Bermula dari sebuah berita di akhbar. Berita itu bukan baru. Orang-orang tertentu selalu menyebutnya, berbunyi begini:
"... golongan murtad berdasarkan hukum Islam yang termaktub di dalam al-Qur'an mereka ini boleh dihukum bunuh"
Utusan Malaysia, 21 Julai 1995, muka 26
ruangan Dalam Negeri,
tajuk "Takrifkan antihadis ancam keselamatan" perenggan 7
Berita al-Qur'an menyuruh bunuh orang murtad tersebar luas. Kebanyakan daripada orang Melayu yang membacanya percayainya. Akan tetapi, sebenarnya,
Al-Qur'an tidak pun
menyebut atau menyuruh
orang murtad dibunuh!
Adalah difikirkan tidak keterlaluan untuk mengkategorikan berita tersebut sebagai dusta atau bohong. Kerana ia tanpa bukti daripada al-Qur'an.
Menurut Kamus Dewan (1994), dusta bererti bohong, karut, tidak benar; dan berdusta bererti berkata yang tidak benar; dan mendustakan bererti menganggap dusta (tidak benar, bohong), dan akhirnya pendustaan yang bererti perihal mendustai, pembohongan. Keempat-empat perkataan ini akan diguna dalam tulisan ini. Namun, penggunaannya diralatkan.
Tokoh agama yang mendatangkan pendustaan tersebut mungkin telah dikelirukan oleh tulisan orang-orang zaman dahulu, sehingga beliau tidak menang dalam bezakan antara ajaran al-Qur'an dengan yang bukan al-Qur'an. Orang-orang zaman dahulu yang jadi ikutannya, dan kebanyakan orang Melayu, boleh dikatakan ramai. Yang termasyhur sekali ialah Imam Bukhari. Dia orang Parsi.
Contoh tulisan Bukhari bagi hukum murtad dan dua kesalahan yang lain - yang turut melibatkan darah manusia ditumpah - adalah seperti berikut (setelah di-copy and paste daripada CD terbitan "Islamic Computing Centre, London, 1994"):
Reference: Sahih al-Bukhari
Volume: 9.
Hadith_no: 17
Narrator: 'Abdullah
Full_text:
Allah's Apostle said, "The blood of a Muslim who confesses that none has the right to be worshipped but Allah and that I am His Apostle, cannot be shed except in three cases: In Qisas for murder, a married person who commits illegal sexual intercourse and the one who reverts from Islam (apostate) and leaves the Muslims."
Dalam bahasa Melayu, hadis Bukhari itu berbunyi:
Rasul Allah telah bersabda, "Darah seseorang Muslim yang mengaku bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa aku Rasul-Nya, tidak boleh ditumpahkan melainkan dalam tiga kes: Dalam Qisas untuk pembunuhan, orang yang sudah berkahwin yang melakukan zina, dan orang berbalik dari Islam (murtad) lalu meninggalkan orang-orang Muslim." - diriwayatkan oleh 'Abdullah, Sahih Bukhari, jilid 9, no.17.
Hadis tersebut mengandungi bukan satu, atau dua, tetapi tiga pendustaan. Pendustaan yang ketiga dipilih untuk diperkatakan dahulu. Sebab ia menyentuh tema di sini. Di situ (tulisan Bukhari) didapati darah orang murtad ditumpahkan, atau dengan perkataan lain, orang murtad dibunuh.
Di sini pula, bunyinya jauh berbeza. Ia daripada al-Qur'an yang datang dari Allah dan Rasul, atau Nabi-Nya yang sebenar. Saksikanlah -
"Dan sesiapa daripada kamu berpaling (murtad) daripada agamanya, dan mati sedang tidak percaya, amalan mereka menjadi sia-sia, di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni-penghuni Api; di dalamya mereka tinggal selama-lamanya." (2:217)
"sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan datangkan satu kaum yang Dia cintai, dan mereka mencintai-Nya." (5:54)
Pada ayat-ayat Allah di atas, yang keluar dari mulut Rasul Allah (yang sebenar), didapati tidak disebut setitik darah pun. Yang disebut hanyalah amalan orang-orang murtad jadi sia-sia, dan mereka akan diganti oleh Allah dengan kaum lain di bumi ini. (Sila rujuk Hukum murtad yang zalim. Terima kasih).
Lantaran terdapat percanggahan antara tulisan Bukhari, yang kononnya datang dari Rasul Allah, dengan ajaran Allah yang disampaikan oleh Rasul Allah yang sebenar. Sekiranya tulisan Bukhari yang bertentangan itu diterima sebagai benar, maka al-Qur'an, dan Allah, dan Rasul atau Nabi-Nya yang sebenar, ditolak, dan dianggap sebagai dusta, bohong.
Pendustaan Bukhari seterusnya ialah yang pertama disebut dalam hadis tadi, iaitu Qisas untuk pembunuhan. Maksudnya, pembunuh hendaklah dibunuh dalam kes pembunuhan.
Akan tetapi, Allah menyatakan yang lain pula, berbunyi,
"Dalam pembalasan (qisas) ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang empunya minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)
Justeru itu, orang-orang empunya minda akan mengutamakan kehidupan dalam qisas bukan membunuh si pembunuh. Sementara yang tidak mempunyainya pula, tiada lain yang berlegar di kepala melainkan Bunuh! Bunuh! Dan bunuh!
Contoh, pada ayat murtad yang pertama disebut tadi - "Dan sesiapa daripada kamu berpaling (murtad) daripada agamanya, dan mati sedang tidak percaya..." Sesetengah golongan orang Islam menyimpulkan kalimat "mati" pada ayat tersebut kepada mati dibunuh di tangan mereka (kerana mentaati hukum murtad Bukhari). Bagi golongan yang empunya minda pula, ia bermaksud mati seperti tiap-tiap makhluk yang hidup akan mati.
(Sila rujuk ayat 2:178 yang menjelaskan tentang adanya ganti rugi atas pembunuhan yang dilakukan)
Sekiranya hadis, seperti hadis Bukhari itu, ditolak maka tindakan itu dikatakan oleh Imam Besar Masjid Negara sebagai antihadis. Apakah pula pentakrifannya ke atas orang-orang yang menolak ayat-ayat Allah! Anti-Allah? Anti-Qur'an? Anti-Nabi? Anti-Rasul? Anti-Muhammad (sebenar)? Atau, Islam sebenar!
Dan seterusnya Taib Azamuddin, Imam Besar tersebut, berkata,
"... antihadis sepatutnya dikategorikan sebagai ancaman terhadap kehidupan dan keselamatan umat Islam"
Utusan Malaysia, 21 Julai 1995, muka 26,
"Takrifkan antihadis ancam keselamatan" perenggan 5
Beliau tidak sedar bahawa kenyataannya boleh ditafsirkan seperti berikut:
Dia yang hendak bunuh
orang tanpa izin Allah,
kita pula dikatakannya
mengancam kehidupan dan
keselamatan umat Islam!
Pembohongan terakhir, atau yang kedua disebut oleh Bukhari tadi, ialah hukum bunuh ke atas penzina daripada golongan orang-orang yang sudah berkahwin.
Walhal, hukum zina maksima yang ditetapkan Allah, dan Rasul-Nya yang sebenar, ialah seratus sebatan, bukan bunuh. (Sila rujuk Sebat di Depan Khalayak Ramai. Terima kasih.)
Orang yang dikatakan murtad pada laporan akhbar di atas, sebenarnya, tidak keluar dari Islam. Dia tetap berada dalam Islam. Dia hanya berada di luar anutan Ahlul Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Dan itu adalah murtad menurut fahaman Imam Besar tadi.
Lagi, orang yang dikatakan murtad itu menolak pegangan ASWJ pada hadis Bukhari yang telah dibuktikan berdusta terhadap Rasul dan Allah. Maka dengan mengambil al-Qur'an dan menolak Bukhari, ia, menurut apa yang berlegar di kepala Imam Besar itu, adalah murtad dan harus dibunuh.
Beliau telah mempamerkan suatu pertimbangan yang di luar dugaan. ambil al-Qur'an, Allah dan Rasul-Nya (yang sebenar), dikatakan murtad, tetapi ambil Bukahri yang telah dibuktikan berdusta dikatakan Islam sebenar pula! Mungkinkah kerana beliau sangka pada Bukhari itu terletak "disiplin ilmu Islam" sebenar?
Imam Besar yang kedua disebut di dalam berita di atas juga bertaraf "negara". Beliau menyatakan iaitu orang yang menolak hadis (seperti hadis Bukhari tadi) adalah yang menolak Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah!! Dan mereka, ujarnya lagi, dihukum bunuh berdasarkan hukum yang termaktub di dalam al-Quran kerana mereka dalam kategori orang-orang yang murtad. Yang berikut adalah apa yang ditulis di akhbar tersebut:
"Menurutnya (Datuk Abu Hassan Din) hukuman bunuh ke atas golongan ini (antihadis) adalah berdasarkan hukum yang termaktub di dalam al-Quran kerana mereka dalam kategori orang-orang yang murtad."
Sekiranya beliau dapat melihat bahawa menolak hadis sebenarnya bererti menolak Bukhari dan penulis-penulis lain, bukan menolak Nabi Muhammad (yang sebenar)! Yang menolak Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah adalah mereka yang menolak al-Qur'an. Kerana baginda sampaikan hanya al-Qur'an, bukan kitab Sahih Bukhari (9 jilid), Sahih Muslim (4 jilid), Sunan Abu Dawud (3 jilid), Muwatta Imam Malik (1 jilid) atau kitab Misykat Masabih (4 jilid).
Nabi tidak buat demikian bukan sahaja kerana penulis-penulis dan buku-buku mereka yang banyak itu tidak berada bersamanya tetapi juga kerana baginda mengingati sebuah ayat yang disampaikannya kepada orang ramai berbunyi,
"Persamaan orang-orang yang dibebankan dengan Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti persamaan seekor keledai yang memikul buku-buku yang tebal. Adalah buruk persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Allah. Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (62:5)
Demikianlah itulah juga persamaan bagi orang-orang yang tidak memikul al-Qur'an. Mereka memikul kitab-kitab lain yang banyak seperti dua puluh satu jilid yang telah disebut tadi.
Dan akhirnya, dalam perenggan yang menyusul, iaitu yang terakhir dicatat di laporan akhbar di atas, beliau menyebut kata "kejahilan", mungkin kerana merasakan dirinya sudah suci dan dapat petunjuk yang sebenar.
Kedua-dua Imam tersebut adalah orang-orang yang membaca al-Qur'an. Mereka faham bahasa Arab. Dan tahu ayat-ayat Allah mengenai orang murtad (tetapi tidak percayainya). Boleh jadi mereka fikirkan bahawa tulisan Bukhari datang dari Rasul dan Allah. Sebab itulah mereka mengatakan hukum murtad menurut al-Qur'an adalah bunuh. Apapun, mereka telah berdusta terhadap Allah. Sehubungan itu Allah telah berfirman bermaksud:
"Dan antara mereka, ada segolongan yang putarbalikkan lidah mereka dengan al-Kitab supaya kamu sangka ia daripada sebahagian al-Kitab, sedang ia bukan daripada al-Kitab; dan mereka berkata, "Ia daripada Allah", tetapi ia bukan daripada Allah, dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:78)
Mereka mengatakan ia datang dari Allah, dari al-Kitab, tetapi sebenarnya ia bukan daripada Allah. Mereka berdusta terhadap Allah sedang mereka sedarnya. Mungkin ayat berikut, yang mengandungi satu soalan daripada Allah, sesuai dijadikan peringatan bagi mereka yang berkenaan.
"Adakah kamu buatkan ia rezeki kamu untuk berdusta?" (56:82)
Kalimat "dusta" banyak disebut di dalam al-Qur'an. Kejahatan itu dilarang Allah ("jauhilah ucapan dusta" - 22:30) dan Dia tidak beri petunjuk kepada pendusta. Para pendusta dipengaruhi syaitan. Itu iktibar daripada dua ayat yang berikut:
"Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan." (39:3)
"Bolehkah aku beritahu kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan turun? Mereka turun kepada tiap-tiap penyamar yang bersalah. Mereka mendengar, tetapi kebanyakan mereka adalah pendusta-pendusta." (26:221-223)
Kebengkokan yang diteladankan oleh tokoh-tokoh tersebut adalah bukan sahaja berdusta kepada orang ramai tetapi juga tiga yang dicatatkan di bawah ini:
tidak percaya kepada ayat-ayat Allah,
mengadakan dusta terhadap Allah, dan
mendustakan ayat-ayat-Nya.
Pertama, tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah berada dalam kedustaan. Apa yang mereka pegang dalam agama adalah dusta belaka. Kerana itu mereka berdusta kepada orang ramai, mungkin tanpa disedar. Firman-Nya,
"Tidak, tetapi orang-orang tidak percaya adalah dalam kedustaan," (85:19)
"Mereka hanya ada-adakan dusta, yang tidak percayai ayat-ayat Allah, dan mereka itu, merekalah pendusta-pendusta." (16:105)
Kedua, mengadakan dusta terhadap Allah. Orang-orang yang lakukannya dikatakan menganggap diri mereka suci. Namun, sebenarnya mereka sudah lakukan dosa yang nyata. Firman-Nya,
"Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang menyucikan diri-diri mereka? Tidak, hanya Allah sucikan siapa Dia hendaki, dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. Perhatikan bagaimana mereka ada-adakan dusta terhadap Allah; dan cukuplah itu sebagai dosa yang nyata." (4:49-50)
Tentu sekali, mereka yang berani berdusta terhadap Allah adalah mereka yang sangka diri sendiri sudah disucikan.
Dan akhirnya, yang ketiga, iaitu mendustakan ayat-ayat Allah. Perbuatan itu adalah yang paling banyak disebut di dalam senarai ayat-ayat yang mengandungi kalimat "dusta" di dalam al-Qur'an. Mendustakan ayat-ayat Allah bermaksud mengatakan ayat-ayat Allah itu dusta atau bohong. Lalu tidak dipercayainya, dan tidak ditaatinya. Orang-orang seperti itu berada selama-lamanya di dalam Api (neraka). Firman-Nya,
"Dan, orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)
Mereka juga dikatakan orang-orang yang sombong, yang tidak mengambil jalan yang benar tetapi ambil jalan yang salah. Maka jangan taati orang-orang yang dustakan ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Aku akan palingkan daripada ayat-ayat-Ku orang-orang yang sombong di bumi, dengan tanpa patut; dan jika mereka lihat tiap-tiap ayat, mereka tidak akan percayainya, dan jika mereka lihat jalan yang benar, mereka tidak akan mengambilnya sebagai jalan, dan jika mereka lihat jalan salah, mereka akan mengambilnya sebagai jalan. Itu kerana mereka dustakan ayat-ayat Kami, dan lalai terhadapnya." (7:146)
"Maka jangan kamu taati orang-orang yang dustakan." (68:8)
Tanpa disedar, Allah tarik mereka sedikit demi sedikit ke arah kebinasaan dengan membuat dosa demi dosa, atau dusta demi dusta, akibat daripada perbuatan mereka dustakan ayat-ayat-Nya. Ayat yang menyusul, yang menjelaskannya, harus diingati:
"Dan orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami, Kami akan tarik mereka sedikit demi sedikit dari arah mereka tidak tahu." (7:182)
Begitulah keadaannya sehingga mereka sampai pada hari akhirat. Akhirat adalah suatu kecelakaan bagi orang-orang yang dustakan ayat-ayat Allah (yang menganggap ayat-ayat Allah sebagai dusta atau bohong lalu tidak percaya dan tidak mentaatinya). Beginilah Allah menyuratkan kecelakaan tersebut di dalam al-Qur'an:
77:15. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:19. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:24. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:28. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:34. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:37. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:40. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:45. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:47. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:49. Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!
77:50. Maka dengan hadis apakah sesudah ini (al-Qur'an) yang mereka akan percayai?
Setelah menyebut sebanyak sepuluh kali "Kecelakaanlah pada hari itu bagi orang-orang yang dustakan!" di dalam surah yang mengandungi hanya lima puluh ayat, Allah bertanya pula, "Maka dengan hadis apakah sesudah ini (al-Qur'an) yang mereka akan percayai?" Tidakkah ini membawa apa-apa pengertian? Mahukah dipercayai Hadis Bukhari itu lagi?
Rujukan:
Kalimat dusta di dalam al-Qur'an
Sebat di Depan Khalayak Ramai
Hukum murtad yang
zalim
Syariat
Agama
Murtad: Al-Qur'an Tidak Dirujuk
2002
Halaman Utama
Terkini Artikel
Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat
Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan
Lazim Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman