DIN di dalam al-Qur'an

 

Islam adalah bukan satu-satunya din yang pernah atau sedang wujud di dunia ini. Pun begitu, ia merupakan satu-satunya din yang benar di sisi Allah, dan dipertinggikan-Nya pula di atas setiap din yang dianuti manusia. Firman-Nya,

"Din yang benar di sisi Allah ialah Islam" (3:19)

"Dia yang utus Rasul-Nya dengan petunjuk, dan din yang benar, supaya Dia pertinggikannya di atas setiap din, walaupun orang-orang yang sekutukan membencinya." (9:33)

Ayat yang menyebut tentang Islam sebagai din yang benar dan dipertinggikan-Nya diulang sebutannya sebanyak dua kali lagi di dalam al-Qur'an iaitu ayat-ayat 48:28 dan 61:9!

Oleh yang demikian, din yang satu-satunya diterima, benar, dan ditinggikan Allah ialah:

Islam, atau din Allah, adalah din yang harus diinginkan kerana din yang selain daripadanya tidak diterima dan akan datangkan kerugian di akhirat kelak. Ayat-ayat berikut menjelaskan:

"Apa, adakah selain daripada din Allah yang mereka cari, dan kepada-Nya tunduk patuh sesiapa di langit dan di bumi, dengan rela atau benci, dan kepada-Nya mereka akan dikembalikan?" (3:83)

"Sesiapa mencari din selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirat dia adalah antara orang-orang yang rugi." (3:85)

Al-Qur'an seterusnya beri beberapa contoh din, yang selain din Allah, dan mereka disebut di dalam ayat-ayat berbunyi,

"Itu ialah kerana mereka (Yahudi) mengatakan, 'Api tidak akan sentuh kami kecuali untuk beberapa hari yang terhitung.' Apa yang mereka ada-adakan menipu mereka dalam din mereka." (3:24)

"Dan Firaun berkata, 'Biarlah aku bunuh Musa, dan hendaklah dia menyeru Pemeliharanya. Aku takut bahawa dia akan tukarkan din kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di bumi.'" (40:26)

"Bagi kamu din kamu (kafiruun), dan bagiku dinku!" (109:6)

Ayat-ayat yang dipetik beri contoh nama tiga din yang selain daripada din Allah, dan dengan ringkas mereka adalah:

Tiap-tiap din mempunyai ciri-ciri sendiri yang membuatnya berlainan dengan yang lain. Contoh ciri-ciri pada din dapat difahamkan daripada ayat-ayat berikut:

"Diharamkan kepada kamu ialah bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain daripada Allah, dan yang dicekik, dan yang dipukul, dan binatang yang jatuh lalu mati, dan binatang yang ditanduk, dan apa yang dimakan binatang buas, kecuali kamu korbankannya dengan patut, dan apa yang dikorbankan untuk berhala, dan membahagi dengan ramalan anak-anak panah; itu ialah kefasiqan. Pada hari ini orang-orang tidak percaya berputus asa daripada din kamu; maka jangan takut pada mereka, tetapi takutilah Aku. Pada hari ini, Aku menyempurnakan din kamu untuk kamu, dan Aku cukupkan rahmat-Ku ke atas kamu, dan Aku puas hati Islam sebagai din untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa, dalam kekosongan, dan tidak condong untuk maksud buat dosa, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (5:3)

"Namun demikian, jika mereka bertaubat, dan lakukan solat, dan beri zakat, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam din; dan Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang tahu." (9:11)

"Bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah pada hari Dia cipta langit dan bumi. Empat daripadanya haram (suci). Itu din yang betul, maka jangan zalimkan diri-diri kamu (sesama sendiri) padanya." (9:36)

"Katakanlah, 'Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan terhadap dinku, maka aku tidak sembah orang-orang yang kamu sembah selain daripada Allah, tetapi aku sembah Allah yang akan mematikan kamu, dan aku diperintah supaya menjadi antara orang-orang mukmin." (10:104)

"Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan, dan dalam din Allah, janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan orang-orang mukmin saksikan azab mereka." (24:2)

Daripada ciri-ciri yang terdapat pada ayat-ayat di atas, perkara mengenai bulan-bulan haram (9:36) ingin dibincangkan sedikit di sini. Bulan-bulan tersebut didapati berkait pula dengan Haji (sila lihat di sini). Justeru, haji jadi satu lagi ciri dalam din Allah.

Dengan penjelasan daripada ayat-ayat baru diturunkan, maka beberapa ciri pada din dapat difahamkan dan diringkaskan seperti berikut:

Lalu terdapat ibadat seperti solat dan haji dalam din Allah. Namun begitu, tampil pula orang mengatakan beliau sukar melihat ibadat (bermaksud tidak ada ibadat) di dalam al-Qur'an, walaupun tercatat dengan jelas bahawa ia merupakan ciri dalam din-Nya. Beliau juga tidak menentang pendapat yang mengatakan ibadat, atu ritual baginya, adalah perkara yang mendatangkan mudarat, dan beri solat sebagai contoh. Kata-kata beliau (dipetik daripada e-mel di sini) adalah seperti berikut:

1. Bagi saya, walaupun sukar untuk saya melihat 'ritual' atau 'ibadat khusus' dalam Quran, saya tak menentang ritual itu sebagai perkara yang mudaratkan.  Solat yang dilakukan dengan ritual atau pun tidak boleh membawa (jikalau niat kita baik) kepada dhikrullah iaitu pengingatan atau penghayatan atau realisasi Allah dalam hidup sepertimana Allah memerintah Nabi Musa , dirikanlah salat untuk mengingatiku (quran 20/14).

Dengan berpendapat seperti itu, beliau terlepas pandang ayat-ayat mengenai zikir (sila rujuk Zikir ajaran al-Qur'an) dan ayat-ayat lain mengenai solat. Antara ayat-ayat solat yang dikatakan terlepas dipandang adalah:

"Kamu mohonlah pertolongan dalam kesabaran dan solat kerana ia adalah sungguh berat kecuali kepada orang-orang yang rendah hati," (2:45)

"Apabila kamu sudah laksanakan solat, ingatlah akan Allah, berdiri, dan duduk, dan di atas lambungan kamu. Kemudian, apabila kamu tenteram, lakukan solat; sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin." (4:103)
(perbezaan solat dengan
"dhikrullah" atau "ingat akan Allah")

"... solat melarang kesumbangan dan mungkar." (29:45)
(solat tidak datangkan mudarat)

Ayat-ayat lain mengenai solat dapat dibaca di sini, dan untuk keterangan al-Qur'an yang jelas mengenai solat sila baca artikel Solat menurut al-Qur'an. Terima kasih.

Selanjutnya difahamkan iaitu terdapat perpecahan dalam din, lalu terbit beberapa golongan yang berbangga dengan apa yang mereka ada. Firman-Nya,

"Daripada orang-orang yang pecahkan din mereka, dan menjadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa di sisi mereka." (30:32)

Ramai berpendapat bahawa contoh pecahan tersebut ialah pelbagai mazhab yang timbul. Pecahan seolah jadi satu lagi ciri dalam din, dan berlaku dalam din Allah, din Kristian, din Yahudi, din Budha, dan lain.

Setelah melihat, terutamanya ciri-ciri pada din, apakah perkataan Melayu yang sesuai untuk menterjemahkan kalimat tersebut? Ada yang mengatakan (dalam bahasa Inggeris) the way of life atau "cara hidup". Sekiranya betul sila lihat apa terjadi pada ayat yang baru sahaja dipetik apabila din diterjemah kepada frasa tersebut:

"Daripada orang-orang yang pecahkan cara hidup mereka, dan menjadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa di sisi mereka." (30:32)

Atau kepada ayat yang dipetik di permulaan halaman ini lalu bunyinya jadi,

"Namun demikian, jika mereka bertaubat, dan lakukan solat, dan beri zakat, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam cara hidup; dan Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang tahu." (9:11)

Atau satu daripada ayat-ayat yang disenaraikan di kalimat pilihan yang akan jadi berbunyi,

"Apabila orang-orang munafik, dan orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit, berkata, 'Cara hidup mereka telah menipu mereka'; tetapi sesiapa tawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana." (8:49)

Terasa agak pelik apabila din diterjemahkan kepada frasa "cara hidup" pada ayat-ayat di atas. Dan begitu juga dengan ayat-ayat din yang lain.

Frasa tersebut dapat dipanjangkan sehingga, umpamanya berbunyi "cara hidup orang-orang Malaysia", dan seperti sedia maklum, dalam cara hidup orang-orang di Malaysia terdapat beberapa din, seperti din Allah, din Kristian, din Budha, atau din Kafiruun. Demikianlah itu adalah satu contoh perbezaan antara din dengan cara hidup.

Antara mereka yang tidak suka perkataan agama dijadikan terjemahan kepada din adalah kerana kehadiran berbagai-bagai macam ibadat yang ulama masukkan ke dalamnya. Ada yang mengatakan iaitu ulama, dengan buat demikian, telah memesongkan Islam dari konteks ad-Deen kepada Islam sebagai religion, atau agama. Justeru, kata-kata itu kelihatan seperti bermaksud bahawa ad-Deen adalah Islam bukan agama.

Bagi mereka, agama hanya bermaksud ibadat, dan tidak suka Islam dipanggil agama kerana ulama menitikberatkan ibadat di dalamnya. Kelihatan seolah kerana nyamuk seekor kelambu dibakar! Dan mungkin berakhir dengan kepercayaan bahawa dalam Islam tidak ada ibadat atau ritual menurut mereka.

Perkataan Arab bagi cara hidup adalah bukan din. Sila lihat tajuk sebuah buku yang menghuraikan Cara Hidup Islam, berjudul Islamic Way of Life (Arabic: Islam Ka Nizam Hayat) yang disebut di e-mel ini di mana sedikit penjelasan mengenai maksud cara hidup telah dibentang. Pada tajuk itu perkataan din tidak kelihatan. Maka din dalam bahasa Arab tidak bermaksud cara hidup.

Sampai kepada maksud perkataan agama menurut kamus Melayu. Menurutnya, ia adalah kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah-Nya, kepercayaan kepada yang Maha Kuasa.

Amat menarik sekali, pada maksud itu tidak terdapat perkataan ibadat atau lain yang serupa. Ia hanya menyebut mengenai percaya kepada Tuhan, sifat-sifat-Nya, kekuasaan-Nya, dan menerima ajaran serta perintah-Nya.

Bagi penulis, din bermaksud agama, seperti lazim diguna, dan agama adalah suatu pegangan atau kepercayaan dalam cara hidup. Misalan, orang Melayu dengan cara hidup tersendiri, tetapi di dalam kelompoknya terdapat orang Melayu yang dinnya din Allah (Islam), dan yang lain din Kafiruun. Walaupun ada perbezaan dalam din tetapi ciri-ciri Melayunya dalam cara hidup tetap sama, walaupun sedikit.

Din di dalam al-Qur'an mempunyai makna yang berbeza. Selain agama ia boleh membawa maksud pengadilan atau pembalasan. Beberapa contoh ayat diturunkan di bawah:

"Merajai Hari Din (Pengadilan atau Pembalasan)." (1:4)

"Ke atas kamu (Iblis) laknat hingga Hari Din (Pengadilan)." (15:35)

"Pada hari itu, Allah bayar mereka sepenuhnya din (pembalasan) mereka yang sebenar, dan mereka tahu bahawa Allah, Dia adalah jelasnya Yang Benar (Hak)." (24:25)

"Dan mereka berkata, 'Aduhai, celakalah kami! Inilah Hari Din (Pengadilan).'" (37:20)

Sekali lagi, dapat dilihat iaitu perkataan din tidak bijak diterjemah kepada cara hidup. Jika ia dilakukan maka ayat pertama di senarai di atas akan berbunyi "Merajai Hari Cara Hidup" yang maksudnya sukar diterima akal. Akan tetapi, jika ia diterjemah kepada "Merajai Hari Agama (Pengadilan atau Pembalasan)" maka dapat dirasakan ketakutan kerana hari itu adalah hari pengadilan atau pembalasan atas agama umat manusia bukan cara hidup mereka.

Atau, din diterjemah kepada kehidupan, menurut pendapat yang baru dilontarkan kepada penulis. Pendapat tersebut sukar diterima, kerana Allah telah mengguna kalimat lain bagi perkataan tersebut. Sila lihat halaman Kalimat kehidupan di dalam al-Qur'an.

Akhir sekali, din atau agama, didapati berkait rapat dengan anutan. Dua ayat al-Qur'an yang berikut menunjukkan kaitannya:

"Dan siapakah lebih baik anutannya daripada orang yang tundukkan wajahnya (kehendaknya) kepada Allah, sedang dia seorang buat baik, dan yang ikut agama Ibrahim, seorang yang lurus? Dan Allah ambil Ibrahim sebagai seorang sahabat." (4:125)

"Dan berjuanglah untuk Allah dengan perjuangan yang sebenar; Dia telah pilih kamu, dan tidak letak ke atas kamu kesusahan dalam agama kamu, anutan bapa kamu, Ibrahim; Dia namakan kamu Muslim dari dahulu, dan dalam yang ini, supaya Rasul menjadi saksi ke atas kamu, dan kamu jadi saksi ke atas manusia. Maka lakukan solat, dan berikan zakat, dan berpegangteguhlah kamu kepada Allah; Dia Pelindung kamu - Pelindung yang sangat baik, dan Penolong yang sangat baik." (22:78)

Allah disanjung!


Penulis Bacaan
Disember 2010

Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim  
Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman