Pertalian Darah

 

Firman Allah, "Kami ceritakan kepada kamu cerita paling baik dalam apa Kami wahyukan kamu, al-Qur'an ini" (12:3), dan Firman-Nya bersambung lagi "Pada Yusuf dan saudara-saudaranya adalah ayat-ayat bagi orang-orang yang bertanya" (12:7). Memang ada orang yang bertanya.

Seorang telah tampil dan bertanya tentang beban yang sedang dipikul, iaitu pertelingkahan dengan saudara-saudaranya. Beliau kelihatan marah dan telah mengambil tindakan seolah memutuskan hubungan dengan mereka atas sebab dirasai sudah dizalimi oleh mereka.

Mungkin cerita Nabi Yusuf berlainan sedikit.

Saudara-saudara Yusuf telah buat muslihat terhadapnya dengan tipu muslihat, daripada hasutan syaitan, terbit daripada suatu perasaan terpendam di dalam diri mereka. Mereka merasakan kurang dicintai oleh bapa mereka yang dilihat mencintai Yusuf dengan lebih banyak cinta. Lalu mereka berbicara rahsia untuk mendapatkan suatu putusan.

"Apabila mereka berkata, 'Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya lebih dicintai oleh bapa kita daripada kita, sedang kita sekumpulan. Sesungguhnya bapa kita adalah dalam kesesatan yang nyata.
Bunuhlah Yusuf, atau buanglah dia ke mana-mana bumi, supaya muka bapa kamu bebas kepada kamu, dan setelah itu kamu jadi satu kaum yang salih.'
Seorang daripada mereka berkata, 'Tidak, jangan bunuh Yusuf, tetapi lemparlah dia ke dasar perigi, dan sebahagian pengembara akan memungutnya, jika kamu mahu lakukan.'"
(12:8-10)

Yusuf telah dipisahkan dengan kejam daripada bapa dan saudaranya, dalam tipu muslihat mereka, dan mereka pula adalah anak-anak kepada seorang Nabi.


Sebelum itu, Allah telah menceritakan suatu perselisihan adik-beradik yang berkesudahan dengan maut bagi seorang daripada mereka, dan mereka adalah anak-anak kepada Adam, yang jadi antara orang-orang yang dipilih Allah di atas semua alam.

Perselisihan bangkit "ketika mereka persembahkan satu qurban, lalu ia diterima daripada seorang daripada mereka, dan tidak diterima daripada yang lain" (5:27). Yang tidak diterima, kemudiannya, mengambil satu tindakan yang amat merugikan, berbunyi "Kemudian jiwanya mendorongnya untuk membunuh saudaranya, dan dia membunuhnya," (5:30).


Dua kezaliman ke atas saudara atau adik-beradik sendiri telah diceritakan dengan jelas di dalam al-Qur'an. Pertama, kerana dengki akibat tidak dapat penuh perhatian daripada bapa yang dirasakan telah memilih kasih antara anak-anaknya.

Kedegkian atas sebab tidak dapat perhatian boleh menjalar kepada orang lain, misalan sanak saudara atau sahabat handai, yang dikhuatiri tidak akan memberi perhatian kepada saudara yang mendengki. Tindakan akan diambil untuk mendapatkan perhatian tersebut, mungkin tidak seperti dikenakan pada Yusuf, tetapi ia tetap diambil.


Kedua, kerana peribadatan atau keagamaan, yang merupakan sangat berat. Kerananya, seorang saudara telah membunuh saudaranya sendiri. Adik-beradik berbunuhan atas kepercayaan agama!

Kedengkian dalam perkara keagamaan berlaku kerana Allah kurniakan pemberian-Nya kepada siapa Dia hendaki (2:90). Kalau di kalangan keluarga ia mungkin diberi kepada saudara yang difikirkan tidak layak menerimanya oleh saudara yang mendengki.

Kerana agama peperangan telah berlaku, sedangkan berperang di jalan Allah menjadi suruhan-Nya, tetapi ke atas pihak yang memerangi. Bagaimana pula jika pihak yang memerangi terdiri daripada saudara sendiri, dan bagaimana pun wajah peperangan tanpa senjata pada hari ini? Tentu hebat juga.

"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli;" (2:190).


Pengetahuan Kitab yang baru sampai mampu pecah belahkan manusia (42:14), termasuk mereka yang bersaudara, kerana keangkuhan antara satu sama lain. Pecah belah turut berlaku di kalangan orang-orang mukmin, atau kalangan saudara-saudara yang mukmin, yang tidak terlepas daripada sifat angkuh.

"Jika dua golongan orang-orang mukmin berperang, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah." (49:9)

Justeru, jika dua beradik mukmin berperang atau bergaduh, tindakan membetulkan mereka harus diambil, dan sesiapa yang berterusan dalam keangkuhan adalah diperangi. Saudara yang angkuh tidak dilindungi.


Ejek-mengejek menjadi gejala yang dibudayakan, dan dalam al-Qur'an pula, ia dilarang, kerana orang yang diejek mungkin merupakan yang lebih baik daripada pengejek. Turut dilarang ialah mencari kesilapan sesama sendiri, dan menghina dengan nama gelaran.

"Wahai orang-orang yang percaya, jangan sesuatu kaum mengejek kaum lain, yang mungkin lebih baik daripada mereka; dan jangan juga perempuan-perempuan memperolok-olokkan perempuan-perempuan yang mungkin lebih baik daripada mereka. Dan jangan mencari kesilapan diri-diri (sesama) kamu, dan jangan juga menghina satu sama lain dengan nama-nama gelaran." (49:11)

Pakaian mencari kesilapan sesama sendiri, menghina dan mengejek mungkin juga berada di dalam almari sesetengah rumah ahli keluarga.


Dalam hal peribadatan juga boleh berlaku ejek-mengejek. Firman-Nya, "Dan jika kamu panggil kepada solat, mereka ambilnya dalam ejekan, dan sebagai satu permainan; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham" (5:58). Tiupan angin solat telah melahirkan beberapa wajah solat. Dan antara mereka pula ada yang bertelingkah, walaupun tidak perlu. Ejekan akan terbit, daripada saudara (jika dalam keluarga) yang tentu tidak memahami.


Sifat benci tidak ketinggalan. Ia tidak dapat disembunyikan, kerana lambat laun, ia menjadi nyata apabila Allah keluarkan kebencian yang menggelegak di dalam jiwa (saudara) yang berpenyakit, seperti hasrat dengki, angkuh. Firman-Nya,

"Atau, adakah orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit sangka Allah tidak akan keluarkan kebencian mereka?" (47:29)


Kesemua kelemahan itu, yang dapat dilihat, apabila hadir di kalangan para saudara mampu merosakkan keluarga atau pertalian darah. Hati sesetengah pihak mungkin tidak tenteram dengannya, lalu bertindak mencari pendapat lain atas tindakan menjauhkan diri yang diambil. Tiada nasihat yang lebih baik yang dapat diberi kecuali apa yang diingatkan Allah seperti berikut:

"Dan sabarlah kamu terhadap apa mereka kata, dan tinggalkan mereka dengan tinggalan yang manis." (73:10)

Turut disuruh supaya ditinggalkan adalah mereka yang bergolongan dalam kepercayaan (23:53-54) - dan golongan-golongan itu mungkin wujud daripada beberapa wajah solat yang difahami - dan, mereka yang berbangga sambil membantah ayat-ayat Allah (40:56). Golongan-golongan yang ditinggalkan ini termasuk mereka yang bersaudara atau ahli keluarga.

Sungguh, saudara-saudara boleh dipandu ke dalam kesalahan oleh syaitan.

"Dan saudara-saudara mereka yang mereka pandu ke dalam kesalahan, kemudian mereka tidak berhenti-henti." (7:202)


Keluarga dibentuk daripada pertalian darah dan perkahwinan. Firman-Nya, "Dan Dia yang ciptakan daripada air, manusia, dan membuatnya sekeluarga melalui darah dan perkahwinan;" (25:54).

Banyak ayat al-Qur'an menyebut mengenai keluarga, mengenai tanggungjawab misalannya. Daripada yang banyak itu, beberapa ayat telah dipilih dan diringkaskan di bawah ini:


Dalam keluarga yang dibentuk melalui darah, atau dalam pertalian darah, pertama yang diutamakan ialah ibu bapa. Lihat ayat pertama di bawah, lihat kedudukan mereka di sisi Allah.

"Berterimakasihlah kepada-Ku, dan kepada ibu bapa kamu;" (31:14)

"Pemelihara kamu tentukan bahawa kamu tidak sembah sesuatu melainkan Dia, dan buat baik kepada ibu bapa, sama ada seorang atau kedua-dua mereka telah sampai umur tua di sisi kamu, maka janganlah berkata kepada mereka, 'Cis!', dan jangan juga herdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang mulia." (17:23)

Dia menyuruh supaya berterimakasih kepada ibu bapa, dan melarang mengherdik mereka, tetapi hanya perkataan-perkataan yang mulia. Disuruh juga supaya buat baik kepada mereka, dan mereka didapati pula mendahului dalam senarai orang-orang yang harus dibuatbaik. Amalan itu menjadi syarat dalam menyembah Allah dan tidak sekutukan Dia dengan sesuatu:

"Sembahlah Allah, dan janganlah sekutukan sesuatu dengan-Nya.
Buat baik kepada
ibu bapa,
dan kepada sanak saudara yang dekat,
dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin,
dan jiran yang kerabat,
dan jiran yang tidak dikenali,
dan teman di sebelah kamu,
dan musafir,
dan apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki.
Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang sombong, membanggakan diri,"
(4:36).

Selanjutnya, mereka diutamakan dalam wasiat, selain sanak saudara (2:180), diutamakan dalam nafkah (2:215), dan mereka termasuk dalam doa memohon agar diampunkan pada Hari Kiamat (14:41).

Pun begitu, ketaatan kepada mereka, ibu bapa atau bapa menurut al-Qur'an, ada batasnya, di sisi Allah:


Pada Hari Kiamat "
tiada bapa akan bela anaknya, dan tiada juga anak bela bapanya sedikit pun" (31:33). Demikianlah itu kedudukan ibu bapa di dunia dan di akhirat. pertalian keluarga berakhir apabila trompet ditiup.

Selalu disebut bersama ibu bapa, ialah sanak saudara. Terdapat banyak juga peringatan mengenai mereka yang sekeluarga. Antaranya diringkaskan di bawah:


Kesemua mereka yang bertalian darah adalah dekat dengan satu sama lain, lebih dekat daripada orang mukmin lain atau penghijrah, dalam Kitab Allah.

"Nabi adalah lebih dekat dengan orang-orang mukmin daripada diri-diri mereka sendiri; isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka. Mereka yang mempunyai pertalian darah adalah lebih dekat dengan satu sama lain, di dalam Kitab Allah, daripada orang-orang mukmin, dan penghijrah-penghijrah; sekalipun begitu, kamu patut buat baik kepada wali-wali (sahabat-sahabat) kamu; demikian itu tertulis di dalam Kitab." (33:6)

Pertalian rapat di kalangan mereka yang bertalian darah tidak harus diputuskan, kerana ia merupakan satu larangan daripada Allah. Mereka yang memutuskannya tergolong dalam golongan orang-orang yang buat kerosakan di bumi.

"Jika kamu berpaling, adakah kamu akan buat kerosakan di bumi, dan memutuskan hubungan pertalian darah?" (47:22)


Pemutusan hubungan pertalian darah mungkin dilakukan dengan lisan, seperti menyatakan tidak lagi mengaku anak atau bapa, dan sebagainya, atau seperti berlaku di negara lain di mana anak boleh memutuskan hubungan dengan bapa melalui proses undang-undang di mahkamah. Apapun, kebencian yang tersembunyi pasti akan dikeluarkan oleh Allah (ayat 47:29 sudah disebut).

Atau dengan perbuatan, yang tidak atau enggan buat apa yang harus dibuat terhadap mereka setalian darah, misalan tidak disenaraikan dalam wasiat, tidak memberi mereka nafkah, tidak berlaku adil, dan lain yang telah disebut. Satu contoh:

"Janganlah orang-orang antara kamu yang mempunyai pemberian dan keluasan bersumpah untuk tidak memberi sanak saudara, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang hijrah di jalan Allah; tetapi hendaklah mereka maafkan dan ketepikan. Tidakkah kamu suka bahawa Allah akan ampun kamu? Allah Pengampun, Pengasih." (24:22)

Mungkin dengan bersumpah di situ, terhadap sanak saudara, dapat diputuskan bahawa orang yang bersumpah telah memutuskan pertalian darah dengan sanak saudara. Kerana darah yang mengalir, seperti air, bila dicincang pun tidak akan putus. Maka pemutusannya adalah dengan lafaz atau perbuatan.

Amaran-Nya,

"Dan orang-orang yang pecahkan perjanjian setelah diikat dengan teguh, dan yang memutuskan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan yang buat kerosakan di bumi - bagi mereka adalah laknat, dan bagi mereka, tempat kediaman yang buruk." (13:25)


Pertalian darah tidak diputuskan, walaupun terpisah, tanpa kasih sayang, namun hak mereka tidak diabaikan. Itu di dunia. Di akhirat lain, di mana mereka tidak mendatangkan sebarang manfaat, dan mereka seterusnya akan dibeza-bezakan oleh Allah.

"Tidaklah kerabat kamu daripada pertalian darah, dan tidak juga anak-anak kamu bermanfaat kepada kamu pada Hari Kiamat; Dia akan bezakan antara kamu. Dan Allah lihat apa kamu buat." (60:3)

Pemutusan pertalian darah tidak diingini. Semua yang mengalaminya tentu ingin menjadi seperti Nabi Yusuf dan ahli keluarganya, yang terputus hubungan tetapi berakhir dengan bersatu dalam keluarga, dan saudara-saudara Yusuf yang bersalah, mengaku salah.

"Mereka (saudara-saudara Yusuf) berkata, 'Demi Allah, sesungguhnya Allah lebih suka kamu daripada kami, dan sesungguhnya kami bersalah.'
Berkata (Yusuf), 'Tidak ada celaan pada hari ini kepada kamu; Allah ampunkan kamu; Dia yang paling berpengasihan daripada yang berpengasihan.'" (12:91-92)

Allah Pengampun, mohonlah ampun kepada-Nya.

Mungkin cerita Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya menjadi pelajaran seperti terkandung dalam mesej Allah berbunyi, "Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang empunya minda" (12:111), dan pelajaran di situ pula termasuk keperitan bila dialami dalam persengketaan pertalian darah.

Allah disanjung!


Penulis Bacaan
26 Nov 2012


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman