Utusan Malaysia, Selasa 18 Julai 1995, muka 2

 

Ajaran Yahudi dalam Islam


Kenyataan tokoh agama dan ahli politik dalam berita di atas didapati condong ke kiri berbau fitnah. Zionis tidak berpegang pada al-Qur'an dan tidak juga menyuruh manusia ikut al-Qur'an. Tidak seperti golongan yang berpegang hanya pada al-Qur'an. Justeru itu, tidak ada kaitan di antara golongan ini dengan zionis.

Kenyataannya hanya bertujuan untuk menimbulkan kebencian terhadap golongan yang berpegang pada al-Qur'an dengan tanpa sebab, atau bukti.

Zionis adalah orang Yahudi. Mereka jadi musuh ketat orang Islam. Seperti firman Allah berbunyi,

"Sungguh, kamu dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang sekutukan" (5:82).

Dan mereka tidak berpuas hati sehingga orang Islam ikut kepercayaan mereka. Firman-Nya,

"Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu ikut anutan mereka" (2:120).

Lalu mereka menyusup masuk ke dalam kepercayaan orang Islam yang menuruti ajaran "ulama". Dan mereka telah berjaya. Sebagai contoh ialah dua perayaan orang Yahudi yang turut jadi sambutan orang Islam, iaitu:

1. Pentecost, untuk merayakan penurunan Taurat kepada kaum Yahudi di Gunung  Sinai. Sambutan seperti itu juga diamalkan oleh orang Islam dengan nama Nuzul Qur'an, dan

2. Rosh Hashanah, yang disambut pada 1hb Tishri kalendar Yahudi. Pada hari yang kesepuluh mereka berpuasa dan menghabiskan hari itu dengan ibadah dan sembahyang. Sambutan ini juga jadi amalan orang Islam tetapi dengan nama Maal Hijrah.

Nuzul Qur'an, Maal Hijrah dan puasa sunat 10 Muharam adalah ajaran ulama yang didalangi oleh orang Yahudi. Kitab al-Qur'an tidak ajar perkara-perkara tersebut.

Selain itu, dalam hukum hudud ajaran "ulama" Islam didapati ada yang menuruti ajaran ulama besar Yahudi bernama Ezra (dalam Encyclopaedia Britannica) atau Uzair di dalam al-Qur'an (9:30). Ulama besar itu telah ajar hukuman rejam batu ke atas pesalah hingga mati, buang negeri, merampas harta benda, dan penjara, bagi pesalah yang dikatakan melanggar hukum agama. Akan tetapi, kesemua hukum tersebut tidak disebut di dalam al-Qur'an.

Tamabahan lagi, Ezra dikatakan ajar menyebut perkataan "Amin" di dalam Bible. Ayat yang menjelaskan itu berbunyi, "Lalu Ezra memuji Tuhan, Allah yang maha besar, dan semua orang menyambut dengan, 'Amin, Amin!'" (Nehemia 8:7). Tuhan tidak ajar "Amin" serupa ini di dalam al-Qur'an. Maka ia adalah hanya ajaran ulama Islam yang telah dipengaruhi oleh ajaran Yahudi. 

Contoh terakhir di sini bagi amalan Yahudi yang sedang mencangkung dalam kehidupan orang Islam, yang menuruti ajaran ulama, adalah menggantung ayat-ayat al-Qur'an di dinding rumah, terutamanya di ruang tamu. Tidak ketinggalan ialah memakai kopiah putih. Adakah Nabi telah memakai kopiah putih? Orang Arab hingga ke hari ini tidak memakai kopiah putih.

(Contoh selanjutnya ialah kepercayaan bahawa perempuan dicipta daripada tulung rusuk lelaki. Sila rujuk Adam dan Isteri: dalam al-Qur'an dan Bible. Terima kasih)

Lantaran itu, golongan manakah yang sebenarnya didalangi oleh orang Yahudi atau zionis? Yang berpegang pada al-Qur'an sahaja? Tidak.

Kesimpulannya? Gajah di pelupuk mata tiada tampak! Sebab diri rasa suci? "Maka janganlah menganggap diri kamu suci" (al-Qur'an 53:32).

 

Jangan lupa baca:
Ajaran Islam daripada Bible

 

Halaman Utama  Terkini  Perpustakaan  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman