Tanda Kiamat - Yajuj dan Majuj

 

From: Ariff 
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Bantu saya
Date: Thursday, January 20, 2005 2:02 AM

saya agak keliru dengan artikel-artikel dalam laman web ini

saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai tanda-tanda kiamat seperti yg anda nafikan bahawa kemunculan Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s

bagaimana pula pandangan anda mengenai Yakjuj & Makjuj yang sesetangah pihak menekankan bahawa Yakjuj & Makjuj itu adalah org barat hari ini.


Salam,

Kekeliruan yang saudara alami adalah bukti pertentangan yang wujud antara ajaran sesetengah manusia dengan ajaran Allah di dalam al-Qur'an.

Sejak kebelakangan ini kami banyak menerima pertanyaan mengenai "kemunculan Imam Mahdi dan Nabi Isa". Kelihatan seperti tajuk itu sedang hangat dibincang di merata tempat, dengan tidak henti-hentinya. Penafian kami pula diterima sebagai mengelirukan. (Sila rujuk artikel lama Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa yang diberi nafas baru, kemaskini 22/1/05. Terima kasih.)

Selain itu, saudara bertanya mengenai suatu yang baru, Yajuj dan Majuj, yang dipercayai terdiri daripada orang-orang Barat, dan sebagai "tanda kiamat", oleh sesetengah pihak.

Walaupun Yajuj dan Majuj sudah disebut di dalam artikel lama tersebut, namun perkara mengenai mereka daripada orang-orang Barat dan jadi "tanda kiamat" belum lagi disentuh. Jawapan di sini akan mengandungi beberapa ayat yang telah disebut di dalam artikel itu, yang sengaja disebut lagi, supaya penjelasan jadi lebih licin. Seperti ayat yang menunjukkan kaitan Yajuj dan Majuj dengan Zul-Karnain berbunyi,

"Mereka berkata, 'Wahai Zul-Karnain, sesungguhnya Yajuj dan Majuj buat kerosakan di bumi; maka adakah kami adakan bagi kamu satu ufti, untuk kamu buatkan satu benteng di antara kami dan mereka?'" (18:94)

Kisah Zul-Karnain dapat dibaca dari ayat 18:83.

Ayat yang kedua, dan terakhir, yang menyebut Yajuj dan Majuj menunjukkan kaitan dengan bandaraya-bandaraya yang Allah telah musnahkan berbunyi,

"Satu pengharaman ke atas sesebuah bandaraya yang Kami telah binasakan; mereka tidak akan kembali,
Sehingga apabila Yajuj dan Majuj dibukakan, dan mereka melongsor turun dari tiap-tiap lereng," (21:95-96).

Zul-Karnain, yang bermaksud "yang mempunyai dua tanduk", telah menarik beberapa sarjana untuk beri pendapat mengenainya. Ada yang kata dia adalah Iskandar Zulkarnain dan ada pula yang menafikan, mengaitkan dia dengan seorang raja Parsi yang memakai dua tanduk di kepalanya, dan sebagainya.

Apapun, peristiwa Zul-Karnain membina benteng itu berlaku lebih daripada 2,300 tahun dahulu, bertempat di Timur Tengah atau Asia Barat. Yang juga tempat Yajuj dan Majuj berada.

Ayat kedua mengenai sesebuah bandaraya yang Tuhan telah binasakan, yang tidak akan kembali, sehingga Yajuj dan Majuj dibuka, dan mereka akan melongsor turun dari tiap-tiap lereng.

Bandaraya-bandaraya yang telah dimusnahkan seperti yang terdapat di dalam artikel Bencana Alam - kemurkaan dari langit terletak dekat dengan Nabi. Maka bandar-bandar itu juga terletak di Timur Tengah atau Asia Barat, yang ada kaitan dengan Yajuj dan Majuj.

Maka dengan itu Yajuj dan Majuj tidak mungkin terdiri daripada orang-orang Barat.

Mengenai tanda kiamat pula, pada hemat kami, ia sudah lama kelihatan, berkurun-kurun lamanya, sebelum bandaraya tersebut "kembali" atau dijumpai oleh ahli-ahli sejarah dan arkeologi moden pada akhir kurun lepas.

Perlantikan Nabi Muhammad sebagai Nabi terakhir, dan Kitab yang dibawanya buat peringatan dan amaran terakhir daripada Allah kepada manusia, adalah bagi kami, satu tanda kiamat yang jelas.

Kami turut berpendapat bahawa kematian seseorang juga jadi tanda kiamat bagi dirinya. Kerana setelah dia meninggal dunia tiada yang berlaku ke atasnya lagi kecuali dia akan dibangkitkan (qiamah atau kiamat) semula untuk diperhitungkan amalannya. Mungkin artikel Hari Kiamat dapat membantu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kiamat, dan apa yang berlaku pada hari tersebut adalah lebih utama untuk direnungkan daripada tanda-tandanya.

Tanda-tanda sebelum kiamat pun sudah dijelaskan Allah di dalam al-Qur'an. Sila rujuk artikel Saat sebelum Kiamat. Terima kasih.

Namun begitu, Yajuj dan Majuj akan muncul sebelum Saat atau sebelum Kiamat berlaku. Mungkin mereka (yang bukan orang Barat) sudah pun muncul dewasa ini, di Timur Tengah atau Asia Barat, untuk buat kerosakan di bumi.

Kami berhenti di situ, agar dapat mengelak daripada buat banyak tekaan dan menuding jari. Amalan itu tidak sihat, boleh sesatkan orang ramai, dan membuang masa sahaja sekiranya tidak ada bukti yang kukuh.

Masa yang ada pada kita sekarang mungkin tidak banyak lagi yang tinggal. Mengapa tidak dihabiskan dengan mengkaji ayat-ayat al-Qur'an yang muhkamat, menuruti suruhan Tuhan yang mudah, seperti cara beri salam, Salamun alaikum, dan suruhan lain, supaya kita sentiasa mengingati-Nya. Dan tidak jadi seperti orang-orang munafik yang tidak mengingati Allah dengan banyak.

Hanya itu sahaja yang kami dapat bantu. Terima kasih atas e-mel saudara.

Salam.
 

22 Januari 2005


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman