6Disini saya ingin minta pada saudara tolong fahami ayat ini untok SAYA kerana Ingin ambil tahu.

TIDAK AKAN SAMPAI DAGING DAN DARAHNYA ITU KEPADA ALLAH,HANYA YANG SAMPAI KEPADA ALLAH IALAH TAQWA (kepatuhan menjalankan kewajipan) DARI KAMU. BERGITULAH DIJADIKANNYA
UNTA ITU UNTOK KEPERLUAN KAMU, SUPAYA KAMU MEMBESARKAN ALLAH, KERANA KAMU TELAH DIPIMPINNYA. DAN SAMPAIKANLAHBERITA GEMBIRA KEPADA ORANG ORANG YANG BUAT KEBAIKAN. 22:37 AL-HAJJ


Pertama sekali, dengan maaf dimaklumkan iaitu perkataan "unta" tidak terdapat pada teks asal ayat di atas. Cuma yang dicatat ialah perkataan "mereka", bermaksud "haiwan ternakan" (22:34 dan 22:28), yang tidak semestinya unta sahaja, untuk dikorbankan dalam ibadah Haji.

Sekiranya Allah inginkan unta sahaja untuk dikorbankan, maka Dia akan menyebut kalimat "unta" pada ayat tersebut. Sila rujuk kalimat unta dan ternakan yang disediakan untuk tujuan di sini. Terima kasih.

Seterusnya, merujuk kepada bahagian pertama ayat tersebut (22:37) berbunyi "Dagingnya tidak akan sampai kepada Allah, dan tidak juga darahnya, tetapi ketakwaan daripada kamu akan sampai kepada-Nya." Pendapat penulis mengenainya adalah seperti berikut:

Mungkin ada orang apabila Allah diingatkan kepadanya atau ayat-ayat-Nya didengarkan kepadanya dia tidak merasakan apa-apa. Dan, apabila dia lakukan sesuatu suruhan Allah, seperti korban, dia lakukannya seperti rutin saja. Dia keluarkan duit dan terus jalan. 

Atau, yang, setelah bayar untuk korbannya, timbul beberapa persoalan di kepalanya. 

Atau, yang memikirkan tentang darah dan daging korban itu akan diganti dengan minuman dan makanan yang mulia baginya di syurga kelak. Dan binatang ternak yang dikorbankan itulah yang akan ditunggangnya untuk masuk ke syurga.

Sifat-sifat pada orang yang di contoh pertama itu adalah kemungkinan sahaja, dan ditambah lagi dalam contoh kedua, seperti di bawah ini:

Mungkin ada pula yang, apabila Allah diingatkan kepadanya, hatinya gementar (8:2), atau apabila ayat-ayat-Nya didengarkan kepadanya, dia mencucurkan air mata (5:83). Apatah lagi apabila dia lakukan suruhan Allah, seperti korban, yang diketahuinya sebagai suatu peribadatan yang sudah ditentukan oleh Tuhannya (22:34, 22:67). Daging korban itu pula dimakannya di samping dia memberi kepada orang fakir yang sengsara (22:28), pengemis, dan orang yang meminta (22:36).

Orang yang baru disebut, iaitu di contoh kedua, adalah tidak sama darjatnya dengan yang di contoh pertama tadi. Yang kedua terdapat tanda-tanda ketakwaan padanya. Dia benar-benar percaya kepada Allah, dan setelah diketahuinya sesuatu suruhan-Nya, dia berkata "Kami dengar dan kami taat" (2:285). Itu saja. Tiada yang lain. Tiada yang berlegar di kepalanya melainkan Allah. Dan Allah. Dan Allah sahaja. Itu nampak mudah, tetapi sebenarnya susah.

Dan dia lakukan ibadah korban hanya untuk mengagungkan Allah atas petunjuk yang Dia beri kepadanya, seperti yang diketahuinya daripada ayat Allah berbunyi,

"Dagingnya tidak akan sampai kepada Allah, dan tidak juga darahnya, tetapi ketakwaan daripada kamu akan sampai kepada-Nya. Begitulah Dia tundukkan mereka untuk kamu, supaya kamu agungkan Allah atas petunjuk yang Dia beri kamu. Dan kamu berilah berita gembira kepada orang-orang buat baik" (22:37).

Sifat-sifat yang terdapat pada orang baik di contoh kedua itu, dan apa-apa yang dilakukannya, pada hemat penulis, adalah misalan bagi ketakwaan yang sampai kepada Allah dalam konteks ibadah korban yang dimaksudkan. 

Kesemuanya di sini adalah hanya pendapat penulis, yang mungkin tidak betul. Justeru, betulkanlah mana-mana kesilapan yang didapati.

Balik ke senarai soalan


7assalamualaikum saya Noramira ingin tanya dua perkara,
    1.Apakah nama asal Nabi Zulkifli?
    2.Apakah nama bekas suami Siti Khadijah?

Salam. Terima kasih. Dan maaf. Di laman web ini kami sediakan ajaran atau kandungan kitab al-Qur'an sahaja. Kerana itulah yang akan ditanya nanti di akhirat. Yang lain, termasuk mengenai orang-orang zaman dahulu tidak akan ditanya. Pendirian demikian lahir dari petunjuk Allah berbunyi:

"Sesungguhnya ia adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu; dan sungguh, kamu akan ditanya" (43:44).

"Itu umat yang telah berlalu; baginya apa yang mereka usahakan, dan bagi kamu, apa yang kamu usahakan; kamu tidak ditanya mengenai apa mereka buat" (2:134 dan 2:141).

Sedangkan apa mereka buat tidak akan ditanya, maka apatah lagi dengan nama-nama mereka. 

Apakah yang ada pada nama melainkan nama-nama yang disebut di dalam al-Qur'an.

Pertanyaan haruslah dalam konteks al-Qur'an seperti yang tersirat di dalam ajaran Allah berbunyi,

"janganlah tanya sesuatu yang, jika ia dinampakkan kepada kamu, akan sakitkan hati kamu; namun begitu, jika kamu tanya mengenainya ketika al-Qur'an sedang diturunkan, akan dinampakkan kepada kamu. Allah maafkannya" (5:101).

Dengan itu, penyoal dinasihatkan supaya melayari laman web lain yang mengandungi cerita-cerita yang disukai tetapi tidak disebut di dalam al-Qur'an.

Bagi sesiapa yang merasakan dia tahu sesuatu dan ingin berkongsi buah fikirannya atau dapatannya dengan orang lain maka dia dipersilakan untuk mengirimnya melalui e-mail tanpa attachments. Kami akan menerbitkannya di laman web ini setelah didapati relevan dengan matlamat kami. 

Dan akhirnya, bagi yang ingin berkuiz atau bedebat dengan orang-orang yang berpegang kepada al-Qur'an pula dinasihatkan supaya subscribe di e-group atau discussion group berkenaan yang dipercayai sedang wujud dewasa ini. 

Balik ke senarai soalan


8Sila beri saya jawapan untuk perkara di bawah jika tidak keberatan - 1. Adakah emas itu boleh dipakai oleh lelaki?  2. Adakah tarikat atau pengkajian tasawuf itu berlandaskan Al Quran?

1.  Boleh, kerana tidak disebut di dalam al-Qur'an bahawa emas itu haram bagi lelaki. Sebaliknya Allah murka terhadap orang-orang yang mengharamkan perhiasan yang dikeluarkan untuk hamba-hamba-Nya - "Katakanlah, 'Siapakah yang haramkan perhiasan Allah yang Dia keluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya?" (7:32).**

2.  Al-Qur'an tidak menyebut tentang tarekat (jalan) tasawuf. Maka ia adalah suatu yang diadakan dalam agama. Ini berbahaya. Terdapat pula pelbagai jalan dalam tasawuf. Lain guru lain ajarannya. Ajaran guru dipatuhi, dan dia dianggap sebagai seorang yang mampu untuk mendekatkan diri (pengikut) dengan Allah. Pegangan serupa itu mirip kepada amalan sekutukan Allah. Dosanya tidak diampun.

Kadang-kadang terdapat guru ajar supaya sedekahkan Fatihah, atau bacaan lain, kepada beberapa orang tertentu sebelum memohon atau berdoa kepada Tuhan. Cara itu kononnya lebih afdal. Sehubungan itu, teringat suatu peristiwa lama dengan seorang apek. Apabila ditanya mengapa menyembah patung dia menjawab "Tuhan alaa (Allah, maksudnya) sangat tinggi, jadi mesti lalu itu patung dulu kalau mahu sampai kepadanya. Sama macam kita punya Agong, mesti jumpa Muhammad Taib (Menteri Besar Selangor ketika itu) dulu. Tak boleh terus jumpa Agong."

Al-Qur'an melarang mengadakan orang tengah seumpama itu. Sila rujuk di sini kepada tulisan yang berkaitan, atau artikel "Sekutu Allah menurut al-Qur'an". Rujuk juga Kalimat tarekat di dalam al-Qur'an. Dan akhir sekali - ikutlah tarekat (jalan) Allah, iaitu jalan yang ditunjukkan di dalam al-Qur'an. 

** (kemaskini 8.2.03) 
Terdapat pula seorang hamba Allah ("manusia insan" <kitaserupa2002@yahoo.com>) yang telah menulis kepada kami untuk menyahut cabaran Tuhan tersebut. Dia beri nama Huzaifah, Al-Bara' bin Azib dan Abdullah bin Umar yang dipercayainya telah diredai Allah, atau yang akan menyelamatkannya esok di akhirat. Kononnya mereka mengatakan bahawa Nabi telah mengharamkan emas bagi kaum lelaki. Dakwaan itu sungguh berat.

Nyatalah, bahawa apa yang dilakukan itu adalah bezakan antara Allah dengan Rasul-Nya (dalam perintah). Sebenarnya, perbuatan itu kafir, menurut firman Allah berbunyi, "dan hendak buat perbezaan antara Allah dan Rasul-Rasul-Nya ..... Mereka itulah orang-orang tidak percaya (kafir) yang sebenarnya; dan Kami sediakan bagi orang-orang tidak percaya, azab yang hina." (4:150-151)

Nabi Muhammad tidak mengingkari ayat Allah, mahupun menambahnya dengan sedikit pun.

Dengan itu, berhati-hatilah apabila buat sesuatu keputusan dalam agama. Rujuklah al-Qur'an terlebih dahulu.

Sila rujuk artikel,

1. Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?

2. "Sekutu Allah dan al-Qur'an" bahagian 12 - Mengharamkan apa yang Allah tidak haramkan

dan E-Mail Berjalan Betul.

Balik ke senarai soalan


9saya ingin bertanya, kpd tuan apakah hukum bacaan talkin yang sering dilakukan oleh umat islam. walhal perhubungan antara manusia sudah terputus. adakah amalan ini patut diteruskan ataupun tidak. dan apakah tujuaannya...

Bacaan talkin adalah satu lagi contoh amalan yang diadakan dalam agama. Amalan itu membazir, dan Allah tidak suka orang-orang yang membazir. Lantas, ia haruslah tidak diteruskan.

Benar seperti kata saudara iaitu perhubungan antara manusia terputus setelah berlaku kematian. Lagipun, orang-orang yang mati tidak boleh mendengar. Maka apakah gunanya ajar orang mati seperti yang didapati dalam bacaan talkin? Nama si mati diseru dan dia diajar jawapan kepada soalan-soalan malaikat yang kononnya akan menyoal. Sebenarnya, sesi soal-jawab seperti itu tidak berlaku di dalam kubur.

Tetapi, "Oh, tidak!" kata sesetengah pihak yang menganjur bacaan talkin. Bacaan talkin itu, ujar mereka, adalah untuk orang yang hidup yang berada di situ. Pulak begitu!

(Sila rujuk Dongeng Alam Barzakh dan Kalimat membazir di dalam al-Qur'an. Terima kasih.)

Balik ke senarai soalan


10Minggu lepas saya ada kerja luar, tempatnya didaerah kuala trangganu. Ingin nak tahu pendapat sahabat, semasa imam membaca khutubah jumaat, si imam ini, percakapan dan khutubahnya khushuk mempelekeh orang orang yang tertentu. percakapannya terlalu kesat. Oleh itu saya dgn slambanya mengundur diri dan tidak bersolat.kerana saya was was pada imam itu. Kerana bagi pendapat saya imam itu sudah dibisik olih shaitan. Olih itu cara yang saya lakukan itu salah tak? Sekian trima kasihhh.

Menurut ayat berikut tindakan saudara itu tidak salah:

"Dan orang-orang yang ambil masjid dalam pertentangan, dan ketidakpercayaan, dan memecahkan orang-orang mukmin ... Janganlah berdiri di dalamnya selama-lamanya." (9:107-108)

Malah, jika tetap berada di dalam masjid seperti itu akan datangkan dosa yang berat kerana Allah melarangnya dengan berkata "Jangan ..."

Dengan buat demikian, imam tersebut kelihatan seperti sudah menafi dan memperolok-olokkan ayat Allah. Lantas, janganlah duduk bersamanya; kalau tidak saudara akan jadi seperti dia - seorang munafik dan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Renungkanlah ayat di bawah:

"Dia turunkan kepada kamu di dalam Kitab, 'Apabila kamu dengar ayat-ayat Allah dinafikan, dan diperolok-olokkan, janganlah duduk bersama mereka sehingga mereka terjun pada hadis (bicara) yang lain; jika tidak, kamu adalah serupa dengan mereka.' Allah akan kumpulkan orang-orang munafik, dan orang-orang tidak percaya, kesemuanya di dalam Jahanam." (4:140)

Balik ke senarai soalan


11Ada saorang hamba alllah berbangsa cina bertanya pada saya, ia bertanya pada saya bergini. Hallo man saya mau tanya sama u sikit. Kata saya apa mau tanya. kalau saya mau masok islam ini ##### kena potong ka! kata saya pada sicina itu tak perlu. Dgn itu sya kata pada nya u mau masok islam u misti percaya itu tuhan ada satu, u misti percaya apa yang ada di dalam dunia ini semua tuhan punya. Sicina bertanya pada saya, Itu macam ka! macam mana mau sembahyang. Kata saya u mau pergi belajar la. Man apaa pasal ada olaang cakap sama sayaa kalau mau masok islam misti mau cakap ini macaam punya (shahdat). Kata saya itu semua tak perlu.

Sahabat, apa yang ditanya sicina itu yang dijawap olih saya salah tak? Adakah nak masok agama islam kita perlu ucap TIADA LAIN YANG KU SEMBAH MELAINKAN ALLAH MUHAMAD ITU PESUROH ALLAH. Sekian drp saya salamu alaaikom.

Dari awal lagi di dalam al-Qur'an, Allah telah ajar ucapan "Engkau sahaja kami sembah, dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan," (surah Al-Fatihah, ayat 5). Itu ucapan permulaan (atau sumpah) keislaman seseorang kepada Allah selain daripada ayat-ayat lain dalam surah tersebut, iaitu yang pertama di dalam al-Qur'an. Surah itu turut menyebut "Tunjukkanlah kami jalan lurus" atau jalan untuk mengislamkan diri kepada-Nya. Dan jalan itu, tiada lain, adalah seperti yang diwahyukannya di dalam al-Qur'an. Ikutlah al-Qur'an untuk menjadi Islam. (Sila rujuk Syahadat tidak dirukunkan. Terima kasih)

Di dalam al-Qur'an tidak menyebut mengenai "potong" yang dimaksudkan itu, baik bagi lelaki mahupun perempuan. (Sila rujuk di sini, dan artikel Ajaran Islam daripada Bible).

Justeru, pada hemat kami, jawapan saudara itu tidak salah.

Sila rujuk juga:
Khatan dan AIDS

Balik ke senarai soalan


12Sahabat, Saya selalu tertanya tanya didalam hati saya, Sebelas tahun yang lalu hingga kehari ini, Bila adanya sesaorang yang sakit tenat atau separoh tenat seperti nyawa nyawa ikan mereka mereka ini masing masing membaca surah YASIN. Ada mengatakan kalau dibaca surah YASIN ini nanti ia akan sembuh, dan kata mereka lagi kalau dibaca ayat yasin ni dia rasa sejukkk. olih itu bertanyalah didalam hati saya> adakah ini yang diajar olih agama? oleh itu apakah pandangan Sahabat tentang hal yang saya penakan ini, dan juga bila sasaorang yang telah sampai hukumnya iaitu mati adakah perlu kita membaca al-quran pada simati sedangkan perhubungan ia dgn manusia sudah tiada lagi.

Tiada disebut di dalam agama yang berlandaskan al-Qur'an (sahaja) mengenai surah Yasin yang boleh menyembuhkan penyakit. Sekiranya berlaku maka ia adalah kebetulan sahaja. Atau, pengaruh kuasa minda sahaja. Orang-orang beragama lain pun ada yang percaya seperti itu. Dengan membaca ayat-ayat tertentu daripada kitab-kitab agama mereka pesakit akan sembuh, kata sesetengah mereka.

Membaca al-Qur'an kepada orang yang sedang nazak atau sudah mati adalah tidak berguna dan membazir sahaja. Malah, dua ayat daripada surah Yasin sendiri mengatakan bahawa Kitab itu adalah hanya bagi orang-orang yang sedang hidup. Ayat-ayat itu berbunyi,

"Ia hanyalah satu Peringatan, dan sebuah al-Qur'an yang jelas. Supaya dia beri amaran kepada sesiapa yang hidup," (36:69-70)

Keadaan orang yang sedang nazak berbeza. Ada yang aman dan ada yang sengsara. Bagi yang aman, iaitu yang beriman kepada Allah dan al-Qur'an, keadaannya adalah seperti berikut:

"Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, 'Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa kamu buat'" (16:32).

Bagi orang yang sengsara pula, keadaannya adalah sebagaimana digambarkan di dalam ayat di bawah:

"Jika kamu dapat lihat ketika para malaikat mematikan orang-orang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang mereka, 'Rasalah azab yang membakar,'" (8:50).

Kadang kala, keadaan-keadaan itu sukar dikesan oleh orang-orang yang melihat kerana daripada cerita-cerita kenalan yang bukan Islam, penulis difahamkan bahawa saudara mara mereka pun ada yang meninggal dunia dalam keadaan aman. Yang tahu hanyalah si mati sahaja (selain Allah dan sesetengah malaikat). Malangnya pula, dia tidak dapat ceritakan keadaan matinya kepada orang lain sebab, seperti yang saudara katakan, perhubungan dia dengan orang lain sudah terputus.

Balik ke senarai soalan