Kedudukan sebenar Nabi dan Rasul


Seorang yang telah dikelirukan dalam agama terhadap kedudukan sebenar para Nabi dan Rasul dalam Islam menulis seperti di bawah:

 

From: "dani cradle" <megasheila07@yahoo.com>
Subject: anda....
Date: Friday, September 05, 2003 6:15 PM

anda mengelirukan
Rasul berkedudukan lebih tinggi daripada nabi
nabi muhammad lebih mulia drpd nabi lain kerrana dia penghulu nabi
mazhab dapat mengekalkan semua amalan nabi, cuma kita yang mengelirukannya.

 

Memang benar penulis surat di atas telah dikelirukan, kerana tidak membaca al-Qur'an, atau, tidak mahu langsung mencuba untuk memahaminya. Sebaliknya, dia mengabdikan diri kepada ajaran orang-orang tertentu. Lalu dia mempelawa dirinya untuk dikelirukan. Tetapi dia sangka dia benar.

Walau apapun, tentu dia bersetuju bahawa yang benar datang dari sisi Allah. Maka bukti-bukti daripada Allahlah yang kami guna untuk buktikan bahawa dia telah dikelirukan, dan tidak berada di jalan lurus.

Kenyataan-kenyataan yang didatangkannya jadi bukti-bukti kepada kebengkokan fahamannya selain dapat mendedahkan kepalsuan ajaran agama yang diterima. Kami akan menghuraikan setiap satu daripada kenyataan-kenyataan tersebut. Yang pertama berbunyi:

"Rasul berkedudukan lebih tinggi daripada nabi"

Itu tidak benar. Yang benar ialah Nabi berkedudukan lebih tinggi daripada Rasul. Kami telah pun jelaskannya dahulu. Akan tetapi, dia tidak memilih untuk membaca penjelasan kami yang berlandaskan ayat al-Qur'an (3:81). Sebaliknya, dia memilih untuk buat kesilapan dengan mengatakan bahawa kami mengelirukan dia dan orang lain. Tentu dia tidak berlaku adil terhadap dirinya sendiri dengan buat demikian.

Perkataan "Rasul" (yang bermakna "utusan" atau "pembawa berita") bukan sahaja diguna untuk Rasul atau Utusan Allah, malah untuk sesiapa sahaja yang jadi utusan kepada seseorang, misalnya, seorang raja. Ini juga kami telah menjelaskan dengan bukti daripada pengajar bahasa Arab yang sebenar, iaitu Allah (12:50). 

Perkataan "Nabi" pula tidak langsung diguna bagi yang selain daripada Nabi Allah. Ia turut buktikan bahawa Nabi adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Rasul. Dan lagi, iaitu pada Hari Kiamat, Rasul tidak disebut sebagai yang didatangkan tetapi Nabi ada disebut. Para Rasul dimasukkan ke dalam golongan para saksi yang turut didatangkan pada hari tersebut. Renungkanlah ayat berikut:

"Dan bumi bersinar dengan cahaya Pemeliharanya, dan Kitab diletakkan, dan para Nabi dan para saksi didatangkan" (39:69).

Beralih kepada kenyataan kedua penulis surat di atas yang berbunyi:

"nabi muhammad lebih mulia drpd nabi lain kerrana dia penghulu nabi"

Tanpa disedarnya, kenyataan tersebut merupakan satu lagi pendustaan yang diwarisi daripada orang-orang tertentu. Sebab Allah tidak menyatakan begitu. Dia cuma menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah "penutup" bagi semua Nabi, atau Nabi terakhir, bukan penghulu segala Nabi. Selepas Nabi Muhammad tidak ada lagi manusia yang dilantik Allah jadi Nabi. Firman-Nya,

"Muhammad bukanlah bapa bagi seseorang daripada lelaki kamu, tetapi Rasul Allah, dan penutup Nabi-Nabi; Allah tahu segala sesuatu." (33:40).

Perbezaan antara perkataan "penghulu" dengan "penutup" tentu dapat dilihat dengan jelas. Kami rasakan tidak perlu menghuraikannya di sini.

Pendustaan ke atas kedudukan Nabi sebagai penghulu segala Nabi membawa kepada pendustaan lain iaitu baginda dikatakan lebih mulia daripada Nabi lain. Lalu para Nabi dibeza-bezakan. Amalan tersebut juga dilarang Allah dengan keras. Turut dilarang adalah amalan beza-bezakan para Rasul. Kedua-dua larangan tersebut telah pun kami nyatakan dengan ayat-ayat Allah sebagai dalil (2:136, 3:84, 2:285 dan 4:152). Namun, tidak dibacanya jua.

Kalau sebab enggan membaca tulisan kami kerana tidak percayai kata-kata kami (siapalah kami!), maka penulis surat harus percayai kata-kata Allah yang kami sampaikan dalam tulisan kami. Adakah dia tidak tahu akibat tidak percayai kata-kata Tuhannya?

Kembali merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat dalam kandungan surat di atas. Kami petik kenyataan ketiga dan terakhir, berbunyi:

"mazhab dapat mengekalkan semua amalan nabi, cuma kita yang mengelirukannya."

Pada dasarnya, hidup bermazhab atau bergolongan dalam agama tidak diizinkan Allah. Oleh yang demikian, tidak mungkin terbit sebarang kebaikan pada sesuatu yang buruk yang tidak direstui-Nya. Tajuk ini telah dibincang dalam karangan Empat Imam Besar dan Mazhab yang mencatatkan beberapa ayat al-Qur'an. Mungkin itu juga tidak dibaca atau dia sengaja menunjukkan kedegilannya terhadap ayat-ayat Allah.

Bagaimanakah dia boleh mengatakan bahawa mazhab dapat mengekalkan semua amalan Nabi sedangkan baginda sendiri berlepas diri daripada semua golongan dalam agama yang diwujudkan oleh orang-orang tertentu (6:159)? Malah, apa yang dikatakan amalan Nabi dalam ajaran mazhab didapati bertentangan dengan ajaran al-Qur'an. Misalnya Syafaat, Nabi buta huruf, Rukun Iman dan Hukum Hudud, sekadar menyebut empat sahaja.

Sekiranya dia ingin mengetahui amalan Nabi yang sebenar dia harus membaca al-Qur'an kerana ajaran Kitab itulah yang jadi pegangan baginda, bukan kitab lain yang ditulis oleh manusia selepas beratus tahun baginda wafat. Dengan membaca al-Qur'an, dia juga akan mengetahui bahawa Allah telah tetapkan peranan Rasul sebagai hanya sampaikan ayat-ayat-Nya - "Ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas (al-Qur'an)," (5:92 dan 24:54).

Sungguh, pengirim surat telah dikelirukan oleh ajaran agama ciptaan manusia yang tidak merujuk kepada al-Qur'an, atau yang membutakan diri daripada ayat-ayat Allah. Kepercayaannya terhadap kedudukan Nabi dan Rasul, dan mazhab, hanya berpegang pada yang palsu. Malang sekali, dia tidak sedar serta sangka dia berada di atas petunjuk yang benar. Itu ialah kerana dia enggan membaca, atau tidak mahu mendengar ucapan lain seperti yang disuruh Allah, atau tidak mahu langsung berikhtiar untuk memahami kandungan al-Qur'an, iaitu Kitab yang diturunkan Allah buat guna semua manusia.

Sebagai penutup, ayat-ayat Allah di bawah yang membawa suatu peringatan penting harus direnungkan:

"Sesiapa yang membutakan diri daripada Peringatan Yang Pemurah (al-Qur'an), kepadanya Kami tentukan syaitan untuk menjadi teman yang dipercayai, Dan mereka halangi mereka daripada jalan, dan mereka sangka mereka dapat petunjuk," (43:36-37).

Justeru, bukakanlah hati untuk memahami dan ikut ayat-ayat Tuhan supaya golongan syaitan yang derhaka tidak jadi teman yang dipercayai selama-lamanya.

Salamun alaikum! 
(bukan Assalamualaikum seperti ajaran mazhab!)


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman