Taubat, mengapa dan bagaimana
From: Idham
To: pengurus bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Monday, December 15, 2008 4:15:24 AM
Subject: Taubat, mengapa dan bagaimana?
Salamun ʽalaikum sdr pengurus laman.Kali ini saya mengajukan soalan mengenai taubat. Rasanya tajuk ini belum lagi disentuh sebelum ini, maaf jika saya terlepas pandang.
1. Apakah dosa atau kesalahan yang memerlukan kita bertaubat ?
2. Bagaimana caranya untuk melakukan taubat?
3. Adakah terdapat dalam al Qurʼan mengenai taubat nasuha?
Saya cuba merujuk beberapa ayat dari Surah 9 (Taubat) seperti catatan dibawah namun tidak dapat menyelesaikan persoalan diatas. Mungkin ada ayat lain yang saya tak tahu.
9:11. Namun demikian, jika mereka bertaubat, dan lakukan solat, dan beri zakat, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama; dan Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang tahu.
9:27. Kemudian Allah sesudah itu menerima taubat siapa Dia hendaki; Allah Pengampun, Pengasih.
9:102. Dan yang lain mengakui kesalahan-kesalahan mereka; mereka telah campuradukkan amalan yang baik dengan yang lain, yang jahat. Mudah-mudahan Allah akan terima taubat mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
9:104. Adakah mereka tahu bahawa Allah Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya, dan Dia ambil sedekah, dan bahawa Allah, Dia Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih?
9:106. Dan yang lain ditangguhkan hingga perintah Allah, sama ada Dia azab mereka, atau terima taubat mereka; Allah Mengetahui, Bijaksana.
9:112. Orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh pada yang baik dan melarang daripada yang mungkar, dan orang-orang yang menjaga had-had (hudud) Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin.
Sekian semoga dapat bantuan dan penjelasan dari pihak saudara.
Idham Omar
Salamun
alaikum,
Terima kasih. Benar, tajuk belum disentuh lagi secara menyeluruh, walaupun senarai semua ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat Taubat sudah berada agak lama di ruangan Kalimat Pilihan.
Bermula dengan sifat manusia. Pada dasarnya manusia bersifat menganiaya diri sendiri dan amat bodoh, kerana bersetuju memikul amanat Allah yang dikemukakan kepada mereka. Lalu kesalahan terhadap amanat-Nya dilakukan, sedang mereka terbahagi kepada tiga golongan besar, iaitu mukmin, munafik, dan penyekutu Allah. Orang-orang munafik dan penyekutu Allah, lelaki dan perempuan, akan diazab atas kesalahan itu, sementara bagi yang mukmin, lelaki dan perempuan, taubat mereka akan diterima, kerana Allah Pengampun, Pengasih. Demikianlah menurut ayat taubat berbunyi,
"Kami kemukakan amanat kepada langit, dan bumi, dan gunung-gunung, tetapi mereka enggan memikulnya; dan manusia memikulnya. Sesungguhnya dia sangat aniaya, amat bodoh.
Supaya Allah azab orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang lelaki yang sekutukan dan orang-orang perempuan yang sekutukan; dan supaya Allah terima taubat orang-orang mukmin lelaki, dan orang-orang mukmin perempuan. Allah Pengampun, Pengasih." (33:72-73)
Kesalahan-kesalahan yang harus ditaubatkan telah dinyatakan dengan jelas dan mereka tidak semestinya disebut di dalam ayat taubat itu sendiri, seperti difahamkan oleh saudara Idham. Lazimnya mereka dinyatakan sebelum ayat yang mengandungi kalimat taubat. Contoh, ayat 9:11 yang dikemukakan, iaitu "Namun demikian, jika mereka bertaubat, dan melakukan solat, dan memberi zakat, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama; dan Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang tahu." Untuk mengetahui kesalahan-kesalahan mereka, yang harus ditaubatkan, maka perhatian harus diundurkan ke belakang kepada beberapa ayat yang terdahulu.
Daripada satu lagi ayat yang diutarakan tadi, terdapat pula kesalahan disebut di dalam ayat taubat itu sendiri, iaitu yang berbunyi "9:102. Dan yang lain mengakui kesalahan-kesalahan mereka; mereka telah campuradukkan amalan yang baik dengan yang lain, yang jahat. Mudah-mudahan Allah akan terima taubat mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih."
Terasa tidak sedap untuk menjelaskan begini seolah para pembaca tidak tahu al-Qur'an, tapi soalan harus dijawab, dan tajuknya pula penting.
Dengan pendekatan yang sama, segala kesalahan manusia yang berkait dengan ayat-ayat taubat, atau yang harus ditaubatkan, dapat disenaraikan di sini, tetapi dengan ringkas sahaja, seperti di bawah (diturunkan menurut kronologi ayat-ayat):
mengingkari perintah
Tuhan seperti Adam lakukan - 2:37
menyembah patung,
contoh Anak Lembu - 2:54
sembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan petunjuk -
2:159-160
mengenai
bercampur dengan isteri semasa berpuasa - 2:187
bercampur dengan
isteri semasa dalam haid - 2:222
makan riba -
2:279
tidak percaya sesudah beriman kepada ayat-ayat-Nya, tetapi jika bertambah dalam
ketidakpercayaan taubat tidak diterima -
3:89-90
orang-orang zalim -
3:128
lakukan homoseksual -
4:16
tidak mampu kahwini perempuan merdeka, dan ikut hawa
nafsu, lalu mengambilnya tanpa izin keluarga mereka, lakukan zina, atau
jadikan mereka sebagai teman rahsia - 4:26-27
memerangi Allah dan Rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk buat
kerosakan - 5:33-34
lakukan
kezaliman, seperti mencuri -
5:39
mendustakan Rasul dan membunuhnya -
5:70-71
mengatakan Tuhan itu tiga -
5:73-74
tidak beri
salam yang betul -
6:54
minta melihat Allah, seperti Nabi Musa -
7:143
kerjakan
kejahatan - 7:153
sekutukan
Allah - 9:3-5
tidak
mengendahkan sebarang pertalian atau perjanjian, menjual ayat-ayat Allah
untuk harga yang sedikit, dan mengmenghalangi daripada jalan-Nya -
9:8-11
mencela agama
dan memerangi Rasul - 9:12-15
mengatakan kata ketidakpercayaan, dan tidak percaya (kafir)
setelah mereka islam - 9:74
campuradukkan amalan yang baik dengan yang jahat -
9:102
hati hampir menyimpang -
9:117-118
tidak percaya
kepada ayat-ayat Allah - 9:126
melampaui batas
- 11:112
tidak percaya
kepada Yang Pemurah - 13:30
buat jahat dalam
kejahilan - 16:119
sia-siakan solat, dan ikut hawa nafsu (syahwat) -
19:59-60
menuduh yang
bukan-bukan terhadap wanita yang berkahwin -
24:4-5
perempuan mukmin yang tidak
tundukkan pandangan mereka, tidak menjaga kemaluan mereka,
nampakkan perhiasan mereka, dan tidak letak penudung pada dada mereka -
24:31
menyeru
tuhan yang lain bersama Allah, membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, dan berzina -
25:68-70
mengejek kaum lain -
49:11
bersangkaan buruk, mengintip, mengumpat -
49:12
tidak baca al-Qur'an pada waktu malam -
73:20 dan,
menganiayai orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan - 85:10
Tiga puluh enam kesemuanya. Atau kurang lebih, kesalahan-kesalahan yang disebut bersama taubat menurut ayat-ayat al-Qur'an.
Setelah bertaubat, maka terpulang kepada Allah untuk menerima atau menolak taubat seseorang. Taubat yang tidak diterima dinyatakan dengan jelas seperti berikut:
"Tetapi tidak diterima taubat orang-orang yang lakukan kejahatan sehingga, apabila salah seorang antara mereka didatangi kematian, dia berkata, "Sesungguhnya sekarang saya bertaubat", dan tidak juga bagi orang-orang yang mati dengan tidak percaya (kafir); bagi mereka, Kami sediakan azab yang pedih." (4:18)
Manakala bagi yang diterima pula, ia dilakukan dengan segera selepas lakukan kejahatan dalam kejahilan. Dan ia dituruti dengan percaya kepada Allah, atau ayat-ayat-Nya, lakukan solat, beri zakat, dan tentunya, membetulkan diri sendiri. Empat ayat di bawah menjelaskan:
"Allah hanya terima taubat orang-orang yang buat jahat dalam kejahilan, kemudian dengan segera bertaubat; Allah akan terima taubat mereka, dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:17)
"Dan orang-orang yang kerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan percaya, sesungguhnya Pemelihara kamu sesudahnya, Pengampun, Pengasih." (7:153)
"Namun demikian, jika mereka bertaubat, dan lakukan solat, dan beri zakat, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama; dan Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang tahu." (9:11)
"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang buat jahat dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih." (16:119)
Sementara mereka yang dikatakan benar-benar bertaubat kepada Allah dalam taubat adalah yang buat kerja-kerja baik setelah bertaubat. Firman-Nya,
"Kecuali orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat amalan (kerja-kerja) yang baik; bagi mereka itu, Allah akan tukar kejahatan-kejahatan mereka dengan yang baik, dan Allah Pengampun, Pengasih.
Dan sesiapa bertaubat, dan buat kerja-kerja baik , dia benar-benar bertaubat kepada Allah dalam taubat." (25:70-71)
Turut difahamkan iaitu taubat dilakukan setelah mohon ampun. Dua ayat berikut beri keterangan lanjut:
"Dan mintalah ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubat kepada-Nya; sesungguhnya Pemeliharaku Pengasih, Penyayang." (11:90)
"Maka sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu, dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dialah yang menerima taubat." (110:3)
Sebelum mohon ampun sanjunglah Dia dengan pujian, dan pujian yang mudah didapati berada di hujung ayat seperti Allah Mengetahui, Bijaksana atau Pengampun, Pengasih, dan banyak lagi yang lain.
Al-Qur'an tidak ajar sebarang lakonan ketika bertaubat, seperti menjunjung kitab al-Qur'an atau lakonan lain yang diajar manusia. Taubat lahir di dalam jiwa, sepertimana diertikan oleh sebuah kamus tempatan berbunyi "sesal akan dosa (perbuatan jahat dll) dan berazam tidak akan buat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah lakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi".
Tambahan pula, perbuatan yang berkait dengan taubat seperti mohon ampun kepada Allah, solat, zakat, membetulkan diri, buat kerja-kerja baik dan percaya kepada-Nya adalah untuk ketenteraman jiwa sendiri. Dan cukuplah Allah sebagai yang mendengar dan menyaksikan segalanya.
Taubat dilafaz kepada-Nya, dalam doa, dan contoh doa ialah sepeti yang dibaca ketika sampai usia empat puluh tahun berbunyi,
"Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau rahmati aku dan bapa dan ibuku, dan supaya aku buat kerja-kerja baik yang memuaskan hati Engkau, dan betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim (tunduk patuh)." (46:15)
Namun begitu, terdapat juga taubat yang melibatkan orang lain. Sebabnya agak berat juga, iaitu melibatkan nyawa orang lain, dan balasan sebagai taubat, yang melibatkan orang lain, dijelaskan di dalam ayat di bawah:
"Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan silap, dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan silap, maka hendaklah dia merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka sedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan merdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak dapatkan, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:92)
Al-Qur'an turut ajar orang-orang yang bertaubat supaya jangan "over confident" atau terlalu yakin bahawa taubat mereka diterima Allah. Iktibar diambil daripada perkataan mudah-mudahan dan mungkin yang hadir pada ayat-ayat berikut:
"Tetapi bagi orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat kerja-kerja baik , mudah-mudahan dia termasuk orang-orang beruntung." (28:67)
"Wahai orang-orang yang percaya, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang tulus hati; mungkin Pemelihara kamu akan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan masukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai." (66:8)
Dalam sebaik-sebaik taubat, iaitu taubat yang tulus hati atau taubatan nashuuhan pun, tidak harus bersikap terlalu yakin. Sikap yang tidak diingini itu sering terdapat pada orang-orang yang tidak berpegang kepada al-Qur'an tetapi yakin sudah dapat petunjuk, dan sudah dapat tempat di syurga.
Oleh yang demikian, kepada Allah harus dimohon supaya taubat dapat diterima-Nya. Dia jelaskan melalui sebuah doa ajaran-Nya berbunyi,
"Wahai Pemelihara kami, buatlah kami muslim (tunduk patuh) kepada Engkau, dan daripada keturunan kami, umat yang muslim kepada Engkau; dan perlihatkan kepada kami peribadatan kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih." (2:128)
Turut mendoakan supaya taubat orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah diterima dan diampunkan dosa mereka ialah malaikat-malaikat yang berada dekat dengan Allah. Firman Tuhan,
"Mereka yang membawa Arasy, dan mereka di sekelilingnya menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, dan percayai-Nya, dan mereka minta ampun untuk orang-orang yang percaya, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan; maka ampunkanlah orang-orang yang bertaubat, dan ikut jalan Engkau, dan lindungilah mereka daripada azab Jahim.'" (40:7)
Selanjutnya, didapati orang-orang yang bertaubat diberi ganjaran seperti kesenangan yang baik, dan yang paling baik, pada hemat kami, ialah dapat petunjuk daripada Allah. Sila lihat ayat-ayat berikut:
"Dan, 'Hendaklah kamu minta ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubat kepada-Nya, dan Dia akan beri kesenangan yang baik kepada kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan, dan Dia beri daripada pemberian-Nya kepada setiap orang empunya kelebihan. Tetapi jika kamu berpaling, aku takut untuk kamu akan azab hari yang besar.'" (11:3)
"Sesungguhnya Aku, Yang Pengampun kepada orang yang bertaubat, dan percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan akhirnya dapat petunjuk." (20:82)
Orang-orang mukmin bertaubat kepada Allah. Namun terdapat beberapa amalan lagi yang dilakukan mereka, seperti disebut di dalam ayat terakhir diturunkan di sini, berbunyi,
"Orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh pada yang baik dan melarang daripada yang mungkar, dan orang-orang yang menjaga had-had (hudud) Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin." (9:112)
Maka bertaubatlah dengan taubat yang tulus hati sebelum maut yang tidak diketahui bila ia datang jadi penamat bagi segala usaha menyempurnakan amanat-Nya yang sudah diterima untuk dipikul.
Salam.
18 Dis 2008
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman