Tidak Ditanya
From: nzaid
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Thu, July 22, 2010 9:11:53 AM
Subject: Adakah Tuhan Mengetahui Dan Tetapkan Perkara Yang Akan berlaku?
Salam.Tuan, wajarkah Kita menyatakan bahawa Tuhan mengetahui perkara yang akan berlaku?.
Wajarkah Kita menyatakan Tuhan tetapkan perkara yang akan berlaku?.
Rasa saya MASA itu adalah makhluk Tuhan. Masa itu ciptaan Tuhan. Tidak ada sebelum dan selepas bagi tuhan.
Perlukah Tuhan terikat dengan masa sebagaimana manusia terikat dengan masa?
Salam kemaafan diatas soalan yang mungkin mengganggu ketenteraman tuan.
Saya bertanya dengan perasaan yang Tulus (ikhlas) bagi memastikan apa yang saya fikirkan ini tidak terlalu jauh daripada penerangan yang ada di dalam Quran.Harap Tuan dapat beri sedikit pandangan berdasarkan Quran dan juga pandangan Tuan sendiri.
Terima kasih. Semoga dapat berhubung lagi di 'masa' akan datang.
Salam.
Salamun
alaikum,
Terima kasih kerana sudi melayari laman web kami dan mengirim emel pula. Tujuan menulis ialah untuk bertanya empat soalan sementara jawapannya sudah berada di fikiran (betulkan kami di sini). Oleh itu, jawapan di sini mungkin tidak dapat memuaskan hati kerana apa yang benar-benar berada di fikiran tidak dapat dibaca, setelah disorok dengan tulus (heh, heh, kami bergurau saja!).
Terus berpaling ke arah soalan pertama, berbunyi, "...wajarkah Kita menyatakan bahawa Tuhan mengetahui perkara yang akan berlaku?" Kami rasa beliau sudah tahu jawapan daripada kami, iaitu wajar, maka timbul pertanyaan di sini, apakah sebenarnya jawapan berserta huraian yang berada di fikirannya?
Kalau itu dijelaskan bersama soalan maka huraian yang bakal diberi tidak perlu dipanjangkan lagi pada kali lain. Dan kali lain itu pula, besar kemungkinan, tidak akan berlaku.
Seperti disebut tadi jawapan kami ialah wajar, sebab dengan adanya penjelasan daripada Tuhan mengenai Saat (sila rujuk Saat sebelum Kiamat) atau Hari Kiamat (sila rujuk Hari Kiamat, terima kasih) maka dapat difahamkan bahawa Tuhan tahu perkara yang akan berlaku.
Selain daripada itu terdapat beberapa ayat
al-Qur'an yang menyokong pendapat tersebut, contoh, ayat-ayat
berikut:
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau letak di dalamnya orang yang akan buat kerosakan di dalamnya dan tumpahkan darah, sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)
(Para malaikat tahu manusia akan buat kerosakan di bumi dan menumpahkan darah, tapi Tuhan tahu lebih daripada itu.)"Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup, Yang Kekal. Mengantuk tidak mengambil-Nya, dan tidak juga tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di dalam langit dan apa yang di dalam bumi. Siapakah dia yang akan mengantara di sisi-Nya, kecuali dengan izin-Nya? Dia tahu apa yang sebelum mereka, dan apa yang sesudah mereka, dan mereka tidak tahu sesuatu daripada pengetahuannya, kecuali apa yang Dia hendaki. Takhta-Nya merangkumi langit dan bumi, dan Dia tidak rasa tertekan menjaga keduanya; Dia Yang Tinggi, Yang Agung." (2:255)
"Katakanlah, 'Tiada yang tahu yang ghaib di langit dan bumi melainkan Allah. Dan mereka tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan.'" (27:65)
(Ghaib bermaksud perkara-perkara yang tidak nampak, termasuk perkara yang berlaku pada masa depan, misalan bila kita akan dibangkitkan.)
Soalan kedua - Wajarkah Kita menyatakan Tuhan tetapkan perkara yang akan berlaku?
Kami syak soalan ada kaitan dengan
tajuk takdir. Kalau begitu sila rujuk karangan berjudul
Takdir dan
Percaya kepada
Taqdir (sekali lagi diucap terima kasih). Selanjutnya diturunkan ayat-ayat untuk mengetahui apakah
sebenarnya yang ditetapkan Allah:
"...Maka sekarang campurilah mereka (isteri-isteri), dan carilah apa yang Allah tuliskan (tetapkan) untuk kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan jangan campuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid. Itu had-had (hudud) Allah; janganlah keluar daripadanya..." (2:187)
"Dan perempuan-perempuan yang bersuami (dilarang dikahwini), kecuali apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki. Demikianlah Allah kitabkan (tetapkan) untuk kamu. Dihalalkan bagi kamu, selepas yang demikian itu, adalah bahawa kamu cari, dengan mengguna harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina. Isteri-isteri yang kamu bersenang-senang dengannya, beri mereka upah mereka sebagai satu ketentuan; dan tidak salah ke atas kamu terhadap apa yang kamu saling setuju dengannya daripada apa yang sudah ditentukan. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:24)
"... Kemudian sejurus setelah perang dituliskan (ditetapkan) bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka akan takut kepada Allah, atau lebih takut, dan mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau tuliskan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau tangguhkan kami ke suatu tempoh yang dekat?'" (4:77)
"Wahai orang-orang yang percaya, tepatilah perjanjian kamu. Dihalalkan bagi kamu ialah haiwan ternakan, kecuali apa yang dibacakan kepada kamu, supaya kamu tidak anggap binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam haram (ihram). Sesungguhnya Allah tetapkan hukum apa sahaja Dia hendaki." (5:1)
"Oleh kerana itu, Kami tuliskan (tetapkan) untuk Bani Israil bahawa sesiapa bunuh satu jiwa, bukan untuk membalas atas satu jiwa yang dibunuh, dan bukan juga kerana kerosakan yang dilakukan di bumi, adalah seakan-akan dia membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa menghidupkannya, seakan-akan dia hidupkan manusia kesemuanya." (5:32)
"Dan di dalamnya Kami tuliskan (tetapkan) untuk mereka bahawa jiwa untuk jiwa, dan mata untuk mata, dan hidung untuk hidung, dan telinga untuk telinga, dan gigi untuk gigi, dan untuk luka ada pembalasan (qisas); tetapi sesiapa bersedekah dengannya, maka ia adalah baginya satu penebus. Dan sesiapa tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang zalim." (5:45)
"Dan apabila orang-orang yang percayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, 'Salamun alaikum (Sejahtera ke atas kamu).' Pemelihara kamu tuliskan (tetapkan) untuk diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu buat jahat dalam kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:54)
"Dan apabila Musa datang pada waktu yang Kami tetapkan, dan Pemeliharanya berkata-kata dengannya, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, perlihatkan kepadaku, supaya aku dapat lihat Engkau.' Berkatalah Dia, 'Kamu tidak akan melihat Aku; tetapi perhatikanlah gunung itu - jika ia tetap di tempatnya, maka kamu akan lihat Aku.' Dan apabila Pemeliharanya nampakkan-Nya kepada gunung, Dia membuatnya hancur menjadi debu, dan Musa jatuh pengsan. Setelah dia terjaga, dia berkata, 'Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin.'" (7:143)
"Dia yang buatkan matahari satu sinaran, dan bulan satu cahaya, dan tetapkan ia dengan pengkalan-pengkalan, supaya kamu tahu bilangan tahun dan hitungan." (10:5)
"Allah hapuskan, dan Dia tetapkan apa sahaja Dia hendaki; dan di sisi-Nya ialah Ibu Kitab." (13:39)
"Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan mengenai Kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah cipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada dadih darah, kemudian daripada seketul daging, berbentuk dan tidak berbentuk, supaya Kami jelaskan kepada kamu. Dan Kami tetapkan di dalam rahim-rahim apa yang Kami hendaki hingga satu tempoh yang dinyatakan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, supaya kemudian kamu sampai dewasa; dan antara kamu mati, dan antara kamu dikembalikan kepada umur yang paling hina hingga mereka, setelah tahu sesuatu, tidak tahu apa-apa. Dan kamu lihat bumi kehitaman, kemudian apabila Kami turunkan air kepadanya, ia bergetar dan gelembung, dan tumbuhkan tiap-tiap jenis yang menggirangkan." (22:5)
"Sebuah surah yang Kami turunkan dan tetapkan; dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, supaya kamu mengingati.
Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan, dan dalam agama Allah, janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan orang-orang mukmin saksikan azab mereka." (24:1-2)"Dia yang tetapkan al-Qur'an kepada kamu benar-benar akan kembalikan kamu ke tempat kembali. Katakanlah, 'Pemeliharaku sangat-sangat tahu siapa yang datang dengan petunjuk, dan siapa yang dalam kesesatan yang nyata.'" (28:85)
"Tidak ada kesalahan ke atas Nabi mengenai apa yang Allah telah tetapkan untuknya - sunnah (resam) Allah pada orang-orang yang telah berlalu sebelumnya; dan perintah Allah adalah ketetapan yang telah ditetapkan." (33:38)
"Wahai Nabi, Kami telah halalkan untuk kamu isteri-isteri kamu yang kamu sudah beri upah mereka, dan apa yang tangan kanan kamu miliki, yang Allah beri kamu (rampasan perang), dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah bapa kamu, dan anak-anak perempuan emak-emak saudara sebelah bapa, dan anak-anak perempuan bapa-bapa saudara kamu sebelah ibu, dan anak-anak perempuan emak-emak saudara sebelah ibu yang hijrah bersama kamu, dan mana-mana perempuan yang mukmin, jika dia serah dirinya kepada Nabi dan jika Nabi hendak kahwininya, yang untuk kamu khasnya, bukan untuk orang-orang mukmin yang lain - Kami tahu apa yang Kami tetapkan kepada mereka, berkenaan isteri-isteri mereka dan apa yang tangan-tangan kanan mereka miliki - supaya tidak ada kesalahan ke atas kamu; Allah Pengampun, Pengasih." (33:50)
"Dan bulan - Kami tetapkan ia dengan pengkalan-pengkalan sehingga ia kembali seperti sebatang dahan palma yang tua." (36:39)
"Kemudian Kami utus, menyusuli jejak-jejak mereka, Rasul-Rasul Kami; dan Kami utus, untuk menyusuli mereka, Isa putera Mariam, dan kami beri kepadanya Injil. Dan Kami buatkan di dalam hati orang-orang yang mengikutinya kelembutan, dan pengasihan. Dan rahbaniyah (sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak tuliskan (tetapkan) untuk mereka - hanya untuk menginginkan kepuasan hati Allah; tetapi mereka tidak awasinya sebagaimana ia patut diawasi. Maka Kami beri orang-orang antara mereka yang percaya upah mereka; dan kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang fasiq." (57:27)
"Allah telah tuliskan (tetapkan), 'Aku pasti akan kalahkan (orang-orang yang menentang), Aku dan Rasul-Rasul-Ku.' Sesungguhnya Allah Kuat, Perkasa." (58:21)
"Kamu tidak dapat sesuatu kaum yang percayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka. Mereka itu, Dia tuliskan (tetapkan) keimanan dalam hati mereka, dan Dia kukuhkan mereka dengan Roh daripada Dia Sendiri; dan Dia masukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, sedang Allah sangat puas hati terhadap mereka, dan mereka sangat puas hati terhadap-Nya. Mereka itu golongan Allah; sesungguhnya golongan Allah, merekalah orang-orang beruntung." (58:22)
"Dia yang keluarkan dari tempat tinggal mereka, orang-orang tidak percaya daripada ahli Kitab, pada pengumpulan yang pertama. Kamu tidak sangka mereka akan keluar, dan mereka sangka kubu-kubu mereka dapat mempertahankan mereka terhadap Allah; kemudian Allah datang kepada mereka dari arah yang mereka tidak jangkakan, dan Dia lemparkan ketakutan yang amat sangat ke dalam hati mereka sedang mereka meruntuhkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri, dan tangan orang-orang mukmin; maka ambillah pelajaran, wahai orang-orang empunya mata (penglihatan)!
Jika tidak kerana Allah tuliskan (tetapkan) penyuraian bagi mereka, tentu Dia akan azab mereka di dunia; dan bagi mereka di akhirat, azab Api." (59:2-3)"Allah menetapkan bagi kamu pembebasan daripada sumpah-sumpah kamu. Allah Pelindung kamu, dan Dia Yang Mengetahui, Yang Bijaksana." (66:2)
Justeru, dapat dicerahkan dengan ayat-ayat al-Qur'an
bahawa Tuhan tidak tetapkan terlebih dahulu segala perkara
yang akan berlaku. Contoh yang telah ditetapkan ialah mengenai hukum, perang,
perjumpaan dengan Nabi Musa, pengkalan-pengkalan bagi bulan, al-Qur'an,
sesuatu khas untuk Nabi sahaja, kalahkan orang-orang yang menentang, iman
bagi golongan Allah, dan mengenai sumpah.
Di samping itu, Dia juga telah tentukan beberapa perkara, seperti diringkaskan di bawah ini:
pembahagian harta pusaka (4:11)
waktu solat (4:103)
matahari dan bulan untuk hitungan (6:96)
orang-orang yang menerima sedekah (9:60)
anak lelaki bagi Mariam (19:21)
semua akan turun kepada Jahanam (19:71)
matahari berlayar ke satu tempat yang tetap (36:38)
tujuh langit, langit dunia dihiasi pelita-pelita (41:12)
Soalan ketiga - Rasa saya MASA itu adalah makhluk Tuhan. Masa itu ciptaan Tuhan. Tidak ada sebelum dan selepas bagi tuhan.
Apa yang dirasakannya itu mungkin terbit daripada makna makhluk menurut kamus Melayu iaitu segala yang dijadikan Tuhan (seperti manusia, binatang dll).
Adakah segala yang
dijadikan atau dicipta Tuhan dikategorikan sebagai makhluk, dalam
perbendaharan kata-Nya? Soalan dapat dijawab dengan mengkaji ayat-ayat
al-Qur'an yang mengandungi kata tersebut, dan mereka disenaraikan di bawah
ini:
"Dan berkata orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, 'Kami adalah anak-anak Allah, dan kekasih-kekasih-Nya.' Katakanlah, 'Mengapa pula Dia azab kamu kerana kesalahan-kesalahan kamu? Tidak, kamu adalah makhluk daripada ciptaan-Nya; Dia ampun siapa Dia hendaki, dan Dia azab siapa Dia hendaki.' Kerana kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya; kepada-Nya kepulangan." (5:18)
"Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat yang serupa dengan kamu." (6:38)
"Kemudian syaitan bisik kepada mereka, untuk menampakkan kepada mereka apa yang disembunyikan daripada mereka, bahagian-bahagian aib mereka. Berkata, 'Pemelihara kamu larang kamu daripada pokok ini hanya supaya kamu jadi malaikat-malaikat, atau kamu jadi makhluk-makhluk yang hidup selama-lamanya.'" (7:20)
"Tiada makhluk yang merayap di bumi melainkan atas Allah rezekinya, dan Dia tahu tempat menginapnya, dan tempat simpanannya, semuanya di dalam Kitab yang jelas." (11:6)
"Sesungguhnya aku tawakal kepada Allah, Pemeliharaku dan Pemelihara kamu; tidak ada makhluk yang merayap melainkan Dia mengambilnya daripada ubun-ubun. Sesungguhnya Pemeliharaku adalah di atas jalan lurus." (11:56)
"Berkata, 'Aku tidak akan sujud kepada makhluk yang Engkau cipta daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk.'" (15:33)
"Kepada Allah sujud segala di langit, dan tiap-tiap makhluk yang merayap di bumi, dan para malaikat. Mereka tidak sombong." (16:49)
"Jika Allah pertanggungjawabkan manusia kerana kezaliman mereka, tidaklah Dia tinggalkan di atasnya satu makhluk yang merayap; tetapi Dia tangguhkan mereka ke satu tempoh yang dinyatakan; dan apabila tempoh mereka datang, mereka tidak akan undurkannya sesaat, dan tidak juga mendahulukannya." (16:61)
"Tidak juga Kami buat mereka jasad-jasad yang tidak memakan makanan; dan tidak juga mereka makhluk yang hidup selama-lamanya." (21:8)
"Kami tidak buat sesuatu makhluk sebelum kamu untuk hidup dengan kekal; maka, jika kamu mati, adakah mereka akan hidup selama-lamanya?" (21:34)
"Dan Dia yang ciptakan daripada air, makhluk/manusia, dan membuatnya sekeluarga melalui darah dan perkahwinan; Pemelihara kamu Berkuasa." (25:54)
"Sekiranya Allah pertanggungjawabkan manusia kerana apa yang mereka usahakan, tentu Dia tidak tinggalkan di atas muka bumi satu makhluk yang merayap; tetapi Dia tangguhkan mereka ke suatu tempoh yang dinyatakan. Tetapi, apabila tempoh mereka datang, maka sesungguhnya Allah lihat hamba-hamba-Nya." (35:45)
"Dan bumi - Dia letak untuk semua makhluk," (55:10)
"Orang-orang tidak percaya daripada ahli Kitab, dan orang-orang yang sekutukan berada di dalam api Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya; mereka itulah seburuk-buruk makhluk.
Tetapi orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , mereka itulah yang terbaik daripada makhluk-makhluk," (98:6-7)
Maka masa adalah bukan makhluk, walaupun dicipta-Nya. Dengan ringkas, dapat difahamkan iaitu makhluk tidak hidup selama-lamanya.
Soalan keempat dan terakhir - Perlukah Tuhan terikat dengan masa sebagaimana manusia terikat dengan masa?
Soalan adalah lanjutan bagi apa yang di fikiran sebelum ini - Rasa saya MASA itu adalah makhluk Tuhan - lalu terperangkap dengan bisikan yang mengelirukan seperti berbunyi, "Oleh kerana masa itu makhluk Tuhan maka Tuhan terikat dengan makhluk ciptaan-Nya sendiri!"
Tuhan yang "... Yang Kekal. Mengantuk tidak mengambil-Nya, dan tidak juga tidur ... Takhta-Nya merangkumi langit dan bumi, dan Dia tidak rasa tertekan menjaga keduanya; Dia Yang Tinggi, Yang Agung" seperti disebut ayat 2:255 tadi tidak menunjukkan bahawa Dia dibendung dengan masa, seperti manusia.
Perlukah difikirkan Dia Yang Kekal, yang tidak mengantuk, tidak tidur, tidak rasa tertekan, dan Yang Tinggi (jauh lebih tinggi daripada ciptaan-Nya) dapat diikat dengan masa yang dicipta-Nya?
Tambahan pula, ciptaan yang dibuat, telah dibuat-Nya
dengan mudah sahaja. Dan persamaan yang disebut tadi, iaitu Tuhan dengan manusia, merupakan
satu penghinaan kepada-Nya. Bagi-Nya persamaan yang tertinggi di langit dan
bumi. Firman-Nya,
"Dan Dia yang mulakan ciptaan, kemudian kembalikannya semula, dan hal itu amat mudah bagi-Nya. Bagi-Nya persamaan yang tertinggi di langit dan bumi; Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana." (30:27)
Di situ tempat tamat bagi jawapan kami kepada soalan-soalan saudara nzaid.
Seterusnya pergi kepada
kenyataan yang berbunyi, "Salam kemaafan diatas soalan yang mungkin mengganggu ketenteraman tuan".
Sebenarnya tidak, soalan-soalan tidak
mengganggu ketenteraman kami. Sebaliknya kami rasa
syukur kepada Allah kerana fikiran kami tidak dapat diheret oleh sesuatu
atau seseorang kepada soalan-soalan seperti itu,
walaupun mereka mungkin dianggap oleh sesetengah pihak (tidak termasuk
saudara nzaid)
sebagai berbau intelekual.
Memandangkan kita adalah makhluk yang akan mati, dan akan ditanya pula pada Hari Kiamat, maka keutamaan kita harus tertumpu kepada perkara-perkara yang akan ditanya. Mungkin artikel Ditanya dan Tidak Ditanya dapat membantu dalam hal ini.
Dengan maaf kami menyatakan bahawa perkara-perkara dalam empat soalan di atas tidak akan ditanya pada Hari tersebut. Namun mereka dan beberapa yang lain, contoh Islam bukan agama, terus dibawa ke pentas perbincangan tanpa henti.
Pada hemat kami, mereka hanya merugikan masa, kekadang lama, dalam usaha untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Misalan, sudah bertahun-tahun lamanya kami mendengar hujah mengenai Islam tersebut, namun nama Jabatan Agama tetap unggul, tidak luak sehuruf pun. Ada pula antara mereka yang menyebut-nyebutnya tidak menggunakan salam ajaran Allah. Lalu timbul pertanyaan, Islam apakah yang dimaksudkan dalam retorik mereka?
Tidak
ditanya pada Hari Kiamat tetapi dipanjang-panjangkan! Itukah wajar namanya?
"Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk sabar." (103:1-3)
Allah disanjung!
25 Julai 2010
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman