut:
"Dan Pemelihara kamu wahyukan lebah, 'Ambillah untuk kamu daripada gunung-gunung, rumah-rumah, dan daripada pokok-pokok, dan daripada apa yang mereka bangunkan. Kemudian makanlah tiap-tiap buahan, dan ikutlah jalan-jalan Pemelihara kamu yang senang kepergiannya.' Kemudian keluar dari perut mereka, satu minuman yang bermacam-macam warna, di dalamnya penyembuhan untuk manusia." (16:68-69)
Rama-rama muncul sekali sahaja di dalam al-Qur'an untuk beri gambaran mengenai keadaan manusia apabila datang Hari Akhir:
"Pada hari manusia seperti rama-rama bertebaran," (101:4).
Juga belalang, sekali, untuk menggambarkan keadaan sesetengah manusia pada hari mereka dibangkitkan semula:
"Menjatuhkan pandangan mereka, mereka keluar dari makam-makam mereka, seakan-akan mereka belalang-belalang yang bertaburan," (54:7).
Belalang juta, kutu dan katak adalah antara azab yang diutus kepada Firaun dan kaumnya supaya mereka merendah diri terhadap ayat-ayat Allah. Dia jelaskan,
"Maka Kami utus kepada mereka banjir, dan belalang juta, dan kutu, dan katak, dan darah - ayat-ayat yang jelas; tetapi mereka sombong, dan mereka adalah kaum yang berdosa." (7:133)
Haiwan serangga yang kecil, semut, termasuk dalam kisah Nabi Sulaiman. Ia didapati berkata-kata dan bahasanya telah diterjemah kepada bahasa Arab al-Qur'an, dan di sini, ke dalam bahasa Melayu pula. Begini bunyinya,
"Sehingga, apabila mereka datang ke lembah semut, berkata seekor semut, 'Wahai semut-semut, masuklah ke dalam tempat-tempat tinggal kamu supaya Sulaiman dan tenteranya tidak menginjak kamu, dengan tidak sedar.'" (27:18)
Beralih ke laut, untuk menyebut ikan, yang telah telan Nabi Yunus kerana dia didapati bersalah (37:142). Tetapi dia diselamatkan Allah, dan digelar Teman Ikan (68:48).
Seekor ikan yang dilupakan oleh Nabi Musa dan budak suruhannya telah jadi isyarat untuk menunjukkan tempat pertemuan dengan seorang hamba Allah yang telah diajar suatu pengetahuan daripada-Nya (18:63).
Ikan juga dijadikan ujian, iaitu untuk orang-orang Sabat kerana kefasiqan mereka (7:163).
Persamaan
Kembali kepada haiwan di darat yang belum disenaraikan di sini. Singa, yang digelar oleh manusia Raja di Rimba, terbit bersama keledai dalam ayat-ayat yang buat persamaan bagi orang-orang yang berpaling daripada Peringatan, atau ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Mengapakah dengan mereka, bahawa mereka berpaling daripada Peringatan, seakan-akan mereka keledai yang terkejut, yang lari di hadapan singa?" (74:49-51)
Labah-labah, iaitu yang betina, dengan rumah-rumah mereka, jadi persamaan kepada orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah, mengikut ayat berbunyi,
"Persamaan orang-orang yang mengambil untuk mereka wali-wali (pelindung-pelindung), selain daripada Allah, ialah seperti persamaan labah-labah betina yang mengambil untuknya sebuah rumah; dan sesungguhnya yang paling lemah antara rumah-rumah ialah rumah labah-labah betina, jika mereka tahu." (29:41)
Lalat, yang bersaiz kecil, dijadikan contoh dalam persamaan ke atas orang-orang yang seru selain daripada Allah. Firman-Nya,
"Wahai manusia, satu persamaan dijadikan; maka dengarlah padanya. Sesungguhnya orang-orang yang kamu seru, selain daripada Allah, tidak akan dapat cipta seekor lalat, walaupun mereka berkumpul untuknya; dan jika seekor lalat merampas sesuatu daripada mereka, mereka tidak akan dapat selamatkannya daripada ia. Lemahlah sungguh yang mencari, dan yang dicari!" (22:73)
Agas, yang paling kecil dan terakhir dalam senarai haiwan di sini adalah sebenarnya contoh haiwan yang pertama disebut di dalam al-Qur'an. Ayat yang mengandungi satu-satunya perkataan agas menegaskan bahawa Allah tidak malu buat persamaan bagi manusia walaupun dengan seekor agas, atau apa yang lebih rendah. Orang-orang yang percaya percaya bahawa persamaan yang dibuat oleh Allah adalah benar atau tepat, tetapi orang-orang tidak percaya mengherdiknya. Ramai daripada manusia disesatkan dengan persamaan-persamaan yang dibuat-Nya (2:26).
Senarai persamaan manusia dengan haiwan ditambah lagi. Allah telah menyamakan seburuk-buruk haiwan pada pandangan-Nya dengan orang-orang yang pekak, bisu, tidak memahami atau tidak mahu memahami ayat-ayat-Nya. Firman berbunyi,
"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak faham." (8:22)
Seburuk itu disetarakan pula dengan orang-orang tidak percaya, yang tidak akan percayai. Firman-Nya,
"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang tidak percaya, yang tidak akan percayai," (8:55).
Namun, kepada orang-orang tidak percaya, persamaan ditambah atas kegembiraan dan tabiat makan, yang diserupakan dengan binatang ternak. Firman-Nya,
"Bagi orang-orang tidak percaya, mereka bergembira dan makan sebagaimana binatang ternak makan;" (47:12).
Binatang ternak juga dijadikan persamaan untuk orang-orang yang tidak guna otak, mata, dan telinga terhadap ayat-ayat Allah. Firman Tuhan,
"Kami ciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (otak), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai." (7:179)
Sekali lagi binatang ternak dijadikan persamaan, tetapi kali ini untuk orang-orang yang tidak mendengar atau tidak mahu faham ayat-ayat Allah. Ayat yang menjelaskannya berbunyi,
"Atau, kamu sangka kebanyakan daripada mereka mendengar atau memahami? Mereka, tidak lain, adalah seperti binatang ternak; tidak, mereka lebih jauh sesat daripada jalan." (25:44)
Keledai disamakan dengan orang-orang yang dustakan ayat-ayat Allah, yang mengambil timbunan kitab yang tebal (keledai mampu memikul beban yang sangat berat) tetapi tidak memikul sebuah Kitab yang diturunkan-Nya. Dia mengingatkan,
"Persamaan orang-orang yang dibebankan dengan Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti persamaan seekor keledai yang memikul buku-buku yang tebal. Adalah buruk persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Allah. Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (62:5)
Akhir sekali, bagi orang-orang yang dustakan ayat-ayat Allah dan ikut keinginan mereka, mereka dibandingkan dengan anjing yang menjulurkan lidah. Begini bunyi perbandingan daripada-Nya,
"Dan sekiranya Kami hendak, tentu Kami naikkan dia dengannya, tetapi dia kekal (cenderung) kepada bumi, dan ikut keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itu persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka fikirkan." (7:176)
Terdapat dua puluh lima contoh haiwan yang disebut di dalam al-Qur'an. Enam daripadanya - singa dan keledai, labah-labah betina, lalat, agas dan anjing - dijadikan persamaan untuk sesetengah golongan manusia, selain seburuk-buruk haiwan atau binatang ternak yang berjumlah lima. Sesungguhnya terdapat pelbagai pelajaran bagi manusia daripada haiwan yang dicipta Allah.
Penulis
Bacaan
3 Januari 2005
Artikel /
English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman