Mungkinkah Nabi telah ajar
sesuatu
yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Cawangan Penyelidikan Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS, yang kini jadi JAKIM) telah menerbitkan sebuah buku kecil untuk mendedahkan kepercayaan sekumpulan Islam yang berpegang pada al-Qur'an yang wujud di negara yang tercinta ini. Pegangan pada al-Qur'an itu didapatinya tidak secucuk dengan pegangan mereka, lantas dilabelnya anti hadith. Buku itu berjudul "Penjelasan Terhadap Fahaman Anti Hadith" dan bertarikh tahun 1995.
Menurut Menterinya, di dalam Kata Alu-Aluan, buku itu diterbitkan "untuk beri penjelasan kepada seluruh masyarakat awam tentang aspek-aspek dasar penyelewengan yang dilakukan oleh kumpulan anti hadith." Beliau selanjutnya menyatakan bahawa umat Islam di negara ini tidak ada pilihan dalam agama, selain daripada berpegang pada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), iaitu salah satu daripada kumpulan agama di dalam dunia Islam hari ini. Nama rasminya muncul setelah kian lama Nabi terakhir wafat.
Justeru, apa yang dikatakan penyelewengan di dalam buku kecil ini adalah hanya menurut pendapat ASWJ, yang di dalamnya sendiri berpecah kepada PAS, Arqam, Qadiani, Tabliq, dan berbilang kumpulan kecil yang lain.
Sudah tentunya tuduhan-tuduhan penyelewengan tersebut dijawab (dengan ayat-ayat al-Qur'an); tetapi di sini hanya yang dituju khas kepada penulis Bacaan sahaja dijawab. Dengan hujah balas ini, suatu aktiviti minda seperti sebuah debat harap dapat dirangsangkan. Debat ini pula adalah halal di sisi Allah, terutamanya dalam usaha untuk menegakkan kebenaran, seperti bunyi firman-Nya, "Serulah ke jalan Pemelihara (Tuhan) kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik," (16:125).
Untuk sebutan pertama dalam hujah balas di sini ialah syahadah. Penulis Bacaan (buku terjemahan al-Qur'an) telah dituduh menyeleweng, dari sudut aqidah ASWJ, kerana menolak Dua Kalimah Syahadahnya (muka 10, buku kecil BAHEIS tersebut). Ayat di muka surat yang berikutnya pula berbunyi,"Akhbar Utusan Malaysia 14 Julai, 1995, kenyataan Othman Ali: 'Selain itu, tambahnya, al-Quran turut menyebut bahawa syahadat itu tiada Tuhan Melainkan Allah sedangkan ulama mengajarkan kepada kita bahawa syahadat itu termasuklah juga bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.'"
Petikan daripada akhbar tersebut tidak begitu tepat disalin oleh Cawangan Penyelidikan Islam BAHEIS (JAKIM). Namun itu bukanlah sebab ia disebut di sini. Ia disebut kerana penulis telah dilaporkan berkata bahawa syahadah “Tiada Tuhan Melainkan Allah” datang daripada al-Qur'an.
Syahadah tersebut dikaitkan dengan penulis kerana ketika wartawan menyoal mengenainya dia tidak beri apa-apa kenyataan, takut-takut pendapatnya yang berbeza akan disalahtafsirkan sebagai kekalutan fahaman anti hadis - seperti sebuah karangan yang lain oleh wartawan tersebut. Pembisuan penulis disangka sebagai suatu persetujuan dengan syahadah tersebut.
Itu sebenarnya syahadah yang difahamkan oleh salah seorang daripada kenalan penulis, seorang yang dikatakan anti hadis juga, yang turut dikecam pada masa itu. Wartawan Utusan berkenaan telah mengenalinya terlebih dahulu daripada penulis Bacaan. Disangkanya juga itulah syahadah amalan semua yang ikut Qur'an.
Sebaiknya pula, syahadah kenalan penulis Bacaan itu tidak dipolemikkan kerana amalan syahadah itu sendiri sebenarnya tidak disuruh Allah. Tidak ada ayat yang menyuruh umat bersyahadah (menyaksikan) untuk menjadi Islam, dan tidak juga dijanjikan di dalam al-Qur'an bahawa sesiapa melafaznya akan masuk syurga. Syurga tidak boleh dibeli dengan hanya satu ayat. Ia tidak semurah itu.
Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Sekiranya syahadah itu paling utama dalam agama-Nya, tentu Dia telah menyuratkannya dengan jelas, seperti jelasnya suruhan untuk melakukan solat, puasa, haji, dan zakat. Dia pula amat terperinci dalam suruhan dan larangan-Nya; misalnya, arahan dalam pembahagian harta pesaka, yang ada disuruh-Nya dipecahkan hingga kepada bahagian satu per lapan! Atau, arahan agar penzina disebat sebanyak seratus kali, atau arahan agar anak-anak mengetuk pintu bilik tidur ibu bapa mereka pada tiga waktu sehari sebelum mereka masuk ke dalamnya! Semuanya jelas di dalam Kitab Allah yang bernama al-Qur'an.
Tidak mungkin Allah telah tertinggal sesuatu yang amat penting di dalamnya, iaitu sebuah Kitab petunjuk yang diterangkan-Nya cukup jelas!
Syahadah dianggap oleh ASWJ sebagai satu pengakuan (muka 13). Sekiranya begitu, maka untuk mengaku islam kepada Tuhan, umat telah menyebutnya ketika mereka mula-mula membaca al-Qur'an, di halaman pertama, iaitu ayat al-Fatihah yang berbunyi, "Iyyaaka na'budu", atau, "Engkau sahaja kami sembah" (1:5). Inilah pengakuan yang pertama dan utama yang tersurat di dalam al-Qur'an. (Adalah lebih selamat bagi kita untuk ikut apa yang ditulis-Nya.)
Namun begitu, tidak sekali-kali dikatakan syahadah "Tiada Tuhan Melainkan Allah" (Laa illaha illa -llah) itu salah, atau murtad (seperti kata agama ASWJ) kerana ia adalah kalimah suci daripada Allah. Begitu juga pada ayat-ayat suci al-Qur'an yang lain, yang diguna untuk menggantikan syahadah ASWJ yang aqidahnya hendakkan sangat akan syahadah. Yang pasti ialah, tidak ada arahan untuk bersyahadah, dan kalimah syahadah ASWJ ("Ashadu alla illaha illa -llah ...") itu pula adalah kalimah di luar al-Qur'an - atau sebuah kalimah yang tidak Qur'anik.
Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Kes syahadah berkait pula dengan solat, yang merupakan satu lagi perkara yang menyinggung perasaan. Lantaran, di muka 11 buku BAHEIS itu dirakamkan kenyataan akhbar penulis yang berikutnya iaitu "Bukan sahaja syahadat kita salah, malah ia juga mengakibatkan sembahyang kita salah kerana menyebut nama Nabi semasa tahiyat awal dan akhir." Di sini kasih kepada Nabi cuba ditonjolkan oleh BAHEIS yang mungkin beranggapan penulis tidak kasihkan Nabi. Kasih ini adalah sesuatu yang amat besar dalam agama ASWJ.
Kenyataan penulis sebenarnya tidak berakhir di situ. Ia, menurut akhbar, disambung dengan ayat yang berbunyi, "Selain itu, ulama juga menambahkannya dengan nama Nabi Ibrahim." Tanpa menyebut ayat ini, tuduhan atau fitnah tidak kasihkan Nabi Muhammad kelihatan sangat meyakinkan.
Tidak juga disalin sebabnya, yang telah ditulis dengan jelas dalam perenggan yang menyusulinya, di akhbar tersebut, berbunyi, "Ini bercanggah dengan al-Quran yang menyebut kita hanya boleh menyebut nama Allah sahaja semasa sembahyang." Peringatan penulis tentang larangan Allah ini disembunyikan, tidak dipedulikan. Siapalah dia!
Seterusnya, penulis Bacaan dituduh menyelewengkan pensyariatan solat, atau sembahyang (muka 37). Penyelewengan yang dimaksudkan di sini ialah pada bilangan solat sehari semalam, bilangan rakaat, dan penggunaan bahasa dalam solat.
Kenyataan penulis mengenai solat tiga waktu sehari semalam diiringi ayat Allah yang berbunyi, "Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam." (11:114). Amalan tiga solat ini dibenarkan lagi dengan tersebutnya tiga (sahaja) nama solat di dalam al-Qur'an, iaitu solat wusta, solat fajar, dan solat isyak.
Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Selanjutnya, janganlah dikatakan keterlaluan sekiranya ada pendapat yang mengatakan bahawa dua solat tambahan (zuhur dan asar) itu menimbulkan kerumitan dan kerugian pada sesetengah umat. Ini ialah kerana waktu siang dipenuhi urusan-urusan kehidupan (seperti pentabiran, perniagaan, perkhidmatan, atau pembelajaran) menurut sunnah Allah di dalam al-Qur'an.
Sebagai contoh, anak-anak kita yang bersekolah pada sesi petang yang melakukan kedua-dua solat ini; mereka kerugian dalam masa yang diwajibkan untuk belajar. Rungutan guru-guru mengenai murid-murid yang masuk lewat ke kelas (kerana sembahyang) sering kedengaran.
Namun, ada pula yang mengatakan hanya lima minit sahaja yang diperlukan untuk solat, seperti kata seorang tokoh dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang berbunyi, "... dan setiap kali sembahyang hanya lima minit dan ibadahnya cukup mudah. Boleh dibuat meskipun di dalam bilik pejabat." (Wawancara, Mingguan Malaysia, Ahad 14 Januari 1996).
Pendapatnya didapati tidak memikirkan tentang proses berjalan ke tempat wuduk, menanggalkan kasut dan stoking, atau menghilangkan kotoran seperti minyak, lumpur, darah, atau cat, kemudian berwuduk, berdoa, bersikat rambut, berjalan ke tempat sembahyang, dan akhirnya bersembahyang. Selepas sembahyang, berdoa, memakai kasut, dan berjalan balik menuju ke tempat kerja untuk menyambung semula kerja. Ini semua tidak mungkin dapat disempurnakan dalam tempoh lima minit, melainkan seseorang itu bekerja di sebuah bilik berhawa dingin, berkarpet, dan tandasnya dikembarkan sekali seperti di bilik kerja ketua pengarah IKIM tersebut. Tentu Allah tidak berlaku zalim, dengan merumitkan hamba-hamba-Nya yang mencari rezeki sebagai mekanik, petani, nelayan, pengecat, dan yang lain yang turut bertungkus lumus. Tidakkah agama itu dikatakan-Nya tidak menyusahkan?
Cara mendirikan solat seperti yang dilakukan oleh ASWJ memang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Sebaliknya, di dalamnya didapati solat itu bersifat fleksibel. Sebagai contoh, al-Qur'an tidak tetapkan bilangan rakaat bagi sesuatu solat, lalu bilangannya terpulang kepada keperluan dan keikhlasan umat untuk memendekkan, atau memanjangkan solatnya.
Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Kefleksibelan dalam agama juga terdapat pada penggunaan bahasa untuk menjadi Islam. Allah sendiri telah menggunakan pelbagai bahasa, dan Rasul-Rasul-Nya bertutur dalam bahasa kaumnya. Bahasa Arab pula dimudahkan agar semua memahami-Nya pada hari ini.
Kewujudan pelbagai bahasa adalah satu daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Semua bahasa suci, sekiranya mahu dikatakan suci, kerana kesemuanya adalah ciptaan-Nya. Semuanya dikatakan indah, sekiranya difahami, dan semuanya pula mampu difahami, terutamanya pada hari ini, kerana adanya banyak kemudahan untuknya.
Seperti itulah juga dengan penggunaan bahasa dalam solat, iaitu suatu saluran dalam komunikasi antara hamba dengan Tuhannya yang bersifat amat peribadi. Allah pula tidak tetapkan di dalam al-Qur'an bahawa hanya sesuatu bahasa sahaja yang layak diucapkan kepada-Nya.
Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Maka bahasa bukanlah suatu tuntutan. Yang wajar bagi umat ialah memahami apa yang diucapnya dalam solat, supaya tidak disamaertikan dengan orang-orang dalam keadaan mabuk. Peringatan ini tersirat di dalam salah satu arahan-Nya, yang jelas, mengenai solat berbunyi, "...janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk, sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan." (4:43)
Al-Qur'an banyak menyebut mengenai solat. Sekiranya dihuraikan, maka karangan mengenai solat seperti yang terdapat di dalam al-Qur'an akan memuati belasan muka surat seperti ini. Sebaliknya pula, ia adalah satu kesilapan besar sekiranya ada orang berkata, "Di dalam al-Quran tidak disebut mengenai cara mendirikan sembahyang", seperti yang tertulis di muka 38 buku BAHEIS itu.
Penulis Bacaan akhirnya dituduh memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Qur'an (muka 17). Tuduhan ini juga amat berat. Lantas, seperti kata pepatah, kata berjawab, gayung bersambut!
Bacaan beri terjemahan kepada al-Qur'an menurut makna-makna sebenar seperti yang diertikan di dalam kamus atau lexicon. Ia bukan pendapat penulis, yang merupakan seorang lagi penterjemah al-Qur'an, di dunia ini, yang tidak dirahmati dengan penguasaan bahasa Arab yang tinggi.
Terjemahan tidak seperti tafsir. Tafsir adalah pendapat orang, bukan wahyu Allah. Ilmu tafsir ASWJ seperti yang didapati di dalam kitab "Tafsir Pimpinan Ar-Rahman ..." (dari BAHEIS juga) telah pun dikupas di dalam sebuah artikel penulis yang terdahulu. Di situ didedahkan beberapa contoh kebengkokannya, termasuk tafsir yang melahirkan amalan-amalan yang tidak seharusnya dibuat oleh orang-orang Islam.
Kebengkokannya juga terdapat di dalam buku kecil BAHEIS ini, yang memuatkan beberapa tafsiran ayat al-Qur'an untuk mengiakan beberapa amalan ASWJ. Misalnya, di muka 40, tertulis tafsiran dua ayat, iaitu Surah al-Israa': 78, dan Surah al-Baqarah: 238, bertujuan untuk membenarkan sembahyang zuhur, sembahyang subuh, dan sembahyang asar, yang nama-namanya tidak disebut langsung di dalam al-Qur'an, seperti nama ASWJ itu sendiri.
Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?
Selanjutnya, di muka 59, disenaraikan beberapa "kesilapan" terjemahan Bacaan kepada beberapa nama surah. Antara yang menarik ialah terjemahan kepada nama surah "al-Kahfi", atau "The Cave", yang Bacaan terjemahkan kepada "Gua".
Terjemahan ini dibetulkannya kepada "Gua Kahfi" (atau makna sebenarnya ialah "Gua Gua" !!). Redundancy di sini menyerupai lebihan pada sebutan awam, seperti "malam lailati -lqadar", di mana "lail" bererti "malam", dan "qadar", bererti "berkuasa". Lantaran sebutan awam itu sebenarnya bererti "malam malam berkuasa"! Lebihan orang biasa ialah pada kata "malam malam", sementara yang pakarnya pula pada "Gua Gua"! Mungkin amalan serupa ini sudah jadi budaya kerana dalam bahasa Melayu pasar terdapat redundancy seperti Gua Gua itu, pada ungkapan yang sering kedengaran seperti "pintu gate", atau, "cuba try". Ini dipakai setelah orang Melayu pandai bahasa Inggeris.
Terasa ralat apabila Cawangan Penyelidikan Islam BAHEIS, yang menulis buku itu, tidak menyebut ayat-ayat al-Qur'an mengenai peranan Rasul yang sebenar yang dijumpainya (sekiranya dijumpai) semasa mereka buat penyelidikan Islamnya. Misalnya, ayat-ayat yang berbunyi, "Ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas (al-Qur'an)," (5:92 dan 24:54).
Atau, ayat-ayat lain yang juga mampu untuk menjawab soalan pokok yang disebut-sebut di sini (Mungkinkah Nabi telah ajar sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?). Ayat-ayat ini harus disematkan juga pada aqidah orang Islam, agar Allah disembah satu-satunya, agar Tuhan dikasih satu-satunya.
Misalnya, ayat-ayat yang berbunyi "Satu penurunan (Qur'an) daripada Pemelihara semua alam. Sekiranya dia (Muhammad) mengadakan terhadap Kami sebarang ucapan (hadis?), tentu Kami ambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami potong urat jantungnya, dan tiadalah sesiapa daripada kamu yang dapat menghalangi dia (daripada hukuman itu). Sesungguhnya ia (Qur'an) adalah Peringatan (Zikir) bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan)." (69:43-48) (Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah tambahan daripada penulis untuk menjelaskan maksud.)
Nabi tidak mungkin menyuruh umat kepada yang lain, yang selain daripada al-Qur'an, setelah difahaminya betul-betul mesej pada ayat-ayat tersebut. Nabi Muhammad telah ikut al-Qur’an. Mengapa pula "umat Muhammad" ikut yang selain daripada al-Qur'an?
Penulis Bacaan
1 Syawal 1416 (1996)
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman