Setelah senang dan susah
The Star, Isnin 16 September 2002, muka 8 / Section 2
Guru menyanyi lagu The Beatles berjudul Yesterday sebagai set induksi untuk menarik minat dan tumpuan murid-murid kepada pengajarannya bagi tajuk past tense atau kala lampau dalam pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Seni kata lagu tersebut berbunyi "Yesterday, all my troubles seemed so far away ..." atau "Semalam, semua kesusahanku tampak jauh sekali ..." Murid-murid kelihatan terpegun dengan mulut ternganga.
Semalam senang, hari ini susah. Hari ini susah, esok senang. Senang dan susah silih berganti. Itu lumrah alam, kata orang. Namun, ia berlaku dengan sebab.
Rezeki
Seperti itulah jua dengan rezeki. Rezeki manusia ada yang diluaskan-Nya dan ada yang disempitkan. Bagi yang rezekinya diluaskan, mereka hidup dengan senang. Dan sebaliknya. Mereka yang diluaskan rezeki dapati urusan untuk mendapatkannya mudah dan bagi yang disempitkan, urusannya sukar. Urusan yang sukar boleh bertukar jadi mudah dengan nafkahkan daripada apa diberiAllah pada masa susah. Firman-Nya,
"Hendaklah orang empunya keluasan nafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia nafkahkan daripada apa yang Allah beri kepadanya. Allah tidak bebankan sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia beri kepadanya. Sungguh, Allah akan buatkan, setelah kesukaran, yang mudah." (65:7)
(Sila rujuk Kalimat nafkah di dalam al-Qur'an)
Semasa senang harus beringat dengan menyimpan untuk hari esok yang mungkin jadi susah. Iktibar al-Qur'an mengenainya, dalam cerita Nabi Yusuf, harus dijadikan peringatan, berbunyi,
"Berkata (Nabi Yusuf), 'Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan. Kemudian sesudah itu, datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu sediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan. Kemudian sesudah itu, datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya mereka memerah.'" (12:47-49)
Tujuh tahun senang dan tujuh tahun susah. Sesudah susah, Allah beri pertolongan lalu berubahlah keadaan manusia.
Perubahan sikap
Sikap manusia berubah apabila keadaan berubah. Ada yang berputus asa, dan tidak berterima kasih, setelah pengasihan yang diterima daripada Allah ditarik balik oleh-Nya. Mereka, sebaliknya pula, rasa sangat gembira serta sangat berbangga diri apabila dikurniakan kemakmuran setelah ditimpa kesusahan. Firman-Nya,
"Dan jika Kami merasakan kepada seseorang manusia dengan pengasihan daripada Kami, dan kemudian Kami merampasnya daripada dia, dia berputus asa, tidak berterima kasih (kafir). Tetapi jika Kami rasakannya kemakmuran setelah kesusahan menyentuhnya, dia akan berkata, 'Keburukan telah pergi daripadaku'; tiba-tiba dia sangat gembira dan banggakan diri." (11:9-10)
Sikap berputus asa, tidak berterima kasih kepada Allah, sangat gembira dan sangat membanggakan diri tidak disukai-Nya.
Menyentuh sedikit mengenai sikap berputus asa. Sikap ini dikatakan-Nya terdapat pada orang-orang tidak percaya atau kafir kepada Allah (12:87), dan pada orang-orang yang sesat dari jalan-Nya (15:56). Maka janganlah berputus asa daripada kesenangan atau pengasihan Allah.
Setelah susah, Allah rasakan pengasihan-Nya. Namun, antara orang-orang yang menerimanya terdapat pula yang buat tipu daya terhadap ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Apabila Kami merasakan kepada manusia pengasihan, setelah kesusahan sentuh mereka, tiba-tiba mereka ada suatu tipu daya terhadap ayat-ayat Kami." (10:21)
Nampaknya, sesetengah manusia tidak patut diberi kesenangan hidup setelah mengalami kesusahan - ada saja tipu daya mereka!
Doa
Manusia tidak jadi penat untuk berdoa. Mereka berdoa untuk kebaikan, tetapi akan jadi jemu serta berputus asa apabila kejahatan pula yang datang.
Ada juga yang mengatakan iaitu pengasihan daripada Allah yang diterima, setelah kesusahan menimpa mereka, adalah hak mereka semata-mata.
Manakala yang lain, apabila disentuh kejahatan, mempunyai seruan (doa) yang tidak putus-putus. Sebelum itu, semasa senang kerana rahmat daripada Allah, mereka berpaling dan jauhkan diri.
Ayat-ayat berikut menjelaskan sikap-sikap manusia tersebut:
"Manusia tidak jadi letih menyeru (doa) untuk kebaikan; tetapi apabila kejahatan sentuh dia, maka jemulah dia, berputus asa. Dan jika Kami merasakan kepada dia pengasihan daripada Kami, sesudah kesusahan yang menyentuhnya, tentu dia berkata, 'Ini kepunyaanku ......' Dan apabila Kami rahmati manusia, dia berpaling, dan jauhkan diri ke tepi; tetapi apabila kejahatan menyentuhnya, dia mempunyai seruan (doa) yang tidak putus-putus." (41:49-51)
Haruslah diingat bahawa apa sahaja yang baik yang menimpa seseorang adalah daripada Allah, dan apa sahaja yang jahat atau buruk yang menimpanya adalah daripada dirinya sendiri. Firman-Nya,
"Apa sahaja yang baik timpa kamu, ia adalah daripada Allah; apa sahaja yang buruk timpa kamu adalah daripada diri kamu sendiri." (4:79)
Justeru, keburukan yang menimpa ke atas diri seseorang adalah bukan takdir atau ditentukan oleh Allah. Ia adalah kerana usaha orang itu sendiri.
mudarat
Selain daripada kesusahan, kejahatan atau keburukan yang menimpa manusia, mereka juga ditimpa dengan mudarat atau penderitaan. Ada yang melaung-laung, dan ada yang menyeru Allah dengan berkesesalan kepada-Nya, apabila ditimpa mudarat. Setelah ia dihilangkan daripada mereka, terdapat segolongan daripada mereka sekutukan Allah pula. Firman-Nya,
"Apa sahaja rahmat yang ada pada kamu, ia adalah daripada Allah; kemudian apabila mudarat sentuh kamu, kepada-Nya kamu melaung-laung. Kemudian, apabila Dia hilangkan mudarat daripada kamu, tiba-tiba segolongan antara kamu sekutukan Pemelihara mereka," (16:53-54)
"Apabila mudarat sentuh manusia, mereka seru Pemelihara mereka dengan berkesesalan kepada-Nya; kemudian, apabila Dia rasakan kepada mereka pengasihan daripada-Nya, tiba-tiba segolongan daripada mereka sekutukan Pemelihara mereka," (30:33).
(Sila rujuk artikel Sekutu Allah menurut al-Qur'an)
Selain sekutukan Allah setelah dihilangkan penderitaan, terdapat segolongan yang mengatakan bahawa rahmat daripada Allah yang diterima kemudiannya adalah atas kepandaiannya. Firman-Nya,
"Apabila mudarat sentuh manusia, dia seru Kami; kemudian, apabila Kami kurniakan kepadanya satu rahmat daripada Kami, dia berkata, 'Aku diberi hanya kerana satu pengetahuan.' Tidak, ia adalah satu cubaan, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." (39:49)
Sebenarnya, rahmat daripada Allah yang diterima selepas penderitaan yang menimpa adalah ujian daripada Allah. Amnya, senang dan susah adalah ujian daripada Allah. Dua ayat berikut mengesahkannya:
"Adapun manusia, apabila Pemeliharanya mengujinya, dan muliakannya, dan rahmatinya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku muliakan aku.' Tetapi apabila Dia mengujinya, dan sempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku hina aku.'" (89:15-16)
(Sila rujuk Kalimat ujian di dalam al-Qur'an).
Disebut juga di dalam al-Qur'an mengenai manusia yang menyeru Allah dengan berkesesalan kepada-Nya apabila disentuh mudarat atau penderitaan. Kemudian, setelah dikurniakan rahmat daripada Dia, mereka melupakan seruan yang telah dibuat di samping mengadakan rakan-rakan bagi Allah. Firman-Nya,
"Apabila mudarat sentuh manusia, dia seru Pemeliharanya dengan berkesesalan kepada-Nya; kemudian, apabila Dia kurniakan kepadanya satu rahmat daripada-Nya, dia lupakan apa yang dia seru sebelumnya, dan adakan rakan-rakan bagi Allah, untuk menyesatkan daripada jalan-Nya." (39:8)
Boleh jadi rakan-rakan yang dimaksudkan itu adalah Rasul atau Nabi atau Imam-iman atau orang-orang yang digelar "wali Allah".
Di laut
Penderitaan atau mudarat selanjutnya dialami di laut. Ketika itu orang-orang yang selalu diseru, seperti yang baru disebut, akan dilupakan. Allah sahaja yang diingati dan diseru pada masa kecemasan itu. Akan tetapi, setelah Dia selamatkan mereka ke darat, mereka tidak berterima kasih dengan berpaling dan kembali menyeru yang selain daripada Allah tersebut. Firman-Nya,
"Dan apabila mudarat sentuh kamu di laut, maka hilanglah orang-orang yang kamu seru, kecuali Dia; dan apabila Dia selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling; manusia tidak berterima kasih." (17:67)
Sebelum ke laut, tatkala naik ke kapal, manusia berseru kepada Allah dengan menuluskan agama untuk-Nya. Setelah diselamatkan ke darat segolongan daripada mereka didapati sekutukan Allah pula. Firman-Nya,
"Apabila mereka naik ke kapal, mereka seru Allah, dengan menuluskan agama mereka untuk-Nya; tetapi apabila Dia selamatkan mereka ke darat, tiba-tiba mereka sekutukan," (29:65).
Kadang kala manusia sekutukan Allah tanpa disedar. Seperti mereka yang mengadakan majlis kesyukuran setelah diselamatkan daripada bahaya di laut. Pada majlis itu mereka menyeru dan memuji nama-nama yang selain daripada nama Allah.
Perang
Menang dan kalah adalah adat berperang. Keputusan di tangan Allah. Dia beri kemenangan kepada siapa Dia hendaki. Contoh, pada ayat berikut di mana orang-orang Rom, setelah dikalahkan oleh orang-orang Parsi, akan kalahkannya pula dalam peperangan yang selanjutnya:
"Orang-orang Rom dikalahkan, Di bumi yang dekat; dan, setelah kekalahan mereka, mereka akan mengalahkan," (30:2-4)
Dalam peperangan timbul perasaan sedih dan duka, dan sesudah itu, Allah kurniakan ketenteraman pula, seperti kepada orang-orang beriman yang dinyatakan di dalam ayat di bawah:
"Kemudian Dia turunkan kepada kamu, sesudah kesedihan, ketenteraman." (3:154)
Terdapat pula orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Kitab-Nya tetapi hanya duduk menunggu semasa berlaku peperangan untuk menegakkan agama Allah. Jika pihaknya ditimpa penderitaan dia mengatakan bahawa Allah rahmatinya kerana tidak pergi bersama mereka yang derita. Sebaliknya, jika pihaknya dapat kejayaan, dia mengatakan pula iaitu sekiranya dia telah pergi bersama orang-orang lain tentu dia beroleh kemenangan yang besar. Firman-Nya,
"Antara kamu ada orang yang berlengah-lengah; kemudian, jika penderitaan timpa kamu, dia berkata, 'Allah rahmati aku kerana aku bukan seorang saksi bersama mereka.' Tetapi jika pemberian daripada Allah timpa kamu, tentu dia kata seakan-akan tidak pernah ada kasih sayang antara kamu dan dia, 'Sekiranya aku berada bersama mereka, tentu aku dapat kemenangan dengan kemenangan yang besar.'" (4:72-73)
Agama
Dalam memperjuangkan agama Allah, iaitu agama seperti yang terkandung di dalam al-Qur'an, masa susah haruslah dialami. Lazimnya, pejuang-pejuang bagi Allah dizalimi dan terpaksa tinggalkan tempat tinggal mereka. Sebagai balasan di dunia, mereka dikurniakan tempat tinggal yang baik di tempat baru. Di situ pun mereka terus berjuang. Firman-Nya,
"Dan orang-orang yang hijrah kerana Allah setelah mereka dizalimi, pasti Kami akan tempatkan mereka di dunia di penempatan yang baik, dan upah akhirat adalah lebih besar jika mereka tahu," (16:41)
"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu, bagi orang-orang yang hijrah setelah dianiaya, kemudian berjuang dan sabar, sesungguhnya Pemelihara kamu setelah itu, Pengampun, Pengasih." (16:110)
Mereka yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya al-Qur'an dan yang menegakkan agama Allah berada dalam ketakutan kerana diancam oleh orang-orang tidak percaya kepada Allah dan berpegang kepada kitab yang selain daripada Kitab-Nya. Akhirnya, ketakutan mereka diganti dengan keamanan, dan mereka jadi pengganti-pengganti atau "raja" di bumi ini, dan agama mereka diteguhkan. Itu janji Allah. Janji tersebut dibuat melalui ayat berikut:
"Allah berjanji kepada orang-orang antara kamu yang percaya, dan buat kerja-kerja baik, bahawa Dia akan sesungguhnya jadikan kamu pengganti-pengganti di bumi, sebagaimana Dia jadikan orang-orang sebelum mereka pengganti-pengganti, dan sungguh, Dia akan teguhkan agama mereka bagi mereka yang Dia relai untuk mereka, dan Dia akan tukarkan untuk mereka, sesudah ketakutan mereka, dengan keamanan ...." (24:55)
Lantaran itu timbul beberapa soalan. Kenapa orang-orang Islam pada hari ini tidak jadi pengganti atau raja di bumi seperti yang dijanjikan Allah? Kenapa agama Islam tidak diteguhkan sehingga ia dihina dan ramai penganutnya keluar setelah memelukinya? Apakah kesilapan yang berlaku?
Jawapan kepada soalan-soalan itu mungkin terdapat pada kata-kata seterusnya dalam ayat yang baru diturunkan tadi, berbunyi,
".... 'Mereka menyembah-Ku, mereka tidak sekutukan Aku dengan sesuatu.' Sesiapa yang tidak percaya sesudah itu, maka mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Allah)." (24:55)
Kehidupan dengan keburukan atau kesusahan yang wujud di kalangan orang-orang Islam di dunia dewasa ini tidak mungkin bertukar kepada kebaikan atau kesenangan seperti yang dikecapi oleh raja, dan agama mereka tidak akan jadi teguh serta dimuliakan, selagi mereka tidak tinggalkan sekutu-sekutu Allah yang diadakan oleh sesetengah pihak. Kebaikan dan kesenangan tidak akan jadi hak milik mereka selagi ajaran yang selain daripada ajaran al-Qur'an tidak ditinggalkan, dan al-Qur'an dipegang satu-satunya dalam agama Allah yang mulia.
Rujukan:
Kalimat khalifah
(pengganti) di
dalam al-Qur'an
Kalimat nafkah di dalam
al-Qur'an
Kalimat ujian di dalam
al-Qur'an
dan artikel,
Sekutu
Allah menurut al-Qur'an
Terkini Artikel
Perpustakaan
Bacaan E-Mail
Hiasan
Kalimat
Pilihan
Penemuan
Soalan
Lazim Sudut
Pelajar English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman