Kami Dengar dan Kami Tentang

 

Orang-orang mukmin apabila mendengar ayat-ayat Allah, atau suruhan dan larangan-Nya, hanya berkata "Kami dengar dan kami taat" (2:285). Lain pula dengan orang-orang Yahudi, yang berkata, "Kami dengar dan kami tentang". Demikianlah dinyatakan Allah di dalam ayat yang berbunyi,

"'Ambillah dengan kekuatan apa yang kami beri kamu, dan dengarlah.'" Mereka berkata, 'Kami dengar dan kami tentang'" (2:93).

Sifat degil orang-orang Yahudi itu dapat juga dikesan berada di kalangan orang-orang lain, termasuk mereka yang mengaku Islam. Contoh, sebuah ayat yang mengandungi arahan amat mudah, berbunyi, "Dan apabila orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah (Muhammad), 'Salamun alaikum.'" (6:54)

Apabila orang-orang mukmin mendengar ayat tersebut mereka yakin bahawa Nabi telah beri salam hormat seperti yang diajar Tuhan. Bagi orang-orang yang menentang pula, mereka mengatakan Nabi telah beri salam hormat yang selain daripada itu, seperti yang ditulis di dalam e-mel berikut (kami menebalkan 3 perkataan):

From: "Ahmad Abdullah" <ahlul_jihad@......>
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Renungan buat saudara seIslamku......
Date: Wednesday, September 15, 2004 12:11 AM

Assalamualaikum,
Itu ucapan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dan yakinlah bahawa itulah yang diajar oleh Allah S.W.T kepada utusanNya dan kekasihNya.

Keyakinan saudara yang menulis itu berdasarkan tulisan pujaannya yang tidak berada bersama Nabi. Tindakan itu sekali lagi menyerupai orang Yahudi yang disebut di dalam ayat di bawah,

"Wahai Rasul, janganlah mereka menyedihkan kamu ...... dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu.'" (5:41)

Sesungguhnya, perkataan Salamun alaikum telah dikelirukan sehingga jadi Assalamualaikum, dan itu menurut penulis surat adalah ajaran Allah dan Rasul-Nya!

Mungkin tidak silap untuk mengatakan bahawa kenyataan beliau adalah suatu pendustaan. Pendustaan itu dan yang lain diminta pula diterbitkan di laman web ini dengan kata-kata berikut: 

"Semoga saudara dapat siarkan email ini kepada umum untuk dijadikan renungan dan tauladan."

Tajuk salam hormat telah hiasi beberapa muka surat di laman web ini, misalnya Salamun alaikum dan Salam dan Assalam itu sama? Kami hairan mengapa ia dibangkitkan lagi.

Selanjutnya beliau telah, dengan panjang lebar, menegaskan bahawa pujaan beliau (daripada kaum Parsi) telah sampaikan ajaran Rasul yang kononnya menerangkan ajaran al-Qur'an. Dengan buat demikian beliau telah menentang ayat-ayat al-Qur'an yang dikemukakan di dalam beberapa karangan seperti (sekadar menyebut lima sahaja):

Sambil itu, al-Qur'an dikatakannya tidak dapat difahami dengan ilmu kita. Begini bunyi kata-katanya:

"sesungguhnya kita tidak dapat memahami Al-Quran dengan ilmu kita"

Dengan kenyataan itu beliau telah menentang ayat Allah yang jelas maksudnya berbunyi,

"Kami turunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham." (12:2) Ayat lain yang membawa mesej yang sama ialah 43:3.

Ayat itu bermaksud bahawa bukan sahaja al-Qur'an itu mampu untuk difahami namun harus difahami jua.

Dengan kenyataan itu juga penulis surat di atas telah menentang ayat-ayat Tuhan yang mengatakan al-Qur'an itu jelas (15:1, 27:1 dan 36:69) dan ayat-ayat yang mengatakan ia dimudahkan untuk manusia (54:17, 54:22, 54:32 dan 54:40), 

Bahasa Arabnya pun jelas, kata Allah. Firman-Nya,

"sedang yang ini (al-Qur'an) adalah dalam bahasa Arab yang jelas." (16:103)

Jelas di situ bermaksud mudah difahami, mungkin kerana nahu bahasa Arab yang tepat, lalu senang diterjemahkan.

Dalam penentangan terhadap ayat Allah tersebut penulis surat menulis:

"Sebaliknya bahasa arab itu amat rumit serta mempunyai berbagai2 maksud untuk suatu ayat atau perkataan."

Kerana tidak dapat memahami al-Qur'an dan bahasa Arab itu susah lalu terjemahannya tidak boleh dipakai, dan sebagai ganti, penulis surat menyuruh menerima kitab-kitab yang diikutinya, yang merupakan terjemahan juga! Kerana dia tidak arif bahasa Arab. Katanya,

"Sungguhpun saya tidak arif dengan bahasa arab."

Orang yang tidak arif bahasa Arab, dan ingin berjihad, sewajarnyalah berikhtiar untuk memahami kandungan al-Qur'an, dengan membaca dan mengkaji pelbagai terjemahan, merujuk kepada  kamus, concordance dan lexicon. Atau, belajar bahasa Arab.

Sebaliknya saudara yang menulis surat itu nampak seperti tidak buat apa-apa selain menepuk dada dan menuding jari. Begitukah perangai seorang yang memakai gelaran "Ahlul Jihad"?

Jihad sebenarnya adalah dengan al-Qur'an. Sila lihat artikel Jalan Allah. Akan tetapi, saudara itu tidak memetik satu pun ayat al-Qur'an di dalam jihadnya terhadap kami. Yang didatangkannya adalah buah fikiran orang-orang lain yang dipinjamnya untuk meyakinkan supaya kitab-kitab karangan pujaannya diimani.

Satu lagi ayat yang ditentangnya ialah mengenai mazhab. Malah bukan satu ayat tetapi beberapa. Sila rujuk Empat Imam Besar & Mazhab

Kata-katanya untuk menyokong mazhab berbunyi

"dan mazhab mempermudahkan kita mengamalkan Islam"

Kami tidak ingin menyebut lagi mengenai perbezaan dalam amalan antara al-Qur'an dan kitab-kitab pujaan saudara tersebut. Namun, ada satu yang baru yang ingin disampaikan iaitu yang dikirim oleh seorang pembaca setelah didengarnya seorang yang terbilang dalam agama ajar mengenai doa dan mandi wajib, berbunyi,

"doa kita tak makbul ...... sebab mandi wajib kita tak sempurna. Kita tak kemaskan shit kita, lobang dubur mesti dibersikan, jari hendaklah dimasukkan untuk membersihkan sambil mencangkung. Betul ke ni? kenapa terlalu kejam dan menyeksakan?"

Tidak ada dalam ajaran Tuhan bahawa doa tidak makbul kerana mandi tidak mencangkung dan jari tangan tidak pergi ke situ. Ia bukan juga ajaran Nabi. Tapi hanya ajaran mazhab yang dirasakan terlalu kejam dan menyeksakan.

Allah (dan Rasul-Nya) hanya menyuruh mandi untuk membersihkan (sila lihat 4:43 dan 5:6). Maka manusia harus fikirkan sendiri cara melaksanakan mandi kerana berada dalam beberapa keadaan atau iklim.

Bagaimana pula bunyi ajaran mazhab dalam keadaan tiada air, atau tayamum? Allah hanya menyuruh menyapu muka dan tangan dengan debu tanah yang baik. Hendakkah jari tangan pergi pulak ke tempat yang baru ke sungai besar?

Untuk meneruskan sebutan mengenai mazhab, kami pula dikatakan bermazhab kerana menurutnya, orang yang ikut sesebuah terjemahan al-Qur'an berada dalam mazhab atau kumpulan. Katanya,

"Kemudian ada seorang lagi menterjemahkannya mengikut pengetahuan bahasa arabnya, kemudian ada orang mengikutnya. Adakah itu bukan bermazhab atau berkumpulan?"

Pemahamannya mengenai mazhab agak aneh. Bagi kami antara ciri-ciri mazhab adalah yang berikut:

Ciri-ciri tersebut tidak ada pada kami. Kami tidak bermazhab.

Kembali kepada orang-orang Yahudi yang berkata "Kami dengar dan kami tentang" yang disebut dari awal lagi. Mereka telah diresapkan kepercayaan kepada Anak Lembu ke dalam hati mereka akibat daripada ketidakpercayaan mereka.

Begitu juga agaknya berlaku pada orang lain. Kepercayaan kepada ajaran orang-orang pujaan akan terus menyelam ke lubuk hati sehingga mereka tidak dapat kembali kepada ajaran asal yang tersurat di dalam al-Qur'an.

Kami memohon maaf di sini kerana tidak menyalin surat ahlul jihad dengan sepenuhnya. Sebab isi kandungannya serupa dengan yang sudah lama didatangkan dan dihuraikan di laman web ini.

Akhir kata, kami tetap menyokong orang-orang yang berjihad dalam Islam. Namun begitu, kami jauhkan diri daripada mereka yang guna kalimat jihad dan Islam tetapi sebenarnya tidak mukmin, dan berperanan seperti musang berbulu ayam, yang cuba matikan keimanan manusia kepada al-Qur'an, dengan menentang ayat-ayat Allah, menipu, serta memaksa mereka berpegang pada kitab-kitab yang selain daripada Kitab Allah.

Salamun alaikum!


20 September 2004.


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman