Perjanjian

 

Perjanjian banyak kali disebut di dalam al-Qur'an, lalu jadi suatu yang amat berat. Terdapat beberapa jenis perjanjian, seperti Perjanjian Allah, perjanjian manusia dengan Allah, dan perjanjian sesama manusia. Untuk permulaan diturunkan sebuah ayat, bukan ayat mengandungi perjanjian Allah, tetapi perjanjian segolongan manusia dengan Allah, atau lebih tepat, orang-orang yang diberi-Nya Kitab. Ayat berbunyi,

"Dan apabila Allah ambil perjanjian orang-orang diberi Kitab, 'Hendaklah kamu jelaskannya kepada manusia, dan janganlah sembunyikannya.'" (3:187)

Maka orang-orang yang menerima Kitab daripada Allah, dengan secara otomatis buat perjanjian dengan-Nya, iaitu mereka akan menjelaskan kandungan Kitab kepada manusia, dan tidak sembunyikannya daripada mereka. Dengan itu dapat difahamkan juga tugas tersebut tidak hanya jatuh ke atas para Nabi atau Rasul sahaja.

Perjanjian tersebut boleh juga dipanggil Perjanjian Kitab, yang turut mengandungi syarat bahawa orang-orang yang menerima Kitab tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar sahaja. Demikianlah difahamkan daripada ayat berikut:

"Dan menggantilah sesudah mereka pengganti-pengganti yang mewarisi Kitab, dengan mengambil keuntungan daripada dunia yang rendah ini, dan mereka berkata, 'Kami akan diampunkan'; dan jika keuntungan yang serupa dengan itu datang kepada mereka, mereka akan mengambilnya. Bukankah perjanjian Kitab telah diambil daripada mereka, bahawa mereka tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar? Dan mereka pelajari apa yang di dalamnya, bahawa tempat kediaman akhir adalah lebih baik bagi orang-orang bertakwa. Tidakkah kamu faham?" (7:169)


Di samping itu, terdapat beberapa lagi contoh perjanjian manusia dengan Allah daripada al-Qur'an. Mereka terkandung di dalam enam ayat disenaraikan di bawah yang menyebut perjanjian dengan Nabi-Nabi, Ibrahim dan Ismail, orang menggelar diri Kristian, orang yang berjanji lakukan sesuatu yang baik, dan yang berjanji tidak berpaling ke belakang dalam peperangan:

"Dan apabila Allah ambil perjanjian Nabi-Nabi, 'Bahawa Aku beri kamu Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang Rasul, mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan percayainya, dan kamu menolongnya. Adakah kamu setuju?' Dia berkata, 'Dan, adakah kamu ambil beban-Ku kepada kamu dengan syarat itu?' Mereka berkata, 'Kami setuju.' Dia berkata, 'Maka saksilah, dan Aku bersama kamu antara para saksi'" (3:81),

"Dan apabila Kami ambil perjanjian daripada Nabi-Nabi, dan daripada kamu, dan daripada Nuh, Ibrahim, Musa, dan Isa putera Mariam; Kami ambil daripada mereka satu perjanjian yang kukuh" (33:7),

"Dan Kami buat perjanjian dengan Ibrahim dan Ismail, 'Bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud'" (2:125),

"Dan dengan orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian,' Kami ambil perjanjian mereka, tetapi mereka lupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diingatkan. Maka Kami timbulkan di kalangan mereka, permusuhan dan kebencian, sampai Hari Kiamat; dan Allah pasti akan beritahu mereka apa yang mereka kerjakan" (5:14),

"Dan antara mereka ada yang buat perjanjian dengan Allah, 'Jika Dia beri kami daripada pemberian-Nya, kami akan bersedekah, dan termasuk orang-orang yang salih.'" (9:75)
(Perjanjian serupa ini sering juga dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan sesuatu daripada Allah. Kekadang ia kelihatan seumpama ugutan walaupun selalu dipanggil nazar. Kemunafikan diletak ke dalam hati mereka apabila mereka jadi kikir setelah Allah memberinya - 9:77) dan,

"Namun begitu, mereka telah buat perjanjian dengan Allah sebelum itu, bahawa mereka tidak akan berpaling ke belakang; dan perjanjian dengan Allah akan ditanya" (33:15).

Akan ditanya! Perjanjian dengan Bani Israil juga banyak disebut di dalam al-Qur'an. Banyak juga pengajaran daripadanya dapat dimanfaatkan. Antara yang terkandung dalam perjanjian mereka ialah:

Sebenarnya bukan dengan mereka yang telah disebut sahaja yang Allah buat perjanjian, malah dengan Bani Adam, atau seluruh manusia jua, menurut firman berbunyi,

"Tidakkah Aku buat perjanjian dengan kamu, wahai Bani Adam, bahawa kamu tidak sembah syaitan - sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu," (36:60).

Tidak menyembah syaitan! Yang daripada jenis jin dan manusia.

Lantas, beberapa kandungan perjanjian dengan Allah sudah jadi jelas. Lagi difahamkan, perjanjian manusia dengan Rasul pun diterangkan sebagai perjanjian dengan Allah. Pada dua ayat perjanjian dengan Rasul yang diturunkan di bawah didapati ia dibuat semasa perang:

"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang sekutukan satu perjanjian dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu buat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa" (9:7) dan,

"Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa mungkiri sumpahnya, hanyalah mungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa tepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan beri kepadanya upah yang besar" (48:10).


Demikianlah perjanjian dengan Allah. Apa yang dikatakan Perjanjian Allah pula dilihat bersabit dengan ayat-ayat yang diwahyukan, lalu mencerahkan lagi petunjuk mengenai perjanjian dengan orang-orang diberi Kitab yang sedia maklum. Firman-Nya,

"Dan bahawa kamu tidak mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak bebankan sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, berlakuadillah, walaupun ia kepada sanak saudara yang dekat. Dan tepatilah perjanjian Allah. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu ingat" (6:152).

Tidak mendekati harta anak yatim, tepati sukatan dan timbangan, berkata dengan berlaku adil adalah ayat-ayat Kitab yang jadi Perjanjian Allah. Senarai tersebut adalah lanjutan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah yang disebut sebelum ayat tadi, terdiri daripada:

Dan selepas ayat pertama tadi disebut pula, "Dan bahawa inilah jalan-Ku, lurus; maka kamu ikutlah ia, dan jangan ikut jalan-jalan yang berlainan supaya mereka tidak pecah belahkan kamu daripada jalan-Nya. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu bertakwa" (6:153).

Maka segala yang diharamkan di situ, serta ikut jalan-Nya yang lurus, adalah perjanjian Allah yang turut jadi wasiat-Nya, dan hendaklah ditepati. Di samping itu dapat ditegaskan lagi bahawa perjanjian Allah adalah ayat-ayat tertulis di dalam al-Kitab, menurut petunjuk berbunyi,

"Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan Taman; mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh dan mereka dibunuh; itu ialah satu janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan al-Qur'an; dan siapakah lebih menepati perjanjiannya daripada Allah? Maka gembiralah dengan jual beli kamu yang kamu jualbelikan dengan-Nya; itulah kemenangan yang besar" (9:111).

Perjanjian Allah tertulis di dalam Taurat, Injil, dan al-Qur'an. Lantaran itu, sesuatu yang tidak diwahyukan atau tidak terkandung di dalam Kitab-Nya adalah bukan perjanjian Allah. Contoh, kepercayaan tentang tempoh berada di Api (neraka) yang sementara sahaja. Ia hanya merupakan suatu kata terhadap Allah yang terbit daripada akal tidak tahu-menahu. Firman-Nya,

"Dan mereka berkata, 'Api tidak akan sentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung.' Katakanlah, 'Sudahkah kamu ambil satu perjanjian sehingga Allah tidak akan mungkiri perjanjian-Nya, atau kamu katakan terhadap Allah apa yang tidak kamu tahu?'" (2:80)


Allah tidak mungkiri Perjanjian-Nya, yang apabila ditepati akan dibalas dengan tepati perjanjian kita pula. Maksud firman, "Wahai Bani Israil, ingatlah akan rahmat-Ku yang dengannya Aku telah rahmati kamu, dan tepatilah perjanjian-Ku dan Aku akan tepati perjanjian kamu, dan kepada-Ku-lah kamu berasa gerun" (2:40).

Kepada Allah hamba-Nya harus rasa gerun!


Di kalangan manusia pun ada perjanjian. Misalan, suatu janji atau perjanjian yang dibuat oleh saudara-saudara Nabi Yusuf dengan bapanya. Perjanjian tersebut terkandung di dalam ayat berbunyi,

"Berkata, 'Aku tidak akan utuskannya bersama kamu sehingga kamu beri aku satu janji (perjanjian) yang teguh dengan Allah, bahawa kamu pasti akan datangkannya kembali kepadaku, kecuali kamu diliputi. Apabila mereka sudah beri janji (perjanjian) mereka, dia berkata, 'Allah jadi Wakil atas apa yang kami ucapkan'" (12:66).

Janji atau perjanjian yang disebut dengan Allah di sana diselitkan kata-kata "Allah jadi Wakil atas apa yang kami ucapkan", atau dalam situasi lain mungkin boleh dimulakan dengan lafaz "Demi Allah".

Percontohan perjanjian manusia dengan manusia daripada al-Qur'an disambung dengan penurunan tiga ayat di bawah:

"Bagaimanakah kamu akan mengambilnya, sedang masing-masing kamu sudah berhubungan rapat dengan yang lain, dan mereka telah ambil daripada kamu perjanjian yang kukuh" (4:21)
(Perjanjian suami dengan isteri, iaitu tidak ambil balik daripada isteri, dalam penceraian, segala yang telah diberi),

"Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan silap, dan sesiapa bunuh seorang mukmin dengan silap, maka hendaklah dia merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka sedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan merdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak dapatkan, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:92)
(Perjanjian dengan kaum dalam kes pembunuhan mukmin dengan mukmin) dan,

"Dan jangan mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara paling baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah perjanjian; sesungguhnya perjanjian ditanya." (17:34)
(Perjanjian menjaga harta anak yatim.)

Ia ditambah tiga ayat lagi, tetapi menyentuh perjanjian dalam keadaan perang pula:

"Kecuali orang-orang yang pergi kepada satu kaum yang berhubungan dengan kamu dengan satu perjanjian, atau datang kepada kamu dengan dada berasa sesak daripada memerangi kamu, atau memerangi kaum mereka. Sekiranya Allah hendak, tentu Dia beri mereka kuasa terhadap kamu, kemudian pasti mereka akan memerangi kamu. Jika mereka undur daripada kamu, dan tidak memerangi kamu, dan lemparkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak beri sebarang jalan kepada kamu terhadap mereka." (4:90)
(Tidak membunuh musuh yang pergi kepada kaum dalam perjanjian dengan kita, semasa perang),

"Orang-orang yang percaya, dan hijrah, dan berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka di jalan Allah, dan orang-orang yang beri perlindungan dan pertolongan - mereka itu adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain. Dan orang-orang yang percaya tetapi belum lagi hijrah, maka kamu tidak ada kewajipan persahabatan untuk lindungi mereka sedikit pun, sehingga mereka hijrah; namun begitu, jika mereka minta pertolongan kepada kamu, demi agama, maka adalah atas kamu untuk tolong mereka, kecuali terhadap kaum yang antara kamu dan mereka ada perjanjian; dan Allah lihat apa kamu buat." (8:72)
(Pertolongan tidak diberi kepada orang-orang yang percaya tapi belum berhijrah - walaupun kerana agama - sekiranya lawan mereka terdiri daripada kaum yang mengikat perjanjian dengan kita) dan,

"Kecuali orang-orang yang sekutukan yang dengan mereka kamu telah buat perjanjian, kemudian mereka tidak kurangkan kamu sedikit pun, dan tidak juga sokong seseorang pun terhadap kamu. Dengan mereka, sempurnakanlah perjanjian kamu sampai tempoh mereka; sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa." (9:4)
(Perjanjian dengan musuh yang menepatinya, dan tidak menyokong mana-mana seteru kita, adalah disempurnakan sampai tempoh perjanjian.)


Perjanjian disempurnakan. Sebaliknya, bagi mereka yang melanggar atau mungkiri perjanjian, tindakan harus diambil, seperti menghambur orang-orang dibelakang mereka semasa perang, atau jika mereka mencela agama kita maka ketua-ketua mereka hendaklah diperangi. Firman-firman Tuhan,

"Orang-orang yang kamu telah buat perjanjian dengan mereka, kemudian mereka langgar perjanjian mereka setiap kali, dengan tidak bertakwa (takut kepada Tuhan),
Maka, jika kamu jumpa mereka di mana-mana dalam peperangan, hamburkanlah orang-orang di belakang mereka, supaya mereka mengingati" (8:56-57)
dan,

"Tetapi jika mereka mungkiri sumpah-sumpah mereka setelah perjanjian mereka, dan mencela agama kamu, maka perangilah imam-imam (ketua-ketua) orang-orang tidak percaya; bagi mereka tidak ada sumpah, supaya mereka berhenti." (9:12)


Perjanjian yang dibuat diterangkan juga sebagai sumpah. Tidak dinafikan bahawa perjanjian atau sumpah adalah suatu yang sukar dijaga kerana ia boleh dilupakan seandainya tiada tekad yang kuat, misalan berlaku kepada Adam - "Dan Kami telah buat perjanjian dengan Adam sebelumnya, tetapi dia lupa, dan Kami dapati padanya tiada tekad yang kuat" (20:115).

Sementara orang-orang yang melempar perjanjiannya adalah mereka yang tidak percayai kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, atau yang tidak mempedulikan perintah Tuhan (fasiq). Kenyataan tersebut difahamkan daripada ayat-ayat:

"Mengapa, setiap kali mereka buat perjanjian, segolongan daripada mereka lemparkan perjanjiannya? Tidak, tetapi kebanyakan mereka tidak percayai." (2:100) dan,

"Kami dapati tiada perjanjian pada kebanyakan mereka; sesungguhnya Kami dapati kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq" (7:102).


Seperti dimaklumkan, perjanjian dengan Allah akan ditanya (33:15). Oleh itu perjanjian tidak harus:


Orang-orang yang menepati atau mengawasi perjanjian mereka terdiri daripada mereka yang mukmin (23:8), taat dan bertakwa (2:177 dan 3:76) dan mereka yang dikategorikan sebagai orang-orang yang menyembah (70:32). Selanjutnya, pakaian orang-orang yang tepati perjanjian Allah, dan tidak melanggar perjanjian, ada dijelaskan sedikit di dalam ayat-ayat berikut:

"Apa, adakah orang yang tahu bahawa apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu itulah yang benar seperti orang yang buta? Hanya orang-orang empunya minda mengingati,

Yang tepati perjanjian Allah, dan tidak melanggar perjanjian,

Yang menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan takut kepada Pemelihara mereka, dan mereka takut akan hitungan yang jahat.

Orang-orang yang sabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, lakukan solat, dan nafkahkan daripada apa yang Kami rezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang tolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad," (13:19-22)

Antara yang disebut ialah mereka merupakan orang-orang yang tahu, lalu yakin, bahawa al-Qur'an itu benar, bahawa mereka empunya minda, sabar, lakukan solat, dan nafkahkan daripada apa yang direzekikan kepada mereka.

Daripada orang-orang yang benar terhadap perjanjian mereka dengan Allah terdapat pula mereka yang pergi ke medan peperangan. Nasib mereka diceritakan di bawah ini:

"Antara orang-orang mukmin terdapat lelaki-lelaki yang benar terhadap perjanjian mereka dengan Allah; antara mereka telah menunaikan sumpah mereka dengan kematian, dan antara mereka masih menunggu, dan mereka tidak menukarkan dengan sesuatu pertukaran," (33:23)


Bagi mereka semua yang mengambil perjanjian dengan Allah, dapat syafaat atau pertolongan-Nya di akhirat kelak. Firman-Nya,
"Dengan tanpa kuasa syafaat, kecuali orang-orang yang telah ambil dengan Yang Pemurah perjanjian." (19:87)


Sampai di hujung jalan. Sebelum berhenti, ingin memaklumkan iaitu segala yang dihulurkan di sini mengenai Perjanjian hanya difahamkan daripada ayat-ayat al-Qur'an mengandungi kalimat tersebut. Mungkin ada ayat-ayat lain yang kelihatan membawa maksud sama tetapi tidak disebut di sini kerana ketiadaan kalimatnya.

Perbincangan diakhiri dengan peringatan berbunyi,

"Tepatilah perjanjian Allah apabila kamu buat perjanjian, dan janganlah melanggar sumpah-sumpah setelah kukuhkannya, dan kamu buat Allah penjamin kamu; sesungguhnya Allah tahu apa kamu buat." (16:91)

 

Allah disanjung!

Sila rujuk kalimat Perjanjian di dalam al-Qur'an.
Terima kasih.


Penulis Bacaan
15 Ogos 2011 (Ramadan)


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman