Nabi pun hampir digoda
Terpanggil untuk menulis tentang suatu pendapat yang telah menimbulkan keraguan terhadap kandungan al-Qur'an melalui dakwaan bahawa orang Arab telah memesongkan makna-makna perkataannya.
Memang benar telah ada pihak yang mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya. Al-Qur'an turut beri bukti dengan merakamkan kejadian itu seperti berikut:
"Wahai Rasul, janganlah mereka sedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak percayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu.' Sesiapa yang Allah hendak mencubanya, kamu tidak berkuasa untuk menolongnya sedikit pun terhadap Allah. Mereka itulah orang-orang yang hati mereka Allah tidak hendak bersihkan; bagi mereka kerendahan di dunia, dan di akhirat, bagi mereka azab yang besar," (5:41)
Mereka yang mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya di situ adalah daripada kaum lain, yang bukan kaum Muhammad, iaitu bukan Arab. Justeru, orang kita pun boleh buat demikian.
Selanjutnya, ayat menyatakan ia merupakan satu cubaan, dan mereka yang bertanggungjawab mempunyai hati yang Allah tidak hendak dibersihkan, sambil dapat kerendahan di dunia, dan azab yang besar di akhirat.
Mereka yang bertanggungjawab telah cuba tunjukkan bukti bahawa perkataan-perkataan berkaitan ibadat seperti solat, Ramadan, haji dan sebagainya telah disalah-ertikan. Antaranya telah dibawa ke laman web ini untuk dibincang.
Terdapat juga beberapa pihak yang tidak bersetuju, termasuk seorang daripada golongan al-Qur'an, yang fasih berbahasa Arab dan Inggeris, dan miliki sebuah laman web, yang dengan jelas menyatakan bahawa hujah orang berkenaan adalah tiada kecuali suatu ego ride yang telah dilakukannya.
Namun begitu, ingin ditegaskan di sini iaitu penulis tidak mengatakan pendapat-pendapat yang berlainan itu salah. Kerana takut perbuatan itu jadi perangkap Iblis yang sentiasa duduk di jalan lurus, menunggu dan memerangkap. Juga untuk menghormati setengah pendapat yang mengatakan terdapat lebih daripada satu jalan lurus.
Apa yang telah dilakukan, menurut seorang yang pada mula terpikat tetapi kemudian tinggalkan, adalah umpama satu godaan, seperti Nabi digoda. Kata-kata beliau yang tersurat di dalam emel diturunkan di bawah (nama Ahmet adalah gantian dibuat penulis bagi nama sebenar orang yang dimaksudkan):
"Secara jujurnya, saya sangat terpikat dgn tulisan Ahmet pada awalnya, tapi nasib baik saya ada sahabat yang boleh dibawa berbincang dgn pandangan Ahmet tu...Yang terlebih pentingnya, saya dapat faham AQ terlebih dulu dari E.Bacaan dgn izin Allah, kalau tidak mungkin saya jadi jauh dgn fahaman Ahmet tersebut. Semua tu urusan Allah. Dan saya tersentuh dgn ayat
17:73. Sungguh, mereka hampir-hampir goda kamu daripada apa yang Kami wahyukan kamu, supaya kamu mengada-adakan terhadap Kami yang selain daripadanya, dan kemudian tentu mereka akan ambil kamu sebagai sahabat.
17:74. Dan sekiranya Kami tidak meneguhkan kamu, sungguh, kamu hampir cenderung sedikit kepada mereka dengan sesuatu."
Nabi pun hampir digoda supaya mengadakan selain daripada al-Qur'an oleh orang-orang di sekelilingnya yang ingin jadikan baginda sebagai sahabat. Kalau tidak kerana peneguhan daripada Allah yang disemat padanya tentu baginda cenderung sedikit kepada mereka dengan sesuatu yang baginda digoda.
Ayat tersebut mengandungi hikmah, mesejnya sentiasa hidup, lalu jadi peringatan hingga akhir zaman. Dewasa ini godaan masih dijalankan dengan beberapa pendekatan baru.
Petikan e-mel disambung lagi....
"Alhamdulillahirobbil’alamin, Allah masih sayang pada saya...Cuma, saya nak tahu apa maksud tentang 2 ayat berikutnya,
17:75. Kemudian tentu Kami akan merasakan kepada kamu dua kali ganda dalam kehidupan, dan dua kali ganda daripada kematian; dan kemudian kamu tentu dapati tiada sesiapa yang menolong kamu terhadap Kami.
17:76. Sungguh, mereka hampir mengejutkan kamu daripada bumi, untuk keluarkan kamu darinya, dan kemudian mereka tidak akan tinggal di belakang kamu melainkan sebentar,"
Seperti isteri-isteri Nabi, apabila mereka lakukan kesalahan misalan lakukan kesumbangan, bagi mereka azab dua kali ganda (33:30). Bagi baginda pula, atas kesalahan seperti baru disebut, juga akan diazab dua kali ganda, dalam kehidupan (semasa hidup) dan dalam kematian (semasa datang kematian). Kematian merupakan satu sengsara bagi orang zalim - Nabi akan diterangkan zalim sekiranya baginda tukar apa yang diwahyukan kepadanya. Firman Allah,
"Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dia berkata, 'Kepada aku ia diwahyukan'; padahal tiada yang diwahyukan kepadanya, atau orang yang berkata, 'Aku akan turunkan yang serupa dengan apa yang Allah turunkan'? Jika kamu dapat lihat ketika orang-orang zalim dalam sengsara kematian, dan malaikat-malaikat menjulurkan tangan-tangan mereka, 'Keluarkanlah jiwa kamu! Hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan kerana kamu kata yang tidak benar terhadap Allah, dan sombong terhadap ayat-ayat-Nya.'" (6:93)
Balik kepada ayat tadi. Nabi telah dikejutkan daripada bumi, bermaksud (menurut pendapat penulis) baginda ditakut-takutkan, supaya baginda keluar dari tempat mereka tinggal, dan jika Nabi keluar/lari pun, mereka tidak akan tinggal lama di situ, kerana kemungkinan datang azab daripada Allah. Allah tidak akan turunkan azab sedang Nabi-Nya berada di tempat yang sama. Firman Allah,
"Tetapi Allah tidak akan azab mereka sedang kamu (Muhammad) berada di kalangan mereka, dan Allah tidak akan azab mereka sedang mereka meminta ampun." (8:33)
Nabi telah digoda tetapi dapat pertolongan Allah. Begitu juga dengan orang lain yang Dia hendaki.
Allah disanjung!
Penulis Bacaan
28
April 2011
dikemaskini 21.7.11
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman