Siri Kisah Nabi (1)
daripada al-Qur'an

 

Nabi Yahya

 

Nabi dan Rasul

Nabi dan Rasul adalah orang-orang yang dipilih oleh Tuhan untuk sampaikan ajaran-Nya yang terkandung di dalam Kitab kepada manusia.

Nabi adalah juga Rasul kerana dia sampaikan. Perkataan Rasul bermakna pembawa atau penyampai. Akan tetapi, bukan semua Rasul diangkat jadi Nabi.

Justeru itu, Nabi adalah lebih tinggi kedudukannya daripada Rasul. Nabi diberi Kitab dan telah buat perjanjian dengan Allah, seperti yang diceritakan di dalam al-Qur'an berbunyi:

"Dan apabila Allah ambil perjanjian Nabi-Nabi, 'Bahawa Aku beri kamu Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang Rasul, mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan percayainya, dan kamu menolongnya. Adakah kamu setuju?'" (3:81).

Perjanjian antara Nabi dan Allah di sini adalah untuk menolong Rasul yang datang kepada mereka, dan percaya kepada mereka, untuk sampaikan Kitab Allah kepada manusia.

Nabi dan Rasul adalah ramai, diutus dari semasa ke semasa sejak zaman purba lagi. Antara yang disebut oleh Allah adalah nama-nama yang disemadikan di dalam ayat-ayat berikut:

"Dan kami beri dia (Ibrahim) Ishak, dan Yaakub - masing-masing Kami beri petunjuk. Dan Nuh, Kami beri petunjuk sebelum itu, dan daripada keturunannya, Daud, Sulaiman, Ayub, Yusuf, Musa, dan Harun - begitulah Kami balas orang-orang buat baik. Dan Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Elias; masing-masing termasuk orang-orang salih. Dan Ismail, Alyasa, Yunus, dan Lut; masing-masing Kami lebihkan di atas semua alam." (6:84-86)

Dan Muhammad adalah juga Nabi dan Rasul disebut di dalam ayat lain, iaitu 33:40.

Semua Nabi adalah handalan belaka. Manusia tidak dibenarkan buatkan perbezaan antara mereka, misalnya, berkata bahawa Nabi Isa itu adalah lebih handal daripada Nabi Muhammad, atau berkata, Nabi Muhammad adalah Nabi yang paling mulia antara semua Nabi Allah.

Larangan itu datang dari Tuhan, dengan ayat-Nya yang berbunyi, 

"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan apa diberi kepada Musa dan Isa, dan apa diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim,'" (2:136).

Ayat 3:84 turut melarang amalan beza-bezakan Nabi. Selanjutnya, manusia juga dilarang buat perbezaan antara para Rasul Allah, seperti yang dijelaskan dalam ayat Tuhan, 2:285. Orang-orang yang tidak buat perbezaan antara Rasul-Rasul-Nya akan diberi upah atau pahala oleh Tuhan (4:152).

Sebelum menamatkan penjelasan mengenai Nabi dan Rasul di sini, yang akan bersambung dalam cerita-cerita Nabi akan datang, disebut satu daripada sifat Nabi yang ditegaskan oleh Allah di dalam sebuah ayat, iaitu bahawa Nabi tidak menipu. Dia tidak bercakap bohong. Inilah bunyi ayat-Nya:

"Tiadalah bagi seorang Nabi untuk dia menipu, dan sesiapa menipu akan datang dengan apa yang ditipukannya pada Hari Kiamat; kemudian tiap-tiap jiwa akan dibayar sepenuhnya apa yang ia usahakan, dan mereka tidak dizalimi." (3:161).

Nabi Yahya

Tidak ramai antara para Nabi diceritakan ceritanya dari kecil di dalam al-Qur'an. Mereka yang diceritakan kisahnya semasa kanak-kanak adalah Nabi Musa, Yusuf, Isa dan Yahya.

Nama Yahya disebut sebanyak lima kali di dalam al-Qur'an. Cerita bermula dengan bapa Nabi Yahya, bernama Zakaria, yang memohon kepada Tuhan agar dikurniakan seorang anak. Dua ayat Tuhan yang berikut mengisahkannya:

"Dan Zakaria, apabila dia panggil Pemeliharanya, "Wahai Pemeliharaku, janganlah tinggalkan aku sendirian, dan Engkau yang terbaik daripada pewaris-pewaris."
Lalu Kami menyahutinya, dan Kami beri dia Yahya, dan Kami betulkan isterinya untuknya; sesungguhnya mereka bersegera kepada kebajikan, dan menyeru Kami daripada rasa rindu dan rasa gerun, dan mereka rendah hati kepada Kami," (21:89-90).

Permintaannya ditunaikan oleh Allah kerana "mereka bersegera kepada kebajikan, dan menyeru Kami daripada rasa rindu dan rasa gerun, dan mereka rendah hati kepada Kami."

Tuhan utuskan malaikat-malaikat kepada Zakaria untuk beritahu tentang kedatangan anaknya, bernama Yahya, iaitu nama yang diberi sendiri oleh Tuhan, dan nama Yahya yang pertama di dunia.

Beginilah Allah ceritakannya dalam dua buah ayat:

"Dan malaikat-malaikat memanggilnya (Zakaria), sedang dia berdiri untuk menyembah di mihrab, 'Allah beri kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih (baik).'" (3:39). 

"Wahai Zakaria, kami beri kamu berita gembira dengan seorang anak lelaki, namanya Yahya. Tiada yang Kami buatkan nama seperti ini sebelumnya." (19:7). 

Semasa kanak-kanak lagi Nabi Yahya telah dipimpin oleh Allah. Lalu dia jadi pandai, suka membaca Kitab Tuhan, takut kepada Tuhan, taat kepada ibu bapa, dan dia, tidak sombong dan ingkar.

Firman-Nya:

"'Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan kekuatan"; dan Kami berikannya Putusan semasa kanak-kanak lagi; dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan kesucian, dan dia bertakwa; dan seorang yang taat kepada ibu bapanya, dan dia tidak sombong, ingkar. sejahtera ke atas dia, pada hari dia diberanakkan, dan hari dia mati, dan hari dia dibangkitkan hidup," (19:12-15).

Renungkanlah nilai-nilai murni yang terdapat pada diri Nabi Yahya di dalam ayat-ayat tersebut.

Demikianlah sebuah kisah mengenai seorang Nabi semasa dalam alam kanak-kanak. Kisah itu jadi teladan bagi semua manusia.


Sudut Pelajar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Keratan Akhbar
Penemuan
  Soalan Lazim  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman