Memesongkan
From: "gramoz salliu" <gramoz@gawab.com>
To: e_bacaan@yahoo.com
Subject: PERINGATAN
Date: Wed, 08 Dec 2004 07:21:06 GMTJawapan dan tafsiran anda berbaur samaran, boleh memesongkan akidah dan kepercayaan Muslimin dan Muslimat.
Siapa anda? tidak jelas identiti anda. Sila hentikan halaman ini
Kalau tuduhan yang dilemparkan itu disertai dengan bukti, dan kemudian, bukti tersebut didapati benar, maka pemesongan yang dilakukan dapat dibetul dengan segera. Kerana ia suatu yang berat, yang akan mengheret muslimin dan muslimat masuk ke dalam Jahanam. Apatah lagi bagi kami yang percayai bahawa Jahanam atau Api adalah sebuah tempat tinggal yang kekal (41:28), yang tidak boleh keluar darinya, walaupun sudah beribu kali ucapkan syahadah semasa hidup di dunia.
Sebab lain tidak nampak dengan jelas mengapa penuduh tidak menyelitkan bukti, kecuali kerana dia benci dan tidak ikut ajaran Tuhan. Tuhan menyuruh kemukakan bukti apabila buat sesuatu tuduhan. Misalan, empat saksi atau bukti diperlukan untuk tuduhan lakukan zina, dan sekiranya penuduh tidak buat demikian maka dia dihukum lapan puluh sebatan (24:4).
Atau, ayat-ayat lain yang menyuruh kemukakan bukti apabila buat sesuatu dakwaan dalam agama. Ayat-ayat tersebut diakhiri dengan tuntutan berbunyi ".... Katakanlah, 'Kemukakan bukti kamu jika kamu berkata benar,'" (2:111).
Kerana tidak datangkan sebarang bukti maka apa yang dikatakan oleh penuduh tadi adalah bukan sahaja dusta tetapi juga fitnah.
Perbuatannya juga disebabkan dia telah membelakangkan satu lagi ayat Tuhan yang menyuruh mendengar semua ucapan, atau pendapat, dan seterusnya ikut yang paling baik daripadanya. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,
"Yang mendengar ucapan, dan ikut yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah beri petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang empunya minda." (39:18)
Dia didapati tidak mendengar semua pendapat dan bukti. Walhal, di laman web ini sudah dikemukakan banyak pendapat dan bukti untuk direnung, yang antaranya bersabit sebab-sebab ambil terjemahan bukan tafsiran bagi ayat-ayat al-Qur'an. Bukti-bukti telah ditulis dengan jelas di dalam sebuah artikel berjudul "BACAAN - jawapan kepada ulama."
Beberapa petikan daripadanya akan diterbitkan di sini, kerana penuduh ada menyebut mengenai tafsiran. Bukti yang ditulis Bukti 4 di dalam artikel itu jadi petikan pertama, yang mengandungi sebuah tafsiran ke atas ayat 2:79 berbunyi,
"Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit."
Petikan diteruskan dengan ulasan daripada penulis artikel yang menyusul tafsiran, seperti berikut:
'Perkataan "Taurat" di dalam ayat ini adalah suntikan daripada ilmu tafsir ulama. Ia tidak wujud di dalam teks asal yang suci, yang hanya mencatat kata "Kitab". Justeru, orang-orang Yahudi dibusukkan atas rekaan-rekaan ulama mereka. Akan tetapi rekaan-rekaan para ulama Islam yang juga didakwa datang dari sisi Allah tidak pula difikirkan, malah, jadi seperti wajib dipercayai. Ini suatu yang berat.'
Petikan atau bukti kedua ialah tafsiran ayat 2:136, yang dirakam sebagai Bukti 6 di dalam artikel tersebut berbunyi,
"dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak beza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - beza-bezakannya);"
Komen penulis yang menyusul adalah:
"... sasarannya ialah orang-orang Yahudi dan Nasrani. Sebaliknya pula, tiada seorang pun mengaku dia beza-bezakan Nabi-Nabi Allah sedangkan dia mencintai Nabi Muhammad melebihi Nabi-Nabi yang lain, seraya dia memuliakannya tidak seperti dia memuliakan Nabi-Nabi yang lain, di samping buat seruan kepadanya yang berbeza dengan seruan kepada Nabi-Nabi yang lain ketika nama-nama mereka disebut."
Seterusnya, petikan ketiga yang dilabel Bukti 8 di dalam artikel tadi, ditulis seperti berikut:
'Wahyu Tuhan yang mudah diterjemahkan berbunyi "Ta'ruju (Naik), -lmalaa-ikatu (malaikat), warruuhu (dan Roh), ilaihi (kepada-Nya), fii yaumin (dalam sehari), kaana (adalah), miqdaaruhuu (kadarnya), khamsiina (lima puluh), alfa (ribu), sanatin (tahun)." (70:4).
Susunan lengkap bagi ayat di atas berbunyi "Malaikat dan Roh naik kepada-Nya dalam sehari yang kadarnya adalah lima puluh ribu tahun."
Kitab Al Qur'an dan Terjemahnya menghuraikan ayat ini (di nota kaki bernombor 1511) iaitu "Maksudnya: malaikat-malaikat dan Jibril jika menghadap Tuhan memakan waktu satu hari. Apabila dilakukan oleh manusia, memakan waktu lima puluh ribu tahun."
Bagaimana pula ilmu tafsir al-Qur’an ulama mengertikan ayat yang mudah ini? Pengertiannya berbunyi "Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soaljawabnya)."'
Dan akhir sekali, bukti yang keempat (masih memetik daripada artikel berkenaan), yang dinamakan Bukti 10, seperti di bawah ini:
'... Tafsir ..... yang berbunyi "Dan bandar-bandar yang ditunggang balikkan itu, Dialah yang (mengangkatnya ke angkasa dan) menghempaskannya ke bumi" (53:53, muka 1430). Dari mana datangnya idea bandar-bandar itu dilambung dan dihempas ke bumi kalau tidak dari daya imaginasi seperti orang yang khayal. Ayat itu secara literal bermakna "Dan negeri yang musnah, Dia menjatuhkannya juga".'
Demikianlah empat contoh tafsiran oleh orang yang masyhur dalam ilmu mentafsirkan ayat-ayat al-Qur'an yang mungkin diterima oleh penuduh sebagai tidak memesongkan para muslimin dan muslimat.
Di samping itu, ilmu tafsir turut didapati menukar beberapa kalimat Allah. Bukti-buktinya pun didapati di dalam artikel berkenaan. Sekali lagi petikan diambil daripadanya.
Bukti pertama diturunkan di sini ialah mengenai kalimat tawaaf yang ditukar kepada sa'i. Petikan daripada Bukti 11 menyatakan,
"Perkataan al-Qur’an tatawwafa yang bermakna tawaf ..... terjemahkannya kepada tawaaf di suatu tempat, dan sa'i di tempat yang lain ....
Ayat yang dikekalkan kata tawaf berbunyi, "dan hendaklah mereka tawaaf akan Baitullah (Ka'bah)" (22:29, muka 847), dan yang ditukarkannya kepada sa'i pula berbunyi "Sesungguhnya Safa dan Marwah .... maka tiadalah jadi salah ia bersa'i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya." (2:158, muka 61).
Ini menimbulkan tanda tanya dan takut pada Tuhan. .... ajar umat supaya bersa’i di Safa dan Marwah tetapi Allah ajar agar bertawaf di situ, seperti yang dilakukan di Baitullah."
Kedua, perktaan 'fajar' yang ditukar kepada 'subuh' - Bukti 13 dipetik, seperti di bawah:
"Ayat pertama yang Tafsir ..... tukarkan waktu fajar kepada subuh berbunyi "... dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang 'isyaa';" (24:58, muka 910).
Sebutan nama "sembahyang subuh" di dalam tafsiran itu diterjemah daripada kalimat Allah berbunyi "solaatil fajri", yang sebenarnya bererti "solat (sembahyang) fajar". Maka dalam agama Allah ia adalah sembahyang fajar bukan sembahyang subuh, iaitu menurut nama waktu yang ditetapkan Allah dalam bahasa Arab (dan dipakai juga dalam bahasa Melayu). Bagaimana pula dengan niatnya?"
Bukti selanjut ke atas perkataan fajar yang ditukar kepada subuh terdapat pada Bukti 14 yang disalin di bawah:
'Dan ayat yang kedua berbunyi, "dan (dirikan) sembahyang subuh; sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya)" (17:78, Tafsir ....., muka 699). Kali ini kedua-dua kata Allah diputarkan maknanya hingga jadi "sembahyang subuh", sedang kalimat-Nya yang asal berbunyi "qur-aanal fajri", bererti "qur'an (bacaan) fajar", bukan bererti sembahyang subuh. Frasa "bacaan fajar" pula bermaksud membaca al-Qur'an (dengan memahaminya) pada waktu fajar, menurut sesetengah pendapat.
Jangan sangka perkataan subuh tidak wujud di dalam al-Qur'an. Tafsir ..... sendiri telah menggunakan perkataan ini (yang diterjemahkannya juga kepada subuh) pada tiga buah ayat tafsirannya (11:81, 74:34, dan 100:3). Tetapi pada waktu ini, di dalam al-Qur’an, solat tidak disebut."
Sekiranya bukti-bukti tersebut tidak diterima oleh penuduh sebagai memesongkan makna ayat-ayat Tuhan maka kami tidak akan mendesak lagi.
Selain daripada itu, cara untuk memesongkan orang ramai ialah dengan berdusta atau berbohong mengenai al-Qur'an. Bukti-buktinya juga dapat dibaca di laman web ini. Tiga daripadanya akan disebut di sini.
Pertama, kenyataan akhbar seorang tokoh agama berbunyi,
'... Firman Allah berbunyi "Ulama itu adalah pewaris Nabi"'
Keterangan lanjut mengenai pembohongan di atas ditulis di bawah Bukti 5 di dalam artikel yang disebut dari awal tadi.
Pembohongan kedua tercatat pada tulisan seorang yang terbilang dalam agama yang menyatakan:
"... apa yang tidak dijelaskan oleh al-Qur'an mengenai amalan membazir dan tidak membazir"
Ia dihurai di bawah tajuk kecil Bohong di dalam artikel "Debu dalam Suci" yang, seperti artikel yang terdahulu disebut, sudah lama diterbitkan.
Dan ketiga, iaitu terakhir dikemukakan, ialah kenyataan akhbar seorang yang turut terkenal dalam agama yang berbohong mengenai hukum murtad dengan berkata:
"... golongan murtad berdasarkan hukum Islam yang termaktub di dalam al-Qur'an mereka ini boleh dihukum bunuh"
Kritikan ke atas kenyataannya dapat dibaca di halaman berjudul Dusta & Hadis Murtad, yang juga sudah lama diterbitkan.
Senarai pembohongan ditamatkan walaupun boleh ditambah lagi, seperti juga dengan senarai kebengkokan dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Qur'an. Kedua-duanya dilakukan oleh orang-orang yang mungkin tergolong dalam golongan yang identitinya jelas sebagai tokoh agama oleh penuduh.
Segala yang kami anggap bengkok dan dusta itu boleh jadi termaktub dalam perkara yang penuduh ertikan kepada akidah muslimin dan muslimat. Teguran dan ayat-ayat al-Qur'an yang kami sampaikan ditakrif pula sebagai memesongkan akidah. Demikianlah nada bisikan mindanya yang sangka dapat petunjuk.
Oleh itu, adalah difikirkan wajar baginya dan orang lain yang semacamnya untuk berdoa kepada Tuhan supaya dapat bertindak dengan tanpa membabi buta. Doa yang dimaksudkan berbunyi,
"Aku berlindung pada Allah daripada aku jadi antara orang-orang bodoh." (2:67).
Sampai di sini sahaja buat kali ini. Usaha untuk membasmi fitnah di samping sampaikan ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an akan diteruskan lagi, iaitu sejajar dengan firman-Nya bermaksud,
"Dan supaya Dia membenarkan yang benar, dan membatalkan yang palsu, walaupun orang-orang yang berdosa membencinya," (8:8).
Salam!
28 Feb 2005
Sila
baca:
Komen
Tentang Pengkritik
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman