Cinta, Suka, Kasih Sayang
seperti di dalam al-Qur'an

 

Allah dicinta dan Dia mencintai. Cinta-Nya akan menyebabkan kesalahan-kesalahan orang-orang yang mencintai-Nya diampuni. Dia dicinta dengan ikut wahyu yang diwahyukan melalui Nabi-Nya. Firman Allah,

"Katakanlah, 'Jika kamu cintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan cintai kamu, dan ampunkan kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih.'" (3:31)

Cinta pada-Nya mengatasi segala cinta lain, termasuk cinta pada manusia yang dijadikan rakan-rakan bagi Allah, atau pemberi petunjuk, seperti Nabi, Rasul, Imam, Tok Guru, dan sebagainya. Menyamakan cinta pada Allah dengan mereka selain daripada-Nya adalah suatu kezaliman. Firman Tuhan,

"Tetapi ada manusia yang ambil untuk mereka rakan-rakan, selain daripada Allah, dengan mencintainya sebagaimana Allah dicintai, tetapi orang-orang yang percaya, mencintai Allah dengan lebih cinta. Sekiranya orang-orang buat kezaliman dapat lihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan kesemuanya adalah kepunyaan Allah, dan bahawa Allah amat keras dalam azab." (2:165)

Kerana mencintai-Nya amalan-amalan kebajikan seperti memberi makan kepada orang-orang miskin, anak yatim dan tawanan perang dilakukan. Firman Tuhan:

"Mereka memberi makan, kerana mencintai-Nya, kepada orang miskin, dan anak yatim, dan tawanan," (76:8)

Mereka yang buat demikian berkata, “Kami memberi makan kepada kamu hanya kerana mengharapkan Wajah Allah; kami tidak hendak balasan daripada kamu, dan tidak juga terima kasih," (76:9).

Kaum yang Dia cintai adalah yang mencintai-Nya, rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya, berjuang di jalan Allah dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Maksud firman Allah:

"maka Allah akan datangkan satu kaum yang Dia cintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela." (5:54)

Cinta manusia tidak terhad pada Tuhan sahaja. Dia selanjutnya mewujudkan cinta dan pengasihan terhadap teman-teman hidup manusia supaya mereka dapat berehat pada mereka. Ayat yang menentukannya berbunyi,

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia ciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, isteri-isteri, supaya kamu berehat pada mereka, dan Dia adakan antara kamu, cinta dan pengasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (30:21)

Perasaan cinta yang diwujudkan Allah berterusan hingga hari akhirat. Ayat berkenaan berbunyi:

"Dan Kami buatkan mereka anak-anak dara yang tidak tercemar,
Penuh cinta, sebaya," (56:36-37)

Cinta di sana mungkin berlainan sedikit kerana tanpa sebarang kesedihan. Di dunia, terdapat cinta yang membawa kesusahan. Al-Qur'an beri contoh sebuah cinta tidak dibalas, iaitu cinta isteri gabenor pada Nabi Yusuf. Ayat yang mengisahkannya berbunyi,

"Perempuan-perempuan tertentu di kota berkata, 'Isteri al-aziz (Gabenor) menggoda diri pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta; kami lihat dia dalam kesesatan yang nyata.'" (12:30)

Akibat cinta tersebut Nabi Yusuf dipenjara, bertahun-tahun lamanya.


Keluarga

Cinta atau kasih sayang pada manusia turut diberi kepada sanak saudara. Ia adalah suatu permintaan, seperti disebut dalam firman bererti,

"Katakanlah, 'Aku tidak minta kepada kamu upah untuk ini, melainkan kasih sayang untuk sanak saudara'" (42:23).

Kasih sayang disampaikan dengan adil. Tidak seperti yang diberi oleh bapa Nabi Yusuf dan saudaranya iaitu menimbulkan perasaan cemburu di kalangan saudara-saudaranya yang lain lalu baginda dibuang untuk dipisahkan daripada bapanya. Al-Qur'an ceritakan,

"Apabila mereka berkata, 'Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya lebih dicintai oleh bapa kita daripada kita, sedang kita sekumpulan. Sesungguhnya bapa kita adalah dalam kesesatan yang nyata.'" (12:8)

Cinta pada ahli keluarga yang rapat dan harta yang diperoleh memang wujud tapi tidak dibiarkan melebihi cinta pada Allah, Rasul-Nya, dan berjuang di jalan-Nya, khuatir jadi orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan). Perintah Tuhan,

"Katakanlah, 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak lelaki kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kerabat kamu, dan harta benda yang kamu peroleh, dan perdagangan yang kamu takut akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat puas hati - jika ini lebih dicintai oleh kamu daripada Allah dan Rasul-Nya, dan untuk berjuang di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah datangkan perintah-Nya; Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang fasiq.'" (9:24)

Sementara ahli keluarga yang lebih suka ketidakpercayaan daripada keimanan tidak diambil sebagai wali atau sahabat yang dipercayai, untuk tidak jadi zalim. Demikianlah peringatan Tuhan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu untuk menjadi wali-wali kamu, jika mereka lebih suka ketidakpercayaan daripada keimanan; sesiapa antara kamu yang jadikan mereka sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim." (9:23)

Dan, ahli keluarga yang menentang Allah dan Rasul-Nya tidak harus disayangi. Firman Tuhan,

"Kamu tidak dapat sesuatu kaum yang percayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka." (58:22)

Walau betapa banyaknya cinta pada mereka, atau siapa jua, orang yang mencintai tidak dapat beri petunjuk kepada mereka. Nabi pun sama, tidak dapat beri petunjuk kepada orang-orang dicintainya. Maka orang-orang dicintai boleh jadi mereka yang tidak percaya atau kafir kepada Allah. Firman-Nya,

"Kamu tidak dapat beri petunjuk kepada siapa yang kamu cintai, tetapi Allah beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki, dan Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang dapat petunjuk." (28:56)

Mereka yang tidak disayangi, termasuk ahli keluarga, adalah kerana cinta pada keimanan yang diberi Allah. Cinta itu jadikan seseorang benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), kefasiqan, dan keingkaran. Allah menjelaskan,

"Dan ketahuilah bahawa Rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah jadikan cinta pada keimanan kepada kamu, nampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia jadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras." (49:7)

Cinta pada keimanan adalah kewarasan fikiran.


Dunia

Dalam kehidupan di dunia hawa nafsu dinampakkan indah bagi manusia. Lantas kecintaannya daripada kesenangan hidup di dunia jadi keutamaan. Firman Allah,

"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itu kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)

Oleh kerana itu manusia hidup mencari harta. Setelah memperolehi, dan mencintainya, beri pula kepada pihak-pihak yang harus menerima. Allah menjelaskan,

"Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu palingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberi harta, walaupun dicintainya
kepada sanak saudara,
dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin,
dan musafir,
dan orang-orang yang meminta-minta;
dan merdekakan hamba,
dan lakukan solat, dan beri zakat, dan mereka yang tepati perjanjian mereka, apabila mereka buat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam musibah, dan kesusahan, dan bencana. Mereka inilah orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan) dengan benar." (2:177)

Orang-orang yang hidup mewah tidak bersumpah untuk tidak beri kepada sanak saudara, orang-orang miskin, dan orang-orang berhijrah di jalan Allah, atas sesuatu kesumbangan dan kemungkaran. Sebaliknya mereka harus maafkan, dan ampunkan, supaya Allah mengampuni mereka, iaitu suatu amat disukai manusia. Firman Allah,

"Janganlah orang-orang antara kamu yang mempunyai pemberian dan keluasan bersumpah untuk tidak memberi sanak saudara, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang hijrah di jalan Allah; tetapi hendaklah mereka maafkan dan ketepikan. Tidakkah kamu suka bahawa Allah akan ampun kamu? Allah Pengampun, Pengasih." (24:22)

Sesungguhnya, harta benda dapat buat seseorang mencapai tahap ketaatan kepada Allah, dengan nafkahkan (belanjakan) harta yang dicintai. Dia jelaskan,

"Kamu tidak akan capai ketaatan sehingga kamu nafkahkan daripada apa kamu cintakan, dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (3:92)

Selanjutnya, cinta pada orang-orang berhijrah, dengan beri tanpa takut jadi papa, dan tanpa mengharapkan sesuatu, jadikan orang-orang yang mencintai beruntung kerana dilindungi daripada kehalobaan jiwa sendiri. Firman Tuhan,

"Dan orang-orang yang telah bertempatkan di tempat tinggal, dan dalam keimanan, sebelum mereka, mencintai sesiapa yang hijrah kepada mereka, dengan tidak dapati di dalam dada mereka sebarang hajat (keinginan) terhadap apa yang mereka diberi, dan lebih suka yang lain di atas diri-diri mereka, walaupun kepapaan adalah bahagian mereka. Dan sesiapa yang dilindungi daripada kehalobaan jiwanya sendiri, mereka itu, merekalah orang-orang beruntung." (59:9)

Tidak haloba! Maka dunia dicari dan dicintai dengan tidak melampaui batas hingga melupakan hari akhirat. Ayat-ayat yang beri peringatan tersebut berbunyi,

"Sesungguhnya mereka ini mencintai yang cepat (dunia), dan tinggalkan di belakang mereka satu hari yang berat." (76:27)

"Dan kamu cintai harta dengan kecintaan yang berlebihan." (89:20)

"Sesungguhnya dia cintai benda-benda yang baik dengan sangatnya." (100:8)

Nabi Sulaiman pun tidak terlepas daripada mencintai benda-benda baik sehingga hampir melupakan waktu untuk mengingati Allah. Ayat yang mengingatkan berbunyi,

"Dia (Sulaiman) berkata, 'Sesungguhnya aku cintai kecintaan pada benda-benda yang baik lebih daripada mengingati Pemeliharaku sehingga tersembunyi di belakang hijab (tabir).'" (38:32)


Suka

Bukan sahaja harta benda yang boleh membawa kerugian pada hari akhir malah dalam kehidupan di dunia terdapat lagi beberapa sifat buruk tetapi disukai oleh sesetengah pihak. Sifat-sifat tersebut jelas dinyatakan di dalam tiga ayat di bawah:

"Janganlah sangka orang-orang yang gembira dengan apa yang mereka datangkan, dan suka dipuji atas apa yang mereka tidak buat; janganlah kamu sangka mereka aman daripada azab; dan bagi mereka, azab yang pedih." (3:188)

"Orang-orang yang suka bahawa kesumbangan disebarkan mengenai orang-orang yang percaya, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan Allah tahu, dan kamu tidak tahu." (24:19)

"Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpat satu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka makan daging saudaranya yang sudah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Pengasih." (49:12)

Azab pedih menanti orang-orang yang suka lakukan kejahatan-kejahatn tersebut.

Terdapat juga manusia salah buat pilihan. Yang baik disangka buruk lalu dibenci, dan yang buruk disangka baik lalu disukai. Firman Allah,

"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu berperang, walaupun ia adalah kebencian bagi kamu, dan mungkin kamu benci sesuatu yang lebih baik bagi kamu, dan mungkin kamu suka sesuatu yang lebih buruk bagi kamu; Allah tahu, dan kamu tidak tahu." (2:216)

Dan, ada tidak suka pada yang mereka sendiri tahu baik, iaitu orang-orang beri nasihat, seperti kaum Salleh, lalu ditimpa gempa bumi. Peringatan Tuhan berbunyi,

"Maka dia (Salleh) berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Wahai kaumku, aku telah sampaikan kepada kamu Mesej Pemeliharaku, dan nasihatkan kamu, tetapi kamu tidak suka orang-orang yang beri nasihat.'" (7:79)

Apa yang tidak disukai dengan sebenarnya ialah nasihat mengandungi Mesej Pemelihara mereka.

Terdapat pula orang-orang suka orang-orang lain, tetapi orang-orang itu tidak suka mereka. Orang-orang yang tidak disukai itu percayai semua kandungan Kitab. Al-Qur'an menjelaskan,

"Beginilah kamu ini; kamu suka mereka, dan mereka tidak suka kamu; kamu percayai Kitab, semuanya, dan apabila mereka berjumpa dengan kamu, mereka berkata, 'Kami percaya', tetapi apabila mereka menyendiri, mereka gigit jari-jari mereka kerana marah pada kamu. Katakanlah, 'Matilah dalam kemarahan kamu; sesungguhnya Allah tahu apa yang di dalam dada.'" (3:119)

Namun, ada orang lebih suka memilih yang buruk, seperti kebutaan daripada petunjuk. Firman Tuhan,

"Bagi Tsamud, Kami beri mereka petunjuk, tetapi mereka lebih suka kebutaan daripada petunjuk, maka halilintar daripada azab yang menghinakan ambil mereka kerana apa yang mereka usahakan." (41:17)

Akhir sekali, terdapat orang-orang yang lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat. Erti firman Tuhan,

"Itu kerana mereka lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat, dan bahawa Allah tidak beri petunjuk kepada kaum tidak percaya." (16:107)

Mereka itu adalah orang-orang yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka bagi mereka kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar (16:106).

Allah tidak beri petunjuk kepada orang-orang suka kehidupan dunia daripada akhirat. Jika mereka selanjutnya menghalangi jalan Allah dan inginkannya jadi bengkok maka mereka jadi sesat dalam kesesatan yang jauh. Firman Tuhan,

"Orang-orang yang lebih suka kehidupan dunia daripada akhirat, dan halangi jalan Allah, dan inginkannya jadi bengkok; mereka adalah dalam kesesatan yang jauh." (14:3)

Walaupun banyak sifat buruk disukai manusia tetapi ada juga yang baik disukainya - iaitu suka membersihkan diri mereka. Ayat di bawah menjelaskan:

"Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka bersihkan diri mereka; dan Allah suka orang-orang yang bersihkan diri mereka." (9:108)

Hidup di dunia umpama suatu perdagangan. Paling disukai dalam perdagangan ialah pertolongan daripada Allah, dan kemenangan. Apa dimaksudkan dengan perdagangan diterangkan di dalam ayat-ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, mahukah aku tunjukkan kamu perdagangan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?
Kamu percayai Allah dan Rasul-Nya, dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itu yang lebih baik bagi kamu, jika kamu tahu.
Dia akan ampun kamu atas kesalahan-kesalahan kamu, dan masukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Taman-Taman Adn; itulah kemenangan yang besar,
Dan yang lain yang kamu suka, pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat. Berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin! (61:10-13)


Kasih Sayang

Seperti telah dinyatakan terlebih dahulu bahawa kasih sayang sesama manusia adalah untuk sanak saudara (42:23). Akan tetapi jika mereka jadi musuh Allah maka kasih sayang tidak diberi kepada mereka. Perintah Tuhan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, sesungguhnya mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir Rasul dan kamu kerana kamu percayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan inginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat-sangat tahu apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu siarkan; dan sesiapa antara kamu yang buat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul." (60:1)

Kasih sayang sesama manusia tidak wujud apabila tidak bersama dalam perjuangan di jalan Allah. Iktibar diambil daripada ayat berbunyi:

"Tetapi jika pemberian daripada Allah timpa kamu, tentu dia kata seakan-akan tidak pernah ada kasih sayang antara kamu dan dia, 'Sekiranya aku berada bersama mereka, tentu aku dapat kemenangan dengan kemenangan yang besar.'" (4:73)

Tanda kasih sayang sesama manusia di kehidupan dunia, turut terdapat pada berhala. Berhala adalah bukan sahaja berbentuk patung tetapi juga manusia, yang jadi tempat dihalakan segala permintaan dan petunjuk. Berhala jenis manusia, kadang kala, disembah tanpa sedarnya. Firman Tuhan,

"Dan berkata, 'Kamu ambil untuk kamu hanyalah berhala-berhala, selain daripada Allah, sebagai tanda kasih sayang antara kamu dalam kehidupan dunia; kemudian pada Hari Kiamat, sebahagian kamu akan tidak percaya kepada sebahagian yang lain, dan kamu laknatkan satu sama lain, dan tempat menginap kamu ialah Api, dan kamu tidak ada penolong-penolong.'" (29:25)

Apa dikatakan berlaku pada Hari Kiamat, iaitu pertengakaran dan laknat-laknat antara satu sama lain, pasti berlaku.

Tidak dinafikan, orang-orang yang percaya kepada Kitab mempunyai musuh, daripada ahli keluarga mahupun dari luar. Sekiranya mereka berlembut seperti beri tahu bahawa mereka akan minta ampun mereka kepada Allah, rasa bermusuhan mungkin akan hilang dan diganti dengan rasa kasih sayang. Firman Tuhan,

"Mudah-mudahan Allah buatkan, antara kamu dan orang-orang antara mereka yang kamu bermusuhan, rasa kasih sayang. Allah berkuasa; Allah Pengampun, Pengasih." (60:7)

Dengan penganut agama lain, mereka paling dekat dalam kasih sayang dengan orang-orang yang percaya adalah orang-orang menggelar diri mereka Kristian. Ayat berikut menjelaskan,

"Sungguh, kamu dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang sekutukan; dan sungguh kamu dapati mereka yang paling dekat dalam kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'; itu adalah kerana sebahagian mereka adalah paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak sombong." (5:82)

Allah Yang Penyayang sentiasa melontarkan kasih sayang. Kasih sayang daripada Allah tidak serupa dengan diberi oleh manusia. Satu contoh yang digambarkan-Nya terdapat dalam cerita Nabi Musa berbunyi,

"'Lemparkanlah dia ke dalam tabut (peti), dan lemparkanlah dia ke laut, dan biarkanlah laut melemparnya ke tebing. Seorang musuh-Ku dan musuhnya akan mengambilnya.' Dan Aku lemparkan kepada kamu kasih sayang daripada-Ku, dan supaya kamu dibentuk di bawah mata-Ku (pengawasan-Ku)" (20:39).

Hasil kasih sayang daripada Allah, musuh yang pada mula ingin membunuh, jadi pembela pula.


Allah

Selain daripada itu, Allah berhak suka atau tidak suka hamba-hamba-Nya. Keputusan-Nya berdasarkan sebab-sebab tertentu. Lalu terjadilah golongan orang-orang yang disukai dan tidak disukai-Nya.

Orang-orang yang disukai-Nya ada tujuh golongan. Pertama, orang-orang buat baik - terdiri daripada mereka yang beri nafkah, berperang di jalan-Nya, memaaf dan ampunkan, percaya, bertakwa dan buat kerja-kerja baik . Firman-firman-Nya,

"Dan nafkahkanlah (belanjakanlah) di jalan Allah, dan janganlah lemparkan diri-diri kamu dengan tangan-tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan, tetapi buat baik; sesungguhnya Allah suka orang-orang buat baik." (2:195)

"Yang nafkahkan dalam kesenangan dan kesusahan, dan tahan kemarahan mereka, dan maafkan manusia; dan Allah suka orang-orang buat baik," (3:134)

"Dan Allah beri mereka ganjaran dunia, dan sebaik-baik ganjaran akhirat, dan Allah suka orang-orang buat baik" (3:148).
Mereka adalah orang-orang yang berperang di jalan Allah. Ucapan mereka hanyalah, "Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya." (3:146-147)

"Maka kerana memecahkan perjanjian mereka (Bani Israil), Kami laknatkan mereka, dan jadikan hati mereka keras. Mereka kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka lupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diingatkan; dan kamu tidak akan berhenti melihat pengkhianatan daripada mereka, kecuali sedikit antara mereka. Namun begitu, maafkanlah mereka dan ketepikanlah; sesungguhnya Allah suka orang-orang buat baik." (5:13)

"Tidak salah ke atas orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , mengenai apa yang mereka makan jika mereka bertakwa, dan percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan kemudian bertakwa, dan percaya, kemudian bertakwa, dan buat baik; Allah suka orang-orang buat baik." (5:93)

Golongan kedua ialah orang-orang bertaubat, dan orang-orang yang bersihkan diri mereka. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"Mereka tanya kamu mengenai haid. Katakanlah, 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu jauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan jangan dekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka sudah bersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah perintahkan kamu .' Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertaubat, dan Dia suka orang-orang yang bersihkan diri mereka." (2:222)

Sebuah lagi ayat dapat dikesan, tetapi menyebut hanya orang-orang yang bersihkan diri mereka sahaja, berbunyi,

"Janganlah berdiri di dalamnya selama-lamanya. Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka bersihkan diri mereka; dan Allah suka orang-orang yang bersihkan diri mereka." (9:108)

Ketiga, golongan orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan). Tiga ayat yang menyebutnya adalah:

"Tidak, tetapi sesiapa yang tepati perjanjiannya, dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa." (3:76)

"Kecuali orang-orang yang sekutukan yang dengan mereka kamu telah buat perjanjian, kemudian mereka tidak kurangkan kamu sedikit pun, dan tidak juga sokong seseorang pun terhadap kamu. Dengan mereka, sempurnakanlah perjanjian kamu sampai tempoh mereka; sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa." (9:4)

"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang sekutukan satu perjanjian dengan Allah dan Rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu buat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang-orang bertakwa." (9:7)

(Sila lihat Syurga dan orang takwa. Terima kasih.)

Keempat, orang-orang yang sabar. Firman-Nya,

"Dan berapa ramainya Nabi yang bersamanya ramai telah berperang, dan mereka yang ber-Pemelihara tidak jadi lemah kerana apa yang timpa mereka di jalan Allah, dan tidak lemah, dan tidak juga tunduk; dan Allah suka orang-orang yang sabar." (3:146)

Golongan seterusnya, iaitu kelima, terdiri daripada orang-orang yang bertawakal kepada Allah. Firman-Nya,

"Adalah dengan pengasihan Allah kamu berlaku lemah lembut kepada mereka, dan sekiranya kamu berkasar dan berkeras hati, tentu mereka menyuraikan diri dari sekeliling kamu. Maka maafkanlah mereka, dan mintalah ampun untuk mereka, dan berundinglah dengan mereka dalam urusan. Apabila kamu sudah putuskan, tawakallah kepada Allah; sesungguhnya Allah suka orang-orang yang tawakal." (3:159)

Keenam, orang-orang yang adil. Mereka disebut di dalam tiga ayat di bawah:

"Yang dengar yang dusta, dan makan yang haram. Jika mereka datang kepada kamu, hakimkan antara mereka, atau berpaling daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka, mereka tidak akan mudaratkan kamu sedikit pun; dan jika kamu hakimkan, maka putuskan dengan adil antara mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil." (5:42)

"Jika dua golongan orang-orang mukmin berperang, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah antara mereka dengan adil, dan berlakuadillah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang adil." (49:9)

"Allah tidak larang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu buat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil." (60:8)

Ketujuh, yang akhir, ialah orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan-barisan, atau berstrategi, berdisiplin, teratur. Firman-Nya,

"Allah suka orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu." (61:4)

Beralih kepada orang-orang yang Allah tidak suka pula. Terdapat lapan golongan disebut di dalam al-Qur'an. Pertama, orang-orang yang mencabul. Tiga ayat berkaitan berbunyi,

"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang mencabul." (2:190)

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah haramkan benda-benda yang baik yang Allah halalkan bagi kamu, dan jangan mencabul; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang mencabul." (5:87)

"Serulah Pemelihara kamu dengan rendah diri dan dengan berahsia; Dia tidak suka orang-orang yang mencabuli." (7:55)

Kedua, kerosakan dan orang-orang yang buat kerosakan. Ayat-ayatnya berbunyi,

"Dan apabila dia berpaling, dia berusaha di bumi untuk buat kerosakan padanya, dan untuk musnahkan tanaman, dan anak-anak pokok; dan Allah tidak suka kerosakan." (2:205)

"Dan apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu akan tambah kepada kebanyakan daripada mereka (orang-orang Yahudi), dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan; dan Kami lempar di kalangan mereka, permusuhan dan kebencian, sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka nyalakan api untuk perang, Allah padamkannya. Mereka berusaha di bumi untuk buat kerosakan padanya; dan Allah tidak suka orang-orang yang buat kerosakan." (5:64)

"Tetapi carilah, dengan apa yang Allah beri kamu, tempat kediaman akhir, dan jangan lupakan bahagian kamu di dunia ini; dan buat baik, sebagaimana Allah buat baik kepada kamu. Dan jangan cari untuk buat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang buat kerosakan." (28:77)

(Sila rujuk artikel Kerosakan di Bumi untuk keterangan lanjut. Terima kasih.)

Golongan ketiga ialah orang-orang tidak percaya (kafir). Bagi mereka terdapat tiga ayat bermaksud,

"Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah, dan Rasul.' Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang tidak percaya." (3:32)

"Supaya Dia balas orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik daripada pemberian-Nya; Dia tidak suka orang-orang tidak percaya." (30:45)

"Sesungguhnya Allah bela orang-orang yang percaya; sesungguhnya Allah tidak suka setiap pengkhianat, yang tidak berterima kasih (kafir)." (22:38)

(Sila rujuk artikel Kafir dan Al-Qur'an. Terima kasih.)

Keempat, orang-orang zalim. Ayat-ayat mengenai golongan ini seperti berikut:

"Bagi orang-orang yang percaya yang buat kerja-kerja baik , Dia akan bayar sepenuhnya upah mereka; dan Allah tidak suka orang-orang zalim." (3:57)

"Jika luka sentuh kamu, maka luka yang serupa telah pun sentuh kaum itu, dan harinya itu Kami gilirkan antara manusia, dan supaya Allah tahu orang-orang yang percaya, dan Dia ambil saksi-saksi daripada kalangan kamu; dan Allah tidak suka orang-orang zalim." (3:140)

"Dan balasan ke atas kejahatan ialah kejahatan yang serupa dengannya; tetapi sesiapa maafkan, dan betulkan, maka upahnya adalah atas Allah; sesungguhnya Dia tidak suka orang-orang zalim." (42:40)

(Sila rujuk artikel Zalim: siapa mereka sebenarnya. Terima kasih.)

Golongan kelima ialah orang-orang yang sombong, membanggakan diri. Lima ayat bersangkutan berbunyi, 

"Sembahlah Allah, dan janganlah sekutukan sesuatu dengan-Nya. Buat baik kepada ibu bapa, dan kepada sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran yang kerabat, dan jiran yang tidak dikenali, dan teman di sebelah kamu, dan musafir, dan apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang sombong, membanggakan diri," (4:36).

"Tidak syaklah bahawa Allah tahu apa yang mereka rahsiakan, dan apa yang mereka siarkan; sesungguhnya Dia tidak suka orang-orang yang sombong" (16:23).
Ayat seterusnya berbunyi, "Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Apakah yang Pemelihara kamu turunkan?' Mereka berkata, "Dongeng orang-orang dahulu kala.'" (16:24)

"Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia jadi angkuh kepada mereka kerana Kami beri kepadanya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang empunya kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, 'Janganlah kamu berbangga; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang banggakan diri.'" (28:76)

"Janganlah palingkan pipi kamu daripada manusia, dan janganlah berjalan di bumi dengan sangat gembira; Allah tidak suka setiap orang yang sombong dan banggakan diri." (31:18)

"Supaya kamu tidak berdukacita kerana apa yang terlepas daripada kamu, dan tidak bergembira dengan apa diberi kepada kamu; Allah tidak suka setiap orang yang sombong, membanggakan diri," (57:23).

Keenam, pengkhianat. Firman-firmannya berbunyi,

"Dan janganlah berdebat untuk orang-orang yang khianati diri mereka sendiri; sesungguhnya Allah tidak suka pengkhianat yang berdosa." (4:107)

"Dan jika kamu takut akan pengkhianatan daripada satu kaum, maka lemparkanlah kepada mereka yang sama; sesungguhnya Allah tidak suka pengkhianat-pengkhianat." (8:58)

"Sesungguhnya Allah bela orang-orang yang percaya; sesungguhnya Allah tidak suka setiap pengkhianat, yang tidak berterima kasih (kafir)." (22:38)

Ketujuh, kelantangan ucapan yang jahat. Firman-Nya,

"Allah tidak suka kelantangan ucapan yang jahat, kecuali orang yang dizalimi; Allah Mendengar, Mengetahui." (4:148)

Golongan terakhir, iaitu kelapan yang tidak disukai Allah, terdiri daripada orang-orang membazir. Dua ayatnya berbunyi,

"Makanlah buah-buah mereka apabila mereka berbuah, dan berikan haknya (yang patut diberi) pada hari memetiknya, dan janganlah membazir; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang membazir." (6:141)

"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak suka orang-orang yang membazir." (7:31)

Selain daripada dua yang telah disebut - memakan, beri buah-buahan, dan perhiasan, makan, minum - terdapat lapan lagi amalan diterangkan Allah sebagai membazir. Mereka adalah seperti berikut:

1- pemberian nafkah yang membazir (25:67),
2- pembunuhan (5:32 dan 17:33),
3- buat kerosakan di bumi (26:151-152),
4- amalan homoseksual (7:81),
5- melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),
6- melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),
7- ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan,
8- berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28).

Sekiranya bicara mengenai cinta, kasih sayang dan suka, yang didapati di dalam al-Qur'an, ingin disambungkan lagi maka ia tidak tamat di sini. Kerana antara seratus ayat yang dirakam di sini terdapat beberapa yang boleh dihuraikan lagi. Justeru, memadailah hingga di sini sahaja.

Apapun, ia diharap dapat meyakinkan lagi bahawa Kitab al-Qur'an itu sempurna sebagai petunjuk ke jalan lurus. Kitab atau pegangan lain tidak perlu diambil lagi.

Terbit pula persoalan mengenai ungkapan kekasih Allah atau kekasih-Nya yang dipakai oleh sesetengah golongan dalam Islam bagi segolongan manusia atau bagi Nabi. Dukacita dimaklumkan iaitu ungkapan tersebut tidak terdapat di dalam al-Qur'an, kecuali dalam ayat berikut:

"Dan berkata orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, 'Kami adalah anak-anak Allah, dan kekasih-kekasih-Nya.' Katakanlah, 'Mengapa pula Dia azab kamu kerana kesalahan-kesalahan kamu? Tidak, kamu adalah makhluk daripada ciptaan-Nya; Dia ampun siapa Dia hendaki, dan Dia azab siapa Dia hendaki.' Kerana kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya; kepada-Nya kepulangan." (5:18)

Jangan-jangan ungkapan dan kepercayaan itu diseludup masuk ke dalam Islam dari jiran yang tidak seagama!


Sila rujuk:
Kalimat
Cinta/Sayang di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
11 Jun 2007


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman