Respon Kepada 250,000 Murtad
oleh
Azahidi
Mengandaikan berita yang disiarkan oleh Harakah, satu penerbitan oleh satu kumpulan yang kononnya memperjuangkan Islam, itu betul maka mengikut fahaman kumpulan tersebut, seramai 250,000 orang akan di hukum bunuh sekiranya tidak kembali kepada Islam cara mereka termasuklah percaya kepada hadith yang menyatakan bahawa hukuman kepada murtad ialah bunuh.
Banyak yang telah buat analisa dalam berbagai website termasuk e-bacaan berkenaan tentang isu tersebut. Tidak kurang juga usaha yang sedang dibuat oleh NGO yang ‘berlandaskan Islam’ untuk menekan kerajaan supaya ambil tindakan yang lebih tegas dalam isu tersebut.
Quran telah menyatakan bahawa majoriti manusia termasuk dalam golongan yang tidak percaya.
Walaupun kamu sangat inginkan, tetapi kebanyakan manusia tidak mukmin (percayai) (12:103).
Apa yang Quran kata adalah jelas, benar dan tepat pada bila-bila masa sehingga kiamat. Kalau kita percaya sepenuhnya kepada ayat 12:103 yang disebut di atas, maka sehingga kiamat majoriti manusia akan terdiri daripada golongan yang tidak percaya. Ianya termasuklah 250,000 yang telah (kononnya) murtad dan selainnya yang tidak percaya sepenuhnya kepada Quran termasuklah ahli-ahli kumpulan yang kononya memperjuangkan Islam tapi tidak percaya sepenuhnya daripada Quran.
Berkenaan murtad, Quran telah menyatakan dengan mudah dan jelas bahawa tiada paksaan dalam ugama.
Tidak ada paksaan dalam agama. Yang benar telah jelas daripada yang salah. Maka sesiapa yang tidak percaya kepada Thagut, dan percayai Allah, dia berpegang pada pemegang yang paling kukuh, yang tidak akan putus; Allah Mendengar, Mengetahui. (92:256)
Siapa yang nak percaya kepada Allah, percayalah. Inilah yang Allah suruh. Siapa yang nak percaya kepada Thagut atau rekaan manusia atau selainnya, percayalah. Allah tidak rugi sedikit pun. Allah tahu dan Allah sediakan balasan yang setimpal di akhirat nanti.
Sebelumnya, sebagai petunjuk bagi manusia, dan Dia turunkan Pembeza. Sesungguhnya orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, bagi mereka azab yang keras; dan Allah Perkasa, Pendendam. (3:4)
Quran juga beri contoh tentang orang-orang yang bertukar keprcayaan beberapa kali. Allah tidak akan ampun dan tidak akan beri petunjuk hanya sekiranya mereka akhirnya bertambah tidak percaya.
Orang-orang yang percaya, kemudian tidak percaya, kemudian percaya, kemudian tidak percaya, kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan (kekafiran), Allah tidak akan ampun mereka, dan tidak juga beri petunjuk kepada mereka pada sebarang jalan. (4:137)
Adakah mereka yang percaya sepenuhnya kepada Allah akan kerugian dengan adanya mereka yang murtad? Bagi mereka yang percaya tidak rugi sesuatu pun. Quran sebagai panduan akan sentiasa kekal sehingga kiamat kerana Allah janjikan demikian.
Kamilah yang turunkan Peringatan, dan Kamilah yang menjaganya. (15:9)
Walau pun demikian akan masih terdapat mereka yang tidak percaya, sebagaimana dijelaskan oleh ayat 12:103 tersebut di atas.
Jadi bagaimana pula pendekatan kita? Patutkah kita berasa sedih dan tersentak kepada suasana 250,000 orang murtad? Perasaan dan emosi adalah semulajadi manusia sebagaimana juga perasaan gembira, takut, keliru, dan lainnya. Walau pun apa perasaan kita, kita mesti teruskan arahan Allah untuk berusaha menjaga keluarga kita dari ketidakpercayaan.
Wahai orang-orang yang percaya, lindungilah diri-diri kamu dan keluarga kamu daripada Api yang bahan bakarnya manusia dan batu, dan di atasnya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak mengingkari Allah pada apa yang Dia perintahkan mereka, dan buat apa yang mereka diperintah. (66:6)
Kita hanya boleh berusaha. Jelas Allah menyatakan dalam ayat berikut bahawa kita tidak mampu mengubah manusia kepada kepercayaan.
Katakanlah, "Aku tidak ada kuasa untuk manfaatkan diriku atau mudaratkan, kecuali seperti yang Allah hendaki. Sekiranya aku tahu yang ghaib, tentu aku ambil banyak kebaikan, dan keburukan tidak akan sentuh aku. Aku hanyalah seorang pemberi amaran dan pembawa berita gembira bagi kaum yang percayai." (7:188)
Nabi Muhammad tidak boleh mengubah kepercayaan bapa sudaranya. Nabi Nuh tidak boleh mengubah kepercayaan anaknya sendiri. Nabi Ibrahim tidak boleh mengubah kepercayaan bapanya sendiri.
Maka, jika mereka berpaling, bagi kamu hanyalah untuk sampaikan yang jelas. (16:82)
Akhir kata kita mesti ingat bahawa majoriti manusia adalah yang tidak percaya sepenuhya kepada Allah dan tidak mempedulikan Quran.
Rasul berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)
6 Mac 2006
Sila
rujuk:
250,000 Murtad
di Malaysia
250,000 murtad &
Masjid Dibedal & Kecewa
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman