Suci dan Bersih
menurut ajaran al-Qur'an

 

Firaun telah ditanya oleh Nabi Musa, atas perintah Allah, "Adakah bagi kamu untuk menyucikan diri kamu, Dan aku beri petunjuk kepada kamu pada Pemelihara kamu supaya kamu takut?" (79:18-19). Sebagai seorang yang tidak takut kepada Allah, dia enggan menyucikan dirinya dengan petunjuk dibawa Nabi Musa.

Dia telah memilih kejahatan atas ketakwaan, yang kedua-duanya diilhamkan Allah, sebagaimana Dia mengilhamkan setiap jiwa yang dibentuk-Nya. Justeru, rugilah Firaun kerana tidak menyucikan jiwanya dengan bertakwa kepada Allah.

"Demi jiwa dan Yang membentukkannya, Dan mengilhamkannya kepada kejahatan dan ketakwaan! Beruntunglah orang yang menyucikannya," (91:7-9).


Jiwa disucikan dengan bertakwa kepada Allah, atau takut kepada-Nya. Antara nama yang disebut disucikan Allah, di dalam al-Qur'an, ialah Yahya (Nabi). Baginda, dalam kesuciannya, telah bertakwa kepada Allah, di samping ambil Kitab-Nya dengan kuat. Maksud firman Allah,

"'Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan kekuatan'; dan Kami beri Putusan semasa kanak-kanak lagi, Dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan zakat (kesucian), dan dia bertakwa," (19:12-13).


Demikianlah contoh seorang Nabi. Bagi orang-orang lain pun serupa. Mereka boleh disucikan. Namun mereka tidak boleh menganggap diri-diri mereka suci, kerana hanya Dia mengetahui siapa yang benar-benar bertakwa. Orang yang suci ialah yang bertakwa.

"Dia sangat-sangat tahu mengenai kamu apabila Dia tumbuhkan kamu dari bumi, dan apabila kamu belum dilahirkan di dalam rahim ibu-ibu kamu; maka jangan menganggap diri kamu suci; Dia sangat-sangat tahu siapa yang bertakwa" (53:32).


Berserta sifat takwa, dalam kesucian mereka yang disebut ayat-ayat baru ditampilkan, adalah sifat-sifat lain, iaitu taat kepada ibu bapa, tidak sombong, dan tidak ingkar, bagi Nabi Yahya (19:14) dan bagi ayat 53:32 pula tercatat amalan "menjauhi dosa-dosa besar dan kesumbangan, kecuali kesalahan kecil" pada permulaan ayat.


Amalan lain yang berkait dengan kesucian ialah tidak menghalangi bekas isteri kahwini lelaki lain, memakan makanan yang suci, tinggalkan sesebuah rumah setelah disuruh meninggalkannya, dan tundukkan pandangan serta menjaga kemaluan terhadap kaum perempuan atau lelaki. Empat ayat di bawah menjelaskan:

"Apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh mereka, jangan halangi mereka daripada kahwini suami-suami mereka, apabila mereka sudah saling setuju antara mereka, dengan baik. Dengan ini ditegurkan sesiapa antara kamu yang percayai Allah, dan Hari Akhir. Itu lebih suci dan lebih bersih bagi kamu; Allah tahu, dan kamu tidak tahu" (2:232),

"Mereka berkata, 'Pemelihara kamu sangat-sangat tahu berapa lama kamu tinggal (di Gua). Hantarlah salah seorang antara kamu dengan duit perak ini ke kota, dan hendaklah dia perhatikan siapa antara mereka mempunyai makanan paling suci, dan datangkan kepada kamu rezeki daripadanya; hendaklah dia bersopan santun, dan jangan beritahu seorang pun mengenai kamu'" (18:19),

"Dan jika kamu tidak dapati seseorang di dalamnya, jangan masuk sehingga diizinkan kepada kamu. Dan jika dikatakan kepada kamu, 'Kembalilah', maka kembalilah kamu; itu lebih suci bagi kamu; dan Allah tahu apa kamu buat" (24:28) dan,

"Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka; itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah sedar apa yang mereka kerjakan" (24:30).

Dan, jiwa seorang anak lelaki muda pun dikatakan suci menurut firman berbunyi, "Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka bertemu seorang anak lelaki muda, dia membunuhnya. Berkata (Musa), 'Apa, adakah kamu bunuh satu jiwa yang suci, dan bukan kerana membalas untuk jiwa yang dibunuh? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang dahsyat'" (18:74).


Demikianlah beberapa perkara dianggap suci. Perkara-perkara, dalam ketakwaan, yang dapat menyucikan manusia pula adalah seperti berikut:

1. Ayat-ayat Kitab:

"Sebagaimana juga Kami utus di kalangan kamu, daripada kamu sendiri, seorang Rasul untuk bacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan untuk sucikan kamu, dan untuk ajar kamu al-Kitab dan Kebijaksanaan, dan untuk ajar kamu apa yang kamu tidak tahu" (2:151),

"Sesungguhnya Allah berbudi baik kepada orang-orang mukmin apabila Dia bangkitkan antara mereka seorang Rasul daripada mereka sendiri, untuk bacakan mereka ayat-ayat-Nya, dan sucikan mereka, dan ajar mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, sedang sebelum itu, mereka adalah dalam kesesatan yang nyata" (3:164),


2. Sedekah:

"Ambillah daripada harta mereka sedekah untuk bersihkan mereka, dan untuk sucikan mereka dengannya, dan rahmatilah mereka; salawat kamu adalah kerehatan bagi mereka; Allah Mendengar, Mengetahui" (9:103),


3. Takut kepada Pemelihara dan lakukan Solat:

"Orang yang memikul beban tidak akan pikul beban, beban orang lain; dan jika orang yang bebannya berat menyeru supaya dipikul, tiadalah dipikul sesuatu daripadanya, walaupun dia sanak saudara yang dekat. Kamu hanya beri amaran kepada orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan lakukan solat; dan sesiapa yang menyucikan dirinya, hanya menyucikan untuk jiwanya sendiri. Kepada Allah kepulangan" (35:18) dan,


4. memberi harta:

"Dan daripadanya (Api), orang yang sangat bertakwa akan dijauhkan, Yang beri hartanya untuk menyucikan dirinya, Dan tidak memihak dalam kurniaan kepada seseorang untuk dibalas, Hanya menginginkan Wajah Pemeliharanya, Yang Tinggi," (92:17-20).


Di samping itu, orang yang menyucikan diri didapati manfaatkan Peringatan, atau ayat-ayat Kitab,
dan mengingati (menyebut) nama Pemeliharanya, dan dia menyembah Allah. Firman-firman-Nya,

"Dan tahukah kamu, boleh jadi dia menyucikan diri? Atau mengingati, lalu Peringatan bermanfaat kepadanya" (80:3-4),

"Beruntunglah orang yang menyucikan dirinya, Dan mengingati (menyebut) nama Pemeliharanya, dan menyembah" (87:14-15).


Ada juga yang menyucikan diri mereka, tetapi tidak jadi suci, kerana mengadakan dusta terhadap Allah dalam penyuciannya, mengikut firman berbunyi,

"Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang menyucikan diri-diri mereka? Tidak, hanya Allah sucikan siapa Dia hendaki, dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. Perhatikan bagaimana mereka ada-adakan dusta terhadap Allah; dan cukuplah itu sebagai dosa yang nyata" (4:49-50).


Hanya Allah menyucikan siapa Dia hendaki, dan Dia tidak menyucikan, misalan, orang-orang yang sembunyikan mana-mana ayat al-Kitab dan menjualnya untuk harga sedikit, atau menjual
perjanjian Allah dan sumpah mereka. Dua ayat berikut menjelaskan lebih lanjut:

"Orang-orang yang sembunyikan apa-apa daripada al-Kitab yang Allah turunkan kepada mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit, mereka itulah yang tidak makan melainkan Api di dalam perut-perut mereka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak juga sucikan mereka; bagi mereka, azab yang pedih" (2:174),

"Sesungguhnya orang-orang yang menjual perjanjian Allah dan sumpah-sumpah mereka untuk harga yang sedikit, mereka itu tidak dapat bahagian mereka di akhirat; Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka, dan tidak pandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan Dia tidak juga menyucikan mereka; dan bagi mereka, azab yang pedih" (3:77).


Tidak juga Dia menyucikan orang-orang yang ikut langkah-langkah syaitan. Langkah-langkahnya yang menuju kepada kesumbangan dan mungkar boleh menyebabkan seseorang tidak jadi suci selama-lamanya. Namun dengan adanya pemberian dan pengasihan Allah, Dia menyucikan siapa Dia hendaki, kerana Dia Mendengar dan Mengetahui. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, jangan ikut langkah-langkah syaitan, kerana sesiapa ikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia menyuruh pada kesumbangan dan mungkar. Sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu dan pengasihan-Nya, tentu tiada seorang pun antara kamu yang menjadi suci selama-lamanya; tetapi Allah menyucikan siapa Dia hendaki; dan Allah Mendengar, Mengetahui" (24:21).


Hujah atas suci di sini diceduk daripada ayat-ayat mengandungi perkataan
zakat dan lain yang seakar, tidak daripada qudus dan perkataan-perkataan lain sekumpulan, kerana ia ditujukan khas kepada Allah, Roh Qudus dan tempat-tempat suci seperti lembah Thuwa, di mana Nabi Musa berbicara secara langsung dengan Allah.


Bersih

Pada dua ayat yang telah disebut, 2:232 dan 9:103, suci dirakam berpasangan dengan bersih, yang diterjemah daripada kalimat thahara dan lain seakar. Seperti sedia maklum, ayat-ayat itu menjelaskan mengenai larangan menghalang bekas isteri kahwini lelaki lain, dan amalan sedekah.

Sedekah disebut lagi dalam sebuah ayat bersih lain, mengenai bicara rahsia dengan Rasul berbunyi, "Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berbicara rahsia dengan Rasul, maka sebelum bicara rahsia kamu, dahulukanlah dengan satu sedekah; itu lebih baik bagi kamu, dan lebih bersih. Namun begitu, jika kamu tidak dapatkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih" (58:12).


Air yang diturunkan Allah dari langit adalah bersih. Dalam peperangan ia diturunkan untuk membersihkan orang-orang yang berjuang di samping menghilangkan kecemaran syaitan daripada mereka, dan kebaikan lain. Ayat-ayat di bawah menjelaskan dengan lebih baik:

"Dan Dia yang utus angin, membawa berita gembira di hadapan pengasihan-Nya; dan Kami turunkan dari langit air yang bersih" (25:48),

"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan turunkan kepada kamu air dari langit untuk bersihkan kamu dengannya, dan untuk hilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk kuatkan hati kamu, dan untuk teguhkan kaki kamu dengannya" (8:11).


Allah suka orang-orang yang bersihkan diri mereka, selain bertaubat, contoh dalam perkara berkaitan haid. Sementara orang-orang yang suka bersihkan diri turut disebut, dan mereka didapati di masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama. Firman-firman-Nya,

"Mereka tanya kamu mengenai haid. Katakanlah, 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu jauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan jangan mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka sudah bersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah perintahkan kamu .' Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertaubat, dan Dia suka orang-orang yang bersihkan diri mereka" (2:222),

"Jangan berdiri di dalamnya selama-lamanya. Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka bersihkan diri mereka; dan Allah suka orang-orang yang bersihkan diri mereka" (9:108).


Satu cerita orang-orang membersihkan diri - Nabi Lut dan keluarganya telah digelar "orang-orang yang bersihkan diri" oleh kaumnya yang lakukan kesumbangan. Mereka selanjutnya hendakkan supaya baginda dan keluarganya diusir keluar daripada tempat tinggal mereka. Ayat-ayat berikut mencerahkan lagi ceritanya:

"Dan Lut, apabila dia berkata kepada kaumnya, 'Apa, adakah kamu lakukan kesumbangan dengan mata-mata kamu terbuka? Apa, adakah kamu datangi lelaki dengan syahwat (hawa nafsu) bukan perempuan? Tidak, kamulah kaum yang bodoh.' Dan tidak ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata, "Usirlah keluarga Lut daripada bandaraya kamu; mereka adalah orang-orang yang bersihkan diri!" (27:54-56).

Dengan kata-kata itu kaumnya tahu bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak bersih, salah, tetapi mereka memilih meneruskan keinginan mereka, serta ingin mengusir orang-orang yang bersih pula. Mereka memilih kejahatan atas ketakwaan.


Allah juga difahamkan hendak membersihkan manusia melalui wuduk di samping menyempurnakan rahmat-Nya ke atas mereka. Juga ke atas ahli Rumah (isteri-isteri Nabi) dengan menyuruh mereka duduk tetap di rumah, tidak menunjuk-nunjukkan perhiasan mereka, lakukan solat, beri zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih" (5:6),

"Hendaklah kamu tetap di dalam rumah-rumah kamu; dan jangan menunjuk-nunjukkan perhiasan kamu seperti dilakukan orang-orang jahiliah dahulu. Dan lakukan solat, dan berikan zakat, dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya. Wahai ahli Rumah, Allah hanya hendak hilangkan kotoran daripada kamu, dan untuk bersihkan kamu, sebersih-bersihnya" (33:33).


Seterusnya pula, Dia didapati menyuruh (Nabi Ibrahim) membersihkan Rumah-Nya untuk tujuan tertentu, dan kepada lain, menyuruh membersihkan pakaian yang disertakan suruhan beri amaran, mengagungkan-Nya, tinggalkan kecemaran (seperti daripada
syaitan), berbudi dengan tidak mengharapkan pulangan lebih banyak, dan sabar. Firman-firman berkaitan berbunyi,

"Dan apabila Kami menempatkan untuk Ibrahim tempat Rumah, "Jangan kamu sekutukan Aku dengan sesuatu. Dan kamu bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud" (22:26),

"Wahai kamu yang berselubung, Bangun, dan berilah amaran! Dan Pemelihara kamu, agungkanlah, Dan pakaian kamu, bersihkan, Dan kecemaran, tinggalkanlah! Jangan berbudi, dengan mengharapkan pulangan yang lebih banyak, Dan sabarlah untuk Pemelihara kamu" (74:1-7).


Daripada ayat-ayat bersih, dapat ketahui iaitu antara yang dibersihkan ialah hati manusia. Sehubungan itu disebut pula orang-orang yang hati mereka Allah tidak hendak dibersihkan, iaitu di dalam ayat kedua diturunkan di bawah ini:

"Dan apabila kamu minta kepada isteri-isterinya (Nabi) sesuatu barang, mintalah kepada mereka dari belakang hijab (tabir); itu lebih bersih untuk hati kamu dan hati mereka. Tiadalah bagi kamu untuk menyakiti Rasul Allah, dan tiada juga untuk kahwini isteri-isterinya sesudah dia, selama-lamanya; sesungguhnya pada yang demikian itu adalah besar pada pandangan Allah" (33:53),

"Wahai Rasul, janganlah mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak percayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu.' Sesiapa yang Allah hendak mencubanya, kamu tidak berkuasa untuk menolongnya sedikit pun terhadap Allah. Mereka itulah orang-orang yang hati mereka Allah tidak hendak bersihkan; bagi mereka kerendahan di dunia, dan di akhirat, bagi mereka azab yang besar" (5:41).

Mereka yang hatinya Allah tidak hendak dibersihkan di situ kerana mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya adalah daripada kaum lain, iaitu bukan Arab. Ayat ini telah dibincang di dalam artikel Nabi pun hampir digoda.


Ditontonkan di halaman ini sebahagian besar daripada ayat-ayat mengandungi perkataan
bersih. Yang lain, misalan mengenai Mariam dan anaknya Nabi Isa yang dibersihkan Allah, atau pasangan-pasangan yang dibersihkan bagi orang-orang bertakwa di "syurga", tidak ditunjukkan tetapi dapat dilihat melalui halaman berkenaan.


Petikan terakhir adalah mengenai Kitab-Nya, atau al-Qur'an, yang dibersihkan-Nya dan hanya disentuh oleh orang-orang yang dibersihkan, iaitu, menurut pendapat penulis, dibersihkan daripada segala kepercayaan selain datang daripada Allah. Ayat-ayat, atau kumpulan ayat-ayat, yang dimaksudkan adalah:

"Sesungguhnya ia adalah sebuah al-Qur'an yang mulia, Dalam Kitab yang tersembunyi, Tiada yang menyentuhnya kecuali orang-orang yang dibersihkan, Satu penurunan daripada Pemelihara semua alam" (56:77-80),

"Tidak sekali-kali! Ia adalah Peringatan, Dan sesiapa hendak akan mengingatinya, Pada naskhah-naskhah gulungan yang dimuliakan, Dinaikkan, dibersihkan, Oleh tangan-tangan para jurutulis, Yang mulia, yang taat" (80:11-16) dan,

"Seorang Rasul daripada Allah, membacakan naskhah-naskhah gulungan yang dibersihkan," (98:2).

Justeru, orang-orang yang dibersihkan akan terus menyentuh al-Qur'an, naikkannya, membersihkannya, dan terus membacakan ayat-ayatnya kepada orang lain.


Akhir kata, Allah suka orang-orang yang bersihkan diri mereka, dan beruntunglah orang-orang yang menyucikan diri mereka!

Allah disanjung!
 

Penulis Bacaan
15.9.11


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman