Pengalaman Hidup ~ (Lailatul Qadar) -Respon

 

From: akhyar212
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Friday, August 26, 2011 2:30 AM
Subject: Pengalaman Hidup Seorang Muslimah XI (Lailatul Qadar)
 

Salamu alaikum

Hmmm... Dah lama sangat saya merasakan betapa banyaknya kemerapuan yang dikemukakan oleh mereka yang bergelar ilmuan. Saya memang dah lama merasakan (dirasakan) kejanggalan huraian mereka tentang laila al qadr, pencarian malam berkenaan, israk dan mikraj yang penjelasan itu pelik, kabur, sukar diterima oleh aqal yang waras serta huraian yang semacam bersifat intelectualization (agar maruah sebagai ilmuan tidak tercabar). Syukur terjumpa (dijumpakan) dengan laman ini kerana selama ini saya rasa (dirasakan) keseorangan (dan memang akan keseorangan pun). Kepada Sari Nande, saya juga macam anda suatu ketika dahulu tetapi sekarang ini saya hanya tahu (diberitahu) bahawa Allah mempunyai rahsiaNya yang tersendiri apabila lakukan sesuatu. Kebenaran itu dari Rabb anda (kita semua) dan bukan dari manusia. Apa jua yang berlaku sebenarnya DIA yang tentukan mengikut qadrnya.
 

Ada banyak lagi pembohongan yang dibuat oleh mereka yang bergelar ilmuan .... banyak sangat termasuk konsep Kitab, ayat, masjid, deen, jin dan sebagainya. Terasa (dirasakan) sangat apabila ditanya tentang hal-hal tersebut jawapan yang diberi sukar sangat untuk diterima apabila hujah yang diberikan saling bertentangan. Beri ingat kerana sesungguhnya anda hanya seorang pemberi ingatan dan bukan memaksa mereka menuruti.
 

Samalah halnya dengan penjelasan huruf-huruf seperti Alif Laam Miim dan sebagainya yang hanya diberikan jawapan Allah sahaja yang tahu maknanya (Dan memanglah begitu tetapi tidak mustahil Allah akan beritahu manusia sebab ianya terkandung di dalam kitab yang jadi petunjuk kepada orang muttaqin). Kebanyakan kita hanya diajar jadi burung kakak tua yang mengulang-ulangi perintah tanpa lakukan. Maksud saya, apabila terdapat perintah QUL, maka para ilmuan pasti akan letak tanggungjawab kepada Rasulullah sedangkan apabila diperintah untuk mengatakan Allah itu Esa (surah al Ikhlas), kebanyakan kita diajar bukan untuk mengatakan Allah itu Esa tetapi mengulangi perintah (cakap pindah dari perspektif Bahasa Melayu).
 

Kalau perasan, saya banyak gunakan imbuhan di pada kata kerja (dirasakan, dijumpakan, diberitahu) kerana (dibuatkan) saya merasa janggal dengan huraian / terjemahan / tafsiran ayat pertama surah al isra' apabila diberitahu ...Maha Suci (ALLAH) Yang telah menjalankan hambaNya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa ...... itu sebagai Maha Suci (ALLAH) yang telah menjalankan hambaNYA (Muhammad s.a.w) .... sehinggakan kita tidak terasa bahawa kita juga pada masa ini, dulu dan akan datang sentiasa dijalankan dan bukan berjalan atas kekuatan sendiri (La hawla wala quwwata illa billah). Memang dalam peristiwa khusus Isra' dan Mikraj itu individu yang dijalankan itu ialah Rasulullah s.a.w tetapi seharusnya difahami juga bahawa kita sekarang ini pun bukan mempunyai keupayaan untuk buat (berjalan dan lain-lain) melainkan dengan izin, kudrat dan kehendakNYA (insyallah, masyallah) dan dengan DIA yang dikenali sebagai Ar Rahman Ar Rahim (basmallah).
 

Hmmm.... mungkin penulis lain boleh berkongsi. Salam untuk semua.
 

Salamun alaikum,

Telah terjumpa catatan seorang yang ditemukan dengan laman web ini. Pada mulanya beliau tertarik dengan artikel-artikel mengenai Kiamat, Syurga dan lain, tetapi setelah menemui artikel Susah Nak Tinggalkan Hadith beliau terus tinggalkan laman. Itu pilihan beliau.

Pilihan manusia ada pelbagai. Ada juga yang memilih al-Qur'an serupa sihir, iaitu apa yang dilihat bukan benda yang benar, seperti dalam cerita Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir yang "seolah-olah nampak kepadanya (Musa), daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap" (20:66). Tali dan tongkat dinampakkan merayap seperti ular. Laksana itu juga dinampakkan kepada orang-orang tertentu atas ayat-ayat al-Qur'an misalan ayat 17:1 yang telah disebut.

Atau ayat berbunyi "Dan jin, Kami cipta sebelumnya daripada api yang membakar," dilihatnya jadi "Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma" (15:27).

Walhal, Allah telah berulang kali mengatakan ayat-ayat Kitab-Nya jelas, dan bahawa bahasa Arabnya jelas (sila lihat kalimat jelas/nyata), bermaksud apa yang dilihat itulah ia. Jika nampak frasa api yang membakar, ia adalah api yang membakar sebenarnya, bukan angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma!

"Kemerapuan" boleh, jika tidak terlanjur mengatakan, berkait rapat dengan ketidakpercayaan kepada ayat-ayat Allah. Ia sudah lama wujud dan akan wujud lama lagi atas sebab seperti dinyatakan ayat-ayat berikut:

"Dan jangan orang-orang tidak percaya sangka pertangguhan yang kami beri mereka itu lebih baik bagi diri mereka; Kami beri mereka tangguh hanya supaya mereka bertambah dalam dosa..." (3:178),

"Jika Allah segerakan kejahatan bagi manusia seperti menyegerakan kebaikan, tempoh mereka pasti akan diputuskan kepada mereka. Tetapi Kami tinggalkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami dalam kelampauan batas mereka, merayau-rayau membabi buta" (10:11).

Keburukan itu seterusnya kelihatan akan wujud terus hingga Hari Kiamat. Begitu juga dengan pilihan manusia terhadapnya. Pandangan atau pendapat tersebut terbit daripada ayat bermaksud,

"Jika Allah pertanggungjawabkan manusia kerana kezaliman mereka, tidaklah Dia tinggalkan di atasnya satu makhluk yang merayap; tetapi Dia tangguhkan mereka ke satu tempoh yang dinyatakan; dan apabila tempoh mereka datang, mereka tidak akan undurkannya sesaat, dan tidak juga mendahulukannya" (16:61).

Namun begitu, manusia diberi pilihan, dengan adanya pelbagai pendapat daripada orang-orang yang mahu berfikir, yang harus didengar, dan kemudian memilih, mana satu pendapat paling baik. Mereka yang buat demikian akan diberi petunjuk oleh Allah. Tiada yang buat demikian kecuali orang-orang empunya minda (39:18).

Justeru, orang-orang yang Allah beri petunjuk termasuk mereka yang memilih sendiri daripada berbagai-bagai pilihan yang ada untuk menjadi pegangan hidup. Untuk mengetahui lebih lanjut ciri-ciri mereka yang diberi petunjuk sila lihat di sini. Terima kasih. Juga kepada pengirim emel di atas.

Demikianlah kemerapuan daripada kami pulak!


Allah disanjung!

27.8.11 (Ramadan)

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman