Haji di dalam al-Qur’an

 

Adakah al-Qur'an menunjukkan cara ibadah Haji? Itu soalan yang selalu ditanya oleh sesetengah pihak. Lantaran, soalan tersebut cuba dijawab di kertas ini.

Usaha mencari jawapannya bermula dengan meneliti ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan "Haji", dan kemudian kepada ayat-ayat lain di mana perkara-perkara yang berkaitan dengan Haji disentuh. Ayat-ayat itu banyak.


Wajib

Daripada al-Qur'an, didapati bahawa amalan Haji dan penyempurnaannya adalah perintah Tuhan. Terdapat tiga ayat yang membawa perintah itu, dan mereka adalah:

Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah” (2:196).

"Adalah kewajipan manusia terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah, jika dia boleh buat jalannya ke sana” (3:97).

“Dan serulah manusia kepada haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam" (22:27).

Maka, dengan itu, Haji adalah wajib untuk disempurnakan oleh hamba-hamba-Nya yang mampu buat perjalanan ke Rumah dan lakukan beberapa suruhan-Nya di sana.


Bila

Haji bermula pada 1 hari bulan atau awal bulan. Bulan-bulan haji pula adalah diketahui, kata-Nya, iaitu pada bulan-bulan haram yang empat. Ayat-ayat Allah yang berikut jelaskannya:

“Mereka tanya kamu mengenai bulan-bulan baru. Katakanlah, ‘Mereka adalah waktu-waktu yang ditetapkan bagi manusia, dan Haji’” (2:189).

“Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui(2:197).

“Bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah pada hari Dia cipta langit dan bumi. Empat daripadanya HARAM (hurum). Itu agama yang betul” (9:36).

Kaitan antara bulan-bulan Haji dengan bulan-bulan haram dapat dibuktikan dengan mengumpul beberapa ayat yang bersangkutan dengan mereka. Sila click di sini untuk melihatnya.

Bulan-bulan Haji, atau bulan-bulan haram, adalah dari bulan Haji dan berterusan selama empat bulan selanjutnya (9:2).

(Untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang catatan sejarah mengenai kalendar Islam dan kalendar yang dipakai oleh orang-orang Jahiliah yang mengandungi 13 bulan setahun, sila click di sini. Mungkin kerana itulah Tuhan menegaskan bahawa bilangan bulan dalam setahun adalah dua belas. Terima kasih kepada seorang sahabat yang mengirimnya beberapa tahun lalu.)


Hurum

Perkataan hurum yang telah disebut adalah apa yang difahamkan umum sebagai ihram. Kalimat tersebut sebenarnya adalah kata jamak bagi haram. Ayat-ayat yang mengandunginya ada lima, dan mereka adalah seperti di bawah:

"... supaya kamu tidak anggap binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam hurum (haram / ihram)." (5:1)

"jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam hurum (haram / ihram); sesiapa antara kamu yang bunuh dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang dia telah bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebus - memberi makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia rasai keburukan daripada pekerjaannya." (5:95)

"Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam hurum ( haram / ihram);" (5:96)

"Kemudian, apabila bulan-bulan hurum ( haram) telah pergi, bunuhlah orang-orang yang sekutukan di mana sahaja kamu dapati mereka ....." (9:5),

dan kelima, ayat 9:36, yang telah dipetik tadi.

Maka frasa "dalam hurum" bermaksud "dalam haram" kerana kerjakan Haji.


Ihram

Oleh kerana hurum didapati berkaitan dengan Kaabah (5:95 tadi), dan Kaabah di situ berkaitan pula dengan Haji, maka "dalam hurum" disimpulkan kepada "dalam keadaan kerjakan Haji" atau dengan ringkasnya disebut di sini sebagai "ihram", seperti yang diketahui umum.

Seseorang berada dalam keadaan itu setelah dia tetapkan dirinya untuk kerjakan ibadah Haji. Terdapat pula beberapa larangan sesudah menetapkan diri untuk haji, dan semasa hurum (ihram). Larangannya adalah bercampur dengan isteri, buat fasiq, berbantahan, dan juga, membunuh binatang buruan. Firman-Nya,

"Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui; sesiapa yang tetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya, dan tidak boleh buat fasiq, dan tidak boleh berbantahan semasa dalam Haji" (2:197).

“Jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam hurum/haram (ihram);” (5:95).

Maka ihram bukanlah sejenis pakaian yang dipakai semasa Haji, seperti yang dimaklumkan oleh sesetengah pihak. Ia adalah keadaan seseorang ketika berada dalam larangan dan kesucian Haji.


Peribadatan

Ibadah Haji disempurnakan di Mekah. Bukti bagi kenyataan tersebut, yang dipetik daripada al-Qur'an, boleh didapati di sini.

Haji bermula dengan suatu ketetapan yang dibuat. Menurut pendapat penulis masa yang paling baik untuk buat ketetapan itu adalah ketika memulakan perjalanan dari tempat kediaman menuju ke Rumah yang berada di Mekah.

Upacara Haji bermula dengan berkumpul di Arafah, dan kemudian, bergerak menuju ke Rumah, melalui Masy'aril Haram, Safa dan Marwa, dan Masjidil Haram. Mengingati Allah dengan banyak, memohon ampun kepada-Nya, memenuhi nazar yang telah dibuat, lakukan iktikaf, solat, tawaf, korban, dan akhirnya mencukur kepala adalah amalan-amalan yang disebut untuk Haji.

Untuk penjelasan selanjutnya, tetapi dengan ringkas sahaja, diturunkan ayat-ayat al-Qur’an menurut urutan peribadatan dalam Haji dari awal hingga ke akhir: 

1.  Bertolak dari Arafah

Berkumpul dan bertolak dari Arafah. Firman-Nya,

“Apabila kamu bertolak dari Arafah ..... Kemudian bertolaklah dari mana manusia bertolak, dan mintalah ampun kepada Allah” (2:198-199). 

2.  Ingat (kepada Tuhan)

“Apabila kamu bertolak dari Arafah, ingatlah Allah di sisi Monumen Suci (Masy'aril Haram), dan ingatlah pada-Nya oleh kerana Dia beri petunjuk kepada kamu, sedang sebelum itu kamu adalah orang-orang yang sesat” (2:198).
(Menurut pendapat setengah pihak, Masy'aril Haram ialah Mudzallifah.)

Ingat kepada Tuhan juga disuruh apabila lakukan "korban" kemudian. Firman-Nya,

“Dan binatang-binatang korban .... Maka ingatlah (sebutlah) nama Allah pada mereka, berdiri dalam barisan; kemudian, apabila lambungannya rebah .....” (22:36).

3.  Safa dan Marwa

Setelah sampai di Safa dan Marwa, orang-orang yang melakukan Haji akan bertawaf antara keduanya. Namun, ia bukanlah wajib. Firman-Nya,

“Safa dan Marwa adalah di antara tanda-tanda Allah, maka sesiapa lakukan Haji di Rumah, atau berkunjung (umrah), tidak salah ke atasnya untuk bertawaf antara keduanya” (2:158).

4.  Masuk Masjidil Haram

Kemudian, mereka masuk ke Masjidil Haram. Firman-Nya,

“Sesungguhnya Allah jadikan benar visi Rasul-Nya, dengan benar: ‘Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa rasa takut’" (48:27).

“Mereka adalah orang-orang tidak percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya” (48:25).

Apabila dihalang, maka hendaklah adakan pemberian. Firman-Nya,

“Sempurnakanlah Haji dan umrah kerana Allah; tetapi jika kamu dihalang, maka pemberian yang mudah didapati, dan jangan cukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban” (2:196).

5.  Solat

Solat dilakukan di medan (makam) Ibrahim. Firman-Nya,

“Dan apabila kami buatkan Rumah untuk jadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman, ‘Ambillah bagi kamu medan Ibrahim untuk tempat solat’" (2:125).

6.  Tawaf (tatawafa)

Selain di Safa dan Marwa, tawaf disempurnakan di Rumah Tua. Tidak pula disebut berapa kali, maka terpulanglah mengikut keikhlasan dan kemampuan masing-masing. Firman-Nya,

“dan bertawaf di Rumah Tua” (22:29).

7.  Mengelilingi (taif)

Taif dilakukan di Rumah. Di situ juga dilakukan amalan bertekun (iktikaf), dan amalan berdiri, tunduk, serta sujud (seperti dalam solat). Firman-Nya,

"Bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud" (2:125).

“Dan kamu bersihkan Rumah-Ku untuk orang-orang yang kelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud” (22:26).

8.  Peribadatan

Korban (haiwan ternakan - 22:34) adalah satu peribadatan dalam Haji. Firman-Nya,

“Kami tentukan bagi tiap-tiap umat satu peribadatan yang mereka korbankan. Jangan mereka bertengkar dengan kamu dalam urusan” (22:67).

9.  Pemberian

Korban itu juga adalah apa yang dikatakan "pemberian". Firman-Nya,

“Apabila kamu rasa aman, sesiapa yang nikmati umrah sehingga haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang mudah didapati, atau jika dia tidak dapati sesuatu, maka berpuasalah tiga hari dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itu sepuluh, genap; demikian itu adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram.” (2:196).

“Mereka adalah orang-orang tidak percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya” (48:25).

Pemberian dibawa ke Kaabah (5:95).

10.  Korban

Yang dikorbankan adalah haiwan ternakan, yang dimakan dan diberi kepada orang-orang fakir. Tempat korbannya adalah di sekitar Rumah Tua. Firman-Nya,

“Supaya mereka saksikan pelbagai manfaat kepada manusia, dan mengingati (menyebut) nama Allah pada hari-hari yang diketahui pada haiwan ternakan yang Dia rezekikan mereka, ‘Maka makanlah daripadanya, dan berilah makan orang-orang fakir yang sengsara’" (22:28).

“Padanya beberapa manfaat kepada kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan; kemudian tempat korban adalah di sekitar Rumah Tua” (22:33).

Ia juga diberi kepada pengemis (22:36).

11.  Mencukur Kepala

Kepala dicukur, rambut dipotong pendek, sejurus sebelum masukMasjidil Haram. Firman-Nya,

"Sesungguhnya Allah jadikan benar visi Rasul-Nya, dengan benar: 'Kamu akan masukMasjidil Haram, jika Allah hendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa rasa takut.'" (48:27)

Amalan tersebut dilakukan juga apabila dihalang daripada masukMasjidil Haram:

"dan jangan cukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban" (2:196)

12.  Rantai Leher

Firman-Nya,

“Allah buatkan Kaabah, Rumah Suci, sebagai satu penetapan bagi manusia, dan bulan haram, dan pemberian, dan rantai-rantai leher; itu, supaya kamu tahu bahawa Allah tahu semua yang di dalam langit, dan semua yang di dalam bumi, dan bahawa Allah tahu segala sesuatu” (5:97).

Menurut sesetengah pendapat, rantai tersebut dipakai pada haiwan yang dikorbankan, untuk bezakannya dengan haiwan lain yang bukan untuk amalan korban. Mungkin juga bermaksud rantai nama yang dipakai manusia semasa kerjakan Haji.

13.  Nazar

Firman-Nya,

“Kemudian hendaklah mereka hilangkan kecuaian mereka dan hendaklah mereka tepati nazar mereka, dan bertawaf di Rumah Tua” (22:29).

14.  Denda kerana Memburu

Firman-Nya,

“Wahai orang-orang yang percaya, jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram); sesiapa antara kamu yang bunuh dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa yang dia telah bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil di antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebus - memberi makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia rasai keburukan daripada pekerjaannya” (5:95).

15.  Setelah melaksanakan

Setelah melaksanankan peribadatan, ingatlah Allah dengan banyak dan berdoa seperti yang ditunjukkan di dalam ayat berikut:

“Apabila kamu sudah laksanakan peribadatan kamu, ingatlah Allah sebagaimana kamu ingati bapa-bapa kamu, atau lebih ingat. Antara manusia ada yang berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, berikan kami di dunia’, dan tiadalah baginya bahagian di akhirat. Dan di antara manusia ada yang berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, berikan kami di dunia, yang baik, dan di akhirat yang baik, dan lindungilah kami daripada azab Api’" (2:200-201).

Demikianlah mengenai Haji di dalam al-Qur'an. Namun begitu, ia adalah hanya pendapat penulis yang tidak terlepas daripada sebarang kebengkokan.

Walau apapun, perbezaan antara amalan Haji di dalam al-Qur’an dengan yang lazim dilakukan oleh umat pada hari ini, atas nama Nabi atau Rasul, adalah jelas kelihatan. Misalannya, musim Haji, amalan melontar batu di Mina (yang sejak kebelakangan ini telah mengorbankan banyak nyawa), tempat korban, sa'i di Safa dan Marwa, kunjungan ke Madinah, pakaian ihram, mencium batu hitam, dan melambai Kaabah. Perkara-perkara yang diada-adakan itu tidak disebut Allah di dalam Kitab ajaran-Nya. Mungkinkah Dia telah terlupa? Firman-Nya,

"Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab" (6:38).

 

(Sila click di sini untuk meneliti kalimat-kalimat lain yang berkaitan dengan ibadah Haji. Terima kasih.)

Penulis Bacaan, 1999
(dikemaskini Disember 2002)

Bacaan tambahan:
Mengenai Haji, Umrah, Kaabah, dll - sila klik di sini


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman