Musuh orang percaya
The Sun, Jumaat 21 Julai 1995, muka 16, Ruangan "Focus"
Kartunis akhbar The Sun dapat merasakan perasaan cemas yang dialami oleh penulis dan Kassim Ahmad sewaktu Bacaan dan JAM dihujani peluru berpandu dan bom kata-kata yang tidak menyenangkan. Dengan tanpa pertolongan yang dapat dilihat daripada manusia lain, mereka terpaksa ambil perlindungan di bawah tanah serta menutup telinga-telinga dengan tapak tangan sendiri daripada gema letupan bom dan peluru berpandu yang memekakkan lagi bertubi-tubi.
Senario yang digambarkan itu seakan serupa dengan pengeboman ke atas negara Afghanistan enam tahun kemudian, pada bulan Oktober selepas peristiwa 11 September. Kecuali, kerana punca kejadian yang tidak serupa maka terdapat sedikit perbezaan. Satu daripadanya ialah pada orang-orang yang menyerang, atau musuh. Di Afghanistan, musuh terdiri daripada orang-orang asing yang bukan seagama sementara di sini mereka terdiri daripada kaum sendiri yang se-Islam pula.
Punca sebenar berlaku kejadian di Afghanistan ialah membalas dendam walaupun pihak penyerang beri alasan-alasan lain yang kelihatan munasabah di mata dunia.
Sedang di sini, puncanya ialah kitab al-Qur'an. Kassim ingin mengumpul dan menyatukan "orang-orang al-Qur'an" sambil penulis pula ingin beri peluang kepada orang Melayu khasnya untuk membaca serta memahami kandungan Kitab tersebut.
Kerana itu mereka diserang dengan hebat, namun atas alasan-alasan lain yang kelihatan munasabah juga di mata orang Melayu.
Amnya, orang yang menyerang adalah bukan sahabat. Seseorang sahabat menyokong dan dia tidak bersaing atau menentang kawannya. Maka pihak penyerang adalah musuh. Dan musuh tidak dapat dielakkan. Siapa saja boleh dikatakan ada musuh, baik bagi orang baik, mahupun orang jahat. Sebaliknya pula, siapa saja boleh memusuhi orang lain, seperti Allah sendiri yang memusuhi orang-orang tidak percaya (2:98), iaitu yang tidak percaya kepada-Nya dan ayat-ayat-Nya.
Perkataan "musuh" yang pertama di dalam al-Qur'an didapati di dalam ayat berikut:
"Kemudian syaitan gelincirkan mereka (Adam dan isteri) daripadanya, dan keluarkan mereka dari dalam apa mereka berada, dan Kami berkata, 'Turunlah kamu, sebahagian kamu jadi musuh bagi sebahagian yang lain, dan di bumi sebuah tempat menginap bagi kamu, dan kesenangan untuk suatu waktu'" (2:36).
Musuh yang pertama disebut ialah syaitan. Ia jadi musuh kerana niatnya yang jahat iaitu untuk memerangkap manusia di jalan Allah yang lurus (7:16), supaya mereka tidak ikut petunjuk-Nya. Mangsanya yang pertama ialah Adam dan isteri. Mereka terperangkap dengan pujukannya melalui bisikan manis dan sumpah bohong. Lalu kedua-duanya kerjakan apa yang dilarang Allah. Ayat-ayat berikut ceritakannya:
"Dan Kami berkata, Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman (Jannah), dan makanlah daripadanya dengan senang di mana kamu hendak, tetapi jangan dekati pokok ini, supaya kamu tidak jadi orang-orang zalim'" (2:35).
"Kemudian syaitan bisik kepada mereka ..... 'Pemelihara kamu larang kamu daripada pokok ini hanya supaya kamu jadi malaikat-malaikat, atau kamu jadi makhluk-makhluk yang hidup selama-lamanya.'
"Dan ia bersumpah kepada mereka, 'Sesungguhnya aku, kepada kamu, adalah penasihat.'
"Maka ia membujuk mereka dengan tipuan; dan apabila mereka merasakan pokok itu, bahagian-bahagian aib mereka jadi nyata kepada mereka, lalu mereka mulai menjahit pada mereka daun-daun Taman. Dan Pemelihara mereka panggil mereka, 'Tidakkah Aku telah larang kamu berdua daripada pokok ini, dan berkata kepada kamu, Sesungguhnya syaitan bagi kamu adalah musuh yang nyata?'" (7:20-22).
Itu kerja syaitan. Tidak henti-hentinya mengelincirkan manusia daripada jalan Allah dengan beberapa daya. Misalnya, dengan melahirkan perasaan sombong terhadap Allah dalam diri seseorang (2:206-208), atau melalui hukum dalam makanan (2:168, 6:142) seperti Adam dan isteri digelincirkan tadi.
Juga, ia menimbulkan permusuhan antara manusia, iaitu dengan menyuruh mereka buat tipu muslihat antara mereka (12:5) dan buat provokasi (17:53), dan akhirnya, melalui tabiat mengambil arak dan bermain judi (5:91).
Namun begitu, yang paling berat dilakukannya, pada hemat penulis, adalah ia, yang terdiri daripada jenis manusia dan jin, mengadakan ucapan, atau ajaran, tetapi yang bukan wahyu diturunkan kepada Nabi.
Dengan kata lain, syaitan jenis manusia - berbangsa Melayu - boleh juga wujud di kalangan masyarakat di sini untuk menyebarkan ucapan, atau ajaran, yang bukan wahyu daripada Allah, atau bukan wahyu yang diterima Nabi. Firman-Nya:
"Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan" (6:112).
Nabi cakap lain, syaitan cakap lain! Nabi ucap wahyu Allah, syaitan ucap wahyu palsu yang indah-indah. Seperti itulah jua ucapan orang-orang yang mengikutinya, hanya wahyu palsu yang indah-indah, untuk menipu.
Terhadap mereka, Allah menasihatkan supaya orang-orang yang percaya tinggalkan mereka bersama apa yang mereka ada-adakan. Ikut segala yang diwahyukan di dalam al-Qur'an nescaya lenyaplah ajaran palsu yang berpunca daripada bisikan syaitan.
Selain daripada syaitan, terdapat beberapa golongan manusia lain yang menjadi musuh kepada orang-orang yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya. Di bawah ini senaraikan enam golongan:
1. Orang-orang yang "diberi" sebahagian al-Kitab
Mereka "diberi" sebahagian al-Kitab oleh Allah kerana mereka mahu "ambil" hanya sebahagian daripadanya sahaja. Walhal, al-Kitab harus diambil secara total. Firman-Nya:
"Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab membeli kesesatan, dan hendak kamu juga sesat daripada jalan? Allah sangat-sangat tahu musuh-musuh kamu, dan cukuplah Allah sebagai wali (pelindung), dan cukuplah Allah sebagai penolong" (4:44-45).
Mungkin tergolong dalam kumpulan ini ialah orang-orang yang mengambil hanya sekerat daripada sesebuah ayat al-Qur'an, yang dengannya kemudian, mentafsirkannya menurut fahaman sendiri, lalu menghalalkan kemunculan kitab-kitab lain dalam Islam. Kandungannya jauh dari original. Tidak cukup dengan itu sahaja, mereka seterusnya mahukan, atau mewajibkan, orang lain jadi seperti mereka iaitu beriman kepada kitab-kitab tersebut.
Terhadap serangan daripada golongan musuh tersebut maka "cukuplah Allah sebagai wali (pelindung), dan cukuplah Allah sebagai penolong" (4:45).
2. Orang-orang tidak percaya
Iaitu mereka yang tidak percaya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya. Firman-Nya,
"orang-orang tidak percaya adalah musuh yang nyata bagi kamu" (4:101).
Ketidakpercayaan kepada ayat-ayat Allah adalah perbuatan yang nyata. Ia boleh dilihat dengan jelas. Mereka yang mengamalkannya pula adalah musuh, yang nyata juga, bagi orang-orang yang percaya.
3. Orang-orang yang tidak mempedulikan al-Qur'an
Mereka telah jadi musuh kepada Rasul Allah pada masa dahulu. Daripada ayat-ayat berikut, yang mengisahkan peristiwa pada hari akhirat, diketahui bahawa mereka terdiri daripada kaum Rasul itu sendiri, iaitu orang Arab. Firman-Nya:
"Rasul berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan.' Begitulah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi musuh di kalangan orang-orang yang berdosa; tetapi Pemelihara kamu mencukupi sebagai pemberi petunjuk, dan sebagai penolong" (25:30-31).
Pada hari ini, orang-orang yang tidak mempedulikan al-Qur'an tidak terbatas kepada orang Arab sahaja.
4. Orang-orang munafik
Mereka adalah orang-orang yang mengatakan percaya tetapi sebenarnya tidak percaya kepada al-Qur'an. Bukan itu sahaja yang jadi tanda pengenalan bagi mereka. Tanda-tanda lain dijelaskan dengan ayat-ayat di bawah ini. Firman-Nya:
"Apabila kamu lihat mereka (orang-orang munafik), tubuh-tubuh mereka mengagumkan kamu; dan apabila mereka berkata, kamu dengar ucapan mereka dan mereka seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka sangka tiap-tiap teriakan adalah terhadap mereka. Mereka adalah musuh; maka berhati-hatilah terhadap mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan!" (63:4).
Orang-orang munafik itu sungguh mengagumkan apabila dilihat (mungkin kerana pakaiannya), dan sungguh enak didengar apabila mereka berucap. Kekuatan mereka terletak pada persaksian mereka ke atas kerasulan Nabi Muhammad. Kesaksian itu kemudiannya jadi sumpah yang diguna sebagai selimut, atau topeng, untuk menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Begitulah bunyi kandungan ayat-ayat sebelum ayat tadi, yang menjelaskan lagi tanda-tanda pada orang-orang munafik. Ayat-ayat tersebut berbunyi,
"Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu (Muhammad), mereka berkata, 'Kami saksikan bahawa kamu benar-benar Rasul Allah.' Dan Allah tahu bahawa kamu adalah benar-benar Rasul-Nya, dan Allah saksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta.
"Mereka ambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka halang jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa mereka buat" (63:1-2).
Allah menyuruh berhati-hati terhadap musuh itu, yang Dia sendiri memerangi.
5. Orang-orang Yahudi dan Orang-orang yang sekutukan Allah
Mereka adalah musuh yang paling keras dalam permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya. Firman-Nya:
"Sungguh, kamu dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang sekutukan;" (5:82).
Orang-orang Yahudi tidak ternampak merayau-rayau di kalangan masyarakat Melayu. Mungkin golongan yang sekutukan Allah boleh dilihat, berulang-alik di sana sini. (Sila rujuk karangan pendek "Ajaran Yahudi dalam Islam" dan artikel "Sekutu Allah menurut al-Qur'an" selepas ini.) dan,
6. Isteri dan anak
Allah menasihatkan orang-orang yang percaya supaya maafkan isteri-isteri dan anak-anak mereka yang menjadi musuh mereka, dan masalah itu diketepikan. Firman-Nya:
"Wahai orang-orang yang percaya, di kalangan isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu adalah musuh bagi kamu; maka berhati-hatilah terhadap mereka. Tetapi jika kamu maafkan, dan ketepikan, dan jika kamu ampunkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih" (64:14).
Tentu sekali tujuan buat demikian adalah untuk kebahagiaan rumah tangga. Selanjutnya, Allah beri contoh isteri dan anak yang tidak percaya. Mereka terdiri daripada ahli keluarga Nabi-Nya sendiri, iaitu isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut (66:10), dan anak lelaki Nabi Nuh (11:42).
Permusuhan antara orang-orang yang percaya dengan yang tidak percaya adalah nyata. (Kesemua golongan musuh di atas dikategorikan sebagai orang-orang tidak percaya). Kebencian di kalangan mereka adalah selama-lamanya, kecuali mereka berubah kepada percayai Allah satu-satunya. Itu iktibar daripada sebuah ayat al-Qur'an berbunyi,
"Kamu ada teladan yang baik pada Ibrahim, dan orang-orang yang bersama dia, apabila mereka berkata kepada kaum mereka, 'Kami berlepas diri daripada kamu dan apa kamu sembah selain daripada Allah. Kami tidak percaya kepada kamu, dan antara kami dan kamu, permusuhan adalah nyata, dan kebencian selama-lamanya, sehingga kamu percayai Allah satu-satunya'” (60:4).
Permusuhan dan kebencian yang timbul tidak harus jadi alasan untuk menyerang mereka. Atau, berperang dengan mereka. Mereka hanya diperangi apabila mereka memerangi. Firman Allah:
"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang mencabul" (2:190).
Sebaliknya pula, Allah menyuruh orang-orang yang percaya buat baik, dan berikhtiar untuk menjadikan musuh sebagai sahabat atau saudara mereka. Pendekatannya ditunjukkan Allah, seperti berikut:
buat baik dan berlaku adil kepada mereka, dan jadikan mereka sahabat. Mudah-mudahan dengan tindakan itu timbul rasa kasih sayang antara orang-orang yang bermusuhan. Firman-Nya:
"Mudah-mudahan Allah buatkan, antara kamu dan orang-orang antara mereka yang kamu bermusuhan, rasa kasih sayang. Allah berkuasa; Allah Pengampun, Pengasih.
"Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu buat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil.
"Allah hanya melarang kamu terhadap orang-orang yang memerangi kamu dalam agama, dan mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, dan menyokong dalam pengusiran kamu, untuk kamu menjadikan mereka sahabat-sahabat. Dan sesiapa yang jadikan mereka sebagai sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim" (60:7-9).
orang-orang yang percaya menangkis musuh dengan cara yang baik sekali. Dengan cara ini musuh boleh berubah jadi sahabat yang setia. Firman-Nya:
"Tidaklah sama yang baik dengan kejahatan. Tangkislah dengan apa yang lebih baik, dan tiba-tiba, orang yang antara kamu dan dia dalam permusuhan, jadi seakan-akan dia seorang wali (sahabat), sahabat yang setia" (41:34).
hidup bersatu hati. Hati disatukan dengan berpegang teguh pada tali Allah, iaitu al-Qur'an. Dengan itu musuh boleh bertukar hingga jadi saudara. Firman-Nya:
"Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia satukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu jadi bersaudara" (3:103).
Akhirnya, Allah menasihatkan supaya hidup dengan tolong-menolong antara satu sama lain. Akan tetapi, janganlah lakukannya untuk buat dosa dan menimbulkan permusuhan. Tolong-menolonglah dalam ketaatan dan takwa kepada Allah. Firman-Nya:
"Tolong-menolonglah kamu dalam ketaatan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam buat dosa, dan permusuhan. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam balasan-Nya" (5:2).
Petunjuk-petunjuk Allah itu dirasa sangat diperlukan untuk mengisi sedikit kekosongan nilai yang hadir di dalam masyarakat Melayu dewasa ini. Keadaan kelihatan mendesak supaya orang Melayu tidak memilih untuk hidup dalam permusuhan, sama ada dengan sesama sendiri atau dengan orang yang berlainan kulit, fahaman atau agama.
Jalan untuk mereka kembali jadi sahabat dan saudara kepada orang-orang yang sebangsa dan seagama, atau bangsa dan agama lain, masih tidak tertutup. Selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Malah, petunjuknya sudah ditulis dengan jelas di dalam kitab suci al-Qur'an yang sedia dibuka, diselak, dibaca, difahami, diyakini, dan dituruti. Jalan-Nya mudah lagi tidak membebankan.
Rujukan:
Kalimat:
Musuh di dalam
al-Qur'an
Perang di dalam
al-Qur'an
Takwa
di dalam al-Qur'an
Artikel:
Sekutu
Allah menurut al-Qur'an
Ajaran Yahudi dalam
Islam
Syurga dan orang takwa
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat
Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan
Lazim Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman