Janji Setia

 

Salamun alaikum,

Tajuk ini tidak pernah dikemukakan sejak lama web ini wujud lebih sembilan tahun lalu. Selama ini tiada seorang pun termasuk ahli Qur'an menganggapnya satu amalan yang harus dipraktikkan, kecuali seorang, yang memulakan hujahnya dengan soalan seperti berikut:

 

From: nwira9
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Tuesday, July 5, 2011 9:20 PM
Subject: Berjanji

Perlukah kita berjanji setia ?

 

Dalam jawapan secara peribadi, kami telah menegur atas ketiadaan salam pada emelnya, dan memaklumkan iaitu janji setia hanya dilakukan kepada Rasul dan Nabi, dan bahawa kami tidak nampak yang selain daripada itu.

Teguran atas salam dibuat untuk mengetahui sama ada nwira9 seorang yang berpegang pada al-Qur'an. Kalau tidak, perkara jadi lebih rumit kerana hanya ayat-ayat al-Qur'an sahaja yang akan dirujuk dalam perbincangan di sini.

Jawapan kami dibalas seperti berikut:

 

From: nwira9
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Wednesday, July 6, 2011 1:31 AM
Subject: Re: Berjanji


Salam,

Siapakah 'kamu' pada ayat 48:10 ?adakah ia merujuk kepada penerima berita besar terakhir yang sampaikan berita besar terakhir?

Dan apakah maksud saksi..adakah perlu penyaksian antara kita dengan Rasul Allah apabila kita berjanji setia? Dalam al quran ada di beritahu prinsip2 berjanji setia salah satunya jangan berzina...persoalan saya, di depan siapa saya hendak lafazkan prinsip2 itu?di depan kawan saya?didepan ibubapa saya?atau di depan saudara empunya laman...al quran petunjuk bagi manusia &penjelasan bagi petunjuk & pembeza. Kitabin mubin ,Imamin mubin,balaghin mubin......

Allah Disanjung.


Dengan respon demikian kami mengandaikan bahawa nwira9 adalah seorang yang berpegang kepada al-Qur'an. Dan beliau percaya bahawa janji setia harus diadakan di kalangan kita pada hari ini.

Pergi kepada soalannya yang pertama iaitu Siapakah 'kamu' pada ayat 48:10 ?adakah ia merujuk kepada penerima berita besar terakhir yang sampaikan berita besar terakhir?

Adakah beliau cuba mengatakan bahawa kamu di situ adalah bukan Rasul atau Nabi seperti yang kami maklumkan kepadanya, tetapi seorang yang tinggal bersamanya dewasa ini, atau beliau sendiri?

untuk mendapatkan jawapan kepada soalan tersebut sila rujuk ayat berkenaan yang berbunyi,

48:10. Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa mungkiri sumpahnya, hanyalah mungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa tepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan beri kepadanya upah yang besar.

Kalau kamu di situ bukan Nabi Muhammad atau Rasul Allah maka ia pada hari ini mungkin seorang berdarjat "Pengerusi Persatuan Al-Qur'an" (PPAQ), sekadar beri satu misalan, yang kepadanya diberi janji setia.

Siapa kamu di situ dapat dijelaskan lagi dengan ayat kedua sebelum ayat tadi berbunyi,

48:8. Sesungguhnya Kami utus kamu sebagai seorang saksi, dan pemberi berita gembira, dan pemberi amaran,

Tidak mungkin kamu di situ adalah seseorang yang hidup pada hari ini (seperti PPAQ) kecuali dia sangka telah diutus Allah seperti Nabi atau Rasul Allah diutus. Sebenarnya ia adalah singular, lalu dituju khas kepada Muhammad.

Sedia maklum iaitu janji setia tersebut dilaksana dalam suasana perang. Ini dapat difahamkan apabila pembacaan diteruskan dari ayat tadi hingga ayat 20, dan di tengah jalan akan bertemu dengan ayat-ayat berikut:

48:18. Allah sangat puas hati terhadap orang-orang mukmin apabila mereka berjanji setia kepada kamu di bawah pokok, dan Dia tahu apa di dalam hati mereka, maka Dia turunkan ketenangan kepada mereka dan ganjari mereka dengan kemenangan yang dekat,

48:19. Dan banyak rampasan perang untuk diambil; dan Allah Perkasa, Bijaksana.

Sekiranya janji setia dilakukan pada hari ini, di sini, ia dilakukan bukan dalam keadaan perang, dan tentunya kepada, misalan, PPAQ tersebut. Apa akan jadi setelah berjanji setia kepadanya dia didapati curang kepada al-Qur'an (kerana dia tidak diutus Allah maka tidak ada jaminan atas keimanannya seperti keimanan Rasul atau Nabi yang diutus Allah)?

Soalan tersebut diterbitkan setelah dapati beri salam kepada kami pun kelihatan agak berat, apatah lagi kepada orang lain atau menyuruh orang lain mengamalkan salam ajaran Allah.

Balik kepada kandungan emel saudara nwira9 di atas yang diturunkan sekali lagi di bawah ini:

Dan apakah maksud saksi..adakah perlu penyaksian antara kita dengan Rasul Allah apabila kita berjanji setia? Dalam al quran ada di beritahu prinsip2 berjanji setia salah satunya jangan berzina...persoalan saya, di depan siapa saya hendak lafazkan prinsip2 itu?di depan kawan saya?didepan ibubapa saya?atau di depan saudara empunya laman...al quran petunjuk bagi manusia &penjelasan bagi petunjuk & pembeza. Kitabin mubin ,Imamin mubin,balaghin mubin......

Izinkan kami turunkan ayat yang dimaksudkan itu -

60:12. Wahai Nabi, apabila wanita-wanita mukmin datang kepada kamu, dengan berjanji setia kepada kamu, bahawa mereka tidak akan sekutukan Allah dengan sesuatu, dan tidak akan mencuri, dan tidak lakukan zina, dan tidak membunuh anak-anak mereka, dan tidak datangkan fitnah yang mereka ada-adakan antara tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka, dan tidak juga ingkari kamu pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.

Sekali lagi janji setia dilafaz dalam suasana perang, di mana terdapat wanita-wanita mukmin lari daripada suami-suami mereka yang tidak percaya, atau isteri-isteri orang mukmin lari kepada orang-orang tidak percaya, dan sebagainya - sila baca konteks ayat tersebut bermula ayat berikut:

60:8. Allah tidak larang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu buat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil.

Sedikit mengenai larangan ke atas wanita-wanita mukmin yang disebut ayat 60:12 tadi. Mereka adalah orang-orang pelarian, yang sempit keadaannya, dalam suasana perang, lalu larangan-larangan yang dikenakan ke atas mereka adalah untuk menjaga ketenteraman awam dalam keadaan darurat.

Jangan pulak orang yang menganjur janji setia pada hari ini menyelitkan larangan-larangan tersebut dalam janji setia kepadanya kerana larangan-larangan tersebut tidak perlu disebut lagi. Mereka adalah larangan tetap bagi semua orang yang sudah maklum daripada al-Qur'an.

Seterusnya beranjak kepada ayat pertama pada kandungan emel yang baru diturunkan di atas yang turut menarik perhatian kami. Ia berbunyi Dan apakah maksud saksi..adakah perlu penyaksian antara kita dengan Rasul Allah apabila kita berjanji setia?

Lantaran itu kami ingin bertanya:

Saudara telah mengatakan al quran petunjuk bagi manusia &penjelasan bagi petunjuk & pembeza. Kitabin mubin ,Imamin mubin,balaghin mubin...... - memang benar, segalanya sudah jelas, tetapi saudara mempunyai tafsiran sendiri, di samping menokok-tambah kandungan ayat-ayat-Nya, dan hendakkan juga janji setia kepada PPAQ itu seakan ia suatu yang wajib!

Andaikata senario disebut ayat-ayat janji setia itu jadi kenyataan suatu hari nanti, maka kami syorkan supaya ayat-ayat berkenaan dibacakan kepada orang-orang terlibat, untuk mereka mengetahui dan memahami sendiri tentang janji setia. Dan kemudian lakukannya dengan rela hati bukan dengan cara didesak. Apatah lagi, misalannya, untuk meminta sesuatu daripada mereka dan ditakrifkan pula sebagai sedekah walaupun bunyinya manis. Sila rujuk hujah berkaitan bertajuk Bicara Rahsia. Terima kasih.

Kami tidak tahu sama ada amalan itu dilakukan oleh mana-mana pihak pada hari ini. Namun, kami tidak terkejut sekiranya diberitahu tentang kewujudannya kerana ia datangkan keuntungan bukan sahaja dari segi benda tetapi ego bagi PPAQ juga. Keuntungan atas nama agama atau al-Qur'an adalah bukan suatu yang luar biasa pada hari ini.

Kami berhenti di situ, dengan harapan tajuk janji setia kepada PPAQ yang menimbulkan keraguan tidak disebut lagi.

Allah disanjung!

8.7.11
dikemaskini 25.7.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman