Syafaat - ada atau tiada?

 

Percaya kepada syafaat menimbulkan angan-angan. Bahawa nabi, Rasul, imam, orang alim, atau tok guru boleh beri syafaat adalah apa yang diangan-angankan oleh sesetengah umat Islam. Angan-angan itu terbit dari ajaran lima kitab hadis yang utama, dan ulama palsu, dalam dunia Islam.

Menurut Kamus Dewan, syafaat bermaksud "pertolongan untuk sampaikan pertolongan (kepada Tuhan): barang pintanya dikabulkan Allah subhanahu wa taala dengan berkat  ~  Nabi s.a.w." 

Menurut al-Qur'an, syafaat hanya berlaku di akhirat. Dari awal lagi, manusia telah dimaklumkan iaitu syafaat tidak akan diterima, dan tidak juga bermanfaat, di akhirat kelak. Firman-Nya,

"Dan takutilah kamu akan satu hari apabila sesuatu jiwa tidak dapat bela jiwa yang lain sedikit pun, dan syafaat (pengantaraan) tidak diterima daripadanya, dan tidak juga sebarang keimbangan diambil daripadanya, dan tidak juga mereka ditolong." (2:48)

"dan tidak bermanfaat syafaat (pengantaraan) kepadanya" (2:123)

Daripada ayat-ayat itu difahamkan bahawa syafaat adalah suatu pembelaan atau pertolongan kepada sesuatu jiwa pada "suatu hari". Bersama syafaat, iaitu jiwa lain dan keimbangan, juga disangka dapat beri pertolongan kepada sesuatu jiwa nanti.


Tiada syafaat

Syafaat tidak diterima dan tidak bermanfaat kerana pada hari itu tidak akan ada syafaat, dan jual beli, dan persahabatan, untuk menolong. Tidak ada pertolongan langsung daripada mana-mana pihak. Ayat yang beri penjelasan selanjutnya berbunyi,

"satu hari yang padanya tiada jual beli, dan tiada persahabatan, dan tiada juga syafaat (pengantaraan); dan orang-orang tidak percaya - merekalah orang-orang zalim." (2:254)

Sebab tidak diadakan syafaat, yang datang dari selain Allah, ialah supaya manusia benar-benar bertakwa kepada-Nya - benar-benar takut kepada-Nya, dengan menuruti segala perintah dan larangan-Nya. Dengan adanya (ajaran) syafaat, manusia tidak jadi begitu takut kepada Allah, lalu lalai daripada perintah-Nya, kerana sangka mereka akan ditolong oleh pihak-pihak tertentu. Firman-Nya,

"Dan berilah amaran dengannya kepada orang-orang yang takut bahawa mereka akan dikumpulkan kepada Pemelihara mereka; tidak ada bagi mereka, selain daripada Allah, seorang wali (pelindung) dan tiada juga seorang pengantara, supaya mereka bertakwa." (6:51)


Pengantara

Mereka yang disangka boleh beri syafaat, atau mengantara, ada disebut di dalam al-Qur'an. Pengantara-pengantara yang disebut itu adalah seperti tiga golongan yang disenaraikan di bawah ini:
 

1. Yang disembah selain Allah:

Firman-Nya,

"Mereka sembah, selain daripada Allah, apa yang tidak mudaratkan mereka dan tidak juga manfaatkan mereka, dan mereka berkata, 'Mereka ini pengantara-pengantara kami di sisi Allah.' Katakanlah, 'Adakah kamu beritahu Allah apa yang Dia tidak tahu, sama ada di langit atau di bumi?' Dia disanjung! Tingginya Dia daripada apa yang mereka sekutukan." (10:18)

Dengan menolak ajaran Allah di samping ambil ajaran lain, seseorang itu terjerumus ke dalam kancah menyembah yang selain daripada Allah. Bermaksud, dia sekutukan Allah. Mereka yang disembah itu sebenarnya tidak diberi kuasa mengantara atau syafaat sedikit pun oleh Allah.


2. Tuhan-tuhan lain:

Firman-Nya,

"Apa, adakah aku akan ambil selain daripada Dia, tuhan-tuhan yang pengantaraannya, jika Yang Pemurah hendak mudarat untukku, tidak berguna bagiku sedikit pun, dan yang tidak selamatkan aku?" (36:23)

Siapa atau apa saja yang diambil oleh seseorang sebagai mempunyai kuasa seperti Tuhan, dia dikategorikan sebagai orang yang mengambil tuhan selain daripada Dia. Pengantaraan yang diambil itu tidak mampu untuk membatalkan keputusan Allah.


3. Orang-orang (alim) yang disangka sekutu bagi Allah:

Firman-Nya,

"Sesungguhnya kamu datang kepada Kami bersendirian, seperti Kami cipta kamu pada kali pertama ....... Kami tidak lihat bersama kamu pengantara-pengantara kamu, orang-orang yang kamu dakwa untuk jadi sekutu-sekutu antara kamu. Pertalian antara kamu diputuskan, dan apa yang kamu dakwakan telah hilang daripada kamu." (6:94)

Manusia akan kembali kepada Allah bersendirian, tanpa seorang pembela pun.

Sangkaan bahawa mereka itu dapat beri syafaat sebenarnya adalah angan-angan kosong sahaja.


Hanya Allah

Tiada yang lain, tetapai hanya Allah, yang mengantara. Syafaat adalah kepunyaan-Nya sahaja. Segala, yang selain daripada Dia, termasuk malaikat, nabi atau Rasul, tidak ada kuasa langsung untuk mengantara (beri syafaat). Firman-Nya,

"Allah ialah Dia yang cipta langit dan bumi, dan apa yang di antaranya dalam enam hari, kemudian Dia duduk di atas Arasy. Selain daripada Dia, kamu tidak ada wali (pelindung), dan tidak juga ada pengantara; tidakkah kamu mengingati?" (32:4)

"Katakanlah, 'Bagi Allah kepunyaan syafaat (pengantaraan) kesemuanya. Kepunyaan-Nya kerajaan langit dan bumi; kemudian kepada-Nya kamu akan dikembalikan.'" (39:44)


Izin-Nya

Kemudian, disebut pula di dalam al-Qur'an, iaitu pengantaraan dilakukan setelah diizinkan-Nya. Yang diizinkan-Nya itu pula, bukanlah kuasa mengantara oleh mana-mana pihak, yang selain daripada Dia. Tetapi syafaat itu diberi kepada orang yang memerlukannya, atau penerima syafaat. Orang yang menerima syafaat adalah dia yang "Dia berpuas hati". Firman-Nya,

"Sesungguhnya Pemelihara kamu ialah Allah yang cipta langit dan bumi dalam enam hari, kemudian Dia duduk di atas Arasy, mengarah segala urusan. Tidak ada pengantara, kecuali setelah izin-Nya. Itu Allah, Pemelihara kamu, maka sembahlah Dia. Tidakkah kamu mengingati?" (10:3)

"Berapa banyaknya malaikat yang di langit yang pengantaraan mereka tidak berguna sedikit pun, kecuali setelah Allah izinkan sesiapa Dia hendaki, dan Dia puas hati." (53:26)


Syafaat sebenar

Syafaat sebenar adalah amalan sendiri. orang buat baik mengantara dengan amalannya yang baik dan orang yang buat jahat akan mengantara dengan amalannya yang jahat. Renungkan ayat berikut:

"Sesiapa yang mengantara dengan pengantaraan yang baik, akan terima sebahagian daripadanya, dan sesiapa yang mengantara dengan pengantaraan yang buruk, dia akan pikul yang serupa dengannya; Allah mempunyai kuasa atas segala sesuatu." (4:85)

Sehubungan itu, difahamkan bahawa pada Hari Kiamat manusia "ditimbang". Ada yang berat dan ada yang ringan (7:8-9). Bagi yang berat timbangannya, mereka mengantara dengan amalannya yang Dia berpuas hati, dan yang ringan, mengantara dengan amalannya yang buruk. Pengantaraan di situ berlaku setelah Dia mengizinkan. Segala-galanya adalah dengan izin-Nya!

Contoh ayat bagi pengantaraan yang baik diturunkan empat di bawah ini:


1. ambil perjanjian dengan Tuhan:

Firman-Nya,

"Dan menghalau orang-orang yang berdosa ke Jahanam, dalam keadaan dahaga, Dengan tanpa kuasa syafaat (pengantaraan), kecuali orang-orang yang telah ambil dengan Yang Pemurah perjanjian." (19:86-87)

Orang-orang yang berdosa tiada kuasa syafaat tetapi orang-orang yang mengambil perjanjian dengan Allah ada. Ini bermaksud bagi orang-orang yang berdosa Tuhan tidak izinkan syafaat kepada mereka, sementara yang buat perjanjian itu diizinkan-Nya syafaat kepada mereka.


2. Ucapan yang Dia berpuas hati:

Contoh ucapan itu didapati pada ayat yang menyusul ayat berikut:

"Pada hari itu, syafaat (pengantaraan) tidak bermanfaat kecuali orang yang kepadanya Yang Pemurah izinkan, dan ucapannya Dia sangat puas hati." (20:109)

"Pengantaraan tidak bermanfaat di sisi-Nya kecuali kepada orang Dia izinkan; sehingga, apabila dihilangkan ketakutan daripada hati mereka, mereka berkata, 'Apakah yang dikatakan Pemelihara kamu?' Mereka berkata, 'Yang benar, dan Dia Yang Tinggi, Yang Besar.'" (34:23)


3. Ketakutan kepada-Nya:

Firman-Nya,

"Dia tahu apa yang di hadapan mereka, dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak mengantara kecuali kepada orang yang Dia relai, dan mereka ketakutan dalam takuti-Nya." (21:28)

Takut kepada-Nya bermaksud mentaati segala suruhan dan larangan-Nya. Segalanya tersurat di dalam Kitab al-Qur'an.


4. Kesaksian pada yang benar dan mengetahuinya:

Firman-Nya,

"Orang-orang yang mereka seru, selain daripada Dia, tidak ada kuasa pengantaraan, kecuali orang yang saksikan pada yang benar, dan mereka tahu." (43:86)

Siapakah orang yang dikatakan menyaksi pada yang benar, dan mereka mengetahuinya? Yang benar itu, tiada lain, adalah daripada-Nya, seperti al-Qur'an.


Demikianlah itu adalah apa yang disedarkan mengenai syafaat oleh al-Qur'an. Ia didapati bertentangan dengan apa yang diajar oleh hadis dan ulama palsu dalam Islam. Ajaran mereka tidak melahirkan ketakwaan kepada Allah. Kerana syafaat itu datang dari diri sendiri, setelah diizinkan Allah, bukan daripada nabi, Rasul, imam, orang alim atau tok guru seperti yang diimpi-impikan umat akibat ajaran agama yang palsu yang datang dari selain Allah.

 

Rujukan:
Kalimat syafaat di dalam al-Qur'an

Syafaat di dalam hadis (bahasa Inggeris):
Sesiapa yang ingin membacanya, sila download sebuah fail Word document (19 muka surat, saiz kertas A4) yang telah dizip. Terima kasih.

Penulis Bacaan
Ramadan / November 2002


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman