Ditanya dan Tidak Ditanya

 

 

 

 

Kebimbangan terhadap ajakan berpegang pada hanya satu Kitab dapat disaksikan daripada soalan-soalan yang dilontar. Antara mereka terdapat beberapa selalu ditanya. Satu daripadanya adalah yang awal, atau terawal ditanya. Kali terakhir soalan tersebut diajukan adalah baru-baru ini, yang dimuatkan di dalam sepucuk e-mel. Begini bunyi kandungannya:

"salam  

 

Saya amat bersetuju bahawa kita kena kembali kepada Al Quran sebagai panduan dan sekarang ini terlalu banyak rujukan selain dari Al Quran, soalan saya ialah, Bagaimanakah solat yang sebenarnya yang dilakukan oleh nabi, jika dirujuk didalam al quran cara untuk laksanakan solat itu tidak diterangkan, maaf jika saya tersilap. Kalau dapat diterangkan adakah berdiri, sujud dan rukuk itu sama dengan apa yang telah dipraktikkan oleh orang2 terdahulu dan serta bacaan2nya didalam solat itu. Dan sekali lagi maaf dipinta jika soalan ini telah ditanya berulang kali."

Soalan yang dimaksudkan adalah bukan solat, walaupun dari awal bertaraf soalan paling popular, tetapi cara "orang2 terdahulu" lakukannya. Lantaran itu, dapat difahamkan iaitu sesetengah pihak dalam Islam jadikan perbuatan orang-orang terdahulu sebagai rujukan, atau petunjuk, bukan al-Qur'an dalam keimanan mereka. Lalu Petunjuk-Nya jadi sia-sia belaka walaupun berada di sisi. Antara yang disia-siakan terdapat satu yang mungkin tidak dapat dilupakan, dicatat dengan jelas berbunyi,

"Itu umat yang telah berlalu; baginya apa yang mereka usahakan, dan bagi kamu, apa yang kamu usahakan; kamu tidak ditanya mengenai apa mereka buat." (2:134)

Sebenarnya ia dirakam sekali lagi di dalam al-Qur'an dengan bunyi yang sama, dan duduk tidak jauh dari yang pertama, iaitu hanya tujuh ayat kemudian. Namun begitu, orang-orang yang mengaku celik al-Qur'an pun didapati tidak terlepas daripada melupainya jua.

 

Oleh kerana apa yang dibuat oleh orang-orang terdahulu tidak ditanya oleh Allah kepada orang-orang yang kemudian, maka apa mereka buat tidak harus jadi ikutan. Akan tetapi, sebutan cara mereka lakukan sesuatu dalam agama, seperti solat, terus kedengaran ditanya seolah merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar, dan tiada yang menyebutinya kecuali orang-orang yang ikut mereka, dengan taat.

 

Juga tidak ditanya ialah dosa-dosa kita, dan apa yang kita buat, turut tidak akan ditanya kepada orang-orang lain pula. Maka apa yang dibuat oleh seseorang jadi urusan peribadinya sahaja. Demikianlah ketetapan Allah yang berbunyi,

"Katakanlah, 'Kamu tidak ditanya mengenai dosa-dosa kami dan tidak juga kami ditanya mengenai apa kamu buat.'" (34:25)

Pada Hari Kiamat tidak ditanya. Mengapa pula manusia bertanya mengenai dosa atau apa yang dibuat oleh orang lain pada hari ini? Kelihatan seperti ungkapan jaga tepi kain sendiri hanya lancar disebut tetapi tidak dijadikan pakaian. Jika ia jadi basahan tentu masyarakat Islam pada hari ini jadi satu, bebas daripada lontaran jahat, misalan panggilan "sesat" ke atas sesama sendiri yang memilih untuk tidak sefahaman. Kekadang panggilan itu tidak berhenti jadi hanya sebutan sahaja.

 

Sebaliknya, jangan sangka Allah tidak suka amalan bertanya. Al-Qur'an menggalakkannya. Di dalamnya disemat perkara-perkara harus ditanya berserta kepada siapa ditujukan pertanyaan-pertanyaan tersebut. Antara ayat-ayat bersangkutan yang disemadikan adalah:

"Tanyalah Bani Israil berapa banyaknya bukti-bukti yang jelas yang Kami beri mereka." (2:211)

 

"Dan tanyalah mereka mengenai bandaraya yang di tepi laut, apabila mereka mencabuli Sabat, apabila ikan-ikan mereka datang kepada mereka pada hari Sabat mereka dengan berenang ke pantai, tetapi pada hari yang mereka tidak menjaga Sabat, mereka tidak datang kepada mereka." (7:163)

 

"Maka, jika kamu dalam keraguan terhadap apa yang Kami turunkan kepada kamu, tanyalah orang-orang yang baca Kitab sebelum kamu. Yang benar telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu; maka jangan kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu." (10:94)

 

"Pada Yusuf dan saudara-saudaranya adalah ayat-ayat bagi orang-orang yang bertanya." (12:7)

 

"Kami tidak utus sebelum kamu, melainkan lelaki-lelaki yang kepada mereka Kami wahyukan. Tanyalah ahli Zikir (Peringatan) jika kamu tidak tahu." (16:43)

 

"Dan Kami beri Musa sembilan ayat, bukti-bukti yang jelas. Tanyalah Bani Israil apabila dia datang kepada mereka, dan Firaun berkata kepadanya, 'Wahai Musa, aku sangka kamu orang yang kena sihir.'" (17:101)

 

"Bagi mereka, di dalamnya apa yang mereka hendaki, tinggal selama-lamanya; ia adalah satu janji yang mengikat Pemelihara kamu, dan hendaklah ditanya." (25:16)

 

"Yang cipta langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya, dalam enam hari, kemudian duduk di atas Arasy, Yang Pemurah; maka tanyalah yang maklum mengenainya!" (25:59)

 

"Maka tanyalah mereka untuk satu keputusan; adakah mereka yang lebih kuat pada ciptaan (tubuh), atau apa yang Kami cipta? Kami cipta mereka daripada tanah liat yang melekat." (37:11)

 

"Maka tanyalah mereka untuk satu keputusan - adakah untuk Pemelihara kamu anak-anak perempuan, dan mereka anak-anak lelaki?" (37:149)

 

"Dan Dia letak di dalamnya gunung-gunung di atasnya, dan Dia memberkatinya, dan Dia tentukan di dalamnya makanan dan minumannya dalam empat hari, sama bagi orang-orang yang bertanya." (41:10) dan,

 

"Atau, adakah bagi kamu sumpah-sumpah daripada Kami sampai Hari Kiamat, bahawa bagi kamu apa sahaja yang kamu putuskan? Tanyalah mereka, siapakah antara mereka yang menjamin terhadap itu!" (68:39-40)

Pada hari ini, antara mereka yang disuruh untuk ditanya, adalah dengan tidak bersemuka dengan mereka tetapi dengan membaca tulisan-tulisan mereka atas perkara-perkara yang ingin ditanya, atau diketahui. Itu merupakan satu kemudahan yang diberi Allah.

 

Kembali kepada perkara-perkara tidak ditanya, lalu menyebut orang-orang bersalah yang tidak ditanya mengenai dosa-dosa mereka. Seorang daripada mereka ialah Karun. Firman-Nya,

"Dia (Karun) berkata, 'Apa yang aku diberi hanyalah kerana pengetahuan yang ada padaku.' Apa, tidakkah dia tahu bahawa Allah telah musnahkan sebelum dia, generasi-generasi daripada orang-orang yang lebih kuat daripada dia dalam kekuatan, dan lebih banyak dalam kumpulan? Dan orang-orang yang bersalah tidak ditanya mengenai dosa-dosa mereka." (28:78)

Karun adalah seorang yang angkuh, membanggakan diri, melupakan akhirat, lakukan kejahatan, dan buat kerosakan di bumi, menurut ceita daripada dua ayat sebelum itu, berbunyi,

"Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia jadi angkuh kepada mereka kerana Kami beri kepadanya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang empunya kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, 'Janganlah kamu berbangga; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang banggakan diri.
Tetapi carilah, dengan apa yang Allah beri kamu, tempat kediaman akhir, dan janganlah melupakan bahagian kamu di dunia ini; dan buat baik, sebagaimana Allah buat baik kepada kamu. Dan janganlah mencari untuk buat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang buat kerosakan.'" (28:76-77)

Sifat yang disarung oleh Karun ke atas dirinya dapat pula ditonton pada hari ini. Sebab itulah Allah ceritakannya di dalam al-Qur'an. Karun dikatakan bersalah dan berdosa. Maksud dosa dapat difahamkan daripada beberapa ayat yang beri contoh-contoh perbuatan yang menerbitkan dosa. Ayat-ayat dipilih kerana mengandungi kalimat dosa yang sama, tidak daripada akar kata lain. Mereka disenaraikan berbentuk ringkasan sahaja, seperti dapat dilihat di bawah:

Orang-orang yang berdosa tidak akan ditanya mengenai dosa-dosa mereka mungkin kerana mereka sudah mengetahuinya setelah sebuah Kitab diletakkan di hadapan mereka pada Hari Kiamat. Kejadian dirakam melalui ayat berbunyi,

"Dan Kitab diletakkan; dan kamu lihat orang-orang yang berdosa ketakutan pada apa yang di dalamnya, dan berkata, 'Celakalah kami! Bagaimanakah dengan Kitab ini, bahawa ia tidak tinggalkan sesuatu di belakang, kecil atau besar, tetapi ia jumlahkannya?' Dan mereka dapati apa yang mereka telah buat hadir, dan Pemelihara kamu tidak menzalimkan sesiapa pun." (18:49)

Sebutan mengenai apa yang tidak ditanya pada Hari Kiamat berakhir di sini dengan turunkan sebuah ayat mengenai kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seseorang. Mereka tidak ditanya kepada manusia, mahupun jin. Firman-Nya,

"Pada hari itu, tiada yang akan ditanya mengenai kesalahannya, tidak manusia dan tidak juga jin." (55:39)

Kesalahan dan dosa, menurut ayat 28:78 tadi, adalah kait-mengait. Dalam kategori kesalahan terdapat beberapa perbuatan dosa, seperti mendustakan, dan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Selain daripada itu kategori tersebut diisi dengan perbuatan-perbuatan yang diterangkan bersalah sahaja. Ayat-ayat yang dipilih mengandungi kalimat kesalahan yang sama dengan ayat di atas, iaitu yang bukan daripada kata akar lain. Mereka diringkaskan seperti berikut:

Kesalahan-kesalahan manusia turut tidak ditanya seperti dosa-dosa mereka. Sebab tidak ditanya mungkin juga sama, iaitu sudah dimaklumkan daripada Kitab yang dihadapkan.

 

Setelah menyentuh perihal tidak ditanya pada Hari Kiamat beralih pula kepada perkara bakal ditanya. Ayat-ayat yang mengandunginya agak banyak. Antaranya disenaraikan di bawah ini, dan bagi setiap ayat diberi sedikit ulasan yang menyusulinya. Senarai dimulakan dengan ayat berbunyi,

"Dan mereka buatkan sebahagian daripada apa yang Kami rezekikan mereka kepada apa yang mereka tidak tahu. Demi Allah, kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu ada-adakan." -16:56
(Apa yang diadakan dalam agama, khusus atas rezeki yang dikurniakan-Nya, akan ditanya. Misalan, ambil sebahagian daripadanya untuk tuhan-tuhan selain daripada Allah.)

 

"Sekiranya Allah hendak, tentu Dia buat kamu satu umat; tetapi Dia sesatkan siapa Dia hendaki, dan beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki; dan sungguh, kamu akan ditanya mengenai apa kamu buat." -16:93
(Apa yang dibuat dalam kesesatan hingga umat tidak jadi satu akan ditanya.)

 

"Dan janganlah mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang paling baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah perjanjian; sesungguhnya perjanjian ditanya." -17:34
(Tentu ada perjanjian lain yang dibuat, selain daripada menyentuh anak yatim dalam peliharaan.)

 

"Dan jangan ikut apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya; pendengaran, dan penglihatan, dan hati - semua itu ditanya." -17:36
(Mereka ditanya kerana bertanggungjawab atas apa yang diikuti oleh seseorang dengan tanpa pengetahuan.)

 

"Jangan lari! Kembalilah kamu kepada kesenangan yang kamu berada di dalamnya, dan tempat-tempat tinggal kamu, supaya kamu ditanya." -21:13
(Kesenangan hidup yang dikecapi akan ditanya, mungkin mengenai rasuah dan sebagainya.)

 

"Dia tidak ditanya mengenai apa yang Dia buat, tetapi mereka ditanya." -21:23
(Mereka adalah orang-orang yang mengambil tuhan-tuhan selain daripada Allah. Atau bermaksud mentaati ajaran selain daripada ajaran-Nya.)

 

"Sungguh, mereka akan pikul beban-beban mereka, dan beban-beban yang lain bersama beban-beban mereka, dan pada Hari Kiamat, mereka pasti akan ditanya mengenai apa yang mereka ada-adakan." -29:13
(Apa yang diadakan dalam agama selain daripada yang ditetapkan-Nya akan ditanya.)

 

"Namun begitu, mereka telah buat perjanjian dengan Allah sebelum itu, bahawa mereka tidak akan berpaling ke belakang; dan perjanjian dengan Allah akan ditanya." -33:15
-(Satu contoh perjanjian berbunyi "Engkau sahaja kami sembah, dan kepada Engkau sahaja kami mohon pertolongan" [1:5] yang diucap berulang kali setiap hari.)

 

"Dan berhentikanlah mereka untuk ditanya, 'Kenapa kamu tidak menolong satu sama lain?'" -37:24-25

(Begitu pentingnya menolong satu sama lain, misalan memberi sedekah.)

 

"Dan mereka buatkan malaikat-malaikat, yang mereka itu sendiri hamba-hamba Yang Pemurah, perempuan. Apa, adakah mereka saksikan ciptaan mereka? Kesaksian mereka akan ditulis, dan mereka akan ditanya." -43:19
(Apa yang dikatakan mengenai ciptaan Allah yang tidak benar akan ditanya, seperti mengatakan makhluk jin dicipta
daripada angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.)

 

"Sesungguhnya ia adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu; dan sungguh, kamu akan ditanya." -43:44
(Manusia akan ditanya mengenai ayat-ayat al-Qur'an - yang lain tidak disebut.)

 

"Apabila bayi perempuan yang dikuburkan ditanya, Kerana kesalahan apakah dia dibunuh," -81:8-9
(Menguburkan bayi perempuan masih dilakukan di sesetengah tempat di dunia hari ini.)

 

"Kemudian kamu akan ditanya, pada hari itu, mengenai kebahagiaan yang sebenar." -102:8
(Mungkin maksud kebahagiaan yang sebenar adalah Taman atau Syurga yang sebenarnya.)

Soalan-soalan yang bakal ditanya esok amat berat. Lantas, manusia berusaha supaya terlepas daripada penderitaan akibat soalan-soalan tersebut, di samping terlepas daripada dosa dan kesalahan dicatat di dalam Kitab. Usaha dalam ketundukan kepada Allah dipandu oleh Kitab al-Qur'an, bukan orang-orang terdahulu atau kitab-kitab mereka, serta dilengkapkan dengan doa bersabit, seperti empat yang dibentang di bawah ini, dan mereka pula sekali gus jadi penutup perbincangan di sini:

"Wahai Pemeliharaku, dengan apa yang Engkau rahmati aku, maka aku tidak menjadi penyokong bagi orang-orang yang berdosa." (28:17)

 

"Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya kami percaya; ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lindungilah kami daripada azab Api." (3:16)

 

"Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum tidak percaya." (3:147)

 

"Wahai Pemelihara kami, kami dengar seorang pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat." (3:193)

 


Penulis Bacaan

26 April 2009

 

Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim  
Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman