Percaya kepada Taqdir
Prof. Dr. H. Mahmud Yunus telah menulis di dalam kitabnya "Tafsir Quran Karim" mengenai iman, atau apa yang dikatakan Rukun Iman. Beliau menyatakan seperti berikut:
"Iman (percaya) yaitu:
Beriman kepada:1. Allah,
2. Rasul-rasulNya,
3. Malaekat-malaekatNya,
4. Kitab-kitabNya
5. Hari yang kemudian atau kiamat, surat Albaqarah ayat 285 ......
6. Percaya kepada taqdir (dalam hadits Nabi s.a.w.)" *
Sebelum diteruskan tulisan di sini, ingin dimaklumkan iaitu rukun yang kelima seperti yang dicatat itu, tidak pula didapati tercatat di dalam ayat Albaqarah tersebut. Ini tentu tidak disengajakan, kerana memang ada ayatnya, iaitu 4:136.
Maka, lima daripada enam rukun iman itu telah diajar oleh Allah. Dan, yang keenam, yang terakhir, diajar oleh "hadits Nabi s.a.w." Justeru, rukun yang keenam, Percaya kepada taqdir, adalah tambahan kepada ajaran Allah.
Takdir, menurut Kamus Dewan (1994), adalah " = ~ Allah, = takdirullah sesuatu yang ditentukan oleh Allah terlebih dahulu, penentuan drpd Allah, qadak: suratan ~ di tangan Tuhan." Dengan itu, percaya kepada takdir bermaksud percaya bahawa segala-galanya sudah ditentukan oleh Allah terlebih dahulu.
Ajaran Percaya kepada taqdir telah mengelirukan sesetengah umat Islam. Sehingga ada yang percaya seperti, jika mereka dimasukkan ke dalam neraka, itu adalah kerana Allah sudah takdirkan baginya - atau, Allah sudah tentukan, terlebih dahulu, neraka baginya di akhirat kelak. Seolah-olah percayai Tuhan itu zalim. Kepercayaan tersebut adalah amat berat dalam Islam, kerana bertentangan dengan sifat dan ajaran Allah yang sebenar. Firman-Nya,
"Allah tidak menzalimi mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan." (16:33)
Tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan!
Memang benar kata orang-orang yang percaya kepada takdir iaitu semuanya datang dari Allah, atau, setelah diizinkan-Nya. Yang baik, mahupun yang buruk. Namun, Dia tidak cipta segala sesuatu seperti bermain-main (21:16, 23:115) tanpa menurut ukuran tertentu (54:49).
Dia cipta manusia dan jin untuk menyembah-Nya (51:56). Di samping itu, manusia diberi kuasa memilih, sama ada mahu menyembah-Nya atau tidak.
Percaya
Kuasa memilih itu agak jelas ditunjukkan apabila Dia turunkan yang benar, dan kemudian, beri kebebasan kepada manusia untuk percaya kepadanya, atau memilih untuk tidak percaya kepadanya. Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu; maka hendaklah sesiapa yang hendak, percaya; dan hendaklah sesiapa yang hendak, tidak percaya.'" (18:29)
Adakah itu menunjukkan Allah telah tentukan terlebih dahulu siapa yang percaya, dan siapa yang tidak percaya, kepada al-Qur'an?
Minuman
Contoh kedua ialah pada buah-buahan palma dan anggur yang Dia rezekikan. Daripada mereka diizinkan-Nya buat minuman yang baik dan yang memabukkan. Firman-Nya,
"Dan daripada buah-buahan palma dan anggur, kamu ambil daripadanya minuman yang memabukkan, dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang faham." (16:67)
Bolehkah orang yang mabuk daripada itu berkata kemudian bahawa dia menjadi seorang pemabuk kerana Allah telah tentukan ke atasnya terlebih dahulu? Walhal, dia telah diberi pilihan untuk mengambil "rezeki yang baik" daripada buah-buahan tersebut!
Ayat itu juga menyebut mengenai kaum yang memahami, atau yang menggunakan akal fikiran, yang juga merupakan satu daripada fakulti yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk dipakai semasa menggunakan kuasa memilih tersebut. Fakulti lain adalah penglihatan dan pendengaran. Firman-Nya,
"Kami ciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (otak), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat" (7:179).
Mereka yang tidak menggunakan ketiga-tiga fakulti itu akan dimasukkan ke dalam Jahanam. Di Jahanam nanti, mereka tidak boleh beralasan dengan mengatakan bahawa Allah telah terlebih dahulu tetapkan Jahanam bagi mereka.
Iblis
Bukti terakhir untuk menunjukkan bahawa Allah tidak tentukan terlebih dahulu apa yang akan terjadi kepada seseorang, seperti yang diajar oleh hadis, ialah kejadian yang berlaku dari awal lagi, sejurus setelah manusia yang pertama dicipta. Tetapi, cerita diringkaskan sedikit di sini, yang bermula dari perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Firman-Nya,
"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam', lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia jadi antara orang-orang tidak percaya (kafir).'" (2:34)
Semua malaikat sujud, kecuali Iblis. Itu keingkaran yang pertama dalam kerajaan Allah. Adakah keingkaran itu telah ditentukan terlebih dahulu oleh Allah ke atas Iblis? Sila lihat kepada sebab Iblis enggan sujud kepada Adam:
"Berkatalah Dia, 'Apakah yang halangi kamu daripada sujud ketika Aku perintahkan kamu?' Berkata, 'Aku lebih baik daripada dia. Engkau cipta aku daripada api, dan dia Engkau cipta daripada tanah liat.'" (7:12)
Iblis bersikap sombong dan tidak takut kepada Allah. Adakah sifat sombong dan tidak takut itu sifat yang sudah ditentukan Allah ke atasnya terlebih dahulu?
Selepas itu, ia diusir. Firman-Nya,
"Berkata, 'Turunlah kamu, keluar darinya; tiada bagi kamu untuk menyombong di dalamnya, maka keluarlah; sesungguhnya kamu adalah di kalangan orang-orang yang direndahkan.'" (7:13)
Timbul satu lagi pertanyaan di sini - mengapa pula Iblis tidak meminta ampun dan bertaubat kepada Allah? Sebaliknya, ia minta ditangguhkan supaya dapat menarik seberapa ramai yang boleh untuk menjadi kuncu-kuncunya yang mengingkari Allah, atau untuk tidak berterima kasih kepada-Nya. Firman-Nya,
"Berkata (Iblis), 'Tangguhkanlah aku hingga hari mereka dibangkitkan.' Berkata, 'Kamu adalah antara orang-orang yang ditangguhkan. Berkata, 'Oleh kerana Engkau telah menyalahkan aku, maka sungguh, aku akan duduk memerangkap mereka di jalan Engkau yang lurus, Kemudian aku datang kepada mereka, dari hadapan mereka, dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka, dan dari kiri mereka; Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka berterima kasih.'" (7:14-17)
Lalu Jahanam disebut buat pertama kali. Mungkin untuk menakutkannya atau menyedarkannya. Firman-Nya,
"Berkata, 'Keluarlah kamu darinya, terhina dan terbuang. Orang-orang antara mereka yang ikut kamu - sungguh Aku akan penuhi Jahanam dengan kamu semua.'" (7:18)
Ia masih tidak takut, tidak percaya (kafir). Dan tidak meminta ampun dan bertaubat. Lalu ia meneruskan rancangannya yang jahat. Kini ia dipanggil "syaitan" pula (dan syaitan itu adalah daripada golongan jin dan manusia). Mangsanya yang pertama ialah Adam dan isteri.
Adam
Adam dan isterinya telah dapat diperdayakannya, sehingga mereka berdua melanggar perintah Allah. Akan tetapi, mereka berdua, kemudiannya, meminta ampun serta bertaubat kepada Allah. Firman-Nya,
"Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, kami telah menzalimi diri-diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak ampunkan kami dan kasihani kami, tentu kami jadi antara orang-orang yang rugi.'" (7:23)
"Lalu Adam terima kata-kata tertentu daripada Pemeliharanya, dan Dia terima taubatnya; sesungguhnya Dialah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih." (2:37)
Tentu tidak kelihatan seperti Allah telah tentukan terlebih dahulu bahawa Adam dan isteri akan makan daripada pokok tertentu, setelah Dia didapati melarang mereka daripada mendekatinya jua, dan beritahu mereka bahawa syaitan bercadang untuk keluarkan mereka dari Taman, dan syaitan itu adalah musuh bagi mereka? (Sila rujuk karangan Adam dan Isteri: daripada al-Qur'an dan Bible dan Kalimat Adam di dalam al-Qur'an)
Adakah orang yang akan mengatakan bahawa kesemua itu hanyalah lakonan belaka? Atau dia mengatakan Adam bertindak atas kuasa memilih yang ada padanya?
Dikasihani
Sesungguhnya, Allah tidak cipta manusia untuk dizalimi. Sebaliknya, Dia cipta manusia untuk dikasihani. Firman-Nya,
"Kecuali orang-orang yang kepada mereka Pemelihara kamu kasihani. Untuk itulah Dia cipta mereka" (11:119)
Dengan bersifat demikian, bolehkah Allah dituduh sudah tentukan neraka terlebih dahulu bagi sesetengah hamba-Nya setelah Dia cipta mereka untuk dikasihani?
Keburukan
Memang benar juga kata mereka yang percaya kepada takdir bahawa Allah tahu segala-galanya. Akan tetapi, mengetahui dan menentukan sesuatu adalah dua perkara yang jauh berbeza. Dia tahu bahawa seseorang itu akan ditimpa keburukan, tetapi keburukan yang menimpa orang itu adalah daripada dirinya (usahanya) sendiri. Firman-Nya,
"apa sahaja yang buruk timpa kamu adalah daripada diri kamu sendiri." (4:79)
Sama seperti ayat yang pertama diturunkan di halaman ini berbunyi "Allah tidak menzalimi mereka, tetapi diri-diri mereka sendiri mereka zalimkan." (16:33)
Petunjuk
Benar juga kata mereka kalau Allah hendak beri petunjuk kepada semua manusia tentu Dia boleh. Namun, Dia hendak pula untuk tidak beri petunjuk kepada orang-orang seperti berikut:
1. Mereka yang sekutukan-Nya.
Firman-Nya bermaksud:
"Itu petunjuk Allah; Dia beri petunjuk dengannya kepada siapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya; sekiranya mereka orang-orang yang sekutukan, nescaya sia-sialah bagi mereka apa yang mereka telah buat." (6:88)
2. Mereka yang mengambil syaitan sebagai sahabat dan sangka dapat petunjuk.
Firman-Nya:
"Segolongan Dia beri petunjuk, dan segolongan wajar dengan kesesatan; mereka ambil syaitan-syaitan sebagai wali-wali (sahabat-sahabat), selain daripada Allah, dan mereka sangka mereka dapat petunjuk." (7:30)
3. Mereka yang tidak percaya kepada al-Qur'an.
Firman-Nya:
"Sekiranya sebuah Qur'an di mana gunung-gunung diperjalankan, atau bumi dibelah dengannya, atau orang-orang yang mati yang kepada mereka dapat berkata-kata - tidak, tetapi kepunyaan Allah urusan kesemuanya. Tidakkah orang-orang yang percaya tahu bahawa, jika Allah hendak, tentu Dia beri petunjuk kepada manusia kesemuanya? Dan orang-orang tidak percaya tidak berhenti-henti ditimpa dengan suatu yang mengetukkan kerana apa yang mereka kerjakan, atau ia turun dekat dengan tempat tinggal mereka, sehingga janji Allah datang" (13:31)
Sebaliknya, Dia hanya beri petunjuk kepada orang-orang yang berkesesalan, dan yang percaya dan buat kerja-kerja baik . Firman-Nya,
"Allah memilih kepadanya sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepadanya orang yang berkesesalan." (42:13)
"Sesungguhnya Allah masukkan orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai .... Dan mereka diberi petunjuk pada ucapan yang baik, dan mereka diberi petunjuk pada jalan Yang Terpuji." (22:23-24)
Oleh yang demikian, ajaran Percaya kepada takdir memang tidak dianjurkan Allah. Malah, ia didapati bertentangan dengan kehendak-Nya pula.
Hadis
Ajaran yang bertentangan dengan ajaran Allah itu datang dari hadis, seperti yang telah dinyatakan oleh Prof. Dr. Mahmud Yunus. Di dalam kitab-kitab hadis terdapat beberapa buah hadis, yang kononnya telah disabdakan oleh Nabi junjungan, mengenai kepercayaan tersebut. Hadis-hadis itu dilampirkan bersama karangan ini.
Antaranya didapati, dalam SAHIH MUSLIM, Abdullah ibn Umar ibn al-Khattab, telah meriwayatkan bahawa kepercayaan tersebut terkandung dalam rukun iman. Itu telah disahkan oleh Jibril tatkala ia datang kepada Nabi untuk mengajarnya agama serta disaksikan oleh para sahabat.
Di dalam al-Qur'an pula, didapati cerita mengenai Jibril agak jauh berbeza dengan cerita SAHIH MUSLIM tersebut. Daripadanya difahamkan bahawa ia datang hanya dengan membawa ayat-ayat Allah, atau al-Qur'an, sahaja. Pertemuannya dengan Nabi pula, adalah di tempat yang terpencil pada waktu sunyi yang tiada dihadiri manusia lain.
Tidak mungkin Muslim itu begitu tinggi darjatnya sehingga berkuasa buat cerita yang berlainan dengan al-Qur'an. Sedangkan Nabi sendiri tidak diberi kuasa seperti itu.
Bukhari
SAHIH AL-BUKHARI pula telah menyatakan iaitu AbuHurayrah meriwayatkan tentang Adam dan Nabi Musa yang bertelagah atas penyingkiran (Adam) dari syurga. Adam kononnya telah menyatakan bahawa penyingkiran itu adalah bukan kesilapannya sendiri tetapi sudah ditentukan Allah 40 tahun sebelum dia dicipta.
Nabi tidak mungkin membawa cerita yang, pada pandangan berdasarkan al-Qur'an, adalah karut belaka, kerana tidak berasas.
Muslim
Hadis seterusnya diriwayatkan oleh Umm Mubashshir. Ia didapati dalam SAHIH MUSLIM dan menyebut dua ayat al-Qur'an untuk mengesahkan kepercayaan kepada takdir. Akan tetapi, ayat-ayat tersebut telah diputarkannya (atau oleh Muslim sendiri) yang berbunyi seperti berikut:
"And there is none amongst you but shall have to pass over that (narrow Bridge)" (19:71) atau, "Dan tiada seorang pun antara kamu melainkan akan melintasi itu (Jambatan sempit)"
"We would rescue those persons who are God-conscious and we would leave the tyrants to their fate there" (19:72) atau, "Kami akan menyelamatkan orang-orang bertakwa dan kami akan tinggalkan orang-orang zalim kepada takdir mereka di sana"
Adjektif "narrow Bridge" bukan konteksnya di situ. Konteksnya ialah "Jahanam" (lihat 19:68, iaitu tiga ayat sebelum). Sementara perkataan "fate" atau "takdir" di ayat yang kedua, mungkin telah diterjemahkan daripada kalimat al-Qur'an, "yitsiyyan", yang sebenarnya bermakna "berlutut".
Terjemahan kepada ayat-ayat tersebut sewajarnya berbunyi seperti berikut:
"Tiada seorang pun daripada kamu, melainkan dia akan turun kepadanya (Jahanam)" (19:71)
"Kemudian Kami selamatkan orang-orang bertakwa; dan orang-orang zalim, Kami tinggalkan di dalamnya, sambil melutut." (19:72)
Memutar
Contoh hadis yang memutar maksud ayat al-Qur'an untuk mensahihkan ajaran percaya kepada takdir terdapat lagi di dalam kitab SAHIH MUSLIM. Hadis itu adalah yang terakhir diturunkan di sini. Menurutnya, Imran ibn Husayn telah menyebut sebuah ayat al-Qur'an yang membenarkan rukun iman yang berkenaan, berbunyi,
"Consider the soul and Him Who made it perfect, then breathed into it its sin and its piety." (91:8) Atau, "Pertimbangkanlah roh (jiwa) dan Dia Yang membuatnya sempurna, kemudian dihembuskan ke dalamnya dosanya dan ketakwaannya."
Yang ketara di situ ialah frasa "breathed into it" atau "dihembuskan ke dalamnya". Perbuatan menghembus adalah tidak sama, sama sekali, dengan perbuatan "mengilhamkan" iaitu maksud sebenar bagi kalimat "alhamahaa" di situ. Menghembus membawa pengertian tentukan, sementara mengilhamkan membawa pengertian diberi kuasa memilih.
Ayat tersebut sebenarnya bermaksud (diturunkan dengan konteksnya sekali, iaitu dari ayat 7 hingga ayat 10 surah Matahari atau Syamsi dalam loghat al-Qur'an):
"Demi jiwa dan Yang membentukkannya, Dan mengilhamkannya kepada kejahatan dan ketakwaan! Beruntunglah orang yang menyucikannya, Dan kecewalah orang yang mengotorinya." (91:7-10)
Jiwa manusia diilhamkan dengan yang jahat dan yang baik. Terpulanglah kepada manusia untuk menyucikannya (dengan menuruti yang baik lalu jadi takwa) atau mengotorinya (dengan menuruti yang jahat). Allah tidak tentukan sesuatu terlebih dahulu ke atasnya. Yang tentukan suratan takdirnya ialah manusia itu sendiri.
Ditolak
Haruslah disedar bahawa perbuatan memutar atau membelit-belitkkan maksud ayat-ayat al-Qur'an untuk menjadikan maksudnya suatu rukun dalam agama adalah perbuatan jenayah yang amat berat di sisi Allah. Ditambah lagi dengan perbuatan itu dilakukan atas nama Nabi atau Rasul-Nya!
Maka, hadis-hadis (Nabi?) yang kononnya sahih lagi kuat daripada al-Bukhari dan Muslim mengenai rukun iman yang keenam itu didapati, setelah diuji dengan ayat-ayat al-Qur'an, mereka jadi lemah, dicurigai, dan seterusnya palsu, untuk diterima pakai dalam Islam sebenar.
Lantaran itu, Percaya kepada Takdir bukanlah rukun iman dalam Islam. Kerana itu, wajarlah ia ditolak dan ambil hanya yang termaktub dalam ayat 4:136 yang telah disebut lebih awal lagi. Dengan menolaknya, serta ambil hanya daripada Allah, bermakna umat memilih untuk menyembah Tuhan satu-satunya, dan tidak lagi sekutukan-Nya dengan mana-mana ulama palsu. Mereka menambah kepada ajaran asal daripada Allah, sekali gus jadikan jalan-Nya yang lurus kepada bengkok.
* Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, Tafsir Quran Karim, cetakan ke-19 (1979), penerbit Basheer Ahamed (Singapura), bahagian "Kesimpulan Isi Quran", halaman III, di bawah tajuk BEBERAPA SURUHAN YANG WAJIB (termasuk akhlak yang baik).
Penulis
Bacaan
Ramadan / November 2002
Sila
baca juga:
Takdir -naqtau
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman