Murtad: Al-Qur'an Tidak Dirujuk

 


TheStar, 24 Januari 2006, halaman 3

 

Ringkasan berita di atas:


Nyonya seorang bukan-Islam

Dilahirkan pada tahun 1918, Nyonya Tahir telah dibesarkan oleh nenek berbangsa Melayu yang bersuamikan seorang mualaf daripada keturunan Cina. Beliau dibesarkan sebagai orang Cina dan berterusan sehingga setelah berkahwin seorang lelaki kaum tersebut yang tidak memeluk agama Islam.

Beliau telah buat pengakuan bertulis untuk terus hidup sebagai seorang penganut agama Budha dan ingin dikebumikan menurut kepercayaan tersebut, pada tahun 1986. Pengakuan tersebut disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah dan disimpan di pejabat agama dan Mahkamah Kadi di sebuah daerah di negeri Melaka.

Apabila beliau meninggal dunia pada 19 Januari lalu timbul masalah pengebumiannya kerana pada kad pengenalan beliau masih tercatat nama Melayu dan agama Islam. Menurut anaknya Pejabat Pendaftaran telah menolak permohonan beliau untuk menukarkan nama.

Pengebumiannya ditangguh setelah pejabat agama dapat perintah sehingga kes didengar pada 23 Januari.

Siasatan dibuat oleh seorang pegawai agama dan dapati beliau tidak bercadang untuk kembali kepada Islam dan telah mengamalkan cara hidup fahaman Budha sejak dari peringkat kanak-kanak lagi.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, setelah mendengar semua keterangan, buat keputusan untuk membenarkan jenazah Nyonya Tahir dikebumi mengikut fahaman Budha. Semua ahli keluarga beliau hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan hakim. Sejurus kemudian mereka bercepat-cepat pergi ke hospital untuk menuntut jenazahnya.

Keputusan hakim (ditanda dengan pen penyerlah warna kuning) turut dilaporkan seperti berikut:

Mohd Shukor, in his judgement, quoted Muslim scholar Syaikh Abu Syujak.
The scholar had said in his book Kifayatul-Akhyar that a person who had left the Muslim faith should be asked to repent three times and if he did not, he should be killed, his body cannot be bathed according to Muslim rites, prayers cannot be performed for him and he cannot be buried in a Muslim cemetery.

Dalam keputusannya hakim merujuk kepada seorang sarjana Islam, Syaikh Abu Syujak. Sarjana tersebut telah menyatakan di dalam bukunya Kifayatul-Akhyar bahawa seseorang yang tinggalkan agama Islam hendaklah disuruh bertaubat tiga kali dan jika dia tidak buat demikian, dia hendaklah dibunuh, mayatnya tidak boleh dimandikan menurut upacara Islam, sembahyang tidak boleh dilakukan ke atasnya dan dia tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan Islam.


Ulasan Penulis:

Kami faham mengapa pejabat agama bertindak begitu tegas, dan tindakan itu dihormati. Kalau tidak, menurut kepercayaannya, seluruh umat Islam di kawasan berkenaan akan menanggung dosa kerana tidak menguruskan jenazah seorang Islam.

Akan tetapi, kepercayaan atau hukum itu tidak disebut di dalam al-Qur'an. Tidak juga disebut hukum murtad seperti ditetapkan oleh sarjana Syaikh Abu Syujak yang dirujuk oleh hakim mahkamah tersebut.

Tuhan tidak menyuruh supaya orang-orang murtad dibunuh. Mengenai mereka Dia hanya mengatakan,

"Dan sesiapa daripada kamu berpaling (murtad) daripada agamanya, dan mati sedang tidak percaya, amalan mereka menjadi sia-sia, di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni-penghuni Api; di dalamya mereka tinggal selama-lamanya." (2:217)

Orang-orang murtad hanya dihukum oleh Allah di akhirat. Sementara di dunia mereka dihukum (oleh Allah juga) dengan diganti oleh kaum lain yang lebih baik daripada mereka. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan datangkan satu kaum yang Dia cintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Itu pemberian Allah; Dia berikannya kepada siapa Dia hendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui." (5:54)

Itu sahaja yang ditetapkan Allah ke atas orang-orang murtad. Ketetapan selain daripada itu tidak harus dirujuk mahupun diterima dalam agama-Nya. (Sila lihat Syariat Agama. Terima kasih.)

Tentu ada hikmah di sebalik Tuhan tidak menyuruh manusia ambil tindakan terhadap manusia lain yang murtad. Itu didapati sejajar pula dengan Kata-Nya yang lain iaitu tidak ada paksaan dalam agama:

"Tidak ada paksaan dalam agama. Yang benar telah jelas daripada yang salah." (2:256)

Tidak juga disebut di dalam agama Allah mengenai pengurusan jenazah seperti mandi, sembahyang dan sebagainya. Justeru, jika dilakukan juga maka Allah tidak akan mengubah nasib si mati yang bakal menunggu di akhirat setelah buku amalannya ditutup apabila dia meninggal dunia.

Begitu juga dengan upacara pengurusan jenazah menurut fahaman "bukan Islam". Ia turut tidak mengubah nasib si mati termasuk orang yang telah bertakwa kepada Tuhan.

Oleh kerana al-Qur'an yang penuh hikmah tidak dirujuk maka timbul tekanan terhadap keluarga Nyonya Tahir atas urusan pengebumiannya. Sama ke atas keluarga M. Moorthy beberapa minggu sebelum itu, tapi lebih pedih lagi, kerana mereka tidak dapat mengebumikan Moorthy menurut kepercayaan mereka. Pendaki Everest itu telah memeluk agama Islam tanpa pengetahuan isterinya, dan menurut isterinya lagi, suaminya tidak pernah mengamalkan Islam seperti berpuasa dan amalan-amalan lain.

Sebaliknya pula, kalau al-Qur'an dirujuk tentu dua jenazah tersebut terus diserah kepada waris mereka dengan tanpa lengah, dan perkara itu tidak diheret ke mahkamah lalu dipolemikkan oleh pihak tertentu. Tambahan lagi, api kebencian akibat tekanan yang diterima daripada orang Islam, yang sukar dipadam, dapat dielak daripada dinyalakan.

Dan, yang paling penting sekali ialah Islam pasti tidak rugi, malah akan beruntung, jika tindakan yang diambil terhadap dua kes itu merujuk kepada al-Qur'an sahaja.


31 Januari 2006
(Maal Hijrah)

Keratan Akhbar
Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar 
English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman