Amalan jadi sia-sia

 

Manusia yang percaya kepada Tuhan lakukan amalan baik. Mereka mengharapkan segala amalan baik yang dilakukan diterima Tuhan. Namun, terdapat antara mereka yang tidak sedar bahawa harapan tersebut ada yang tidak jadi realiti. Kerana ada kalanya Dia enggan menerima sebarang amalan daripada orang-orang tertentu. Lantaran itu, amalan mereka menjadi sia-sia belaka, baik di dunia mahupun di akhirat.

Faktor-faktor yang menyebabkan amalan manusia jadi sia-sia telah dijelaskan Allah di dalam al-Qur'an. Ayat-ayatnya didapati agak banyak, dan diturunkan di bawah ini menurut kronologi:

1.  Murtad atau berpaling daripada agama. Firman Allah,

"Dan sesiapa daripada kamu berpaling (murtad) daripada agamanya, dan mati sedang tidak percaya, amalan mereka menjadi sia-sia, di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni-penghuni Api; di dalamya mereka tinggal selama-lamanya." (2:217)

2.  Tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan

a) membunuh Nabi dan manusia yang menyuruh pada keadilan. Firman-Nya,

"Orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-Nabi tanpa patut, dan mereka membunuh manusia yang menyuruh pada keadilan, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih. Mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; mereka tidak ada penolong." (3:21-22)

b) pertemuan dengan-Nya. Dan usahanya sesat tetapi sangka mereka buat baik. Firman Allah,

"Orang-orang yang usahanya jadi sesat di dalam kehidupan dunia sedang mereka sangka mereka buat perbuatan baik. Mereka itulah orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Pemelihara mereka, dan pertemuan dengan-Nya; amalan-amalan mereka menjadi sia-sia, dan pada Hari Kiamat, Kami tidak tegakkan bagi mereka sebarang timbangan." (18:104-105)

c) menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Firman-Nya

"Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah, Allah sesatkan (hilangkan) amalan-amalan mereka." (47:1)

d) menghalangi orang lain daripada jalan Allah, dan melawan Rasul setelah petunjuk (al-Qur'an) jadi jelas. Di sini, sikap yang negatif terhadap petunjuk setelah ia jadi jelas juga diertikan seperti melawan Rasul, kerana Rasul yang sampaikannya. Firman Allah,

"Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah, dan melawan Rasul setelah petunjuk jadi jelas bagi mereka, mereka tidak akan sedikit pun mudaratkan Allah, dan Dia akan jadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:32)

Sebenarnya juga, amalan orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, lalu tidak mentaatinya, walaupun mengaku Islam, adalah seperti fatamorgana sahaja. Firman-Nya,

"Dan orang-orang tidak percaya, amalan-amalan mereka seperti fatamorgana di dataran yang luas, di mana orang yang dahaga menyangkanya air, sehingga, apabila dia mendatanginya, dia dapatinya tiada sama sekali; dan dia dapati Allah di sisinya, dan Dia bayar hitungannya dengan sepenuhnya; dan Allah cepat buat hitungan." (24:39)

3.  Percaya kepada ayat-ayat Allah, tetapi mempergunakan wanita untuk berzina atau untuk dijadikan teman rahsia (mistress). Mereka yang buat demikian dikatakan tidak percaya (kafir) dalam keimanan. Firman-Nya,

"Begitu juga (dihalalkan) wanita-wanita yang mukmin, dalam pernikahan, dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu, jika kamu beri mereka upah mereka, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina, atau menjadikannya teman rahsia. Sesiapa yang tidak percaya dalam keimanan, amalannya jadi sia-sia, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi." (5:5)

4.  Percaya kepada ayat-ayat Allah, tetapi menolak orang-orang lain yang bersumpah berada bersama mereka dalam pakatan. Firman Allah,

"Dan orang-orang yang percaya akan berkata, 'Adakah ini orang-orang yang bersumpah dengan Allah, dengan sumpah segenap hati, bahawa mereka berserta kami?' Amalan-amalan mereka jadi sia-sia; mereka jadi orang-orang yang rugi." (5:53)

5.  sekutukan Allah. (Sila rujuk artikel Sekutu Allah menurut al-Qur'an untuk mengenali siapa sebenarnya orang-orang yang sekutukan Allah.) Firman-Nya.

"Itu petunjuk Allah; Dia beri petunjuk dengannya kepada siapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya; sekiranya mereka orang-orang yang sekutukan, nescaya sia-sialah bagi mereka apa yang mereka telah buat." (6:88)

Orang-orang yang sekutukan Allah turut didapati di masjid-masjid, seperti mereka yang memakmurkannya. Firman Allah,

"Tidak patut bagi orang-orang yang sekutukan untuk memakmurkan masjid-masjid Allah, dengan menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri akan ketidakpercayaan; mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia, dan di dalam Api, mereka tinggal selama-lamanya." (9:17)

6.  Mendustakan ayat-ayat Allah dan pertemuan di akhirat. Frasa mendustakan ayat-ayat Allah adalah jelas dengan sendirinya tetapi mendustakan pertemuan di akhirat boleh juga diertikan seperti tidak takut kepada balasan di akhirat. Firman-Nya,

"Orang-orang yang dustakan ayat-ayat Kami, dan pertemuan di akhirat, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia; tidakkah mereka dibalas melainkan dengan apa mereka buat?" (7:147)

7.  Hanya ambil bahagian kesenangan setelah jadi kuat dan kaya. Atau, asyik hendak enjoy sahaja. Firman-Nya,

"Seperti orang-orang sebelum kamu, yang lebih kuat daripada kamu dalam kekuatan, dan lebih banyak dalam harta dan anak-anak; mereka ambil kesenangan dengan bahagian mereka; maka kamu ambil kesenangan dengan bahagian kamu, sebagaimana orang-orang sebelum kamu mengambil kesenangan dengan bahagian mereka. Kamu terjun sebagaimana mereka terjun. Bagi mereka itu, amalan-amalan mereka menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat; mereka itu, merekalah orang-orang yang rugi." (9:69)

8.  hendak dunia dan perhiasannya apabila buat sesuatu kerja. Mereka akan dapat dunia dan perhiasannya, tetapi di akhirat segala kerjanya jadi sia-sia sahaja lalu dicampakkan ke dalam neraka dan duduk kekal di dalamnya. Firman Allah,

"Sesiapa yang hendak kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan bayar kepada mereka sepenuhnya untuk amalan-amalan mereka di dalamnya, dan mereka tidak dirugikan di dalamnya. Mereka itulah orang-orang yang tiada bagi mereka di akhirat kecuali Api, dan usaha mereka menjadi sia-sia di dalamnya, dan palsulah kerja-kerja mereka." (11:15-16)

9.  Kikir serta menghalangi orang lain daripada berperang untuk Allah. Juga bersifat pengecut dan tidak percayai. Firman Allah,

"Sesungguhnya Allah tahu orang-orang antara kamu yang halangi, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudara mereka, 'Datanglah kepada kami', dan mereka tidak datangi peperangan kecuali sedikit, Dengan kikir kepada kamu. Apabila ketakutan datang kepada mereka, kamu lihat mereka pandang kepada kamu, dengan mata-mata mereka berputar-putar seperti orang ditutupi kematian; tetapi apabila ketakutan telah pergi, mereka cela kamu dengan lidah yang tajam, dengan kikir untuk miliki yang baik. Mereka itu tidak pernah percayai; Allah jadikan sia-sia amalan-amalan mereka; dan itu, bagi Allah, mudah." (33:18-19)

10.  Benci pada apa yang Allah turunkan (Sila rujuk Kalimat benci di dalam al-Qur'an.) Firman-Nya,

"Itu kerana mereka benci pada apa yang Allah turunkan, maka Dia jadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:9)

11.  Buat apa yang Tuhan marah. (Sila rujuk Kalimat marah atau murka di dalam al-Qur'an.) Firman-Nya,

"Itu kerana mereka ikut apa yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan benci kepuasan hati-Nya, maka Dia jadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:28)

12.  Tidak taat kepada Allah dan Rasul. Rasul hanya sampaikan ayat-ayat-Nya (5:92 dan 24:54). Firman Tuhan,

"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan janganlah jadikan amalan-amalan kamu sia-sia." (47:33), dan akhir sekali,

13.  naikkan suara di atas suara Nabi ketika berinteraksi dengannya. Firman Allah,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah naikkan suara-suara kamu di atas suara Nabi, dan jangan kamu melantangkan ucapan kamu kepada dia, seperti kelantangan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak jadi sia-sia amalan-amalan kamu, sedang kamu tidak sedar." (49:2)

Demikianlah petikan ayat-ayat al-Qur'an mengenai amalan manusia yang akhirnya jadi sia-sia belaka. Tidak ada balasan yang baik lagi kekal bagi mereka kecuali neraka. Lantas ia mengingatkan manusia bahawa buat amalan atau kerja-kerja baik bukanlah satu-satunya dalam agama.

Sila rujuk:
Kalimat amalan di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
September 2003


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman