Air dunia dan akhirat
Sunday Star, 11 Ogos 2002, muka 33, Ruangan "Comment"
Air adalah satu daripada bahan yang paling banyak terdapat, dan tanpanya kehidupan jadi mustahil. Laut dan lautan meliputi kira-kira tujuh per sepuluh daripada permukaan Bumi, tetapi air juga terkandung di dalam tanah, di atmosfera (atmosphere), dan di dalam semua benda yang hidup. Lebih separuh daripada badan manusia terdiri daripada air, yang juga merupakan sebahagian besar daripada makanan yang kita makan, terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan (Ensaiklopaedia Britannica).
"Adakah kamu fikirkan air yang kamu minum?" (56:68)
Ayat al-Qur'an yang pertama mengandungi perkataan air membawa dua mesej. Yang pertama ialah, dengan air yang diturunkan dari langit, rezeki daripada Allah dikeluarkan iaitu buah-buahan. Dan kedua, kita diingatkan supaya tidak mengadakan rakan-rakan bagi Allah sambil mengetahuinya. Ayat tersebut berbunyi,
"Yang buatkan bagi kamu bumi sebagai sofa, dan langit, bangunan, dan turunkan dari langit, air; dengannya Dia keluarkan buah-buahan untuk rezeki kamu. Maka janganlah adakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya." (2:22)
Air dari langit menumbuhkan segala jenis tumbuh-tumbuhan, bukan sahaja buah-buahan seperti yang disebut tadi. Dua wahyu yang indah, yang diturunkan di bawah ini, beri keterangan lanjut mengenainya. Wahyu-wahyu itu bermaksud:
"Dia yang turunkan dari langit, air; dan dengannya Kami keluarkan tunas segala tumbuh-tumbuhan, dan kemudian Kami keluarkan daun-daun hijau, dan keluarkan daripadanya biji-bijian yang bersusun rapat, dan keluar daripada pohon palma, daripada seludangnya, kurma-kurma bertandan lebat yang boleh dicapai, dan kebun-kebun anggur, dan zaitun, dan delima, yang serupa sesamanya dan tidak serupa sesamanya. Perhatikanlah pada buah-buahnya apabila mereka berbuah, dan masak. Sesungguhnya pada semua ini adalah ayat-ayat bagi kaum yang percayai." (6:99)
"dan turunkan untuk kamu dari langit, air; dan Kami tumbuhkan dengannya taman-taman yang dipenuhi keindahan, yang pohon-pohonnya kamu tidak dapat tumbuhkan." (27:60)
Memang sungguh indah pemandangan taman-taman dan pohon-pohon yang ditumbuhkan Allah! Dan perasaan segar dan nyaman dinikmati apabila melihat bumi menghijau pada waktu pagi setelah Dia turunkan air dari langit (pada waktu malam). Firman-Nya,
Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah turunkan dari langit air, dan pada waktu pagi, bumi menjadi hijau? Sesungguhnya Allah Halus, Menyedari." (22:63)
Tanaman yang tidak pernah tumbuh di bumi yang mati akan tumbuh setelah bumi tersebut dihidupkan dengan air dari langit. Tanaman itu jadi makanan bagi manusia dan bintang ternak. Firman-Nya,
"Dan Allah turunkan dari langit air, dan dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang mendengar." (16:65)
"Tidakkah mereka lihat bagaimana Kami halau air ke bumi yang tandus, dan keluarkan tanaman dengannya, yang binatang ternak mereka dan diri-diri mereka sendiri makan?" (32:27)
(Sila click di sini untuk membaca laporan akhbar bertarikh 19 Sept 2002 mengenai penghijuan bahagian-bahagian gurun Sahara. Terima kasih.)
Air yang diturunkan dari langit adalah menurut ukuran. Ia ditempatkan di dalam bumi. Dan Allah berkuasa untuk menghilangkannya pula. Air itu adalah untuk diminum oleh manusia, dan pokok-pokok yang jadi makanan bagi ternakan. Firman-Nya,
"Dan Kami turunkan dari langit air, menurut ukuran, dan Kami tempatkan ia di dalam bumi; dan Kami berkuasa untuk hilangkannya." (23:18)
"Dia yang turunkan kepada kamu dari langit, air, untuk kamu minum daripadanya, dan daripadanya pokok-pokok, untuk kamu biarkan ternakan kamu makan." (16:10)
Air yang diturunkan Allah dari langit adalah bersih dan diberkati. Dua ayat yang berikut jelaskannya:
"dan Kami turunkan dari langit air yang bersih," (25:48)
"Dan Kami turunkan dari langit air yang diberkati," (50:9)
Selain daripada datang dari langit, air juga dikatakan datang dari awan. Air ini mencurah. Firman-Nya,
"Dan turunkan dari awan air yang mencurah," (78:14)
Pun disebut ialah air yang datang dari bumi dan dari batu. Firman-Nya,
"Dan bumi, sesudah itu, Dia bentangkannya, Daripadanya keluarkan airnya dan padang rumputnya," (79:30-31)
"ada antara batu yang sungai-sungai memancar daripadanya, dan yang lain terpecah supaya air keluar daripadanya," (2:74)
Ada air yang bersih dan enak untuk diminum dan ada pula yang masin dan pahit. Air yang sangat enak disebut bersama gunung-gunung yang tinggi. Begitulah Allah menjelaskan dengan ayat-ayat yang berbunyi,
"Tidakkah Kami buatkan padanya gunung-gunung yang tinggi? beri kamu minum dengan air yang sangat enak?" (77:27)
"Dan Dia yang membiarkan dua laut, yang ini bersih dan enak, rasanya menggembirakan, dan yang ini masin dan pahit, dan Dia letak di antara mereka satu barzakh (tembok), dan satu larangan yang terlarang." (25:53)
Berhenti sebentar daripada memetik ayat-ayat al-Qur'an untuk kembali menterjemahkan maklumat yang berkaitan daripada ensaiklopaedia yang telah disebut dari awal lagi:
Air yang bersih jarang didapati di alam semula jadi. Ini ialah kerana air mampu melarutkan banyak bahan daripada udara, tanah dan batu. Kemasinan air laut disebabkan oleh bahan mineral yang dilarutkan daripada permukaan bumi oleh sungai-sungai dan dibawa turun ke laut. Haba matahari menyebabkan permukaan air laut menyejat, atau bertukar kepada wap, tinggalkan di belakangnya garam dan mineral-mineral lain. Ini menjelaskan mengapa laut-laut adalah jauh lebih masin daripada sungai-sungai yang mengalir ke dalamnya.
Petikan daripada al-Qur'an diteruskan dengan menyebut mengenai kilat, air dari langit, bumi yang mati, awan yang berat, dan guruh. Beginilah bunyi ayat-ayatnya:
"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah Dia perlihatkan kepada kamu kilat, untuk ketakutan dan harapan, dan Dia turunkan dari langit air, dan Dia hidupkan bumi setelah ia mati. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang faham." (30:24)
"Dia yang memperlihatkan kepada kamu kilat, untuk ketakutan dan harapan, dan menumbuhkan awan yang berat. Guruh melafaz sanjungan-Nya," (13:12-13)
Dan begini pula bunyi keterangan daripada ensaiklopaedia tersebut:
Air hujan yang turun melarutkan gas-gas di udara setakat tertentu. Gas-gas ini adalah terutamanya nitrogen dan oksigen (oxygen), dengan sedikit karbon dioksida (carbon dioxide). Cahaya kilat tukarkan sebahagian daripada nitrogen kepada asid nitrik (nitric acid), yang hadir dalam hujan yang berguruh, dan ia membantu dalam penyuburan tanah.
Petikan daripada ensaiklopaedia disambung lagi dan ditamatkan di sini:
Air yang bersih boleh didapati daripada air yang mengandungi garam dengan kaedah dikenali sebagai penyulingan, yang kadang-kadang diguna di kapal-kapal yang besar.
Untuk enak diminum, air haruslah mengandungi sedikit gas yang dilarutkan dan bahan mineral. Air bersih yang disediakan melalui proses penyulingan adalah hambar, tidak perisa.
Kehidupan di Bumi diteruskan dengan proses pengedaran air yang tidak putus-putus. Laut-lautan sediakan takungan yang besar untuk bekalan dunia, dan matahari beri tenaga untuk pengedaran air. Haba matahari menyejatkan air, yang berkumpul jadi awan kelihatan seperti gumpalan "debu air". Apabila partikel "debu" jadi besar mereka jatuh sebagai hujan, hujan batu, atau salji, untuk menampung kehidupan tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
Sehubungan itu renungkanlah pula ayat-ayat berikut:
"Adakah kamu fikirkan air yang kamu minum? Adakah kamu yang turunkannya dari awan-awan, atau adakah Kami yang turunkannya? Sekiranya Kami hendaki, tentu Kami membuatnya masin; maka mengapa kamu tidak berterima kasih?" (56:68-70)
"Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah menjalankan awan, kemudian kumpulkan mereka, kemudian buat mereka satu kelompok, kemudian kamu lihat hujan keluar dari celah-celah mereka? Dan Dia turunkan dari langit, gunung-gunung, yang di dalamnya hujan batu, supaya Dia timpakan kepada siapa Dia hendaki dengannya, dan palingkan daripada siapa Dia hendaki; hampir-hampir sinar kilat-Nya menghilangkan penglihatan." (24:43)
"Dan Kami buatkan sebuah lampu yang bersinar, Dan turunkan dari awan air yang mencurah, Supaya Kami keluarkan dengannya biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan, Dan kebun-kebun yang subur." (78:13-16)
(Disediakan bersama karangan ini satu lampiran terisi sekeping keratan akhbar yang membawa laporan mengenai air yang terkandung di dalam badan manusia. Laporan tersebut berjudul "No need to drink eight glasses of water daily". Link kepada laporan itu juga disediakan di hujung halaman ini. Terima kasih.)
Selain untuk diminum, air diguna untuk membersihkan sebahagian atau seluruh badan manusia, seperti disebut dalam ayat-ayat wuduk (4:43 dan 5:6), dan ayat berikut (yang konteksnya adalah peperangan):
"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan turunkan kepada kamu air dari langit untuk bersihkan kamu dengannya, dan untuk hilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk kuatkan hati kamu, dan untuk teguhkan kaki kamu dengannya." (8:11)
Allah juga datangkan air untuk menghukum orang-orang yang berdosa. Peristiwa yang dirakamkan di bawah ini adalah satu contoh:
"Berkata (anak Nabi Nuh), 'Aku akan cari perlindungan di gunung, yang akan menjagaku daripada air.' Berkata, 'Pada hari ini, tidak ada pelindung daripada perintah Allah, selain daripada orang Dia kasihani.' Dan gelombang-gelombang tiba di antara keduanya, dan dia adalah antara orang-orang yang ditenggelamkan." (11:43)
Itu adalah secebis kisah daripada cerita Nabi Nuh yang didatangi banjir besar untuk tenggelamkan orang-orang tidak percaya termasuk anak lelakinya sendiri.
Air memulakan kehidupan. Segala sesuatu yang hidup, seperti haiwan dan makhluk, dicipta daripada air. Firman-Nya,
"Tidakkah orang-orang tidak percaya melihat bahawa langit dan bumi adalah satu massa yang berpadu, kemudian Kami pisahkan mereka; dan daripada air, Kami jadikan segala sesuatu yang hidup? Tidakkah mereka percayai?" (21:30)
"Allah cipta semua haiwan daripada air, dan sebahagian mereka berjalan di atas perut mereka, dan sebahagian mereka berjalan di atas dua kaki, dan sebahagian mereka berjalan di atas empat;" (24:45)
"Dan Dia yang ciptakan daripada air, makhluk/manusia, dan membuatnya sekeluarga melalui darah dan perkahwinan;" (25:54)
Namun, air yang melahirkan manusia dipanggil pula pati air yang keji, air yang keji, atau air yang terpancar. Inilah ayat-ayatnya:
"Kemudian Dia buatkan keturunannya daripada pati air yang keji," (32:8)
"Tidakkah Kami cipta kamu daripada air yang keji," (77:20)
"Dia dicipta daripada air yang terpancar," (86:6)
Allah cipta segala-galanya. Dia mempunyai Arasy atau singgahsana. Arasy-Nya berada di atas air. Firman-Nya,
"Dia yang cipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak uji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya." (11:7)
Di dalam al-Qur'an terdapat banyak persamaan. Satu daripada benda yang dibuatkan persamaan adalah air yang datang dari langit. Persamaannya adalah dengan kehidupan dunia. Ayat yang mengandungi persamaan tersebut berbunyi,
"Persamaan kehidupan dunia ini adalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya, daripadanya manusia dan binatang ternak makan, sehingga, apabila bumi telah mengambil gemerlapannya, dan menampakkannya indah, dan penduduknya sangka mereka sudah menguasainya, perintah Kami datang kepadanya, malam atau siang, dan Kami membuatnya tanaman yang tertinggal sesudah dituai, seakan-akan ia tidak tumbuh kelmarinnya. Begitulah Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (10:24)
Demikianlah mengenai air di dunia di mana semua orang dapat air yang sama. Tidak begitu pula di akhirat. Di sana, penghuni-penghuni Taman (syurga) diberi minum dengan air yang melimpah dan daripada beberapa jenis sungai yang mengalirkan beberapa jenis minuman yang tidak dicemari. Sementara penghuni-penghuni Api (neraka) tidak diberi air, melainkan air yang mendidih yang memotong usus-usus mereka. Firman-Nya,
"Penghuni-penghuni Api memanggil penghuni-penghuni Taman, 'Curahkanlah kepada kami air, atau daripada apa yang Allah rezekikan kamu!' Mereka berkata, 'Allah haramkan mereka kepada orang-orang tidak percaya,'" (7:50)
"Sekiranya mereka lurus (tegak) di atas jalan (tarekat), tentu Kami beri mereka minum daripada air yang melimpah," (72:16)
"Inilah persamaan Taman yang orang-orang bertakwa dijanjikan: di dalamnya sungai-sungai daripada air yang tidak dicemari, dan sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai daripada arak - suatu keseronokan bagi peminum-peminum - dan sungai-sungai daripada madu yang dibersihkan; dan di dalamnya bagi mereka segala macam buah-buahan, dan ampunan daripada Pemelihara mereka. Samakah mereka dengan orang yang tinggal selama-lamanya di dalam Api, yang diberi minum air yang mendidih, yang memotong usus-usus mereka?" (47:15)
Selain air yang mendidih, mereka diberi minum air nanah dan air yang seperti leburan tembaga merah. Firman-Nya,
"Di belakangnya Jahanam, dan dia diberi minum air nanah," (14:16)
"Katakanlah, 'Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu; maka hendaklah sesiapa yang hendak, percaya; dan hendaklah sesiapa yang hendak, tidak percaya.' Sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang zalim, api, yang gejolaknya meliputi mereka; jika mereka minta pertolongan, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti leburan tembaga merah, yang melecurkan muka-muka mereka - betapa buruknya minuman, dan betapa buruknya tempat istirahat!" (18:29)
Air seperti itu diminum selama-lamanya. Tetapi peminumnya tidak mati. Bayangkanlah! Peminumnya adalah orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.
Bacaan Tambahan:
Kalimat
air di dalam
al-Qur'an
(Di dalam al-Qur'an, air disebut dengan banyak. Kalimat
ma' atau air dalam bahasa Melayu disebut sebanyak lima puluh tiga
kali dan terdapat di dalam lima puluh ayat. Selain senarai itu, laman web ini
sediakan senarai ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat-kalimat lain
yang bersangkutan dengan air, seperti (dalam bahasa Melayu) hujan, mata air, air yang enak, tempat pengairan, memberi minum, air yang
mendidih, dan sebagainya.)
No need to drink eight glasses of water
daily
Tumbuh-tumbuhan menebus guna sebahagian gurun
Sahara
The Origin of Life
The Koran and
Evolution
Terkini Artikel
Perpustakaan
Bacaan E-Mail
Hiasan Kalimat
Pilihan
Penemuan
Soalan
Lazim Sudut
Pelajar English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman