Khatan dan AIDS
 

TheStar, Thursday 28 July 2005, page 41

Khatan bagi lelaki, dengan nyata, dapat mengurangkan kemungkinan penjangkitan virus AIDS daripada perempuan kepada lelaki, menurut satu kajian baru iaitu dijalankan oleh para penyelidik berbangsa Perancis yang diumumkan pada hari Selasa (26.7.2005).

Kajian tersebut, yang dijalankan di Afrika Selatan, dapati bahawa khatan mengurangkan risiko lelaki daripada dapat AIDS dalam perhubungan jenis heteroseksual dengan kira-kira 65 peratus.

Demikianlah difahamkan daripada dua perenggan pertama laporan akhbar di sebelah.

Hasil kajian tersebut telah buat sesetengah orang Islam berasa gembira dan menggunakannya pula untuk menundukkan kepercayaan orang-orang lain yang agama mereka tidak mensyariatkan amalan khatan ke atas lelaki.

Kajian adalah ke atas jangkitan HIV daripada perempuan kepada lelaki dalam perhubungan jenis heteroseksual. Dengan sedikit pengecualian, perempuan-perempuan yang dijangkiti HIV adalah mereka yang tidak menjaga maruah mereka atau yang terlibat dengan dadah. 

Pengecualian yang dimaksudkan adalah  perempuan-perempuan yang menjaga maruah mereka, yang dijangkiti virus tersebut melalui suami mereka atau cara lain dengan tidak sengaja. Bilangan mereka dipercayai amat kecil.

Pun begitu, untuk mengadakan perhubungan jenis dengan mereka, risiko ke atas suami yang berkhatan tetap ada, iaitu kira-kira 35 peratus, yang agak tinggi. Peratus tersebut adalah sama jika dilakukan dengan golongan lain yang perhubungan tidak diizinkan Allah.

Kami percaya kajian itu tentu tidak cuba menggalakkan lelaki yang berkhatan untuk melakukan perhubungan jenis heteroseksual sama ada yang diizinkan Allah atau sebaliknya.

Tambahan pula, ia tidak muktamad, kerana menurut laporan akhbar yang disertakan, berjudul "Dapatan yang mengejutkan dalam kajian AIDS", di perengan ke-4 lajur kedua, sekurang-kurangnya tiga lagi kajian sedang dijalankan untuk memastikan keberkesanan berkhatan dalam perhubungan jenis tersebut.

Selanjutnya, didapati bahawa Allah tidak menyuruh supaya berkhatan, baik bagi lelaki mahupun perempuan. Amalan tersebut tidak disebut di dalam al-Qur'an. Sekiranya terdapat orang-orang yang ingin lakukannya juga maka mereka harus lakukannya tanpa mengguna nama Islam.

Oleh kerana ia tidak disuruh maka tidak ada keistimewaan padanya. Jangan pula lelaki yang berkhatan, lagi yang suka berzina dengan perempuan yang menjual kehormatan mereka, atau yang dijangkiti HIV, mengatakannya ia baik, kerana risikonya tetap ada.

Walaupun amalan berkhatan seperti yang lazim dibuat tidak disebut di dalam al-Qur'an, namun perkataan khatan, atau dengan tepat, tidak dikhatan ada tersurat. Ia disebut di dalam dua ayat berikut:

"Dan mereka berkata, 'Hati kami tidak dikhatan.' Tidak, tetapi Allah laknati mereka kerana ketidakpercayaan mereka; sedikit mereka yang percayai." (2:88) dan,

"Maka kerana pemecahan perjanjian mereka, dan ketidakpercayaan mereka kepada ayat-ayat Allah, dan pembunuhan mereka pada Nabi-Nabi tanpa patut, dan kerana ucapan mereka, 'Hati kami tidak dikhatan'; tidak, tetapi Allah telah tutup mereka kerana ketidakpercayaan mereka, lalu mereka tidak percayai, kecuali sedikit." (4:155)

Seperti yang dapat dilihat pada ayat-ayat Allah di atas, khatan dilakukan pada hati. Namun, ia tidak bermaksud bahawa hati manusia, atau sebahagian daripadanya, harus dikerat.

Pada hemat kami, ungkapan berbunyi "Hati kami tidak dikhatan" itu bermaksud hati mereka tidak disucikan kerana tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.

Frasa tidak dikhatan di dalam ayat-ayat al-Qur'an tadi diterjemah daripada kalimat ghulf, iaitu jamak bagi aghlaf.

Sebab manusia berkhatan adalah untuk bersuci. Kesucian kedua-dua bahagian sulit yang diguna dalam perhubungan jenis heteroseksual disucikan tanpa pembedahan, atau mengerat sebahagian daripadanya, kerana mereka sudah dicipta Allah dengan sempurna.

Penyucian mereka pula boleh dilakukan dengan senang seperti yang diajar kepada kanak-kanak dalam pendidikan kesihatan, yang turut ajar cara-cara menyuci dan menjaga kesihatan gigi, telinga, rambut dan bahagian-bahagian anggota badan lain.

Mereka juga diajar mengenai AIDS. Pendekatannya yang wajar harus termasuk nilai takut akan Tuhan supaya zina dapat dijauhi, dan hidup dengan sihat tanpa dadah. Kerana AIDS, pada pendapat kami, adalah suatu azab daripada kemurkaan-Nya. Kadangkala azab seperti itu menimpa orang-orang yang tidak berdosa pula.
 

1 Ogos 2005


Keratan Akhbar
Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar 
English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman