Utusan Malaysia, 19 Julai 1995, muka 4

 

Hukum murtad yang zalim


Penulis didakwa menjadi seorang murtad kerana menterjemahkan al-Qur'an tanpa "ilmu"! Ilmu yang dimaksudkan ialah "ilmu Islam" yang jadi basahan penuduh di atas. Bukti kepada dakwaan itu tidak pula dikemukakan. Mungkin sebab beliau terlepas pandang ayat-ayat al-Qur'an yang mengajar supaya menunjukkan bukti apabila buat sesuatu dakwaan (21:24 dan 27:64), terutamanya yang berat seperti ini.

Lagi, tafsiran kepada kata murtad dan fatwanya, sebagaimana yang disebut oleh Timbalan Presiden Pas itu, didapati berlainan dengan apa yang Allah wahyukan kepada Nabi-Nya yang terakhir. Inilah bunyi wahyu Allah, yang juga jadi sabda Nabi-Nya mengenai orang murtad:

"... sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan datangkan satu kaum yang Dia cintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela" (5:54).

Dengan itu, dipelajari bahawa hanya Allah yang akan ambil tindakan ke atas orang-orang murtad (yang berpaling atau keluar) daripada agama-Nya. Manusia tidak disuruh buat demikian. Itu hak Allah bukan hak manusia. Melainkan manusia itu ingin jadi seperti-Nya (21:29)!

Tambahan pula, dalam kes "dapat, atau tidak dapat, petunjuk" seperti ini, haruslah diingat bahawa hanya Allah yang beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki (2:142, 2:213, 6:88, 10:25, 14:4, 16:93, 22:16, 24:46, 35:8, 39:23, 42:52, 74:31). Malah, Nabi sendiri tidak dapat beri petunjuk kepada orang lain termasuk orang-orang kesayangannya (2:272 dan 28:56).

Justeru, ditegaskan lagi iaitu tindakan ke atas orang-orang murtad bukanlah urusan manusia, kerana dikhuatiri bahawa manusia yang menuduh serta ingin ambil tindakan itu sendiri merupakan orang yang tidak dapat petunjuk yang sebenar daripada Allah!

Namun, tokoh Pas tersebut menegaskan bahawa hukum murtadnya adalah menurut agama Islam. Walhal, agama Islam adalah agama Allah. Agama Allah berpandukan al-Qur'an, sementara hukum murtadnya tidak, tetapi menuruti suatu seruan yang selain daripada Allah.

Kerana menyatakan hukum murtadnya hukum Islam maka ia seakan-akan lakukan satu pendustaan terhadap Allah. Berdusta terhadap Allah adalah zalim. Kezalimannya disahihkan lagi dengan perbuatan tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan. 

Dua ayat Allah yang berikut adalah bukti-bukti yang jelas kepada kenyataan-kenyataan tersebut:

"Siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dustakan ayat-ayat-Nya? Mereka itu, bahagian mereka daripada Kitab akan sampai kepada mereka sehingga, apabila Rasul-Rasul Kami datang kepada mereka untuk matikan mereka, mereka berkata, 'Di manakah apa yang kamu seru selain daripada Allah?' Mereka berkata, 'Mereka telah hilang daripada kami', dan mereka saksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang tidak percaya" (7:37).

"Dan sesiapa tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang zalim" (5:45).

Oleh yang demikian, maka sahlah, hukum murtadnya, yang membawa hukum mati, berbau kezaliman, yang bukan bau Islam sebenar.

Tokoh politik dan agama tersebut turut menyatakan iaitu "penyelewengan di dalam buku kontroversi Bacaan itu jelas merupakan satu rangkaian pakatan antarabangsa untuk menjatuhkan Islam" (perenggan kedua).

Sebenarnya, penulis tidak begitu arif dengan pegangan atau fahaman tokoh-tokoh yang disebut itu; tidak juga Dia menyedari akan adanya satu rangkaian pakatan antarabangsa untuk menjatuhkan Islam oleh orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an.

Sebaliknya, dia melihat pada apa yang berlaku di dunia hari ini, dan tindakan kejam sesetengah orang yang mengaku Islam itu sebagai satu petunjuk yang jelas daripada Allah, agar orang-orang yang mengaku Islam kembali kepada ajaran asal, iaitu ajaran kitab al-Qur'an - kitab yang jadi basahan Nabi Allah yang terakhir dan yang disampaikannya kepada seluruh umat manusia.

Sekiranya orang Islam tidak balik kepada ajaran Allah dan terus mengamalkan Islam seperti yang dipakai oleh tokoh Pas tersebut maka adalah ditakuti bahawa Islam akan jadi agama yang paling zalim di dunia pada hari ini. Akibatnya, cubaan yang keras daripada Allah tentu akan turun dan dirasakan oleh bukan sahaja orang-orang yang melakukan kezaliman tetapi semua rakyat negara ini (8:25).

Sila rujuk:

Kalimat murtad di dalam al-Qur'an
Kalimat bunuh di dalam al-Qur'an
Hudud Pas (Sunni) berbanding hudud Allah
Dusta & Hadis Murtad
Syariat Agama
Murtad: Al-Qur'an Tidak Dirujuk


Jawapan penulis di akhbar

 

Halaman Utama  Terkini  Perpustakaan  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman