(oleh Azahidi – 2 Mei 2005)
Bagi kebanyakan orang yang mengaku Islam, hadith tidak boleh dipisahkan daripada Quran, ianya bagai isi dengan kuku. Ada yang sungguh taksub dengan hadith sampai sanggup mengatakan bahawa Quran tidak boleh difahami dan dipraktikkan tanpa hadith. Ada ramai juga yang meletakkan hadith ketahap yang lebih utama daripada Quran dalam amalan harian mereka.
Kenapa demikian ?
Kebanyakan daripada kita lakukan apa saja mengikut apa yang kita diajar daripada kecil dalam suasana dan budaya yang kita dipengaruhi. Sebagai contoh, orang Melayu makan dengan tangan kerana ianya diajar demikian dan masyarakat Melayu mengamalkan demikian. Orang melayu solat pakai kain kerana mereka diajar demikian daripada kecil dan masyarakat Melayu mengamalkan demikian. Demikianlah juga halnya kebanyakan orang yang mengaku Islam sekarang percaya hadith adalah sebahagian penting daripada Islam kerana mereka diajar demikian daripada kecil dan masyarakat Melayu percayakan demikian. Ianya demikian walaupun mereka tidak pernah membaca dan memahami sepotong hadith pun. Kata perpatah Melayu, alah bisa tegal biasa. Banyak orang yang mengaku Islam ditanam, daripada kecil lagi, bahawa menolak hadith adalah murtad. Murtad adalah kafir dan akan masuk neraka. Itu kata-kata manusia yang ditanamkan dalam hati. Susah nak diubah sebab sudah tebal. Takut. Takut kepada hukum manusia yang dianggap sama dengan hukum Allah.
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka perdagangan mereka tidak menguntungkan mereka, dan mereka bukanlah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar (2:16). Persamaan mereka seperti persamaan orang yang nyalakan api. Apabila ia menerangi yang di sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya mereka, dan tinggalkan mereka dalam kegelapan, dengan tidak melihat (2:17). Pekak, bisu, buta; maka mereka tidak akan kembali. (2:18)
Percayakan Hadith
Pada suatu hari seorang rakan kita, A ceritakan bahawa rakannya, B ceritakan bahawa, pada suatu tempat di Mongolia ia nampak seorang Mongol, C dapat matikan lalat, potong tiga dengan menggunakan sebilah pedang. Percayakah kita kepada cerita rakan kita A fasal kehebatan C tersebut. Terpulanglah pada masing-masing. Nak percaya, percayalah. Tak nak percaya pun tak apa, tiada apa-apa implikasi. Demikianlah jugalah dengan hadith. Sekiranya kita hendak percaya, percayalah. Tak nak percaya, tiada apa-apa implikasi. Tiada lebih daripada itu.
Katakan kita sedang membaca sebuah buku, kita suka membaca buku itu, dan kita kagum dengan tiori-tiori yang diajukan. Kita sanggup terima tiori baru yang diajukan atau maklumat baru yang kita tidak pernah tahu sebelumnya. Tiba pada suatu mukasurat, kita terbaca suatu pernyataan atau pendapat yang tidak masuk akal atau bercanggah dengan pengetahuan kita. Kita pasti yang pernyataan tersebut bercanggah dengan fakta yang sebelumnya telah dibuktikan. Pernyataan tersebut tidak diberi ulasan atau hujah yang menasabah. Apa yang biasa kita lakukan selepas itu? Walau pun kita suka dan terus membaca buku itu, sudah tentu kita tidak akan menerima pendapat penulis itu bulat-bulat secara buta, sebagaimana sebelumnya. Sudah tentu kita akan mengkaji dahulu sebelum buat apa-apa rumusan.
Dan jangan ikut apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya; pendengaran, dan penglihatan, dan hati - semua itu ditanya. (17:36)
Perhatikan hadith berikut:
Abu Hurairah mengatakan bahwa Nabi bersabda: Banu Israil itu mandi bertelanjang, satu sama lain saling lihat melihat. Tetapi Nabi Musa mandi seorang dirinya. Mereka mengatakan: “Demi Allah! Tidak ada yang melarang Musa mandi bersama-sama dengan kita, kecuali kerana dia berpenyakit, buah pelirnya besar". Pada suatu kali Nabi Musa mandi, kainnya diletakkannya di atas batu. Lalu batu itu melarikan kainnya, dan beliau menyusulnya sambil berteriak: Kain-ku ... ! Hai, batu ! Sehingga oleh kerana itu, Bani Israil dapat melihat Nabi Musa, lantas mereka berkata, "Demi Allah Musa tidak berpenyakit apa-apa" Lalu Nabi Musa ambil kainnya dan dipukulnya batu itu. “Demi Allah! Masih terdapat tanda pada batu tersebut, tiga, empat atau lima, kerana pukulan yang kuat.
Di ambil dari Sahih Bukhari 1:277. Penggarisan ditambah oleh penulis.
Pembaca tidak perlu mengkaji dalam untuk mengatakan bahawa cerita tersebut adalah karut, tidak masuk akal. Ianya mempermain, merendahkan dan menghina perwatakan nabi Musa. Nabi Musa hidup beratus-ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dan Abu Hurairah. Bagaimana mungkin seseorang dapat mengatakan terdapat tanda pada batu.. bila ianya berlaku beratus-ratus tahun sebelum dan beratus-ratus batu jauhnya. Ianya berlawanan dengan logik. Percayakah kita kepada cerita tersebut? Quran pun ada ceritakan kisah Nabi Musa, tetapi jalan ceritanya berkaitan dengan kepatuhannya kepada Allah, bebrbeza jauh dengan hadith tersebut.
Mereka yang taksub kepada hadith, masih tetap percaya, walaupun paling tak logik pada akal dan sains. Ada juga ulamak yang menggunakan hadith tersebut untuk buat hukum: boleh mandi telanjang di khalayak ramai.??? Apa lagi yang boleh dikata !!!
Terdapat banyak lagi hadith yang jelas berlawanan dengan akal, logik, sains dan bercanggah dengan Quran. Tetapi hadith berbentuk ini jarang dibacakan dan dihuraikan oleh ulamak atau diajarkan di sekolah atau masjid. Kalau adapun, ulamak akan cuba memutar belitkan ceritanya, menegakkan benang yang basah.
Lain Dari Quran
Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan. (4:82)
Hadith adalah daripada selain Allah. Ianya ungkapan, cerita, ingatan manusia walaupun dikatakan berasal daripada Nabi Muhammad. Nabi Muhammad adalah selain daripada Allah. Hanya Allah adalah Allah. Yang lainnya adalah selain Allah. Jadi, hadith adalah selain daripada Allah dan sudah tentu didalamnya banyak perselisihan. Itu kata Quran, kata Allah, Pemelihara kita.
Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang Allah turunkan", mereka berkata, "Tidak, kami akan ikut apa yang kami dapati bapa-bapa kami buat." Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak faham sesuatu, dan mereka tidak dapat petunjuk? (2:170)
Demikianlah pekatnya apa yang telah diajarkan oleh ibu-bapa dan ulamak. Susah nak diubah sehinggakan sanggup sangkal Quran. Tetapi masih mengaku Islam, Islam yang yang diajar oleh ibu-bapa. Takut nak tinggalkan hadith, sebab ibu-bapa kata hadith perlu dalam Islam. Biar apa kata Quran, kata ibu-bapa masih tak boleh diketepikan.
Apa kata kalau kita tinggalkan hadith ?
Dunia Islam, terutama ulamak sekarang telah membina satu tembok di sekeliling kejahilan orang-orangnya. Tembok itu tidak akan dibiarkan runtuh. Orang Islam yang tradisi biasanya tidak akan menyoal ulamak, walau pun ada percanggahan diantara ulamak-ulamak. Tiada sebab untuk menyoal ulamak. Ulamak kata hitam, hitamlah, ulamak kata putih, putihlah. Betul belaka. Ulamak kata hadith tak bercanggah dengan Quran. Berilah berapa pun bukti nyata dan jelas bahawa ada hadith bercanggah dengan Quran, jelas bercanggah, ulamak kata tidak. Maka tidaklah.
Yang menganjurkan penggunaan hadith dalam Islam adalah manusia. Nabi Muhammad tidak pernah menganjurkan penggunaan hadith disamping Quran. Sebab ianya tidak perlu. Manusia yang mengadakannya.
Apa kata kalau kita tinggalkan hadith dan percayakan Quran sahaja? Akan cacatkah islam kita? Tak sempurnakah Islam kita? Salahkah fahaman kita? Terpesongkah kita? Murkakah Allah?
Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang bertakwa (2:2)
Al-Qur'an ini tidak mungkin diada-adakan oleh selain daripada Allah, tetapi ia adalah satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan satu penjelasan Kitab, yang di dalamnya tiada keraguan, daripada Pemelihara semua alam. (10:37)
Adakah kamu sembah, selain daripada Allah, apa yang tidak boleh mudaratkan, atau manfaatkan kamu? Dan Allah, Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui. (5:76)
Hadith adalah selain daripada Allah dan ianya tidak boleh mudaratkan atau manfaatkan kita. Tidak percaya kepada hadith tidak boleh mudaratkan kita, kata Allah.
Masih tak percaya !! kerana ulamak dan ibu-bapa kata mesti ikut hadith. Sudah tebal sangat, sebagaimana tebalnya pemakaian kain, tak boleh tidur kalau tak pakai kain. Sebagaimana tebalnya juga penggunaan sejadah, tak boleh solat kalau tidak di atas sejadah, biar pun sejadah itu dibuat di Kampuchea.
Bagi mereka-mereka yang berkeras untuk percayai hadith dan letakkannya bersama Quran, ianya adalah kerana Allah telah letak penudung pada hati mereka.
Dan Kami letak penudung pada hati mereka supaya mereka tidak faham, dan di dalam telinga mereka sumbatan. Dan apabila kamu mengingatkan Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian. (17:46)
Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai? (45:6)
Hadith yang sebenar ialah hadith yang ada dalam Quran. Sila rujuk artikel “Hadis Nabi yang Sebenar”.
http://www.e-bacaan.com/artikel_hadisNabi.htm
Artikel /
English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman