Pengganas atau Pejuang Islam?

 

Letupan-letupan bom dan pembunuhan-pembunuhan yang dilakukan oleh segelintir orang Islam di dunia telah menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat Islam sendiri. Adakah perbuatan itu perbuatan pengganas atau perbuatan dalam jihad Islam? Sepucuk e-surat mengesahkan kemusykilan tersebut yang ditulis laku berikut:

Saya ingin meminta bantuan tuan, Saya ada sedikit kemuskilan Tentang jemaha Islamic malaysia. Ada yang menggatakan mereka ini adalah kumpulan pengganas, dan ada pulak yang menggatakan mereka ini adalah kumpulan jihad islam yang menentang keganasan kaum kristian yang melampaui batasan yang suka menindas umat islam.

Jawapan yang diberi di halaman ini akan menyinggung perasaan sesetengah pihak. Namun begitu, ayat-ayat al-Qur'an yang diselitkan harus diberi pertimbangan yang wajar.

Nama "jemaha Islamic malaysia" yang disebut, penulis anggap ditujukan kepada mana-mana kumpulan manusia yang menggunakan nama Islam dan bersifat militant yang wujud di Malaysia.


Kristian dan Islam

Kenyataan yang tersurat - "keganasan kaum kristian yang melampaui batasan yang suka menindas umat islam" - jadi pokok dalam bicara di sini.

Keganasan dan penindasan yang dilakukan oleh orang-orang Kristian dan juga orang-orang Islam di dunia, terhadap satu sama lain, pada masa dahulu, selalu diungkit-ungkit oleh kedua-dua belah pihak hari ini. Satu sebab ia diungkit-ungkit adalah untuk memanjangkan lagi perbuatan yang tidak diingini umum. Bukan sahaja mereka berdua, bahkan mana-mana golongan manusia lain yang menggunakan nama agama dalam perjuangan mereka didapati sering lakukan keganasan dan kezaliman.

Di Malaysia, keganasan dan penindasan orang-orang Kristian ke atas umat Islam tidak dapat dikesan dengan jelas. Atau, tidak dapat dikesan langsung. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya terdapat mana-mana pihak daripada kedua-dua golongan itu mengatakan mereka ditindas atau dizalimi oleh golongan yang lagi satu, maka pihak itu hanya berniat jahat, mempunyai motif tertentu.

Mungkin yang menerbitkan kemarahan sesetengah orang Melayu di Malaysia terhadap orang Kristian ialah perbuatan beberapa orang kaumnya yang keluar dari Islam untuk memeluk agama tersebut. Angka sebenar tidak diketahui. Kecuali bagi sesetengah orang Melayu, seorang sahaja yang jadi Kristian sudah memadai untuk mereka mengamuk, yang boleh membawa maut kepada mereka yang diamuk.

Menukar agama di kalangan manusia adalah perkara biasa yang berlaku di dunia. Manusia diberi kuasa memilih. Akan tetapi, tidak didengari, di Malaysia khususnya, orang-orang beragama lain mengamuk apabila seorang atau beberapa orang daripada golongan mereka masuk Islam. Sayugia diingat iaitu bilangan mualaf adalah ramai di Malaysia, juga di seluruh dunia.


Ajaran

Pihak-pihak tertentu akan mengatakan, apabila didapati orang Melayu murtad, bahawa itu adalah disebabkan mereka tidak mendalami ilmu Islam. Itu bukan sebabnya kerana anak-anak Melayu menerima didikan agama kian lama di bangku sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Sebaliknya, mereka harus renungkan apa yang mereka ajar. Umpamanya, fahaman Kristian banyak ajar nilai kasih dan sayang, berbanding mereka (Islam) dengan haram dan benci, sekadar menyebut dua atau tiga patah perkataan sahaja untuk bezakan ajaran dua golongan tersebut.

Bagi sesetengah orang Melayu pula, bukan setakat keluar dari Islam, malah, untuk mempertikaikan hadis kepercayaan mereka boleh menimbulkan marah sehingga mengancam untuk membunuh - walaupun ditunjukkan ayat-ayat al-Qur'an sebagai bukti. Kalau pun tidak mahu percaya kepada ayat-ayat al-Qur'an, tidaklah perlu tunjukkan kebengisan dan keganasan! Tidak sama orang Kristian dan mereka yang beragama lain, yang tidak percaya - mereka tidak bertindak ganas ke atas orang-orang yang menyeru kepada al-Qur'an.


Pengertian

Menurut kamus Melayu, perkataan "pengganas" bermaksud "penjahat, pengacau, penderhaka". Berpandukan pengertian tersebut, bagi orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhan, atau derhaka kepada-Nya, serta membunuh dan mengancam keselamatan awam adalah, pada hemat penulis, ditakrifkan sebagai pengganas.

Dan jihad, sebagaimana yang sudah dimaklumkan dalam artikel sebelum ini (Jalan Allah), adalah perjuangan untuk menyebarkan mesej Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an. Jihad dan perang (bersenjata) adalah bukan satu, kerana bukan semua kegiatan jihad disusuli dengan perang.

Oleh yang demikian, berjihad terhadap orang-orang Kristian bermaksud sampaikan ajaran al-Qur'an kepada mereka. Dan Allah menyuruh sampaikannya dengan cara yang paling baik dan berhikmah. Mereka hanya diperangi apabila mereka memerangi, atau lakukan kezaliman ke atas penduduk sehingga menyebabkan penderitaan.


benci

Jangan terburu-buru untuk benci orang-orang Kristian. Allah mengingatkan tentang mereka, yang mempunyai kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya (kepada Allah dan al-Kitab) dalam ayat berikut:

"dan sungguh kamu dapati mereka yang paling dekat dalam kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'; itu adalah kerana sebahagian mereka adalah paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak sombong." (5:82)

Sejarah orang Islam ada ceritakan mengenai perlindungan yang diberi oleh raja Kristian kepada orang-orang Islam yang lari ke Habsyah setelah orang-orang Arab yang tidak percaya di Mekah menzalimi mereka. Dan perang Badar dan Hunain, yang disebut di dalam al-Qur'an, adalah peperangan melawan orang-orang tidak percaya yang memerangi, yang tergolong daripada ahli keluarga dan kaum sendiri. Bukan orang Kristian.

Justeru, tidak melampau apabila dikatakan golongan "jemaha Islamic malaysia" itu pengganas, dan apa yang mereka lakukan adalah bukan jihad yang sebenar. Kerana mereka tidak ikut jalan Allah yang ditunjukkan dalam al-Qur'an.

Letupan-letupan dan pembunuhan-pembunuhan yang dilakukan oleh segelintir orang Islam yang militant di beberapa buah tempat di dunia hari ini adalah bukan kerana "menentang keganasan kaum kristian yang melampaui batasan yang suka menindas umat islam", seperti yang didakwa.

Walaupun terdapat pembunuhan beramai-ramai orang Islam di Bosnia pada tahun 1995, kerana dasar puak Serb yang ingin hapuskan sesuatu kaum, itu tidak menghalalkan pengeboman dan pembunuhan di tempat-tempat lain. Terutamanya di tempat-tempat di mana orang-orang Islam hidup dengan aman, maju, dan mewah, di bawah pemerintahan orang Kristian. Mungkin selepas peristiwa 11 September pendirian mereka berubah terhadap orang-orang Islam.

Kezaliman yang berlaku di Bosnia itu dibalas di tempat lain di Balkan, dan juga di mahkamah keadilan dunia. Tidak ketinggalan untuk disebut, dalam membalas, ialah pembunuhan di Ambon, dan di beberapa buah tempat lain di Indonesia, di mana gereja dibom, yang mengakibatkan beberapa nyawa Kristian terkorban dan ratus yang lain cedera.

Bilakah dendam-mendendami ini akan berakhir supaya, dengan banyak, Allah dapat disanjung dan amalan kebajikan dibuat?

Yang dikatakan jadi satu sebab berlakunya kejadian yang tidak diingini di beberapa buah tempat lain di dunia ialah masalah di Palestin, tetapi didapati tidak pula berkait dengan puak Kristian.

Macam rancangan untuk mengislamkan beberapa buah negara di rantau ini, juga tidak kena-mengena dengan orang-orang Kristian. Melainkan pengganas-pengganas yang terlibat berniat untuk hapuskan agama Kristian dan agama-agama lain sama sekali, dan memaksa rakyat supaya mengamal sejenis Islam bagai yang mereka anuti.


Dikuasai

Boleh dikatakan bahawa keganasan yang dilakukan oleh segelintir orang Islam itu berpunca daripada masalah ekonomi. Tidak mampu menguasai lalu dikuasai. Itu mereka tidak suka. Walhal, di kebanyakan negara Islam, Allah telah rahmati dengan diberi minyak atau galian lain, tanah yang luas lagi subur, tenaga yang berlimpah, dan sebagainya, yang boleh mengajak kepada peguasaan ekonomi dunia serta ketinggian ilmu pengetahuan. Lantas, mampu jadi kahlifah atau pengganti di bumi Allah. Tetapi mereka tidak jadi begitu, bagaimana yang dijanjikan Allah dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Allah berjanji kepada orang-orang antara kamu yang percaya, dan buat kerja-kerja baik, bahawa Dia akan sesungguhnya jadikan kamu pengganti-pengganti di bumi, sebagaimana Dia jadikan orang-orang sebelum mereka pengganti-pengganti, dan sungguh, Dia akan teguhkan agama mereka bagi mereka yang Dia relai untuk mereka, dan Dia akan tukarkan untuk mereka, sesudah ketakutan mereka, dengan keamanan." (24:55)

Oleh itu, sebab orang-orang Islam tidak jadi bos di dunia, sekadar jadi pak turut sahaja, ialah ketidakpercayaan (kepada ajaran Tuhan) dan tidak buat kerja-kerja baik .

Dengan itu, mereka berpaling daripada ayat-ayat Allah. Mana-mana kaum yang berpaling akan menerima nasib yang malang dengan diganti kaum lain. Laksana yang sudah berlaku kepada beberapa kaum Islam di dunia. Terdapat beberapa ayat di dalam al-Qur'an mengenai penggantian tersebut. Satu daripadanya berbunyi:

"Tetapi jika kamu berpaling (daripada ayat-ayat Allah), aku telah sampaikan kepada kamu apa yang aku diutus dengannya kepada kamu, dan Pemeliharaku akan jadikan satu kaum yang selain daripada kamu, sebagai pengganti-pengganti" (11:57).

Kerana berpaling daripada ajaran Tuhan, orang-orang Islam yang pada suatu masa dahulu menguasai dunia telah kehilangan sempadan pemerintahan, atau kuasa pemerintahan, kepada kaum lain. Dulu memerintah kini diperintah. Lantaran, pada hari ini mereka hidup tertekan.


Al-Qur'an

Untuk bangkitkan semula kuasa kaum atau bangsa, dan agama Islam di dunia, orang-orang Islam harus berjihad dengan al-Qur'an. Bukan dengan keganasan, yang hanya jadi resipi untuk kehancuran. Dengan al-Qur'an (sahaja) orang-orang Islam tidak akan mundur, dan tidak akan kalah lagi di mana-mana medan pertempuran, kerana dibantu dengan tentera dari langit (36:28).

Akhir kata, bangkitlah Melayu! Jadilah pejuang Islam, berjihad dengan al-Qur'an. Kejayaan pasti dicapai. Namun, sebelum itu, fahamilah kandungan al-Qur'an, ikutilah segala ajarannya, termasuk yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak, seperti cara beri salam, yang Tuhan terangkan sebagai diberkati dan baik. Dan buanglah segala ajaran palsu yang datang dari selain al-Qur'an, supaya Allah tidak disekutu, dan bangsa dimudaratkan. Dengan Kitab itu satu-satunya, bukan sahaja Melayu takkan hilang di dunia, malahan, akan jadi bangsa yang amat dihormati di muka bumi ini - dengan izin Allah.


Penulis Bacaan
Januari 2003

Artikel berkaitan:
Ayat 2:62
Jalan Allah
Salamun alaikum
Malaysia Quranik?
Kafir dan Al-Qur'an
Musuh orang percaya
Hukum murtad yang zalim
Sekutu Allah menurut al-Qur'an


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman