Pemerdeka Teragung
Sebelum suatu cahaya daripada Allah diturunkan lebih seribu empat ratus tahun yang lampau, orang-orang Arab berada dalam kegelapan. Kerana mereka adalah kaum yang ummiy iaitu yang belum menerima sebarang Kitab daripada Allah. Pegangan mereka berdasarkan amalan nenek moyang yang diajar oleh orang-orang yang dianggap celik agama tetapi tidak dapat petunjuk. Mereka menyembah berhala yang dinamakan al-Lat, al-Uzza dan Manat (53:19-20).
Bagi orang-orang Yahudi pula, mereka tidak lagi ikut ajaran kitab Taurat yang disampaikan melalui Nabi Musa. Sebaliknya, mereka ikut ajaran habr (ulama agama). Yang paling berpengaruh antara mereka adalah seorang "Imam" bernama Uzair. Dia sangat dimuliakan sampai bergelar "anak Tuhan" (9:30).
Begitu juga dengan orang-orang Kristian. Para alim agama yang palsu berjaya memesongkan mereka daripada kitab Injil sehingga mereka menganggap Nabi Isa sebagai anak Tuhan (9:30).
Kedua-dua golongan itu telah mengambil ulama agama dan rahib-rahib sebagai sumber petunjuk, bukan Kitab dari sisi Allah yang diturunkan kepada mereka. Dengan buat demikian, mereka dijadikan pemelihara (tuhan), selain daripada Allah, menurut pandangan-Nya. Firman Tuhan,
"Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara (tuhan-tuhan) selain daripada Allah" (9:31).
Oleh kerana ajaran mereka terpesong maka agama tidak lagi jadi mudah untuk diamalkan. Peraturan-peraturan ketat dikenakan ke atas pengikut-pengikut. Mereka terikat dengannya. Lantas, pengikut-pengikut berada dalam keadaan seperti dibelenggu.
Perkara-perkara yang mungkar tidak dilarang. Sebagai contoh ialah ucapan dosa. Firman-Nya,
"Mengapakah rabani-rabani (orang-orang yang menguasai), dan habr (ulama agama) tidak larang mereka daripada ucapan dosa, dan makan yang haram? Buruknya apa yang mereka kerjakan!" (5:63)
Keadaan yang semakin buruk mendesak agar suatu petunjuk daripada Allah diturunkan. Petunjuk itu adalah al-Qur'an, dan Nabi Muhammad, daripada kaum yang ummiy iaitu Arab, telah dipilih untuk menyampaikannya, sekali gus merdekakan manusia daripada belenggu dan beban yang ditanggung akibat ajaran ulama agama yang palsu. Firman-Nya,
"Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy, yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang buruk-buruk, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan ikut cahaya yang diturunkan bersamanya (al-Qur'an); merekalah orang-orang beruntung." (7:157)
Al-Qur'an diturunkan supaya Rasul menyuruh yang baik, melarang yang mungkar, menghalalkan benda-benda yang baik, mengharamkan yang buruk, membebaskan beban dan belenggu daripada manusia, yang dikenakan oleh orang-orang tersebut.
Lantaran itu, orang-orang yang menuruti Rasul terlepas daripada kebelengguan mereka. Kebebasan itu buatkan mereka jadi maju, serta dicontohi, sehingga mampu menguasai negara-negara lain.
Akan tetapi, kebebasan itu tidak kekal. Setelah kira-kira dua ratus tahun Nabi wafat keadaan jadi seperti sebelum al-Qur'an diturunkan. Agama mula dikuasai oleh manusia, yang antaranya digelar Imam. Mereka datangkan kitab-kitab baru yang mengandungi ajaran-ajaran baru, kemudian menggantikan kitab Rasul yang satu. Lalu Islam jadi tidak Quranik. Al-Qur'an diketepikan dengan pelbagai alasan, seperti ia sukar difahami atau hanya golongan serupa Imam tersebut sahaja yang tahu rahsia-rahsianya. Akibatnya, datang kemurkaan Allah. Kemenangan yang mereka kecapi diganti pula dengan kekalahan.
Keadaan serupa itu pernah berlaku kepada kitab Taurat sebelumnya. Sejarah berulang lagi. Firman Allah,
"Persamaan orang-orang yang dibebankan dengan Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya adalah seperti persamaan seekor keledai yang memikul buku-buku yang tebal." (62:5)
Seekor keledai boleh memikul beban yang amat berat. Adalah dikatakan bahawa dua bakul besar dengan muatan yang penuh yang diletak di kedua-dua sisinya boleh sembunyikan saiznya yang kecil. Begitulah persamaan yang dibuat oleh Allah bagi menunjukkan betapa banyaknya bilangan kitab yang ditulis manusia untuk mengganti sebuah Taurat!
Beban itu turut dipikul oleh orang Islam. Namun, ia boleh dilepaskan dengan hanya memikul sebuah kitab sahaja, al-Qur'an, yang mengandungi ajaran Islam sebenar lagi terperinci.
Pengharaman benda-benda yang dihalalkan Tuhan adalah juga satu beban. Senarai benda yang diharamkan Tuhan adalah amat pendek berbanding yang panjang rekaan ulama palsu. Beban itu dilepaskan dengan al-Qur'an agar manusia dapat menikmati pelbagai rahmat yang disediakan Allah, dan dapat melangkah dengan jauh, tanpa batas, di muka bumi-Nya ini.
Pendek kata, hukum-hukum agama ulama palsu lebih berupa menindas dan zalim sehingga penzina perempuan yang jadi hamil sahaja yang dihukum - dengan melontar batu pulak! - sementara yang lelaki dibebaskan kerana pentafsiran ke atas istilah "saksi" yang disebut Allah di dalam al-Qur'an tidak begitu tepat. Bagi mereka empat saksi bermaksud empat orang, bukan empat bukti, seperti DNA.
Al-Qur'an mampu untuk menghilangkan kemungkaran yang tidak dilarang, seperti ucapan dosa yang dilakukan pada zaman dahulu. Ucapan dosa yang berleluasa dewasa ini ialah berdusta. Satu contoh terdapat pada tulisan seorang yang menggelarkan dirinya "min stech" yang telah menulis melalui emel. Antara tulisannya berbunyi:
"wahai manusia dan sekalian mahkluk yang Aku ciptakan, kajilah walau sebanyak mana ilmu yang mampu kamu kaji pelajari kecuali persoalan tentang rahsia-rahsia ghaib dan isu persoalan tentang roh kerana kamu tidak akan bisa buat demikian, Aku lebih mengetahui daripada apa kamu ketahui,dan Aku lebih mengetahui apa yang kamu ingin ketahui,"
Itu adalah pendustaan yang paling hina kerana dibuat atas nama Allah. Kata-kata itu bukan kata-kata Allah, kerana tidak terdapat di dalam al-Qur'an. Dan, Tuhan tidak mungkin mengatakan sesuatu yang amat rendah seperti "wahai manusia dan sekalian mahkluk yang Aku ciptakan, kajilah ..." Apa? Lembu buat kajian?
Sebenarnya, apa yang hendak disampaikannya ialah bahawa al-Qur'an tidak mampu difahami oleh manusia. Hasutan daripada ulama palsu itu bertentangan dengan kehendak Allah, iaitu agar kitab-Nya difahami dan dituruti. Seterusnya, orang yang sangka dirinya celik agama tadi menyambungkan pendustaannya lagi, berbunyi:
"tahukah kamu Allah jadikan manusia dengan diberikan sebanyak 6666 urat dalam tubuh manusia,begitu juga ayat al-quran terdapat 6666 patah ayat untuk menjelaskan sesungguhnya manusia ini adalah sebaik2 daripada segala jenis kejadian yang diciptakan,tapi kamu mempertikaikan persoalan tentang 6666 ayat dalam quran Allah tanpa buat rujukan dan semakan dan tuntutan daripada para ilmuan yang banyak didunia ini,"
Begitulah aibnya minda yang dibelenggu oleh ajaran agama manusia. Untuk mengira bilangan ayat al-Qur'an adalah mudah. Tidak perlu merujuk kepada orang lain, yang mungkin merupakan seorang penipu yang nyata. (Sila rujuk artikel Mistis nombor 6666). Lagi, ketahuilah bahawa kata-kata mereka mengenai ciptaan manusia itu adalah bohong belaka. Sila lihat ayat berikut:
"Sungguh, ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (40:57)
Seorang lagi yang telah datangkan kepalsuan dalam agama ialah yang memakai nama "atthiah". Dia menulis untuk mengulas jawapan seorang adik mengenai pemakaian tudung kepala yang tidak disenanginya. Daripada tulisan atthiah adalah yang berikut:
"...adikkan sudah baligh maka wajib menutup aurat! dalam al-Quran lengkap semuanya! semua ilmu banyak telah dikaji oleh para ulama, kewajipan memakai tudung pun ada! akak tak ingat surah aper tapi dalam ayat tue Allah perintah nabi menyuruh isteri2 dan anak2 menutup aurat . maksudnyer hendaklah memakai tudung hingga ke dada! ramai yang memakai tudung tapi tidak dilabuhkan menutupi dada. memang laar panas tapi jika dibandingkan dengan azab Allah lagi pedih bagi mereka yang tidak menutup aurat walaupun sehelai rambut dikira berdosa."
Apa yang dikatakannya kajian para ulama mengenai memakai tudung yang terdapat di dalam al-Qur'an itu adalah tidak benar. Al-Qur'an tidak menyatakan begitu mengenai pakaian perempuan. Maksud perkataan "aurat" pun tidak mengikut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an. Dan dosa! Sama dengan orang lain, dia telah dibelenggu oleh ulamanya dengan perkataan itu.
Petikan daripada surat "atthiah" disambung lagi:
"adik ingin perjuangkan islam? didiklah diri dengan cara hidup islam, ilmu kita masih terlalu sedikit.ilmu Allah terlalu luas.adik jangan hanya membaca tentang ilmu Agama tanpa bimbingan guru yang lebih arif. kerana membaca tanpa berguru maknanya belajar dengan syaitan.
ini sahaja yang dapat akak bagi pandangan...
kita muslimah islam...jangan sampai menjatuhkan martabat islam itu sendiri!"
Sedikit huraian mengenai petikan di atas diturunkan di bawah ini:
1. Hidup cara Islam? Setakat ini, hidup yang dimaksudkan itu kelihatan berdiri atas penipuan sahaja.
2. Ilmu pada Tuhan tidak dipersoalkan tetapi ilmu yang ada pada kita. Adakah mesti ambil ilmu daripada ulama palsu dengan bulat-bulat dan tidak langsung mencuba untuk memahami ilmu Tuhan yang dikatakan-Nya jelas (al-Qur'an itu jelas - 15:1, 27:1 dan 36:69)?
3. Membaca tanpa guru bermakna belajar dengan syaitan? Dia tentu telah belajar dengan guru, namun, apa yang dikeluarkannya adalah tiada, melainkan tipuan saja. Bukankah amalan menipu itu amalan syaitan?
4. Menjatuhkan martabat Islam? Kalaulah dia membuka sedikit mindanya dan melihat apa yang sedang berlaku di dunia hari ini tentu dia akan sedari bahawa yang menjatuhkan martabat Islam adalah orang-orang yang macam dia, yang berpakaian, dan berminda yang dibelenggu erat hingga tidak dapat bezakan antara yang benar dan yang palsu, antara yang Islam dan bukan Islam.
Kebelengguan yang terdapat pada kedua-dua penulis surat, dan pada sesetengah orang lain, boleh dimerdekakan dengan membaca, memahami dan menuruti ajaran al-Qur'an. Selepas itu, tidak ada lagi sifat menganggap diri sendiri amat suci tanpa sedari diri sudah tertipu, sambil diketahui oleh orang lain. Tidak ada lagi panggilan terhadap orang yang terlepas daripada belenggu tersebut sebagai bodoh, jahil dan kafir seperti yang dibuat oleh si "min stech" (itu tidak disalin di sini).
Sememangnya, yang paling buruk ialah belenggu yang dikenakan oleh ulama palsu ke atas akal orang Melayu. Mereka tidak digalakkan untuk menggunakannya. Minda dirosakkan sejak dari bangku sekolah lagi. Contoh apa yang diajar kepada anak-anak orang Melayu dalam Pendidikan Islam di peringkat sekolah menengah rendah ialah "sebab diadakan Rasul adalah kerana minda manusia terbatas"! Tidakkah orang-orang yang menganggap diri pandai agama itu melihat di sekelilingnya bahawa kemajuan manusia pada hari ini, dengan izin Allah, adalah bukan datang dari buah fikiran Rasul?
Negara sudah merdeka kian lama. Tetapi pegangan orang Melayu belum lagi. Ia masih dibelenggu oleh minda dan ajaran ulama palsu yang dijajah fahaman lama, terutamanya fahaman orang-orang Parsi. Orang-orang itu dengan kitab-kitab mereka nampak seolah disembah macam orang-orang Arab jahiliah menyembah al-Lat, al-Uzza dan Manat, iaitu dengan cara membabi buta.
Justeru itu, mohon dijadikan sambutan kemerdekaan negara tahun ini lebih hebat daripada tahun-tahun lalu, bagi orang-orang Melayu khasnya, kerana mula bertekad dan berikhtiar untuk ikut ajaran yang tercatat di dalam kitab Pemerdeka Teragung di dunia, al-Qur'an. Hanya dengan lakukan demikian belenggu yang melekat dapat ditanggalkan supaya mereka dapat duduk di hadapan di mata dunia, buat selama-lamanya, bukan setakat sementara waktu sahaja seperti yang dialami oleh orang Islam suatu masa dahulu.
Penulis Bacaan
Ogos
2003
Merdeka!
31 Ogos 2003
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman