Ujian daripada Allah
Allah cipta langit dan bumi, dengan segala perhiasannya, dan cipta manusia, dengan deria penglihatan dan pendengaran, dan cipta kematian dan kehidupan, kesemuanya untuk menguji manusia supaya dapat dikenali siapa antara mereka yang lebih baik atau yang paling baik dalam amalan. Firman-Nya:
"Dia yang cipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak uji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya." (11:7)
"Kami buatkan segala yang di bumi untuk perhiasan baginya, dan supaya Kami uji siapa antara mereka yang paling baik dalam amalan." (18:7)
"Kami cipta manusia daripada setitis mani, satu percampuran, mengujinya; dan Kami buatkan dia mendengar, melihat." (76:2)
"yang mencipta kematian dan kehidupan, supaya Dia uji kamu, siapa antara kamu yang paling baik dalam amalan; dan Dia Yang Perkasa, Yang Pengampun," (67:2)
Juga, untuk mengenali siapa yang takut kepada Allah yang dalam keadaan ghaib (5:94) dan siapa yang berjuang dan yang sabar (47:31).
Buruk dan
baik
Manusia diuji dengan apa-apa yang buruk dan yang baik, atau kejahatan dan kebaikan. Kemudian mereka akan mati dan seterusnya dikembalikan kepada Allah untuk dihakimkan pada hari akhirat. Firman-Nya:
"Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian; dan Kami uji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu dikembalikan." (21:35)
Antara manusia, ada yang diuji dengan benda-benda yang baik dan yang buruk supaya mereka kembali kepada jalan yang sebenar iaitu jalan yang ditentukan di dalam Kitab Allah. Firman-Nya:
"dan Kami uji mereka dengan benda-benda yang baik, dan yang buruk, supaya mereka kembali." (7:168)
Ada pula yang diuji supaya bertaubat. Seperti orang-orang tidak percaya (kepada Allah dan kitab-Nya) yang diuji sekali atau dua kali setahun. Namun, terdapat juga mereka yang tidak mengingati. Firman-Nya,
"Tidakkah mereka lihat bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun? Namun begitu, mereka masih tidak bertaubat, dan tidak juga mereka mengingati." (9:126)
Orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan) dan yang dustakan ayat-ayat-Nya juga diuji. Firman-Nya,
"Begitulah Kami uji mereka kerana kefasiqan mereka." (7:163)
"Sesungguhnya Kami uji mereka (yang dustakan ayat-ayat Allah) sebagaimana Kami uji pemilik-pemilik kebun apabila mereka bersumpah bahawa mereka akan memetik pada waktu pagi," (68:17)
Pemilik kebun tersebut, pada pagi hari memetik, dapati kebunnya seperti sudah dipetik (68:20).
Percaya
Tidak terlepas daripada ujian Allah adalah orang-orang yang berkata percaya kepada Allah dan Kitab-Nya. Mereka diuji untuk mengetahui siapa yang berkata benar dan siapa yang berdusta. Firman-Nya,
"Adakah manusia sangka mereka akan dibiarkan untuk berkata, 'Kami percaya', dan tidak akan diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, dan sungguh, Allah tahu orang-orang yang berkata benar, dan sungguh, Dia tahu pendusta-pendusta." (29:2-3)
Sesungguhnya petunjuk Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, atau disebut Peringatan, adalah ujian bagi manusia, untuk mengenali siapa yang berpaling daripadanya. Firman-Nya,
"Supaya Kami uji mereka dengannya. Dan sesiapa yang berpaling daripada Peringatan Pemeliharanya, Dia mengasakkannya kepada azab yang keras." (72:17)
Kitab yang
diberi
Kitab yang diberi Allah, al-Qur'an, adalah ujian daripada-Nya. Ia harus digunakan untuk hakimkan antara mansuia. Mereka yang ikut ajaran Kitab tersebut akan dijadikan khalifah-khalifah di bumi, dan darjat yang diberi itu adalah juga ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka untuk abaikan yang benar yang datang kepada kamu. Bagi setiap kamu, Kami tentukan satu peraturan, dan satu jalan yang terbuka. Sekiranya Allah hendak, tentu Dia buat kamu satu umat; tetapi supaya Dia uji kamu dalam apa Dia beri kamu." (5:48)
"Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi, dan naikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain, supaya Dia uji kamu pada apa yang Dia beri kamu. Sesungguhnya, Pemelihara kamu cepat dalam balasan-Nya; dan sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:165)
Ajaran
lain
Namun, terdapat ajaran lain yang selain daripada al-Qur'an, untuk menjadi ujian bagi manusia. Misalnya daripada orang-orang yang mengatakan percaya kepada Allah dan Kitab-Nya tetapi sebenarnya tidak percaya. Atau, daripada mereka yang mendengar yang bohong iaitu daripada orang-orang yang tidak berada bersama Nabi Muhammad. Mereka kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya. Selain daripada itu, apa-apa yang disampaikan oleh syaitan juga jadi ujian bagi sesetengah mansuia. Firman-Nya,
"Wahai Rasul, janganlah mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak percayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu.' Sesiapa yang Allah hendak mencubanya (mengujinya), kamu tidak berkuasa untuk menolongnya sedikit pun terhadap Allah." (5:41)
"Supaya Dia buatkan, apa yang syaitan lemparkan, satu cubaan bagi orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit, dan orang-orang yang hati mereka keras" (22:53)
Memang benar syaitan juga mengadakan ajaran dalam agama melalui wahyunya yang indah-indah tetapi palsu. Ajaran mereka haruslah ditinggalkan. Syaitan yang dimaksudkan itu adalah daripada jenis manusia. Firman-Nya,
"Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu .... Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (6:112)
Ujian-ujian lain daripada Allah, yang selain daripada yang bersangkutan dengan al-Qur'an, adalah seperti berikut:
Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, buah-buahan
Apabila ditimpa dengan ujian tersebut manusia haruslah sabar. Firman-nya,
"Sungguh, Kami akan uji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan kamu beri berita gembira kepada orang-orang yang sabar," (2:155)
Orang-orang yang sabar itu adalah yang "apabila mereka ditimpa penderitaan, berkata, 'Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepada-Nya kami kembali.'" (2:156). Apa yang dikatakan itu, dalam bahasa Arab, berbunyi "innaa lillaahi wainnaa ilaihi raaji'uun" yang ulama palsu ajar untuk diucapkan apabila dapat berita mengenai kematian seseorang!
Rahmat, kemuliaan, kesempitan rezeki
Firman-Nya,
"Apabila mudarat sentuh manusia, dia seru Kami; kemudian, apabila Kami kurniakan kepadanya satu rahmat daripada Kami, dia berkata, 'Aku diberi hanya kerana satu pengetahuan.' Tidak, ia adalah satu cubaan, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." (39:49)
"Adapun manusia, apabila Pemeliharanya mengujinya, dan muliakannya, dan rahmatinya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku muliakan aku.' Tetapi apabila Dia mengujinya, dan sempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku hina aku.'" (89:15-16)
Rezeki yang menyenangkan pasangan
Firman-Nya,
"Janganlah kamu panjangkan mata-mata kamu kepada apa yang kami beri kesenangan pasangan-pasangan antara mereka, dengan bunga kehidupan dunia, supaya Kami uji mereka dengannya; dan rezeki Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan lebih kekal." (20:131)
Harta dan anak
Firman-Nya,
"Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu," (3:186)
"Dan ketahuilah bahawa harta kamu dan anak-anak kamu adalah cubaan," (8:28). Sila rujuk ayat 64:15 yang membawa mesej yang sama.
Binatang buruan semasa Haji
Ujian ini untuk mengenali siapa yang takut kepada Allah yang dalam keadaan ghaib. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, sungguh, Allah uji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan yang tangan-tangan kamu, dan tombak-tombak kamu capai, supaya Allah tahu siapa yang takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib. Sesiapa yang mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (5:94)
Utusan Allah dan sesama sendiri
Para utusan Allah adalah orang-orang biasa yang tinggal di kalangan manusia lain. Mereka jadi ujian kerana masyarakat sekeliling tidak percayai mereka mungkin kerana kedudukan mereka dalam masyarakat. Begitu juga dengan orang-orang lain yang percaya dan dapat petunjuk daripada Allah. Mereka jadi ujian bagi ahli-ahli anggota masyarakat yang lain. Firman-Nya.
"Dan Kami tidak utus sebelum kamu para utusan melainkan mereka memakan makanan, dan berjalan-jalan di pasar-pasar; dan Kami buatkan sebahagian kamu jadi satu cubaan bagi sebahagian yang lain, 'Mahukah kamu sabar?' Pemelihara kamu melihat." (25:20)
"Begitulah Kami uji sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain supaya mereka berkata, 'Inikah orang-orang yang Allah berbudi baik kepada mereka antara kita?' Bukankah Allah sangat-sangat tahu orang-orang berterima kasih?" (6:53)
Orang-orang yang percaya
Mereka jadi ujian bagi orang-orang tidak percaya, yang didapati menzalimi orang-orang yang percaya. Lalu mereka berdoa berbunyi,
"Kepada Allah kami tawakal. Pemelihara kami, janganlah Engkau buat kami satu cubaan bagi kaum yang zalim, Dan selamatkanlah kami dengan pengasihan Engkau daripada kaum tidak percaya.'" (10:85-86)
"Wahai Pemelihara kami, kepada Engkau kami tawakal; kepada Engkau kami berkesesalan; kepada Engkau kepulangan. Wahai Pemelihara kami, janganlah buat kami satu ujian bagi orang-orang tidak percaya; dan ampunkanlah kami. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.” (60:4-5)
Bilangan yang ramai
Firman-Nya,
"Dan janganlah jadi seperti perempuan yang memutuskan benangnya, setelah ia ditenun dengan kuat, kepada serabut, dengan mengambil sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, kerana kamu umat yang lebih ramai daripada umat yang lain. Allah hanya menguji kamu dengannya; dan sungguh Dia akan menjelaskan kepada kamu pada Hari Kiamat apa yang kamu padanya kamu selisihkan." (16:92)
Berjuang dan berperang
Firman-Nya,
"Dan sungguh, Kami akan uji kamu sehingga Kami tahu orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar," (47:31)
Semasa berperang terdapat manusia yang mempunyai prasangka di dalam dada mereka. Apa yang di dalam dada itu adalah ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Kemudian Dia turunkan kepada kamu, sesudah kesedihan, ketenteraman. Tidur nyenyak meliputi segolongan daripada kamu, dan segolongan, diri-diri mereka membimbangkan mereka dengan menyangka terhadap Allah yang tidak benar ..... Mereka sembunyikan di dalam diri-diri mereka apa yang mereka tidak nampakkan kepada kamu ..... dan supaya Allah uji apa yang di dalam dada kamu, dan supaya Dia buktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah tahu apa yang di dalam dada." (3:154)
Kadang-kadang dalam peperangan, oran-orang beriman diserang dengan hebat, dan kelihatan mereka hampir kalah. Keadaan cemas seperti itu adalah ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Di sana orang-orang yang mukmin diuji, dan digoncangkan dengan goncangan yang keras." (33:11)
Tawanan perang yang diperolehi adalah ujian daripada Allah. Mereka tidak seharusnya dizalimi. Firman-Nya,
"Apabila kamu bertemu orang-orang tidak percaya, pukullah leher mereka, kemudian apabila kamu telah bunuh beramai-ramai di kalangan mereka, kuatkanlah ikatan; kemudian bebaskan mereka, sama ada dengan budi baik atau tebusan, sehingga perang meletakkan bebannya. Demikianlah, dan jika Allah hendaki, tentu Dia Sendiri akan menolong mereka; tetapi supaya Dia uji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain." (47:4)
Merendahkan suara, visi Nabi, pokok zaqum
Orang-orang yang berada bersama Nabi Muhammad, selain diuji semasa berperang dan ujian lain, mereka diuji dengan suara mereka yang tidak ditinggikan semasa di sisinya, dan visi yang diperlihatkan kepadanya, dan pokok zaqum. Firman-Nya,
"Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suara mereka di sisi Rasul Allah, mereka itulah orang-orang yang hatinya Allah uji untuk takwa (takut kepada Tuhan); bagi mereka, ampunan dan upah yang besar." (49:3)
"dan Kami buatkan visi yang Kami lihatkan kepada kamu, dan pokok yang laknat (zaqum) di dalam al-Qur'an, untuk menjadi hanya satu cubaan bagi manusia; dan Kami menakut-nakutkan mereka, tetapi ia hanya menambahkan mereka dalam kelampauan batas yang besar." (17:60)
Visi Nabi yang dimaksudkan itu adalah menunaikan ibadah Haji (48:27).
Ujian daripada Allah meliputi semua manusia, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Orang-orang terdahulu telah diuji dengan pelbagai ujian dan diazab, dan ada yang dihapuskan sama sekali setelah gagal dalam ujian. Antara mereka yang diuji, termasuk para Nabi atau Rasul, adalah:
Kaum Nabi Nuh
Kaum Nabi Nuh telah diuji dengan sebuah kapal yang dibinanya. Dia telah diejek ketika membina kapal yang amat besar itu, seperti yang diceritakan pada ayat berbunyi "Dan dia buat kapal; dan setiap kali pembesar-pembesar kaumnya melaluinya, mereka mengejeknya." (11:38).
Firman-Nya lagi,
"Sesungguhnya pada yang demikian itu (kapal dan banjir besar) adalah ayat-ayat, dan sesungguhnya Kami uji." (23:30)
Setelah diuji dengan ayat-ayat Allah, kaum Nuh yang fasiq ditenggelamkan dengan banjir besar.
Kaum Hud
Kaum Hud, atau Ad, setelah diuji dengan ayat-ayat Allah, dan mendustakannya, telah dimusnahkan dengan angin yang sangat kencang, sangat bising bunyinya selama tujuh malam dan lapan hari. Firman-Nya,
"Dan bagi Ad, mereka dimusnahkan dengan angin yang sangat bising, yang sangat kencang. Dia memaksakan ke atas mereka tujuh malam dan lapan hari terus menerus, dan kamu melihat kaum ketika itu bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul batang pohon-pohon palma yang runtuh." (69:6-7)
Kaum Salleh
Mereka diuji dengan unta betina. Firman-Nya,
"Kami utus unta betina sebagai satu cubaan bagi mereka" (54:27)
Bagi Tsamud, kaum Salleh, yang "memandang rendah pada perintah Pemelihara mereka" (membiarkan unta betina itu minum), mereka dihapuskan dengan halilintar (51:44).
Nabi Ibrahim telah menempuh beberapa ujian. Satu daripadanya ialah mengorbankan anaknya (37:101-107). Ujian itu, menurut Allah, adalah ujian yang nyata. Firman-Nya,
"Ini benar-benar ujian yang nyata." (37:106)
Nabi Lut
Setelah gagal dalam ujian daripada Allah, bandaraya tempat tinggal Nabi Lut telah diterbalikkan dan dihujani dengan batu-batu yang dibakar. Firman-Nya,
"Maka apabila perintah Kami datang, Kami terbalikkan yang atasnya ke bawahnya, dan hujaninya dengan batu-batu daripada tanah liat yang dibakar, bertubi-tubi," (11:82)
Kaum Shuaib
Orang-orang Madyan telah mendustakan ayat-ayat Allah yang jadi ujian bagi mereka lalu dihapuskan dengan gempa bumi. Firman-Nya,
"Lalu gempa bumi ambil mereka. Pagi, dapati mereka di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak." (7:91-92)
Nabi Musa telah diuji dengan banyak ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Apabila saudara perempuan kamu (Musa) pergi berjalan, dan berkata, 'Bolehkah aku tunjukkan kepada kamu orang yang akan menjaganya?' Maka Kami kembalikan kamu kepada ibumu, supaya dia gembira, dan tidak sedih. Kemudian kamu bunuh satu jiwa, dan Kami selamatkan kamu daripada kesedihan, dan Kami uji kamu dengan banyak ujian. Kamu telah tinggal beberapa tahun di kalangan penduduk Madyan ...." (20:40)
Kaum Nabi Musa, iaitu Bani Israil, telah diuji dengan ujian yang besar iaitu pembunuhan anak lelaki mereka oleh Firaun. Firman-Nya,
"Dan ketika Musa berkata kepada kaumnya, 'Ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu apabila Dia selamatkan kamu daripada keluarga Firaun yang mengenakan kamu azab yang jahat, dengan mengorbankan anak-anak lelaki kamu, dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu; dan pada yang demikian itu adalah ujian yang besar daripada Pemelihara kamu." (14:6)
Mereka juga telah diuji dengan sebuah patung Anak Lembu yang dibuat setelah diilhamkan oleh Samiri, seorang ahli agama. Firman-Nya,
"Berkatalah Dia, 'Sungguh, Kami uji kaum kamu sepeninggalan kamu, dan Samiri sesatkan mereka.'" (20:85)
"Namun begitu, Harun sebelumnya telah berkata kepada mereka, 'Wahai kaumku, kamu hanyalah diuji dengannya (Anak Lembu); sesungguhnya Pemelihara kamu ialah Yang Pemurah; maka ikutlah aku, dan taatlah kepada perintahku.'" (20:90)
Satu lagi ujian bagi Bani Israil ialah Sabat. Firman-Nya,
"Dan tanyalah mereka mengenai bandaraya yang di tepi laut, apabila mereka mencabuli Sabat, apabila ikan-ikan mereka datang kepada mereka pada hari Sabat mereka dengan berenang ke pantai, tetapi pada hari yang mereka tidak menjaga Sabat, mereka tidak datang kepada mereka. Begitulah Kami uji mereka kerana kefasiqan mereka." (7:163)
Firaun dan kaumnya telah diuji dengan kerasulan Nabi Musa. Seterusnya mereka ditimpa dengan beberapa ujian seperti yang disebut di bawah:
"Kami telah pun sebelum mereka uji kaum Firaun, dan seorang Rasul yang mulia telah datang kepada mereka," (44:17)
"Kemudian Kami ambil keluarga Firaun dengan beberapa tahun bekalan yang tidak mencukupi, dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka ingat." (7:130)
"Maka Kami utus kepada mereka banjir, dan belalang juta, dan kutu, dan katak, dan darah - ayat-ayat yang jelas; tetapi mereka sombong, dan mereka adalah kaum yang berdosa." (7:133)
Akhirnya mereka ditenggelamkan di dalam laut (2:50).
Dalam peperangan antara tentera Thalut dan tentera Jalut, Nabi Daud telah bunuh Jalut. Sebelum itu tentera Thalut telah diuji dengan sebuah sungai. Firman-Nya,
"Dan apabila Thalut berangkat dengan tentera, dia berkata, 'Allah uji kamu dengan sebuah sungai; sesiapa minum daripadanya adalah bukan daripada aku, dan sesiapa yang tidak rasainya, dia adalah daripada aku, kecuali orang yang ceduk seceduk dengan tangannya.'" (2:249)
Antara ujian bagi Nabi Sulaiman ialah satu jasad diletakkan oleh Allah di atas takhtanya. Kemudian dia berkesesalan. Firman-Nya,
"Sesungguhnya Kami telah uji Sulaiman, dan Kami lemparkan di atas takhtanya satu jasad; kemudian dia berkesesalan." (38:34)
Manusia akan terus diuji atau dicuba oleh Allah. Dia juga akan terus mengazab seperti ke atas orang-orang terdahulu yang bersalah. Selain daripada apa yang dikenakan ke atas orang-orang terdahulu, manusia pada hari ini boleh dikenakan azab seperti beberapa contoh yang terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia tidak akan buat darat telan kamu, atau utus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu .... Atau, adakah kamu berasa aman bahawa Dia tidak akan kembalikan kamu ke dalamnya pada kali yang kedua, dan Dia utuskan kepada kamu angin taufan, dan tenggelamkan kamu kerana ketidakpercayaan kamu" (17:68). Ini adalah peringatan bagi penduduk di kawasan pantai. Sila lihat gambar ombak besar akibat angin kencang selaju hingga 160ksj yang melanda bahagian utara negara Perancis pada hari Ahad 27 Oktober lalu. Angin tersebut telah melanda bahagian utara Eropah dan meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa, mengakibatkan kacau-bilau di jalan raya dan landasan keretapi, dan menggendalakan penerbangan dan kapal-kapal. Mereka yang maut disebabkan oleh ditimpa pokok yang tumbang termasuk yang berada di dalam kereta, disambar petir, bumbung rumah runtuh, dan ditiup angin ke laut atau ke pagar besi.
"Maka berjaga-jagalah akan satu hari apabila langit mendatangkanasap yang jelas, Menutupi manusia; ini adalah azab yang pedih" (44:10-11). Mungkinkah ini apa yang dikatakan jerebu, tetapi yang lebih berat lagi?
"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan buat bumi telan kamu sedang ia bergoncang? Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan utus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu, kemudian kamu akan tahu bagaimanakah dengan amaran-Ku?" (67:16-17)
"Apa, tidakkah mereka lihat bagaimana Kami datang ke bumi, dengan mengurangkan tepi-tepinya?" (21:44). (Sila lihat laporan akhbar mengenai negeri pulau Tuvalu yang beransur-ansur tenggelam akibat dari peningkatan purata suhu Bumi. Laporan dalam bahasa Inggeris.)
"Kemudian angin puyuh mengandungi api menimpanya (kebun atau ladang), dan ia terbakar. Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu fikirkan." (2:266)
"Kemudian, apabila mereka melihatnya seperti awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, 'Inilah awan yang akan beri kami hujan!' Tidak begitu; bahkan ia apa yang kamu minta disegerakan - angin yang di dalamnya azab yang pedih," (46:24)
Ujian daripada Allah sebagai balasan ke atas ketidakpercayaan atau kezaliman manusia adalah keras. Ada kalanya azab itu tidak akan menimpa ke atas orang-orang yang bersalah sahaja. Yang tidak salah pun akan kena. Firman-Nya,
"Dan takutilah satu cubaan yang tidak akan timpa hanya orang-orang buat kezaliman antara kamu; dan ketahuilah bahawa Allah keras dalam balasan-Nya." (8:25)
Orang-orang Melayu khasnya, dan negara amnya, tidak terlepas daripada cubaan atau ujian berkelompok. Kerana kebanyakan mereka bukan tidak zalim dalam konteks al-Qur'an. Ajaran-ajaran daripada selain al-Qur'an diamal dengan meluas dan ada pula yang dipaksa ke atas orang-orang tidak percayainya. Tindakan serupa itu kelihatan seperti meminta cubaan yang keras disegerakan kedatangannya.
Rujukan:
Kalimat ujian di dalam
al-Qur'an
dan artikel,
Zalim: siapa mereka sebenarnya
Penulis Bacaan
20
Oktober 2002
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman