Siri Kisah Nabi (2)
daripada al-Qur'an

 

Nabi Yusuf

 

Dua pelajaran diperolehi daripada kisah Nabi Yusuf. Pertama, mengenai makna sepatah perkataan Arab di dalam al-Qur'an. Perkataan itu ialah "Rasul" yang lazimnya diguna untuk "Rasul Allah", atau "Utusan Allah". Akan tetapi, pada sebuah ayat dalam surah Yusuf perkataan itu digunakan oleh Allah untuk seorang utusan atau pembawa berita kepada seorang raja. Inilah ayatnya:

"Raja berkata, 'Datangkanlah dia (Yusuf) kepadaku.' Apabila rasul (utusan) datang kepadanya, dia (Yusuf) berkata, 'Kembalilah kepada pemelihara (raja) kamu, dan tanya dia, 'Bagaimanakah dengan perempuan-perempuan yang memotong tangan mereka?' Sesungguhnya Pemeliharaku tahu muslihat mereka.'" (Qur'an 12:50).

Maka perkataan Rasul bukan sahaja diguna untuk Rasul Allah, malah ia boleh digunakan untuk orang yang tugasnya seperti utusan atau pembawa berita bagi orang lain.

Rasul di dalam ayat tadi adalah orang suruhan bagi seorang raja yang dihantar, atau diutus, untuk berjumpa dan membawa Nabi Yusuf dari penjara ke istana. Begitulah sedikit kisah Nabi Yusuf yang menarik disebut di sini.

Dengan itu, membawa kepada pelajaran kedua dalam kisah Nabi Yusuf dengan adik-beradik, ibu dan bapanya. Cerita-cerita mereka merupakan suatu pelajaran juga, seperti kata Allah:

"Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka adalah pelajaran bagi orang-orang empunya minda" (12:111).

Kisah Nabi Yusuf tersurat dalam Surah ke-12 al-Qur'an. Nama surah itu pun ambil sempena nama Nabi Yusuf, iaitu Yusuf. Menurut suatu sumber, baginda dikatakan tinggal di sekitar tahun 1700 S.M, iaitu kira-kira 3,700 tahun dahulu. Atau, kurang lebih dua ribu tiga ratus tahun sebelum kemunculan Nabi Muhammad.

Kisah Nabi Yusuf adalah cerita yang paling baik dalam al-Qur'an. Firman-Nya:

"Kami ceritakan kepada kamu cerita yang paling baik dalam apa Kami wahyukan kamu, al-Qur'an ini" (12:3).

Cerita bermula dengan mimpi Nabi Yusuf semasa dia kanak-kanak. Mimpi itu diceritakannya kepada bapanya Yaakub, yang juga jadi seorang Nabi.

"Apabila Yusuf berkata kepada bapanya, 'Ayah, saya lihat sebelas bintang, dan matahari, dan bulan; saya lihat mereka sujud kepada saya" (12:4).

Setelah mendengar cerita Yusuf, bapanya melarang mimpi itu daripada diceritakan kepada saudara-saudaranya. Dia juga beri tahu Yusuf bahawa Tuhan telah memilihnya dan mengajarnya interpretasi mimpi.

Abang-abangnya tidak suka padanya kerana mereka sangka Yusuf dan adiknya lebih dicintai oleh bapa mereka daripada mereka. Lalu mereka bercadang untuk membunuh atau membuang Yusuf ke tempat lain. Akan tetapi,

"Seorang daripada mereka berkata, 'Tidak, jangan bunuh Yusuf, tetapi lemparlah dia ke dasar perigi, dan sebahagian pengembara akan memungutnya, jika kamu mahu lakukan'" (12:10). 

Setelah menetapkan rancangan itu mereka pergi kepada bapa mereka, meminta kebenarannya, supaya Yusuf dapat pergi bersama mereka untuk bersuka-suka dan bermain-main pada keesokan hari.

Pada mulanya bapa mereka keberatan untuk membenarkan Yusuf pergi bersama mereka, dengan berkata "Ia menyedihkan aku bahawa kamu pergi dengannya, dan aku takut akan serigala memakannya sedang kamu lalai daripadanya" (12:13).

"Maka apabila mereka pergi dengannya, dan mereka bersetuju untuk meletakkan dia di dasar perigi, lalu Kami wahyukannya, 'Kamu akan beritahu mereka mengenai perbuatan mereka ini apabila mereka tidak sedar'" (12:15). 

Mereka balik kepada bapa mereka pada waktu isyak, menangis dan berkata, "Ayah, kami pergi berlumba lari, dan tinggalkan Yusuf dengan barang-barang kami, lalu serigala memakannya. Tetapi ayah tidak akan percayai kami, walaupun kami berkata benar."

Dan, mereka tunjukkan baju Yusuf dengan darah palsu padanya. Bapanya berkata, "Tidak, tetapi jiwa kamu hasut kamu lakukan sesuatu perkara. Tetapi marilah, kesabaran yang manis! Dan pertolongan Allah dipohonkan terhadap apa yang kamu terangkan."

Tidak lama kemudian, pengembara-pengembara datang ke perigi di mana Yusuf berada di dasarnya. Mereka utus seorang pengambil air lalu dia turunkan timbanya. Tiba-tiba dia berkata, "Oh, berita gembira! Ini seorang anak lelaki muda." 

Mereka ambil Yusuf dan rahsiakannya sebagai barang dagangan; dan Allah tahu apa mereka buat. Kemudian mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, hanya beberapa dirham sahaja, kerana mereka tidak menghargainya.

Orang yang membelinya, dari Mesir, berkata kepada isterinya, "Berilah dia tempat tinggal yang mulia, dan boleh jadi dia akan bermanfaat kepada kita, atau kita ambil dia sebagai anak sendiri." 

Dengan itu, Tuhan teguhkan Yusuf di bumi supaya Dia mengajarnya interpretasi mimpi.

Maka tinggallah Nabi Yusuf bersama orang Mesir yang membelinya sehingga dewasa. dia menjadi seorang lelaki yang amat kacak. Kekacakan beliau buatkan perempuan, yang di rumahnya dia tinggal, tergoda.

Perempuan itu menutup pintu-pintu seraya berkata, "Marilah kepadaku!" Yusuf menjawab, "Pada Allah berlindung! Sesungguhnya tuanku telah beri aku tempat tinggal yang baik!"

Kalau tidak kerana pertolongan Allah, Nabi Yusuf turut tergoda pada perempuan itu. Kedua-duanya lari ke pintu, dan perempuan tersebut mengoyakkan baju Yusuf dari belakang. 

Mereka dapati ketua mereka di depan pintu. Perempuan itu berkata, "Apakah balasan bagi orang yang hendakkan kejahatan terhadap keluarga kamu, melainkan dia dipenjarakan, atau satu azab yang pedih?"

Yusuf berkata, "Dia yang menggoda saya". Lalu seorang daripada ahli keluarga itu beri suatu penjelasan, "Jika bajunya dikoyakkan di bahagian depan, maka perempuan itu telah berkata benar, dan Yusuf berdusta, tetapi jika bajunya dikoyakkan di bahagian belakang, maka perempuan itulah yang berdusta, dan  Yusuf orang yang benar."

Apabila ketua mereka melihat bajunya dikoyakkan dari belakang, dia berkata, "Ini muslihat perempuan daripada kamu; sesungguhnya muslihat kamu besar. Yusuf, berpalinglah daripada ini, dan kamu, perempuan, mintalah ampun atas kesalahan kamu; sesungguhnya kamu bersalah."

Kejadian itu sampai ke telinga wanita-wanita tertentu di kota. Mereka berbisik, "Isteri Gabenor menggoda pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta!"

Setelah isteri Gabenor mendengar bisikan-bisikan licik mereka, dia utus kepada mereka, dan sediakan bagi mereka tempat-tempat bersandar, kemudian dia beri tiap-tiap seorang daripada mereka sebilah pisau.

Kemudian, dia menyuruh Yusuf pergi kepada perempuan-perempuan tersebut. Apabila mereka melihatnya, mereka sangat kagum padanya, lalu mereka memotong tangan-tangan mereka, dengan berkata, "Dijauhkan Allah! Bukanlah ini manusia; dia tidak lain, hanyalah seorang malaikat yang mulia."

Lalu isteri Gabenor berkata, "Inilah dia orangnya yang kamu cela aku dengannya. Benar, aku telah menggoda dia, tetapi dia tolak. Dan, jika dia tidak buat apa yang aku perintahkannya, dia akan dipenjara."

Yusuf berkata, "Pemeliharaku, penjara lebih aku suka untukku daripada apa yang mereka seru aku kepadanya, dan jika Engkau tidak palingkan  muslihat mereka daripada aku, tentu aku akan berkeinginan benar pada mereka, dan aku jadi orang bodoh."

Pemeliharanya pula menyahutinya, dan Dia palingkan daripadanya muslihat perempuan-perempuan itu; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.

Maka Yusuf dimasukkan ke dalam penjara. Bersama dia adalah dua orang pemuda. Seorang daripada mereka berkata, "Aku bermimpi bahawa aku memerah anggur." Berkata yang lain, "Aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku dan burung-burung makan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya. Kami melihat bahawa kamu adalah orang buat baik."

Yusuf berkata, "Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu, dia akan tuangkan minuman arak untuk tuannya; bagi yang satu lagi, dia akan disalib, dan burung akan makan sebahagian daripada kepalanya."

Kemudian dia berkata kepada orang yang dia sangka akan diselamatkan antara keduanya, "Sebutlah aku kepada tuan kamu." Akan tetapi, syaitan menjadikan dia lupa untuk menyebutnya, supaya dia tetap di dalam penjara selama beberapa tahun.

Suatu hari, raja berkata, "Aku melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus memakan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku."

Tiada seorang pun antara mereka yang tahu. Kemudian pemuda yang telah diselamatkan dahulu berkata, setelah teringat, "Aku sendiri akan beritahu kamu interpretasinya, maka utuslah aku."

"Wahai Yusuf orang yang benar, putuskanlah kepada kami mengenai tujuh ekor lembu yang gemuk, yang tujuh yang kurus memakan, dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering, supaya aku kembali kepada mereka agar mereka mengetahui."

Yusuf berkata, "Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan. Kemudian sesudah itu, akan datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu sediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan. Selepas itu, akan datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya mereka memerah."

Raja berkata setelah mendengar interpretasi mimpi oleh Yusuf yang dibawa oleh utusannya, "Datangkanlah dia kepadaku." Apabila utusan itu tiba, Yusuf berkata, "Kembalilah kepada tuan kamu, dan tanya dia, mengenai wanita-wanita yang memotong tangan mereka?" 

Raja bertanya, "Apakah urusan kamu, perempuan-perempuan, apabila kamu menggoda Yusuf?" Mereka menjawab, "Dijauhkan Allah! Kami tidak tahu kejahatan padanya." 

Isteri Gabenor berkata, "Sekarang yang benar akhirnya jadi nyata. Sayalah yang menggodanya."

Raja berkata, "Datangkanlah dia kepadaku. Aku akan dekatkannya dengan diriku." Setelah Yusuf berada dengannya, dia berkata kepada Yusuf, "Pada hari ini, kamu berkedudukan teguh dalam sokongan kami, dan dalam kepercayaan kami."

Yusuf berkata, "Lantiklah saya kepada perbendaharaan bumi ini; saya adalah penjaga yang alim (berpengetahuan)."

"Maka Kami teguhkan Yusuf di bumi untuk dia menetap di mana sahaja dia hendaki, dan Kami tidak sia-siakan upah orang-orang buat baik" (12:56).

Suatu hari, saudara-saudara Yusuf datang lalu masuk kepadanya. dia kenal mereka, tetapi mereka tidak mengenalinya. Mereka datang untuk meminta pertolongan makanan.

Setelah Yusuf menyiapkan bekal untuk mereka, dia berkata, "Datangkanlah kepadaku saudara kamu yang tertentu daripada bapa kamu. Tidakkah kamu melihat aku tepati sukatan, dan aku yang terbaik daripada penerima-penerima tamu? Tetapi jika kamu tidak datangkan dia kepadaku, maka tidak akan ada sukatan bagi kamu denganku, dan tidak juga kamu dapat mendekatiku."

Mereka menjawab, "Kami akan memujuk bapa kami; itu kami akan buat."

Lalu Yusuf menyuruh budak-budak suruhannya letak balik barang-barang mereka (yang dibawa untuk mengganti bekalan makanan daripada Yusuf) ke dalam pundi-pundi mereka supaya mereka mengenalinya apabila mereka balik kepada keluarga mereka.

Apabila mereka kembali kepada bapa mereka, mereka berkata, "Ayah, sukatan itu akan dinafikan kepada kami, maka utuslah bersama kami saudara kami supaya kami dapatkan sukatan itu. Sesungguhnya kami akan menjaganya."

Bapa mereka berkata, "Adakah aku akan percayai kamu kepadanya seperti aku percayai kamu kepada saudaranya dahulu?"

Dan, apabila mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang mereka dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata, "Ayah, apakah yang kita inginkan lagi? Barang-barang kita dikembalikan kepada kita, dan kita dapat bekalan makanan untuk keluarga kita, dan kita akan jaga saudara kita; kita akan dapat tambahan beban seekor unta. Itu sukatan yang mudah."

"Aku tidak akan utuskannya bersama kamu sehingga kamu beri aku satu janji yang teguh dengan Allah, bahawa kamu pasti akan datangkannya kembali kepadaku, kecuali kamu diliputi." Apabila mereka telah berinya janji mereka, dia berkata, "Allah jadi Wakil atas apa yang kami ucapkan."

Maka apabila mereka masuk kepada Yusuf sekali lagi, dia ambil saudaranya kepadanya, seraya berkata, "Aku saudara kamu; maka jangan kamu dukacita terhadap apa mereka buat."

Kemudian, apabila Yusuf menyiapkan persiapan untuk mereka, dia letak gelas minumannya ke dalam pundi saudara yang diambilnya. 

Sedang mereka mula bertolak untuk kembali kepada keluarga mereka, datang pula orang yang menyeru, "Hai kafilah, kamu adalah pencuri!"

Mereka bertanya sambil mendekati orang yang menyeru, "Apa yang kamu hilang?" 

"Kami kehilangan gelas berkaki kepunyaan raja. Sesiapa mendatangkannya akan dapat beban seekor unta; itu aku jamin."

Mereka berkata, "Demi Allah, kamu tahu bahawa kami tidak datang untuk buat kerosakan di bumi. Kami bukanlah pencuri."

"Apakah balasannya jika kamu adalah pendusta?"

"Balasannya - dalam pundi sesiapa ia didapati, maka dialah balasannya. Begitulah kami membalas orang-orang zalim."

"Maka dia (Yusuf) memulakan dengan karung-karung mereka sebelum karung saudaranya, kemudian dia keluarkannya daripada karung saudaranya. Begitulah Kami buat muslihat untuk Yusuf; dia tidak boleh ambil saudaranya, menurut agama (pengadilan) raja, kecuali apa yang Allah hendak.

Mereka berkata, "Jika dia seorang pencuri, seorang saudaranya adalah seorang pencuri dahulu." Tetapi Yusuf rahsiakannya di dalam dirinya, dan tidak nampakkannya kepada mereka, dengan berkata, "Kedudukan kamu lebih buruk; Allah sangat-sangat tahu apa yang kamu terangkan."

Mereka berkata, "Wahai al-aziz (yang perkasa), dia mempunyai bapa yang sangat tua; maka ambillah salah seorang antara kami untuk mengganti tempatnya; kami melihat bahawa kamu adalah antara orang-orang buat baik." 

Berkata, "Allah menegah bahawa kami patut ambil sesiapa sahaja kecuali orang yang kami dapati barang kami padanya, kerana jika kami buat demikian, tentulah kami jadi orang-orang zalim" (12:76-79).

Apabila mereka kembali kepada bapa mereka dan ceritakan hal saudaranya yang mencuri dan ditahan di Mesir kedukaan bapanya bertambah,

"Dan dia berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Aduhai, dukacitaku untuk Yusuf!' Dan kedua-dua matanya jadi putih kerana kesedihan yang mencekiknya di dalam dirinya" (12:84).

Kemudian dia berkata, "Wahai anak-anakku, pergilah dan carilah berita mengenai Yusuf dan saudaranya. Janganlah berputus asa daripada kesenangan Allah; daripada kesenangan Allah, tiada yang berputus asa melainkan kaum tidak percaya (kafir)."

Lalu mereka pergi kepada Yusuf dan berkata, "Wahai al-aziz, penderitaan telah menyentuh kami dan keluarga kami. Kami datang dengan barang-barang yang tidak berharga. Tepatilah kepada kami sukatan, dan bersedekahlah kepada kami; sesungguhnya Allah balas orang-orang yang bersedekah."

Yusuf bertanya, "Adakah kamu tahu apa yang kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya, ketika kamu orang-orang bodoh?"

Mereka menjawab, "Mengapa, adakah kamu benar-benar Yusuf?" 

Dia berkata, "Aku Yusuf. Ini saudaraku. Sungguh, Allah telah berbudi baik kepada kami. Sesiapa bertakwa dan sabar, maka sesungguhnya Allah tidak sia-siakan upah orang-orang buat baik."

Mereka berkata, "Demi Allah, sesungguhnya Allah lebih suka kamu daripada kami, dan sesungguhnya kami bersalah."

Yusuf berkata, "Tidak ada celaan pada hari ini kepada kamu; Allah mengampuni kamu; Dia yang paling berpengasihan daripada yang berpengasihan. Pergilah, ambil baju ini, dan kamu lempar ia kepada muka ayahku, dan dia akan peroleh kembali penglihatannya; kemudian datangkanlah kepadaku keluarga kamu kesemuanya."

Maka, apabila kafilah telah berangkat, bapa mereka berkata, "Sesungguhnya aku dapati bau Yusuf, melainkan kamu tuduh aku nyanyuk."

Mereka berkata, "Demi Allah, sungguh kamu adalah dalam kesesatan kamu yang dahulu."

Tetapi apabila pemberi berita gembira datang kepadanya dan lemparkan baju Yusuf ke mukanya, tiba-tiba dia kembali dapat melihat. Dia berkata, "Tidakkah aku mengatakan kepada kamu bahawa aku tahu daripada Allah apa yang kamu tidak tahu?"

Mereka berkata, "Ayah kami, mintalah ampun untuk kami atas kesalahan-kesalahan kami; sesungguhnya kami bersalah."

"Sungguh, aku akan minta Pemeliharaku untuk mengampuni kamu; sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih."

Kemudian mereka berangkat ke Mesir untuk menemui Yusuf.

"Maka, apabila mereka masuk kepada Yusuf, dia ambil kedua ibu bapanya kepadanya, dengan berkata, 'Masuklah kamu ke Mesir, jika Allah hendaki, dalam keadaan aman.'

Dan dia naikkan ibu dan bapanya ke atas singgahsana; dan yang lain, jatuh bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah, inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; Pemelihara saya telah membuatnya benar. Dia telah berbudi baik kepada saya apabila Dia keluarkan saya dari penjara, dan Dia datangkan kamu dari gurun setelah syaitan selisihkan antara saya dan saudara saya. Pemelihara saya halus terhadap apa Dia hendaki; sesungguhnya Dialah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana.

Wahai Pemeliharaku, Engkau telah beri aku untuk memerintah, dan Engkau telah ajar aku interpretasi mimpi. Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih" (12:99-101).

Apakah pelajaran atau pelajaran-pelajaran yang anda perolehi daripada kisah Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya?

Sudut Pelajar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Keratan Akhbar
Penemuan
  Soalan Lazim  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman