Surah 73
YANG BERSELIMUT

(20 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

73:1. Wahai kamu yang berselimut,

73:2. Berjaga-jagalah pada waktu malam, kecuali sedikit,

73:3. Separuh daripadanya, atau kurangkan sedikit,

73:4. Atau tambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar.

73:5. Sesungguhnya Kami akan lemparkan kepada kamu ucapan yang berat.

73:6. Sesungguhnya bahagian pertama malam lebih berat dalam pijakan, dan lebih tegak dalam ucapan.

73:7. Sesungguhnya pada siang hari kamu ada pekerjaan yang panjang.

73:8. Dan ingatlah nama Pemelihara kamu, dan abdilah kepada-Nya dengan pengabdian yang bersungguh-sungguh.

73:9. Pemelihara Timur dan Barat; tidak ada tuhan melainkan Dia; maka ambillah Dia sebagai Wakil.

73:10. Dan sabarlah kamu terhadap apa mereka kata, dan tinggalkanlah mereka dengan tinggalan yang manis.

73:11. Tinggalkanlah Aku dengan orang-orang yang dustakan, yang mewah, dan tangguhkanlah mereka sedikit,

73:12. Kerana di sisi Kami ada belenggu-belenggu, dan Jahim,

73:13. Dan makanan yang mencekik kerongkong, dan azab yang pedih,

73:14. Pada hari apabila bumi dan gunung-gunung bergentar, dan gunung-gunung jadi timbunan pasir yang tercurah.

73:15. Sesungguhnya Kami utus kepada kamu seorang Rasul sebagai saksi ke atas kamu, sebagaimana Kami utus kepada Firaun seorang Rasul.

73:16. Tetapi Firaun menentang Rasul itu, maka Kami ambil dia dengan ambilan yang kejam. 

73:17. Maka, jika kamu tidak percaya, bagaimanakah kamu akan bertakwa (menjaga diri) daripada satu hari yang buatkan kanak-kanak beruban?

73:18. Kerananya langit terbelah, dan janji-Nya dilakukan.

73:19. Sesungguhnya ini Peringatan; maka sesiapa yang hendak akan ambil kepada Pemeliharanya satu jalan.

73:20. Pemelihara kamu tahu bahawa kamu berjaga-jaga hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah tentukan malam dan siang. Dia tahu bahawa kamu tidak akan jumlahkannya, dan Dia terima taubat kamu. Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia tahu bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat. Dan lakukan solat, dan berikan zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah satu pinjaman yang baik. Apa sahaja kebaikan yang kamu dahulukan untuk jiwa kamu, kamu akan dapatinya di sisi Allah yang lebih baik, dan upah yang lebih besar. Dan mintalah ampunan Allah; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.

Daftar Surah