Malaysia Quranik?

 

From: "saiful"
Subject: soalan
Date: Monday, January 27, 2003 8:29 AM

salamun alaikum,

saya selalu mengunjungi laman web ini sejak saya dikejutkan dari tidur baru-baru ini. Terima kasih saya kepada pengurus laman dan mereka yang sependirian dengannya dan syukur saya kepada Allah yang beri sedikit cahayaNya.

saya ingin bertanya kepada saudara, pendapat tentang sistem yang kita amalkan di malaysia ini adakah "Quranic"? saya pernah mengatakan kepada seorang penyokong parti pantai timur bahawa di malaysia inilah gambaran terdekat sebuah negara islam dimana semua bangsa bebas mengamalkan ugama masing-masing dan dilindungi undang-undang. bukan di saudi mahupun kerajaan taliban. 

terima kasih kerana sudi membaca.

salaam.

Jawapan kami adalah seperti di bawah:


Salamun alaikum saudara Saiful. Terima kasih atas kunjungan saudara ke laman web kami dan terharu atas keyakinan yang ditunjukkan. Saudara adalah seorang yang berhemah tinggi. Kami tidak dapati ramai yang miliki sifat berterima kasih seperti saudara. Seperti kata Allah, kebanyakan manusia tidak berterima kasih:

"Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih." (2:243)

Sebenarnya kami tidak gemar membincangkan isu yang berbau politik. Sebab kami perhatikan parti-parti politik di sini tidak begitu friendly dengan kami. Ada pula antara mereka yang tidak friendly langsung. Walaupun terpisah daripada mereka, namun, kami tidak leka daripada apa mereka buat.

Pun demikian, kami menyambut soalan saudara dengan hati yang terbuka. Dan menjawabnya selaku rakyat yang bertanggungjawab.

Adalah difahamkan orang-orang negara lain menganggap Malaysia sebuah negara Islam contoh, hasil usaha segolongan orang Melayu yang memerintah. Sementara sesetengah golongan lain tidak mengakuinya, fasal mempunyai agenda tertentu. Manakala mereka yang digelar "pengganas" menganggapnya kafir pula lalu berhasrat untuk mengislamkannya, menurut Islam anutan mereka, dengan kekerasan.

Begitulah senario yang ditayangkan oleh orang-orang Melayu sendiri terhadap negara mereka yang tercinta. Akan tetapi, soalnya di situ bukan Islamik tetapi Quranik. Adakah sistem di Malaysia Quranik? Untuk menjawab dengan satu perkataan "Ia" atau "Tidak" adalah sukar. Namun, sekiranya jawapan serupa itu dihendaki juga, lantas, pada hemat kami, jawapannya adalah "Ia".

Jawapan tersebut berdasarkan beberapa ciri yang terdapat dalam sistem yang diamalkan di Malaysia. Antaranya adalah (dijelaskan dengan ringkas sahaja):

1. Perundingan

Segala urusan negara didapati dilaksanakan melalui proses perundingan atau syuraa bagi orang Melayu yang suka pakai perkataan Arab. Mesyuarat-mesyuarat diadakan dari peringkat atasan seperti Istana dan Parlimen, atau Kabinet (seminggu sekali) hinggalah ke peringakt bawahan, misalnya di kampung, dengan kewujudan Jawatankuasa Kemajuan Kampung. Itu menunjukkan penyeluruhan perundingan yang diamalkan di Malaysia atas kehendak pemerintah.

Amalan itu Quranik - "dan urusan mereka adalah dengan rundingan antara mereka" (42:38).

Perundingan bersama orang-orang yang bukan Islam adalah tidak salah. Mereka bukan musuh setelah mereka buat perjanjian dengan orang-orang Islam (4:90).

2. Kebajikan

Orang-orang fakir, miskin, tua, anak yatim, cacat, kaum wanita yang teraniaya, dan sebagainya, kelihatan berada dalam keadaan terjaga di Malaysia. Begitu juga orang-orang sakit yang diberi rawatan dan perubatan percuma. Biasiswa dan pinjaman pendidikan yang diberi kepada mereka yang tidak mampu, dan kemudahan asas yang disediakan adalah tambahan bagi contoh kebajikan yang disediakan di Malaysia.

Rasanya tidak perlu diturunkan ayat-ayat al-Qur'an mengenai suruhan dalam buat kebajikan di ruangan yang singkat ini.

3. Pendidikan

Daripada ayat-ayat yang menyebut mengenai membaca, dan pengetahuan pelbagai ilmu, seperti sains, astronomi, kemanusiaan, kemasyarakatan, dan lain-lain, didapati al-Qur'an mementingkan ilmu pengetahuan. 

Sama itu juga dipentingkan di Malaysia. Pendidikan yang disediakan boleh dibanggakan. Mana-mana bidang ilmu yang tidak ada di sini, maka pelajar-pelajar yang ingin menuntutnya akan dihantar ke luar negeri.

Cuma yang kelihatan agak cacat sedikit ialah pendidikan agama di sekolah kerajaan yang mirip ajaran di Sekolah Agama Rakyat (SAR) anjuran sesetengah pihak. Ajarannya tidak Quranik dan dibuat wajib pula. (Sila rujuk artikel Islam from Institusi Pondok untuk mengenal dengan lebih dekat ajaran agama di SAR.)

4. Perdagangan

Dengan adanya kawalan harga ke atas beberapa barang keperluan, maka riba yang dilarang Allah dapat dijauhkan. (Pendapat kami, riba adalah ambil untung berlipat kali ganda dan menzalimi pengguna) 

Dan subsidi yang diberi kepada beberapa barang keperluan, untuk meringankan beban rakyat, adalah juga contoh bagi menyatakan sistem di Malaysia itu Quranik.

5. Pemeliharaan alam semula jadi

Firman Allah:

"Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri usahakan" (30:41)

Kerosakan tersebut cuba dikurangkan atau dikawal daripada berlaku dengan kewujudan jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Alam Sekitar, Perhilitan, Jabatan Hutan, dan sebagainya. Usaha seumpama itu Quranik.

6. Keselamatan awam

Pada keseluruhannya rakyat hidup dengan aman, tanpa rasa takut. Polis dan tentera didapati berkesan hapuskan kacau-bilau dan anasir-anasir yang boleh mengganggu ketenteraman awan, kerana mereka profesional. Firman-Nya:

"Apabila datang kepada mereka suatu urusan, sama ada daripada keamanan atau ketakutan ..... mereka kembalikannya ..... kepada ulil amri, orang-orang antara mereka yang ditugaskan untuk selidikinya, tentu akan ketahuinya." (4:83)

7. Undang-undang

Undang-undang sivil yang melindungi rakyat didapati tidak zalim dan disenangi rakyat. Ciri itu Quranik. Sementara undang-undang baru yang dilabel "Islam" telah menimbulkan banyak keraguan dan tidak disenangi. Sebab tidak Quranik. Dengan adanya dua set undang-undang dan mahkamah, bagi dua golongan rakyat (Islam dan bukan Islam), maka Malaysia kelihatan seperti mengamalkan double standard.

Pada hemat kami, undang-undang yang dikatakan Islam itu dan mahkamahnya, tidak harus diwujudkan kerana undang-undang sivil yang sedia ada sudah Quranik. Kami setuju ia harus dikemaskini, terutamanya dalam hukum bunuh, yang Allah tidak menggalakkan. Firman-Nya:

"Dalam pembalasan (qisas) ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang empunya minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)

8. Kebebasan beragama

Orang-orang beragama lain bebas mengamalkan kepercayaan mereka di Malaysia. Pemerintah tidak musnahkan tempat-tempat ibadat atau patung-patung yang dipuja mereka. Ini sungguh Quranik. Firman-Nya,

"Tidak ada paksaan dalam agama" (2:256).

Tapi, sesetengah orang Islam dapati sukar untuk mengamalkan fahaman mereka. Itu bahana sejenis fahaman Sunni dijadikan inti bagi agama rasmi. Oleh itu terdapat mereka yang berlainan fahaman dihukum atau dipenjara.

Dalam Sunni terdapat beberapa kepercayaan yang berbeza. Antaranya memfatwakan bahawa warna Sunni anjuran pihak pemerintah adalah bukan Islam, atau kafir. Lalu pergeseran dan permusuhan berlaku di kalangan rakyat berbangsa Melayu khasnya.

Nyatalah, iaitu fahaman Sunni tidak seharusnya jadi inti bagi agama rasmi negara. Yang harus diisi ke dalamnya ialah fahaman al-Qur'an, demi untuk memantapkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi, serta beri kebebasan kepada semua rakyat mengamalkan fahaman masing-masing. Sekali gus, meluhurkan Perlembangaan Malaysia yang jadi Quranik.

Tidak dibicarakan di sini ialah kelemahan dalam penguatkuasaan, salah guna kuasa, atau rasuah, dalam sistem, atas mereka bukan anjuran pihak pemerintah. Penyakit manusia macam itu terdapat di mana-mana negara di dunia. Sukar dibasmi. Hanya yang mampu dilakukan ialah mengurangkannya sahaja. Usaha untuk mengurangkannya kelihatan gigih dijalankan. Lantaran, mengiakan lagi kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Quranik contoh di dunia.

Salamun alaikum.

catatan:

Oleh kerana perkataan "Islam" atau "Islamik" disalah guna oleh kebanyakan orang, maka kami menggunakan perkataan "Quranik" untuk menunjukkan sesuatu yang benar-benar bersifat Islamik.
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman