39.
sudikah kiranya saudara sertakan terjemahan bacaan beserta tulisan arabnya sekali? walaupun tak kesemua sekurang2nya sertakan tulisan arab di dalam dlm artikel2 yang di tulis.. harap dipertimbangkan..
Permintaan itu baik. Sebab, dapat menyemak ayat dalam bahasa asal. Namun, setelah dipertimbangkan dari awal lagi, kami buat keputusan untuk tidak letak tulisan Arab di sini, atas beberapa sebab, termasuk teknikal. Harap maaf.
Orang-orang yang serius dalam kajian al-Qur'an akan menyemak sendiri seperti yang kami telah lakukan. Untuk itu kami cadangkan supaya merujuk kitab Terjemahan Al-Qur'an Secara Lafzhiyah. 1980. Penerbit CV. Tri Burnama Utama, Jakarta, bekerja sama dengan Yayasan Pembinaan Masyarakat Islam "Al-Hikmah" Jakarta (11 jilid). Kerana, bukan sahaja tulisan Arabnya jelas tetapi juga terjemahannya unik, dibuat cara verbatim, iaitu kata demi kata.
Lagi, mereka yang serius itu tentu juga akan menyemak teks bahasa Arab sekiranya kami letakkannya di sini kerana kesilapan adalah tidak mustahil.
Laman web ini bertujuan untuk sampaikan ajaran ayat-ayat Tuhan dalam bahasa Melayu khasnya. Kami buat demikian sejajar dengan firman Tuhan berbunyi,
"Jika Kami membuatnya sebuah Qur'an dalam bahasa asing, tentu mereka berkata, 'Mengapakah ayat-ayatnya tidak dijelaskan? Adakah dalam bahasa asing sedang orangnya berbahasa Arab?' Katakanlah, 'Bagi orang-orang yang percaya, ia adalah satu petunjuk, dan satu penyembuhan; tetapi orang-orang tidak percayai, di dalam telinga mereka ada sumbatan, dan bagi mereka, ia adalah satu kebutaan; mereka itu, mereka dipanggil dari tempat yang jauh.'" (41:44)
Ayat itu membawa mesej iaitu bagi orang-orang yang mahu percaya atau beriman kepada Allah dan ayat-ayat-Nya maka isu bahasa bagi ayat-ayat-Nya tidak timbul. Atas keyakinan penuh terhadap ayat tadi, lantas kami buat keputusan untuk tidak menyelitkan satu pun tulisan Arab di sini.
Tambahan lagi, sekiranya ada Rasul bagi kaum Melayu tentu dia akan sampaikan ayat-ayat Allah dalam bahasa Melayu juga. Firman-Nya,
"Dan Kami tidak utus seseorang Rasul melainkan dengan lisan (bahasa) kaumnya supaya dia menjelaskan kepada mereka; kemudian Allah sesatkan sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana." (14:4)
Sehubungan itu, kami dapati di kalangan orang-orang yang kami kenal, yang ikut ajaran al-Qur'an, bahawa mereka "dapat petunjuk" bukan daripada bahasa Arab tetapi daripada bahasa Melayu dan, atau, bahasa Inggeris.
Bahasa Melayu dan Inggeris pun ciptaan Tuhan. Ciptaan-Nya tentu indah belaka.
40. Saya ingin tahu ttg perlakuan memuaskan nafsu bukan dgn manusia atau ringkasnya Onani. Apakah hukumnya menurut Syarak....?
Frasa "kejahatan nafsu berahi" yang disebut di dalam ayat 3:39 menunjukkan Allah murka akan orang-orang yang tidak dapat mengawal nafsu berahi mereka.
Mungkin tidak silap untuk masukkan kumpulan orang-orang yang mengamalkan onani ke dalam kategori kejahatan tersebut, walaupun ia (onani) tidak disebut di dalam al-Qur'an dengan jelas.
Baru-baru ini tersiar sebuah berita di akhbar mengenai seorang lelaki tua berumur lebih 70 tahun yang ditangkap kerana disyaki lakukan onani, setelah orang-orang kampung kehilangan beberapa ekor haiwan ternakan mereka. Ketika dia ditangkap, dalam keadaan bogel, terdapat bangkai seekor kambing berhampiran dengan tempat dia ditangkap. Lelaki tua itu seterusnya dilaporkan mempunyai dua orang isteri yang masih hidup.
Itu satu contoh kejahatan yang dilakukan dalam kegiatan onani. Adalah difahamkan lagi, tapi daripada berita yang tidak rasmi, bahawa salah sebuah tempat yang dilanda tsunami 26/12/04 yang lalu telah jadi syurga bagi orang-orang yang bergiat dalam kegiatan onani. Kalau cerita itu benar, maka alangkah berbahayanya tinggal bersama mereka yang berpenyakit sedemikian rupa.
Justeru, langkah pencegahan harus diambil sebelum berlaku azab akibat banjir onani. Sebaik-baik langkah adalah melalui pendidikan bagi semua lapisan masyrakat. Kerana kami dimaklumkan lagi bahawa di sesetengah kampung di negara kita terdapat orang-orang tua yang menyuruh budak-budak lelaki yang baru dikhatan supaya menguji kebolehan alatnya ke atas haiwan kambing. Mungkin amalan lama itu tidak lagi jadi suruhan pada hari ini.
Selain daripada mendidik, mereka yang berterusan dalam kesumbangan tersebut harus dihukum. Hukuman ambil iktibar daripada "mendatangi" pasangan yang tidak diperintah Allah, tetapi bukan zina.
Hukuman yang dimaksudkan adalah bagi orang-orang yang melakukan hubungan sumbang sesama jantina. Setelah didatangkan empat saksi, dan sabit kesalahan, mereka ditahan di dalam rumah-rumah mereka, atau pada hari ini, di penjara. Ayat-ayat yang menjelaskan hukum bagi mereka adalah:
4:15. Dan perempuan-perempuan kamu yang lakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka saksikan, tahanlah mereka di dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian matikan mereka, atau Allah adakan bagi mereka satu jalan.
4:16. Dan apabila dua orang antara kamu (lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya. Sesungguhnya Allah Yang Menerima Taubat, Pengasih.
Bagi orang-orang yang melakukan onani pula, pada hemat kami, hukumannya lebih ringan, walaupun kejahatannya sama, iaitu tidak dapat mengawal nafsu berahi. Pendapat itu berdasarkan mudarat yang terbit daripada onani, yang tidak seberat diterbitkan oleh nafsu ke atas sesama jantina.
Mungkin ada orang lain yang lebih arif dalam hal ini dan ingin beri pendapat. Silalah.
41. Apa komen saudara tentang kehilangan ayat Al-Quran yg dipaparkan oleh Misteri Nusantara.
Kehilangan ayat-ayat al-Qur'an di beberapa muka surat sebuah kitab itu diertikan kepada tanda Kiamat pula!
Kali terakhir kami dengar ceritera yang sama ialah pada tahun 1987. Tapi Kiamat masih belum tiba. Mungkin orang atau orang-orang yang memulakan fatwa tanda Kiamat tersebut sahaja yang tahu berapa kali ayat-ayat al-Qur'an akan hilang sebelum berlaku Kiamat sebenar.
Setelah melihat gambarnya di sebuah laman web, kami dapati bukan sahaja ayat-ayat al-Qur'an yang hilang (atau tidak dicetak) malah corak jidarnya pun tiada di halaman-halaman tersebut. Oleh itu, tajuk berita sensasi mengenainya harus berbunyi "Ayat-ayat al-Qur'an hilang bersama corak jidar halamannya."
Izinkan kami bertanya, adakah terdapat kehilangan yang serupa di naskhak-naskhah al-Qur'an lain? Mengapa di situ sahaja hilang sementara di tempat lain tidak? Tentu ada sebab yang munasabah mengapa kehilangan itu berlaku.
Sebenarnya, satu pun ayat al-Qur'an tidak akan hilang daripada muka bumi ini sehingga Hari Kiamat. Allah telah berjanji untuk menjaganya (15:9). Maka kehilangan itu bukan tanda Kiamat.
Terdahulu, Imam Mahadi, Yajuj dan Majuj dan Tsunami telah dikatakan tanda Kiamat oleh sesetengah orang agama yang berkepentingan. Kini mereka kata kehilangan ayat al-Qur'an pulak. Sekiranya mereka mengatakan Kiamat akan berlaku kerana sistem solar didapati sudah jadi lemah, misalnya, maka apa yang keluar dari mulut mereka tentu akan masuk akal atau make sense.
Hari Kiamat pasti berlaku, tidak kira sama ada ayat-ayat al-Qur'an hilang daripada muka surat, atau tidak. Mungkin kehilangan itu merupakan satu peringatan daripada Allah bahawa al-Qur'an telah jadi suatu yang tidak dipedulikan oleh orang-orang yang mengaku Islam pada hari ini.
Barangkali mereka sangka segala yang mereka buat mengikut apa yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai "sunnah Rasul" itu datang dari al-Qur'an. Tidak, semuanya bukan al-Qur'an kerana kitabnya tidak bernama al-Qur'an, dan tidak datang daripada Muhammad. Yang datang daripada baginda hanya al-Qur'an. Firman Tuhan,
"Katakanlah (Muhammad), 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia (al-Qur'an) sampai." (6:19)
Jelaslah iaitu yang harus sampai kepada kita, daripada Nabi, ialah kitab al-Qur'an sahaja. Kitab lain yang sampai adalah bukan daripada baginda, lantas bukan ajaran baginda.
Kami harap kitab yang ayat-ayat serta corak jidar yang hilang itu tidak dipuja atau disimpan sebagai benda keramat. Dan kami mengharap lagi iaitu apabila terdapat naskhah sedemikian rupa, pada masa akan datang, jangan panggil CNN untuk menyebar fitnah mengenai Hari Kiamat ajaran Islam. Sebaliknya, kami merayu supaya naskhah itu dibuang saja kerana al-Qur'an yang tidak cukup ayat-ayatnya adalah bukan al-Qur'an yang benar, dan bukan juga tanda Kiamat.
Setiap kali matahari terbenam, itulah tanda Hari Kiamat semakin dekat. Ayuh! Jangan lengah lagi. Pergi kepada al-Qur'an. Ia sudah sampai.
42. Saya pernah baca bahwa artikel, bahwa salah satu mu'jizat Nabi Muhammad adalah terbelahnya bulan, ikut ayat dibawah ini
54:1. Saat sudah dekat; bulan terpecah.
54:2. Namun begitu, jika mereka lihat satu ayat,
mereka berpaling, dan mereka berkata, "Sihir yang
terus menerus!"
Shgg ada yang masuk islam karenanya, mohon tanggapan /pendapat bapak pengurus untuk hal ini. Terimakasih
Yang peliknya, orang-orang di tempat/negeri lain tidak pula nampak, bulan yang sama, terbelah pada kurun ke-7M. Kalau benar berlaku tentu mereka telah mencatat kejadian yang sungguh beasr itu. Tidak ada sebarang rekod di dunia mengenai bulan terbelah pada masa itu melainkan daripada apa yang dibaca oleh penyoal di atas sahaja.
Kalau tidak silap (izinkan kami menambah sedikit) kononnya satu serpihan daripada bulan yang terbelah itu telah jatuh ke riba salah seorang daripada para Sahabat yang empat! Dan terdengar juga cerita bohong pihak tertentu bahawa ketika manusia mendarat di bulan dulu, mereka ternampak bekas terbelah pada bulan. Iaitu yang telah dibelah oleh Nabi Muhammad.
Sebenarnya, Nabi tidak ada mukjizat selain daripada al-Qur'an. Ini disahkan sendiri oleh orang-orang yang berada di sekeliling baginda, dan juga Allah, menurut firman Allah berbunyi,
"Mereka berkata, 'Mengapakah ayat-ayat (mukjizat) tidak diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?' Katakanlah, 'Ayat-ayat hanyalah di sisi Allah, dan aku hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas.
Apa, adakah tidak mencukupi bagi mereka bahawa Kami turunkan kepada kamu al-Kitab yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu pengasihan, dan satu peringatan bagi kaum yang percayai." (29:50-51)
Beberapa mukjizat telah diturunkan kepada beberapa orang Nabi sebelum Muhammad tetapi manusia tidak percayai-Nya jua. Maka bagi Nabi Muhammad, untuk meyakinkan manusia supaya menyembah Tuhan Yang Satu, Dia turunkan kitab al-Qur'an, dan menyuruh menggunakan akal sahaja. Magic tidak perlu lagi.
Mengenai ayat-ayat yang disebut di dalam soalan di atas, kejadian bulan terbelah di situ adalah suatu yang akan berlaku pada masa akan datang. Ia akan berlaku sejurus sebelum Saat tiba. Saat akan tiba sejurus sebelum berlaku Hari Kiamat pula.
Sesetengah manusia, seperti yang malas menggunakan akal lagi malas menyelidik, memang terhibur serta percaya, apabila mendengar cerita-cerita yang pelik atau ajaib. Lalu cerita-cerita tersebut diguna oleh pihak yang berkepentingan untuk meyakinkan tentang sesuatu yang hendak dijual atau disampaikan.
Namun, pendekatan serupa itu untuk menarik orang ramai masuk Islam, terutamanya dengan menggunakan nama Nabi, adalah agak keterlaluan. Ia tentu akan backfire atau berkesudahan sebaliknya.
43. Haruskah perkataan "sembah" diguna untuk Tuhan di dalam Bacaan?
Kalimat 'abada dan kata-kata terbitannya kami terjemah kepada sembah. Menurut kamus Melayu, iaitu Kamus Dewan, makna perkataan 'sembah' banyak berkisar pada raja. Dan Tuhan itu adalah Malik (1:4 dan 3:26) atau Raja dalam bahasa Melayu. Maka 'sembah' adalah perkataan Melayu yang paling sesuai bagi-Nya.
Sembah di dalam al-Qur'an mempunyai pengertian yang berbagai-bagai. Pertama, seperti yang umum maklum, ia bermaksud "sembahyang". Dua ayat yang diturunkan di bawah jadi contoh:
"Dan apabila Ibrahim berkata, 'Wahai Pemeliharaku, buatkan tanah (negeri) ini aman, dan jauhkan aku dan anak-anakku daripada menyembah patung-patung.'" (14:35)
"Katakanlah, 'Jika Yang Pemurah mempunyai seorang anak, maka aku yang pertama menyembahnya.'" (43:81)
Atau solat, seperti yang terkandung di dalam ayat-ayat berikut. Namun, ia bukanlah satu-satunya amalan dalam menyembah Allah. Maksud firman-firman Tuhan:
"Dan lantik mereka menjadi imam-imam yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan mereka perbuatan kebajikan, dan melakukan solat, dan memberi zakat, dan Kami mereka sembah." (21:73)
"Mereka diperintah hanya untuk sembah Allah, dengan menuluskan agama untuk-Nya, orang-orang yang lurus, dan untuk melakukan solat, dan memberi zakat - itulah agama yang betul." (98:5)
"Dan apabila Kami ambil perjanjian Bani Israil: 'Kamu tidak akan sembah sesuatu melainkan Allah, dan buat baik kepada ibu bapa, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin; dan katakan yang baik kepada manusia, dan lakukan solat, dan berikan zakat.' Kemudian kamu berpaling, kecuali sedikit daripada kamu, dan kamu palingkan." (2:83)
Kemudian, didapati perbuatan memohon kepada-Nya juga tergolong dalam kategori menyembah-Nya. Sila lihat ayat berikut:
"Pemelihara kamu berkata, 'Serulah kepada-Ku, dan Aku akan sahut kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong daripada menyembah Aku akan masuk Jahanam dalam keadaan hina.'" (40:60)
Sebenarnya, dengan mentaati segala yang terkandung di dalam al-Qur'an yang diturunkan Allah bererti menyembah-Nya jua, menurut ajaran al-Kitab. Dua ayat berikut jelaskannya:
"Dan orang-orang yang kepada mereka kami beri Kitab gembira dengan apa diturunkan kepada kamu; dan daripada golongan-golongan, ada yang nafi sebahagiannya. Katakanlah, 'Aku hanya diperintah untuk sembah Allah, dan tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya. Kepada-Nya aku seru, dan kepada-Nya tempat kembali.'" (13:36)
"Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar; maka sembahlah Allah, dengan menuluskan agama kamu untuk-Nya." (39:2)
Sebaliknya pula, orang-orang yang tidak ikut apa yang diturunkan-Nya tetapi ikut ajaran para habr maka mereka diterangkan sebagai tidak menyembah Allah tetapi menyembah para habr pula. Ayat di bawah yang berkaitan harus direnungkan:
"Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara selain daripada Allah, dan al-Masih putera Mariam; dan mereka diperintah untuk sembah hanya Tuhan Yang Satu; tidak ada tuhan melainkan Dia; Dia disanjung, di atas apa mereka sekutukan." (9:31)
Demikianlah sedikit penjelasan mengenai perkataan sembah yang diguna di dalam Bacaan. Ayat-ayat al-Qur'an yang mengandunginya dapat di baca di sini.
Selain daripada perkataan tersebut yang sesuai diguna sebagai terjemahan kepada kalimat 'abada atau ya'budu, terdapat pula, pada hemat kami, frasa menghambakan diri.
Frasa tersebut mungkin lebih sesuai diguna kerana daripada kata dasar yang sama dengan 'abada terbit dua lagi kalimat, iaitu 'abd (bererti hamba, contoh 2:23) dan abbada (bererti memperhambakan, contoh 26:22).
Justeru, timbul satu pertanyaan. Adakah perlu ditukar sembah kepada menghambakan diri di dalam Bacaan? Kami tunggu pendapat anda mengenai perkara tersebut.
Tambahan pada 8hb Januari 2011
Telah terima satu
pendapat (terima kasih kepada pengirim) menyatakan perkataan sembah harus ditukar kepada
mengabdi. Berikut adalah sebahagian daripada e-mel yang mengandungi
pendapat tersebut:
<petikan bermula>
Cuba kita lihat ayat 51:55 – 58;
51:55. Dan ingatkanlah; peringatan bermanfaat kepada orang-orang mukmin.
51:56. Aku tidak cipta jin dan manusia melainkan untuk sembah Aku.
51:57. Aku tidak hendak daripada mereka rezeki, dan tidak juga Aku hendak supaya mereka beri Aku makan.
51:58. Sesungguhnya Allah, Dia Yang Pemberi Rezeki, Yang Mempunyai Kekuatan, Yang Teguh.
Antara kerja yang perlu dilakukan oleh hamba yang menurut perintah-Nya adalah beri peringatan, seperti beritahu bahawa Allah itu Tuhan, sembahlah Allah sahaja, jangan persekutukan Dia dengan sesuatupun, adanya balasan baik/buruk dan sebagainya. Itu tujuan Allah ciptakan jin dan manusia iaitu supaya manusia itu jadi hamba kepada-Nya.
Maka saya berpendapat perkataan “ya’budu” yang terdapat pada ayat 51:56 sesuai sekali diterjemah seperti berikut;
51:56. Aku tidak cipta jin dan manusia melainkan untuk mengabdi kepada Aku.
Ini kerana konteks perkataan “mengabdi” lebih besar dari “menyembah”, malahan menyembah itu sendiri termasuk dalam perkara-perkara pengabdian kepada-Nya.
Maka saya bersetuju jika perkataan sembah dalam Bacaan ditukar kepada menghambakan diri atau mengabdi atau mengabdikan diri mengikut kesesuaian ayat.
<petikan berakhir>
Dengan ringkas dinyatakan, dengan hormat, bahawa kami tidak begitu setuju
dengan pendapat di atas kerana perkataan abdi telah pun ada diguna
di dalam Bacaan seperti perkataan hamba atau menghambakan yang telah dinyatakan. Ayat mengandungi perkataan abdi
berbunyi,
"Dan ingatlah nama Pemelihara kamu, dan abdilah kepada-Nya dengan pengabdian yang bersungguh-sungguh." (73:8)
Perkataan abdi di situ diterjemah daripada kalimat tabatal. Maka kita sudah pun dikatakan hamba kepada-Nya dan mengabdikan diri kepada-Nya, mengapa pula kita seterusnya tidak harus dikatakan menyembah-Nya? Lagipun, garisan yang bezakan di antara hamba dengan abdi adalah amat halus sekali.
Selanjutnya, amalan sembah berkait pula dengan tunduk (rukuk) dan sujud, seperti terdapat di dalam ayat-ayat berikut:
"Wahai orang-orang yang percaya, tunduklah kamu dan sujudlah kamu, dan sembahlah Pemelihara kamu, dan buatlah kebaikan, agar kamu beruntung." (22:77)
"Dan daripada ayat-ayat-Nya adalah malam dan siang, dan matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan bulan, tetapi sujudlah kepada Allah yang mencipta mereka, jika Dia kamu sembah." (41:37)
Perbuatan tunduk dan sujud lazimnya dilakukan dalam amalan menyembah sesuatu, seperti sujud kepada matahari dan bulan dalam penyembahan kepada mereka, yang dilarang. Sebaliknya, manusia disuruh sujud kepada Allah dalam penyembahan kepada-Nya.
Tambahan pula, pada ayat-ayat mengandungi perkataan sembah didapati bahawa di samping Allah, terdapat yang lain seperti Thagut (5:60), patung (14:35), dan berhala (29:17), turut disembah manusia. Justeru, terdapat segolongan menyembah Thagut, dan golongan-golongan lain menyembah patung dan berhala, tetapi kita menyembah Allah! Dan kami rasa tidak salah untuk berkata demikian.
Sekian pendapat kami untuk mengekalkan kegunaan perkataan sembah di dalam Bacaan.
Karangan berkaitan:
Erti sembah budak empat tahun
-Jay Shah
Al-Qur'an dan
bahasa Arab -Respon (termasuk ibadah)-Farouk
Solat dan Sembah -ramlan