Al-Qur'an dan bahasa Arab -Respon (termasuk ibadah)
From: Farouk
Date: 2010/1/31
Subject: Response Achedeen
To: ebacaan114@gmail.com
Salaamun alaikum Tuan Pengurus Laman and Saudara Che Deen,Izinkan saya berkongsi pendapat skit, kalau boleh. Bertahun-tahun lamanya saya tiada terfikir tentang perkataan 'arab' dalam Quran dan menerima perkataan itu sebagai 'arab' iaitu bahasa bangsa orang Arab. Tapi sejak mula belajar bahasa Arab (untuk tujuan persekolahan) saya terkejut juga bila dapat tahu yang bahasa Arab ada loghat-loghat terrtentu dan loghat-loghat itu tidak pula mercerminkan bahasa yang dalam al-quran. Seperti saudara Che Deen menulis, mutu bahasa Arab itu cukup tinggi dan sistem nahunya sendiri begitu canggih. Saya dapat melihat ini dari tulisan akademik bahasa arab dan bagi saya, quran itulah yang jadi 'spark' yang menyalakan api menjulang bahasa arab.
Namun begitu, betulkah kalimah 'arabi' dalam Quran bermakna 'arab' iaitu bahasa orang Arab? Bagi saya, mungkin tidak kerana bahasa itu walaupun dari budaya yang sama mungkin mengandungi perbezaan yang amat luas. Lihat sajalah loghat orang Kelatan dibandingkan dengan loghat standard.Melayu. Kalau 'arabi' dalam quran merujuk kepada bahasa Arab then bagaimanakah dapat kita memilih antara makna-makna yang wujud dalam lexicon arab untuk memahami kalimah-kalimah' dalam Quran?
Bagi saya, 'arabi' itu bermakna 'tanpa cacat cela'. Saya memilih makna ini kerana kalimah 'uruba' yang berkongsi asal yang sama dengan 'arabi' dalam ayat 56/37 yang merujuk kepada sofa ciptaan Allah yang belum penah ditiduri dan tiada cacatnya. Dengan ketiadaan cacat cela, maka dapatlah si pembaca berfikir dengan sistematik tentang maksud kalimah-kalimah. dan kesempurnaan inilah yang membolehkan Quran difahami dengan tepat walaupun banyak makna kalimah dalam Quran telah berubah.
Sebagai contoh, lihatlah perkataan 'ibadah' dalam Quran. Walaupun dalam bahasa arab (dan juga bahasa melayu) seharian, ibadah itu satu perkara yang ada konotasi agama sahaja. Namun begitu, kalau kita melihat perkataan-perkataan yang mempunyai asal sama dengan 'ibadah' seperti 'ya'bud' , 'ta'bud', 'abideen' dan sebagainya dalam Quran sendiri, ia merangkumi pelbagi konotasi lain seperti psikologi, politik, ekonomik dan sebagainya. Kerana Quran itu tiada cacat celalah yang kita dapat mengaitkan pelbagai kalimah yang asalnya sama dengan kalimah 'ibadah' dan oleh itu dapat memahami kalimah ini.
Mungkin inilah sebabnya Allah berfirman yang Dia turunkan Al-quran dalam bahasa 'arab' (iaitu dengan tiada cacat cela) supaya kita dapat berfikir (la'allkum ta'qiloon - 12/2). Bagaimana dapat kita fikirkan perkara yang tidak sistematik dan mempunyai banyak cacat cela?
terima kasih dan maaf jika terlanjur atau tersalah cakap.
Farouk A. Peru
Salamun
alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Pandangan yang dikemukakan dialu-alukan, walaupun perbincangan mengenai bahasa Arab kadang kala tidak begitu kami gemari. Kerana kami telah berjumpa dengan pendapat-pendapat yang dilahirkan daripada perasaan benci terhadap orang Arab dan ulama, lalu menolak segala yang disangka terbit daripada mereka. Sebenarnya, kami juga tidak mencintai mereka, tetapi kami ingin berlaku adil tatkala buat sesuatu keputusan, setelah mengambil iktibar daripada firman berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan di hadapan Allah, saksi-saksi untuk keadilan. Janganlah kebencian pada kaum mendesak kamu untuk tidak berlaku adil; berlakuadillah, itu lebih dekat dengan takwa. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat." (5:8)
Jangan pulak sangka kami menujukan kata-kata itu kepada sahabat kami Farouk. Tidak, kami tidak berniat demikian, meskipun daripada pandangannya terdapat sebahagian yang menimbulkan kekeliruan bagi pihak kami. Misalan kenyataan yang ditulis:
Bagi saya, 'arabi' itu bermakna 'tanpa cacat cela'. Saya memilih makna ini kerana kalimah 'uruba' yang berkongsi asal yang sama dengan 'arabi' dalam ayat 56/37 yang merujuk kepada sofa ciptaan Allah yang belum penah ditiduri dan tiada cacatnya.
Kami keliru setelah melihat konteks ayat tersebut. Konteksnya diturunkan di bawah:
56:32. Dan buah-buahan yang banyak,
56:33. Tidak terputus, dan tidak tercegah,
56:34. Dan sofa-sofa yang dinaikkan.
56:35. Sesungguhnya Kami tumbuhkan mereka, dengan penumbuhan,
56:36. Dan Kami buatkan mereka anak-anak dara yang tidak tercemar,
56:37. Uruban (uruba), sebaya,
Pada hemat kami, uruba tidak merujuk kepada sofa seperti didakwa, tetapi kepada "anak-anak dara yang tidak tercemar" yang disebut di dalam ayat sebelum, iaitu 56:36.
Apabila frasa itu diguna maka ayat akan berbunyi, "Dan Kami buatkan mereka anak-anak dara yang tidak tercemar, tanpa cacat cela, sebaya". Kami tinggalkan ia di situ supaya pembaca dapat buat keputusan sendiri sama ada frasa berkenaan padan diguna atau tidak pada ayat tersebut.
Tentang maksud uruba, jika seseorang buat kajian ke atasnya tentu akan bertemu dengan keterangan tertulis beloved, loving, dan amorous. Bagi kami maksud ini lebih sesuai diguna lalu ayat tersebut kami terjemah dengan bunyi:
Dan Kami buatkan mereka anak-anak dara yang tidak tercemar,
Penuh cinta, sebaya,
Demikianlah itu hanya pilihan kami dan beberapa penterjemah lain. Seorang penterjemah, atas ayat yang sama, telah menulis seperti berikut:
And We made them spotless virgins
chastely amorous, like of age
- A.J. Arberry
Jumlah perkataan uruba di dalam al-Qur'an hanya satu, dan ia merupakan satu daripada tiga perkataan yang terbit daripada akar yang sama. Yang dua lagi ialah a'rab dan 'arabiy. Sila rujuk Arab di bahagian Kalimat Pilihan. Terima kasih.
Kembali kepada pokok perbincangan. Harap maklum bahawa kami tidak mempertikaikan maksud 'arabiy sebagai 'tanpa cacat cela' walaupun bukan seperti lazim diterjemahkan, kerana ia perkara biasa dalam hal bahasa, di mana boleh terdapat lebih daripada satu makna bagi sesuatu perkataan, atau lebih daripada satu makna bagi perkataan seakar.
Akan tetapi, kami lebih condong kepada bahasa al-Qur'an dan bagaimana sesuatu perkataan diertikannya.
Untuk membincang perkataan 'arabiy, pertama kami pilih ayat berbunyi, "Dan Kami tahu bahawa mereka berkata, 'Hanya seorang manusia yang mengajar dia." Lisan (bahasa) orang yang padanya mereka cerca bukanlah Arab, sedang yang ini adalah dalam lisan (bahasa) 'arabiy yang jelas" (16:103).
Adalah dirasakan tidak begitu sesuai jika bahagian akhir ayat tersebut diterjemah dengan frasa berkenaan lalu berbunyi, "Lisan (bahasa) orang yang padanya mereka mencercai bukanlah Arab, sedang yang ini adalah dalam lisan (bahasa) tanpa cacat cela yang jelas". Kami mengatakan tidak begitu sesuai kerana didapati tidak cucuk dengan frasa bukanlah Arab, selain kata-kata dalam lisan (bahasa) tanpa cacat cela yang jelas yang tidak begitu menjelaskan.
Tambahan pula, kami dapati tercatat di dalam rujukan kami maksud bagi 'arabiy ialah Arabic, suatu perkataan jenis adjektif. Noun-nya pula ialah a'rab (juga terdapat di dalam al-Qur'an) bermaksud Arab, orang Arab dan sebagainya. Kerana itu kami pilih maksud berkenaan dan tulis ayat tersebut seperti di bawah:
"Dan Kami tahu bahawa mereka berkata, "Hanyalah seorang manusia yang mengajar dia." Lisan (bahasa) orang yang padanya mereka mencercai bukanlah Arab, sedang yang ini adalah dalam bahasa Arab yang jelas." (16:103)
Mengapa harus kami pilih yang lain sedangkan perkataan Arab seakar dengannya dan diguna banyak kali pula.
Selanjutnya ialah sebuah ayat, apabila diterjemah dengan frasa berkenaan akan berbunyi "Dengan lidah tanpa cacat cela yang jelas" (26:195).
Mungkin kami silap, tapi kami merasakan sesuatu yang tidak kena di situ. Kalau di situ tercangkung semacam mind control maka mind (minda) kami, dan kami percaya para pembaca juga, tidak dapat dicontrol dengannya.
Seperti itu kekeliruan akan berlaku pada ayat seterusnya apabila frasa bersabit dipakai:
"Dan sebelumnya Kitab Musa, untuk satu imam, dan satu pengasihan; dan ini sebuah Kitab yang mengesahkan, dalam lidah tanpa cacat cela, untuk beri amaran kepada orang-orang buat kezaliman , dan berita gembira kepada orang-orang buat baik." (46:12)
Izinkan kami turunkan satu lagi ayat sebagai contoh:
"Jika Kami membuatnya sebuah Qur'an dalam bahasa asing, tentu mereka berkata, "Mengapakah ayat-ayatnya tidak dijelaskan? Adakah dalam bahasa asing sedang orangnya tanpa cacat cela?" (41:44)
Kami rasa bukti-bukti untuk menghalalkan kami dan orang lain menterjemahkan kalimat 'arabiy kepada bahasa Arab sudah mencukupi. Kalau ia mempunyai maksud lain, maka amat baik untuk diingati (sahaja), tetapi kami hanya mengutamakan kedudukannya di dalam al-Qur'an. Di samping itu kami fikirkan mengenai kerseragaman bagi makna perkataan (kecuali tidak dapat dielak) supaya pembaca dapat merujuk dengan senang (kerana ejaan), sepertimana pada teks asal yang 'arabiy atau berbahasa Arab.
Beralih kepada kenyataan pengirim yang lain pula, iaitu berbunyi,
Sebagai contoh, lihatlah perkataan 'ibadah' dalam Quran. Walaupun dalam bahasa arab (dan juga bahasa melayu) seharian, ibadah itu satu perkara yang ada konotasi agama sahaja. Namun begitu, kalau kita melihat perkataan-perkataan yang mempunyai asal sama dengan 'ibadah' seperti 'ya'bud' , 'ta'bud', 'abideen' dan sebagainya dalam Quran sendiri, ia merangkumi pelbagi konotasi lain seperti psikologi, politik, ekonomik dan sebagainya. Kerana Quran itu tiada cacat celalah yang kita dapat mengaitkan pelbagai kalimah yang asalnya sama dengan kalimah 'ibadah' dan oleh itu dapat memahami kalimah ini.
Sedia maklum bahawa perkataan peribadatan yang kami guna dalam Bacaan diterjemah daripada kalimat mansak, dan ayat-ayat yang mengandunginya dapat dibaca di sini.
Sementara kalimat 'ibadah di dalam al-Qur'an didapati terbit daripada kalimat 'abada (betulkan kami di sini), yang berserta beberapa perkataan terbitannya bermaksud to serve, to worship; service, worship; one who serves, one who is devout, serving.
Ayat-ayat yang mengandungi 'ibadah adalah seperti berikut:
"Al-Masih tidak akan pandang rendah untuk menjadi seorang hamba Allah, dan tidak juga malaikat-malaikat yang berkedudukan dekat dengan-Nya. Sesiapa pandang rendah untuk menyembah-Nya, dan menyombong, Dia pasti akan kumpulkan mereka kepada-Nya, kesemua mereka." (4:172)
"Sesungguhnya orang-orang yang di sisi Pemelihara kamu tidak sombong untuk menyembah-Nya; mereka lafazkan sanjungan-Nya, dan kepada-Nya mereka sujud." (7:206)
"Allah adalah saksi yang mencukupi, antara kami dan kamu, bahawa kami lalai daripada penyembahan kamu." (10:29)
"Katakanlah, 'Aku hanyalah seorang manusia yang serupa dengan kamu; diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Maka hendaklah dia yang harapkan pertemuan dengan Pemeliharanya buat amalan (kerja-kerja) kebaikan, dan dia tidak sekutukan dalam penyembahan kepada Pemeliharanya dengan sesiapa pun.'" (18:110)
"Pemelihara langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya. Maka sembahlah Dia, dan sabarlah kamu dalam penyembahan kepada-Nya; adakah kamu tahu sesiapa yang boleh dinamakan dengan nama-Nya?" (19:65)
"Tidak sekali-kali! Kelak mereka akan tidak mempercayakan penyembahan mereka, dan mereka akan jadi musuh mereka yang berlawanan." (19:82)
"Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi, dan mereka yang di sisi-Nya tidak sombong untuk menyembah-Nya, dan tidak juga berasa letih." (21:19)
"Pemelihara kamu berkata, 'Serulah kepada-Ku, dan Aku akan sahut kamu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong daripada menyembah Aku akan masuk Jahanam dalam keadaan hina.'" (40:60)
"Dan apabila manusia dikumpulkan, mereka adalah musuh-musuh bagi mereka, dan tidak percaya kepada penyembahan mereka." (46:6)
Selain 'ibadah, yang terbit daripada 'abada ialah perkataan-perkataan yu'budu, u'bud, yu'badu, dan 'abid. Semua dapat dibaca di halaman Sembah di ruangan Kalimat Pilihan.
Justeru, pilihlah mana-mana ayat di mana perkataan tersebut membawa maksud atau konotasi ibadah seperti dikatakan iaitu "psikologi, politik, ekonomik dan sebagainya." Atau, cerahkan kami dengan ayat-ayat berkaitan setelah menjumpainya.
Kalau pun ada, janganlah tukar maksud ayat, misalan ayat 46:6 (tercatat di akhir senarai di atas), kepada yang berbunyi, "Dan apabila manusia dikumpulkan, mereka adalah musuh-musuh bagi mereka, dan tidak percaya kepada politik, ekonomik mereka" (46:6) kerana akan menimbulkan kekeliruan yang amat ketara. Kasihan kepada orang lain!
Sekali lagi kami menegaskan iaitu kami hanya memberatkan perkataan dengan maksud seperti sesuai dipakai di dalam al-Qur'an.
Harap tidak tersinggung dengan cara penyampaian kami yang tidak sepertinya.
Terima kasih. Salam.
3 Februari 2010
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman