Takdir

 

From: naqtau
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Sunday, April 19, 2009 9:21:26 AM
Subject: Taqdir


Salamun' alaikum,

Salam hormat kepada saudara and terima kaseh di atas kesudian saudara untuk mempertengahkan email saya tempoh hari dulu mengenai ayat 7.157.

Dalam artikel yang bertajuk "Percaya kepada Taqdir", ada beberapa ayat dan hadis yang saudara bentangkan di mana setengah2 pihak mengaitkan nya dengan rukun iman yang ke enam itu.

Ada juga pihak2 yang mengaitkan ayat berikut ,57:22, dengan kepercayan pada taqdir:

BACAAN; "Tiada penderitaan yang menimpa di bumi, atau pada diri-diri kamu sendiri, melainkan ada di dalam Kitab sebelum Kami menciptanya; itu bagi Allah mudah,"

Ada kah ayat tersebut kena mengena dengan cerita2 yang telah di tuliskan di dalam Al-Quran, sebagai contoh ayat2 berikut:

111:1. Binasalah tangan-tangan Abu Lahab, dan binasalah dia!

111:2. Hartanya tidak berguna kepadanya, dan tidak juga apa yang dia usahakan,

111:3. Dia akan dipanggang di api yang menyala-nyala,

111:4. Dan isterinya, pembawa kayu api,

111:5. Pada lehernya seutas tali rami palma.

Semasa Rasul  menerima al-Quran, ayat mengenai Abu Lahab ada terkandung di dalam Nya. Pada pendapat saya Abu Lahab dengan sendiri nya boleh meruntuhkan Al-Quran hanya dengan memilih untuk bertaubat dan menerima ajaran Rasul. Tetapi mengikut cerita dia tidak buat begitu hingga akhir hayat nya. Ada kah dia telah di taqdirkan  begitu?

Di dalam ayat berikut pula Allah berfirman; 

2:36. Kemudian syaitan gelincirkan mereka daripadanya, dan keluarkan mereka dari dalam apa mereka berada, dan Kami berkata, "Turunlah kamu, sebahagian kamu jadi musuh bagi sebahagian yang lain, dan di bumi sebuah tempat menginap bagi kamu, dan kesenangan untuk suatu waktu."

Dari anak2 Adam, Qabil dan Habil, hingga-lah ke hari ini manusia masih bermusuhan sesama sendiri samada mereka berlainan agama dan bangsa mahu pun seagama dan sebangsa. Adakah manusia telah ditaqdir kan bermusuhan?

Terima kaseh sekali lagi, dan mohon maaf sekira nya saya salah faham mengenai ayat2 tersebut. Cuma "naq tahu" saja, apa pendapat saudara.

Salam.
 

Salamun alaikum,

Terima kasih. Artikel yang disebut di atas (yang harus dibaca sebelum ini) menjelaskan pendapat kami yang menolak kepercayaan kepada takdir. Akan tetapi ia tidak diterima oleh sesetengah pihak kerana pada pendapat mereka terdapat beberapa ayat yang menunjukkan adanya takdir seperti yang dipercayai umum dalam Islam. Ayat pertama yang dikemukakan berbunyi,

"Tiada penderitaan yang menimpa di bumi, atau pada diri-diri kamu sendiri, melainkan ada di dalam Kitab sebelum Kami menciptanya; itu bagi Allah mudah," (57:22).

Pada pandangan kami, ayat tersebut menyatakan bahawa penderitaan sudah "ditulis" di dalam Kitab sebelum ia berlaku. Dengan perkataan lain, ia bermaksud sudah ditentukan di dalam sistem-Nya, dan menunggu masa untuk diaktifkan.

Seolah sistem yang diadakan untuk komputer, misalan, terdapat ciri restart. Untuk mengaktifkan restart, seseorang harus tekan butangnya yang dapat dilihat selepas menekan butang start di sudut bawah sebelah kiri skrin. Atau, tekan butang Ctrl+Alt+Del sekali gus, atau tekan suis restart yang disediakan pada sesetengah CPU. Justeru, terdapat beberapa pilihan untuk restart. Pun begitu, kerana ia merupakan pilihan, maka seseorang tidak diharuskan memilih mana-mana pilihan yang disediakan. Sebaliknya, dia boleh matikan komputer dengan menekan suis off di plug dan kemudian hidupkannya semula.

Begitu juga dengan hal penderitaan tersebut, ada pilihannya. Manusia memilih mana-mana pilihan yang disediakan untuk mendapatkan penderitaan. Atau tidak memilihnya langsung. Itu bermaksud penderitaan diperoleh daripada usaha sendiri, tidak dikurniakan tanpa ikhtiar. Ayat di bawah menjelaskan,

"Apa sahaja penderitaan yang menimpa kamu adalah kerana apa yang tangan-tangan kamu usahakan; dan Dia maafkan banyak." (42:30)

Allah tahu segala sesuatu, misal yang ghaib, seperti segala yang sudah berlaku dan yang akan berlaku. Dia juga mengetahui apa yang di dalam dada manusia, termasuk dada Abu Lahab dan isterinya. Di dalam dada mereka tersemat pilihan untuk tidak percaya kepada apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad, yang dikatakan anak saudaranya. Mereka berdua boleh diterangkan lebih jahat daripada Firaun, yang mengaku percaya sejurus sebelum dia mati. Tetapi pasangan suami-isteri itu tidak.

Selanjutnya tentang keimanan seseorang adalah didapati tidak ditakdirkan Allah. Ia adalah pilihan sendiri. Lapan ayat diturunkan di bawah bertujuan menjelaskan lagi kenyataan tersebut:

"Kami tidak tentukan kiblat yang kamu hadapkan melainkan supaya Kami tahu siapa yang ikut Rasul, dan siapa yang balik di atas tumit-tumitnya." (2:143)

"Jika luka sentuh kamu, maka luka yang serupa telah pun sentuh kaum itu, dan harinya itu Kami gilirkan antara manusia, dan supaya Allah tahu orang-orang yang percaya, ..... dan Allah tidak suka orang-orang zalim." (3:140)

"Dan apa yang menimpa kamu pada hari dua kumpulan bertemu adalah dengan izin Allah, dan supaya Dia tahu orang-orang mukmin. Dan supaya Dia tahu orang-orang munafik ..." (3:166-167)

"Wahai orang-orang yang percaya, sungguh, Allah uji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan yang tangan-tangan kamu, dan tombak-tombak kamu capai, supaya Allah tahu siapa yang takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib." (5:94)

"Adakah kamu sangka kamu akan dibiarkan sedang Allah belum tahu orang-orang yang berjuang antara kamu, dan tidak ambil - selain daripada Allah, dan Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin - sebagai sahabat karib?" (9:16)

"Dan ia tidak ada kuasa terhadap mereka, melainkan supaya Kami tahu orang yang percayai akhirat daripada orang yang dalam keraguan padanya." (34:21)

"Dan sungguh, Kami akan uji kamu sehingga Kami tahu orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar," (47:31)

"Sesungguhnya Kami utus Rasul-Rasul Kami dengan bukti-bukti yang jelas, dan Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan Timbangan, supaya manusia menegakkan keadilan. Dan Kami turunkan besi, padanya kekuatan yang sangat, dan banyak manfaat kepada manusia, dan supaya Allah tahu siapa yang menolongnya, dan Rasul-Rasul-Nya, dalam keadaan ghaib. Sesungguhnya Allah Kuat, Perkasa." (57:25)

Pada hemat kami, ayat-ayat di atas tidak bermaksud Tuhan tidak tahu sebelum Dia dikatakan "mengetahui" kerana Dia telah disebut sebagai mengetahui segala sesuatu berulang kali di dalam al-Qur'an. Mereka hanya bermaksud bahawa segala kebaikan atau keburukan yang disebut di dalamnya belum lagi dicatat di dalam kitab amalan orang-orang yang terlibat.

Apapun, ayat-ayat itu beri isyarat bahawa segala yang diberi kepada manusia atas kepercayaan mereka adalah bukan takdir seperti yang dipercayai dalam Rukun Iman.

Kerana Pengetahuan yang ada pada-Nya juga, Dia adakan ciri permusuhan antara manusia di dalam sistem-Nya, berserta beberapa pilihan untuk menjayakannya. Satu daripadanya ialah syaitan, yang disebut di dalam ayat dikemukakan oleh naqtau berbunyi,

"Kemudian syaitan gelincirkan mereka daripadanya, dan keluarkan mereka dari dalam apa mereka berada, dan Kami berkata, 'Turunlah kamu, sebahagian kamu jadi musuh bagi sebahagian yang lain, dan di bumi sebuah tempat menginap bagi kamu, dan kesenangan untuk suatu waktu.'" (2:36)

Allah tidak mentakdirkan Adam dan isteri keluar dari Taman tetapi kerana pilihan mereka untuk ikut bisikan syaitan. Syaitan dari awal telah menunjukkan kesombongan dengan enggan bersujud kepada Adam, dan kemudian berikrar sesatkan manusia daripada jalan lurus. Permusuhan itu tidak ditakdirkan Allah. Tetapi Dia mengetahui sebelum berlaku.

Lagi satu contoh pilihan yang disediakan ialah sifat dengki. Ia dipilih untuk dipakai oleh seorang daripada dua anak Adam (nama-nama mereka tidak disebut di dalam al-Qur'an) lalu timbul permusuhan yang berkesudahan dengan pembunuhan. Tragedi itu tidak berbau takdir sedikit pun.

Demikianlah sistem Allah yang disempurnakan seperti Dia hendaki. Mengapa diadakan-Nya penderitaan, permusuhan, kuasa memilih, pengampunan, syurga dan neraka, dan sebagainya, di dalam sistem-Nya, adalah bukan hak kami untuk bertanya. Kerana Dia telah beri peringatan mengenainya dengan jelas berbunyi,

"Dia tidak ditanya mengenai apa yang Dia buat, tetapi mereka ditanya." (21:23)

Dia tidak ditanya atas apa yang Dia buat. Namun, sistem itu tidak disenangi sesetengah pihak, termasuk mereka yang mengaku percaya kepada-Nya, lalu terangkannya, seperti yang kami dimaklumkan terlebih dahulu, sebagai sistem gangster. Itu pilihan mereka untuk mengatakan apa sahaja yang mereka suka terhadap Allah, yang mencipta mereka, dan rezekikan mereka. Allah tidak menutup mulut mereka daripada keluarkan kata-kata tersebut, dan mereka mungkin beranggapan bahawa mereka tidak akan ditanya mengenainya di akhirat kelak.

Pendapat kami mengenai takdir seperti dalam Rukun Iman kali ini berakhir di sini. Terima kasih.

Salam.

21.4.09


Tambahan
25.7.10

Petikan daripada Tidak Ditanya
 

Soalan kedua - Wajarkah Kita menyatakan Tuhan tetapkan perkara yang akan berlaku?

Kami syak soalan ada kaitan dengan tajuk takdir. Kalau begitu sila rujuk karangan berjudul Takdir (emel ini) dan Percaya kepada Taqdir (sekali lagi diucap terima kasih). Selanjutnya diturunkan ayat-ayat untuk mengetahui apakah sebenarnya yang ditetapkan Allah:
 

"...Maka sekarang campurilah mereka (isteri-isteri), dan carilah apa yang Allah tuliskan (tetapkan) untuk kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan campuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid. Itu had-had (hudud) Allah; janganlah keluar daripadanya..." (2:187)

"Dan perempuan-perempuan yang bersuami (dilarang dikahwini), kecuali apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki. Demikianlah Allah kitabkan (tetapkan) untuk kamu. Dihalalkan bagi kamu, selepas yang demikian itu, adalah bahawa kamu cari, dengan mengguna harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina. Isteri-isteri yang kamu bersenang-senang dengannya, beri mereka upah mereka sebagai satu ketentuan; dan tidak salah ke atas kamu terhadap apa yang kamu saling setuju dengannya daripada apa yang sudah ditentukan. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:24)

"... Kemudian sejurus setelah perang dituliskan (ditetapkan) bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka akan takut kepada Allah, atau lebih takut, dan mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau tuliskan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau tangguhkan kami ke suatu tempoh yang dekat?'" (4:77)

"Wahai orang-orang yang percaya, tepatilah perjanjian kamu. Dihalalkan bagi kamu ialah haiwan ternakan, kecuali apa yang dibacakan kepada kamu, supaya kamu tidak anggap binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam haram (ihram). Sesungguhnya Allah tetapkan hukum apa sahaja Dia hendaki." (5:1)

"Oleh kerana itu, Kami tuliskan (tetapkan) untuk Bani Israil bahawa sesiapa bunuh satu jiwa, bukan untuk membalas atas satu jiwa yang dibunuh, dan bukan juga kerana kerosakan yang dilakukan di bumi, adalah seakan-akan dia membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa menghidupkannya, seakan-akan dia hidupkan manusia kesemuanya." (5:32)

"Dan di dalamnya Kami tuliskan (tetapkan) untuk mereka bahawa jiwa untuk jiwa, dan mata untuk mata, dan hidung untuk hidung, dan telinga untuk telinga, dan gigi untuk gigi, dan untuk luka ada pembalasan (qisas); tetapi sesiapa bersedekah dengannya, maka ia adalah baginya satu penebus. Dan sesiapa tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang zalim." (5:45)

"Dan apabila orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, 'Salamun alaikum (Sejahtera ke atas kamu).' Pemelihara kamu tuliskan (tetapkan) untuk diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu buat jahat dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:54)

"Dan apabila Musa datang pada waktu yang Kami tetapkan, dan Pemeliharanya berkata-kata dengannya, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, perlihatkan kepadaku, supaya aku dapat lihat Engkau.' Berkatalah Dia, 'Kamu tidak akan melihat Aku; tetapi perhatikanlah gunung itu - jika ia tetap di tempatnya, maka kamu akan lihat Aku.' Dan apabila Pemeliharanya nampakkan-Nya kepada gunung, Dia membuatnya hancur menjadi debu, dan Musa jatuh pengsan. Setelah dia terjaga, dia berkata, 'Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin.'" (7:143)

"Dia yang buatkan matahari satu sinaran, dan bulan satu cahaya, dan tetapkan ia dengan pengkalan-pengkalan, supaya kamu tahu bilangan tahun dan hitungan." (10:5)

"Allah hapuskan, dan Dia tetapkan apa sahaja Dia hendaki; dan di sisi-Nya ialah Ibu Kitab." (13:39)

"Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan mengenai Kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah cipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada dadih darah, kemudian daripada seketul daging, berbentuk dan tidak berbentuk, supaya Kami jelaskan kepada kamu. Dan Kami tetapkan di dalam rahim-rahim apa yang Kami hendaki hingga satu tempoh yang dinyatakan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, supaya kemudian kamu sampai dewasa; dan antara kamu mati, dan antara kamu dikembalikan kepada umur yang paling hina hingga mereka, setelah tahu sesuatu, tidak tahu apa-apa. Dan kamu lihat bumi kehitaman, kemudian apabila Kami turunkan air kepadanya, ia bergetar dan gelembung, dan tumbuhkan tiap-tiap jenis yang menggirangkan." (22:5)

"Sebuah surah yang Kami turunkan dan tetapkan; dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, supaya kamu mengingati.
Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan, dan dalam agama Allah, janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan orang-orang mukmin saksikan azab mereka." (24:1-2)

"Dia yang tetapkan al-Qur'an kepada kamu benar-benar akan kembalikan kamu ke tempat kembali. Katakanlah, 'Pemeliharaku sangat-sangat tahu siapa yang datang dengan petunjuk, dan siapa yang dalam kesesatan yang nyata.'" (28:85)

"Tidak ada kesalahan ke atas Nabi mengenai apa yang Allah telah tetapkan untuknya - sunnah (resam) Allah pada orang-orang yang telah berlalu sebelumnya; dan perintah Allah adalah ketetapan yang telah ditetapkan." (33:38)

"Wahai Nabi, Kami telah halalkan untuk kamu isteri-isteri kamu yang kamu sudah beri upah mereka, dan apa yang tangan kanan kamu miliki, yang Allah beri kamu (rampasan perang), dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah bapa kamu, dan anak-anak perempuan emak-emak saudara sebelah bapa, dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan emak-emak saudara sebelah ibu yang hijrah bersama kamu, dan mana-mana perempuan yang mukmin, jika dia serah dirinya kepada Nabi dan jika Nabi hendak kahwininya, yang untuk kamu khasnya, bukan untuk orang-orang mukmin yang lain - Kami tahu apa yang Kami tetapkan kepada mereka, berkenaan isteri-isteri mereka dan apa yang tangan-tangan kanan mereka miliki - supaya tidak ada kesalahan ke atas kamu; Allah Pengampun, Pengasih." (33:50)

"Dan bulan - Kami tetapkan ia dengan pengkalan-pengkalan sehingga ia kembali seperti sebatang dahan palma yang tua." (36:39)

"Kemudian Kami utus, menyusuli jejak-jejak mereka, Rasul-Rasul Kami; dan Kami utus, untuk menyusuli mereka, Isa putera Mariam, dan kami beri kepadanya Injil. Dan Kami buatkan di dalam hati orang-orang yang mengikutinya kelembutan, dan pengasihan. Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak tuliskan (tetapkan) untuk mereka - hanya untuk menginginkan kepuasan hati Allah; tetapi mereka tidak awasinya sebagaimana ia patut diawasi. Maka Kami beri orang-orang antara mereka yang percaya upah mereka; dan kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang fasiq." (57:27)

"Allah telah tuliskan (tetapkan), 'Aku pasti akan kalahkan (orang-orang yang menentang), Aku dan Rasul-Rasul-Ku.' Sesungguhnya Allah Kuat, Perkasa." (58:21)

"Kamu tidak dapat sesuatu kaum yang percayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka. Mereka itu, Dia tuliskan (tetapkan) keimanan dalam hati mereka, dan Dia kukuhkan mereka dengan Roh daripada Dia Sendiri; dan Dia masukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, sedang Allah sangat puas hati terhadap mereka, dan mereka sangat puas hati terhadap-Nya. Mereka itu golongan Allah; sesungguhnya golongan Allah, merekalah orang-orang beruntung." (58:22)

"Dia yang keluarkan dari tempat tinggal mereka, orang-orang tidak percaya daripada ahli Kitab, pada pengumpulan yang pertama. Kamu tidak sangka mereka akan keluar, dan mereka sangka kubu-kubu mereka dapat mempertahankan mereka terhadap Allah; kemudian Allah datang kepada mereka dari arah yang mereka tidak jangkakan, dan Dia lemparkan ketakutan yang amat sangat ke dalam hati mereka sedang mereka meruntuhkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri, dan tangan orang-orang mukmin; maka ambillah pelajaran, wahai orang-orang empunya mata (penglihatan)!
Jika tidak kerana Allah tuliskan (tetapkan) penyuraian bagi mereka, tentu Dia akan azab mereka di dunia; dan bagi mereka di akhirat, azab Api." (59:2-3)

"Allah menetapkan bagi kamu pembebasan daripada sumpah-sumpah kamu. Allah Pelindung kamu, dan Dia Yang Mengetahui, Yang Bijaksana." (66:2)


Justeru, dapat dicerahkan dengan ayat-ayat al-Qur'an bahawa Tuhan tidak tetapkan terlebih dahulu segala perkara yang akan berlaku. Contoh yang telah ditetapkan ialah mengenai hukum, perang, perjumpaan dengan Nabi Musa, pengkalan-pengkalan bagi bulan, al-Qur'an, sesuatu khas untuk Nabi sahaja, kalahkan orang-orang yang menentang, iman bagi golongan Allah, dan mengenai sumpah.

Di samping itu, Dia juga telah tentukan beberapa perkara, seperti diringkaskan di bawah ini:


Terima kasih.

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis
  English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman