Surah 59
PENGUMPULAN

(24 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

59:1. Segala di langit dan di bumi menyanjung Allah; Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana.

59:2. Dia yang keluarkan dari tempat tinggal mereka, orang-orang tidak percaya daripada ahli Kitab, pada pengumpulan yang pertama. Kamu tidak sangka mereka akan keluar, dan mereka sangka kubu-kubu mereka dapat mempertahankan mereka terhadap Allah; kemudian Allah datang kepada mereka dari arah yang mereka tidak jangkakan, dan Dia lemparkan ketakutan yang amat sangat ke dalam hati mereka sedang mereka meruntuhkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri, dan tangan orang-orang mukmin; maka ambillah pelajaran, wahai orang-orang empunya mata (penglihatan)!

59:3. Jika tidak kerana Allah tuliskan (tetapkan) penyuraian bagi mereka, tentu Dia akan azab mereka di dunia; dan bagi mereka di akhirat, azab Api.

59:4. Itu kerana mereka melawan Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa melawan Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah keras dalam balasan-Nya.

59:5. Apa sahaja pohon palma yang kamu tebang, atau tinggalkannya berdiri di atas akarnya, itu adalah dengan izin Allah, dan supaya Dia aibkan orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan).

59:6. Dan apa sahaja yang Allah beri Rasul-Nya (rampasan perang) daripada mereka, terhadap apa yang kamu memacu yang bukan daripada kuda, dan bukan juga unta; tetapi Allah beri kuasa kepada Rasul-Rasul-Nya terhadap sesiapa Dia hendaki. Allah berkuasa atas segala sesuatu.

59:7. Segala apa yang Allah beri Rasul-Nya (rampasan perang) daripada penduduk bandaraya-bandaraya adalah kepunyaan Allah, dan Rasul-Nya, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, supaya ia jangan bergilir antara orang-orang kaya antara kamu. Apa sahaja yang Rasul beri kamu, ambillah; apa sahaja yang dia larang kamu daripadanya, hentikanlah. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam balasan-Nya.

59:8. Ia adalah untuk penghijrah-penghijrah yang fakir (memerlukan), yang diusir daripada tempat tinggal mereka dan harta benda mereka, untuk mencari pemberian daripada Allah dan kepuasan hati, dan menolong Allah dan Rasul-Nya; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar.

59:9. Dan orang-orang yang telah bertempatkan di tempat tinggal, dan dalam keimanan, sebelum mereka, mencintai sesiapa yang hijrah kepada mereka, dengan tidak dapati di dalam dada mereka sebarang hajat (keinginan) terhadap apa yang mereka diberi, dan lebih suka yang lain di atas diri-diri mereka, walaupun kepapaan adalah bahagian mereka. Dan sesiapa yang dilindungi daripada kehalobaan jiwanya sendiri, mereka itu, merekalah orang-orang beruntung.

59:10. Dan bagi orang-orang yang datang sesudah mereka, mereka berkata, “Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami, dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam keimanan, dan janganlah Engkau letak di dalam hati kami sebarang perasaan dendam terhadap orang-orang yang percaya. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkau Lembut, Pengasih.”

59:11. Tidakkah kamu renungkan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka daripada ahli Kitab yang tidak percaya, “Jika kamu diusir, kami akan keluar bersama kamu, dan untuk kamu, kami tidak akan taati sesiapa pun selama-lamanya. Jika kamu diperangi, kami akan tolong kamu.” Dan Allah saksikan bahawa mereka adalah benar-benar pendusta-pendusta.

59:12. Jika mereka diusir, mereka tidak akan keluar bersama mereka, dan jika mereka diperangi, mereka tidak akan tolong mereka. Sekalipun mereka tolong mereka, tentu mereka akan berpaling ke belakang, kemudian mereka tidak ditolong.

59:13. Sungguh, kamu lebih menggerunkan di dalam dada mereka daripada Allah; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham.

59:14. Mereka tidak akan memerangi kamu kesemuanya, kecuali di dalam bandaraya-bandaraya yang berkubu, atau dari belakang tembok-tembok. Keberanian mereka adalah sangat di kalangan mereka; kamu sangka mereka sebagai satu kumpulan, tetapi hati mereka berlainan; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham.

59:15. Persamaan orang-orang yang tidak lama sebelum mereka yang merasakan keburukan daripada urusan mereka; bagi mereka, azab yang pedih.

59:16. Persamaan syaitan, apabila ia berkata kepada manusia, “Jangan percaya”; kemudian apabila dia tidak percaya, ia berkata, “Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Pemelihara semua alam.”

59:17. Kesudahan mereka, kedua-duanya di dalam Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya; itulah balasan ke atas orang-orang zalim.

59:18. Wahai orang-orang yang percaya, takutilah Allah. Hendaklah tiap-tiap jiwa renungkan apa yang ia dahulukan untuk esok. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat.

59:19. Janganlah jadi seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Dia jadikan mereka melupakan diri-diri mereka; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq.

59:20. Tidaklah sama penghuni-penghuni Api dengan penghuni-penghuni Taman. Penghuni-penghuni Taman, merekalah orang-orang yang menang.

59:21. Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk, terpecah-pecah daripada ketakutan kepada Allah. Dan persamaan-persamaan itu Kami buatkan untuk manusia supaya mereka fikirkan.

59:22. Dia Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Dia yang tahu yang ghaib dan yang nyata; Dia Yang Pemurah, Yang Pengasih.

59:23. Dia Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Dia Raja, Yang Suci, Yang Sejahtera (Assalam), Yang Setia (Mukmin), Yang Mengawal, Yang Perkasa, Yang Mempunyai Kuasa, Yang miliki Segala Kebesaran. Allah disanjung, di atas apa mereka sekutukan!

59:24. Dia Allah, Yang Pencipta, Yang Mengadakan, Yang Pembentuk. Bagi-Nya nama-nama paling baik. Segala di langit dan bumi menyanjung-Nya; Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana.

Daftar Surah