250,000 Murtad di Malaysia

 

Terima kasih kepada saudara A. Aziz yang mengirim berita di bawah. Berita dipercayai dipetik daripada Harakah online.

 

Mufti Perak dakwa 250,000 murtad di negara ini?

Tue | Feb 14, 06 | 06:15:44 PM
Oleh Ekmal Yusof

IPOH, 14 Feb (Hrkh) - Mufti Besar Negeri Perak, Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria beritahu kini terdapat hampir 250,000 umat Islam yang murtad di negara ini.

Bilangan tersebut termasuklah kira-kira 100,000 orang-orang Islam Melayu yang telah mengistiharkan diri mereka masuk Kristian.

Mufti Perak itu menyatakan demikian dalam Forum Perdana 'Pekerti Islam' di Kedah baru-baru ini yang disiarkan pada siri ceramah agama RTM di sini pada jam 2 petang tadi.

Manakala, katanya, 100,000 orang lagi sedang buat permohonan menunggu untuk murtad. Selebihnya, tegas beliau, termasuk mereka yang memohon untuk menukarkan nama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain.

"Ini tidak termasuk lagi individu-individu yang langsung tidak bersolat, tidak berpuasa dan menentang semua hukum Islam," katanya.

Menurut Mufti Perak, beliau juga menerima sepucuk surat dari Persatuan Mubaligh Kristian Amerika yang menuduh Pejabat Agama Islam di sini bersifat zalim kerana tidak benarkan 30,000 orang Islam Melayu untuk masuk Kristian.

Surat itu juga meminta Pejabat agama Islam supaya jangan mengganggu kerja-kerja seorang mubaligh di negara ini yang dikenali dengan nama 'ustaz' yang cuba mempengaruhi para remaja liar untuk murtad.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya jangan sekali-kali terikut dan percaya kepada satu hukum rekaan baru yang pasti sesatkan.

Pertama, katanya, ada orang sekarang menyuruh sembahyang hanya dua rakaat saja untuk mengikut cara Nabi Ibrahim a.s. Dan kini sudah ada pihak menyatakan mengucap menyebut dengan Nabi Muhammad s.a.w. seperti biasa dibuat itu, kata mereka adalah 'salah'.


Komen penulis:

Kalau berita itu benar, maka lebih daripada 250,000 orang Islam (ASWJ) yang dapati agama mereka tidak betul. Lalu mereka keluar untuk menganut agama atau kepercayaan lain. Angka yang besar itu disyaki akan meningkat lagi pada masa akan datang.

Mungkin tidak terlanjur mencadangkan agar pihak tertentu menilai semula pegangan mereka, dan membetulkan mana yang silap, serta berani beritahu orang ramai tentang kesilapan itu, supaya exodus akan datang dapat dielakkan. Dan mereka yang sudah keluar dapat kembali ke pangkal jalan.

Pangkal jalan adalah tiada lain melainkan jalan lurus yang termaktub di dalam Kitab al-Qur'an.

Kerana keadaan jadi semakin mencabar bagi Islam maka sudah tiba masanya untuk hati orang-orang yang mengaku beriman ditundukkan sepenuhnya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, dan hapuskan sikap tidak mempedulikan perintah-Nya. Sekali gus tidak jadi seperti orang-orang yang telah diberi al-Kitab sebelum al-Qur'an diturunkan.

Pesanan tersebut, yang jadi penutup di sini, diceduk daripada firman Tuhan berbunyi,

"Tidakkah ia masanya untuk hati orang-orang yang percaya ditundukkan kepada Peringatan Allah, dan yang Benar, yang Dia turunkan, dan mereka tidak jadi seperti orang-orang yang telah diberi al-Kitab sebelumnya, dan tempohnya dirasakan terlalu panjang kepada mereka, lalu hati mereka jadi keras, dan  kebanyakan mereka orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)?" (57:16)


17 Feb 2006

Sila rujuk:
- 250,000 murtad di Malaysia - Respon
- Respon Kepada 250,000 Murtad
- 250,000 murtad & Masjid Dibedal & Kecewa

Keratan Akhbar
Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar 
English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman