26. Apa yang dimaksud tanda baca ruku dalam Al Qur'an? Dan apa lambang tanda baca itu? Apa yang dimaksud dengan Izhar Halqi?Huruf apa saja yang termasuk kategori itu?

Ilmu tersebut kelihatan sungguh menarik. Kami mengaku ketinggalan dalam ilmu tersebut dan percaya bahawa hanya golongan minoriti daripada orang Islam di dunia yang mendalaminya. Oleh itu kami ucap tahniah kepada pengirim soalan atas penguasaan beliau ke atas tanda baca, huruf, dan sebagainya, dalam al-Qur'an.

Kami yakin ilmu yang menarik itu akan buat orang yang milikinya membaca atau menyebut kalimat Allah "Salamun alaikum" seperti asal, bukan "Assalamualaikum" kerana ketiadaan huruf Alif dan Lam, yang bukan Haq pada kalimat tersebut, dalam ayat yang berkaitan (6:54).

Dan, ilmu itu seterusnya tidak jadikan bilangan lima perkara kepada enam (bagi Rukun Iman), atau empat kepada tujuh (bagi bahagian anggota badan dalam wuduk), sebagai dua contoh selanjut bagi apa yang kami faham sebagai sebutan yang haq dan yang bukan haq daripada Kitab Allah, al-Qur'an.

Tambahan lagi, ilmu tersebut tentu tidak membiarkan sebutan haq, solatil fajri (24:58), ditukar kepada solatil subh yang tidak disebut di dalam al-Qur'an, atau yang bukan haq.

Akhir sekali, kami dapati bahawa ilmu tersebut tidak ditanya Allah pada Hari Kiamat. Kesedaran timbul setelah mengumpul ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi frasa Hari Kiamat dan lain yang berkaitan. Mungkin kami telah buat satu kesilapan yang tidak disengajakan. Harap maaf.

Balik ke senarai soalan


27. hadist shahih bukhari dalam larangan sholat tarawih dimasjid coba ditelusuri perawinya...kami ingin lebih jelas lagi.. dan kami juga banyak tahu dari hadist shahih bukhari.. ada anjuran sholat berjamaah.. itu pun letaknya berada dimasjid

Hadis Sahih Bukhari yang dimaksudkan itu adalah yang tercatat dalam artikel Nabi larang bertarawih di Masjid. Hadis itu tidak disenangi walaupun disebut dari jilid mana ia dipetik dan perawinya sekali.

Begitulah dengan sifat hadis, daripada sahih Bukhari pun boleh ditolak, dengan alasan-alasan yang menyedapkan hati masing-masing. Dan kelihatan lagi di situ, bahawa hadis Bukhari ditolak oleh Bukhari sendiri - Bukhari lwn. Bukhari?

Tidakkah itu menunjukkan contoh kekalutan pada hadis? Tidakkah itu juga menunjukkan kebenaran Allah apabila Dia menyatakan:

"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)

Adalah difahamkan iaitu penulis di atas banyak menghabiskan masa membaca hadis, terutamanya sahih Bukhari. Kerana beliau mengaku "banyak tahu" hadis Bukhari. Seterusnya, kami berpendapat bahawa usaha itu tidak begitu bermanfaat baginya. Apatah lagi apabila terdapat suruhan daripada Allah, dan Nabi-Nya juga, supaya kita mengetahui kandungan Kitab-Nya, al-Qur'an, setelah kita mempelajarinya. Firman Allah,

"Tiadalah bagi seseorang manusia bahawa Allah berikannya al-Kitab, dan Putusan, dan Kenabian, kemudian dia berkata kepada manusia, 'Jadilah kamu hamba-hamba kepadaku selain daripada Allah.' Tetapi, 'Jadilah kamu orang-orang rabani (yang menguasai) dengan sebab kamu tahu al-Kitab, dan dengan sebab kamu pelajarinya.'" (3:79)

Dalam mempelajari Kitab-Nya, kita akan bertemu dengan tiga ayat Allah yang jelas mengenai kepercayaan kepada hadis yang selain daripada al-Qur'an (7:185, 45:6 dan 77:50). Daripadanya tentu dapat difahamkan bahawa hadis yang selain daripada al-Qur'an tidak harus dipercayai.

Mahukah kita tidak renungkan, atau mengkaji, atau menguasai, kandungan Kitab al-Qur'an sekarang?

Balik ke senarai soalan


28. assalamualaikum, ..... wahai pembawa ajaran baru

Hamba Allah yang menulis itu kelihatan sungguh angkuh. Akan tetapi, keangkuhannya adalah tanpa patut. Kerana dia berada dalam kegelapan mengenai sejarah.

Adakah dia sangka kitab yang jadi pedomannya ditulis sebelum al-Qur'an diturunkan? Tidakkah disedarnya bahawa kitab Bukhari ditulis lebih daripada dua ratus tahun selepas Nabi wafat? Atau, dia berada dalam kegelapan lalu tidak nampak bahawa assalamualaikum yang dilafaznya dipetik daripada kitab Imamnya itu, dan mengagak pula Salamun alaikum suatu ajaran baru?

Kami berhenti di sini walaupun banyak lagi yang hendak dikatakan. Cukuplah dengan contoh yang satu itu sebagai dalil untuk kembali kepada ajaran lama, atau ajaran Allah yang suci, iaitu ajaran sebenar agama Islam.

Balik ke senarai soalan


29. Mengenai menyambut kelahiran seorang bayi menurut Al Quran. Lazimnya seseorang bapa itu eloklah azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kiri bayi dan terpulanglah atas kemampuan masing-masing untuk adakan kenduri Aqiqah.

Tidak disebut di dalam al-Qur'an mengenai azan dan iqamah, atau telinga kanan dan telinga kiri. Atau, oleh bapa. Yang ada disebut adalah kata-kata ibu Mariam kepada Tuhan selepas melahirkan anaknya, berbunyi, "Pemeliharaku, aku telah melahirkannya, seorang anak perempuan." ...... "Dan aku namakan dia Mariam, dan melindungkannya kepada Engkau dengan keturunannya, daripada syaitan yang direjam." (3:35-36)

Apa yang disebut oleh ibu Mariam itu adalah suatu pengajaran bagi kita semua. Mariam kemudiannya jadi seorang gadis yang suci, dan ibu kepada Nabi Isa.

Kembali kepada soalan pokok. Boleh dikatakan semua anak orang Melayu diazan atau diiqamah setelah dilahirkan, menurut ajaran pihak-pihak tertentu. Namun, amalan itu tidak mampu untuk selamatkan ramai daripada mereka daripada kejahatan dan kesumbangan yang menanti. Sehingga mereka dewasa atau sampai umur tua, juga tidak mampu. 

Malah, yang paling malang sekali, sehingga ke umur tua, adalah apabila mereka jadi ingkar kepada ajaran Tuhan. Walhal, Dia disebut-sebut dalam azan atau iqamah, ke dalam telinga kanan atau kiri, menurut jantina bayi, selepas dilahirkan. Demikianlah palsunya ajaran yang tidak dianjurkan Tuhan.

Seperti itu juga dengan kenduri Aqiqah. Membazir saja. Yang untung hanya perut-perut yang kosong!

Balik ke senarai soalan


30. Bagaimana hubungan antara ayat yang menyatakan bahwa wanita sebaiknya tetap berada di rumah dengan kenyataan yang terjadi sekarang bahwa wanita harus bekerja untuk membantu perekonomian keluarganya.

Memang ada ayat mengenai perempuan harus tinggal di rumah. Akan tetapi, ayat itu ditujukan khas kepada isteri-isteri Nabi (33:33). Isteri-isteri Nabi tidak sama dengan perempuan-perempuan lain (33:32). Walaupun mereka tinggal di rumah, mereka juga diperintah, seperti perempuan-perempuan lain pula, untuk beri zakat (ayat 33:33 tadi). Ini menunjukkan bahawa Nabi mampu menanggung mereka sehingga mereka (isteri-isterinya) dapat beri zakat sendiri sambil tetap di rumah-rumah mereka.

Macam itu juga bagi perempuan-perempuan lain. Sekiranya mereka mahu duduk di rumah dan mampu beri zakat (perintah Tuhan) sendiri, maka tinggallah di rumah. Kalau tidak, kenalah pergi cari kerja di luar. Supaya dapat beri zakat. Dan dapat bantu keluarga.

Jangan pula ada alasan untuk menetap di rumah saja kerana tidak mahu bergaul dengan kaum lelaki. Sila lihat ayat berikut:

"Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah sahabat-sahabat satu sama lain; mereka menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka melakukan solat, dan memberi zakat, dan mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu, kepada mereka Allah mengasihani; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana." (9:71)

Balik ke senarai soalan


31. Tidak sedikit ulama/ahli kitab yang mengatakan "dalam salah satu hadits qudsi, Allah berfirman ....", apakah ini artinya ada firman-firman Allah yang tidak tertulis di Al Qur'an ?

Tidak ada frasa hadis qudsi di dalam al-Qur'an. Maka ia bukan ajaran Allah. Lantas, ia tidak termasuk dalam agama-Nya sebagai suatu yang harus diimani.

Menurut Allah, Kitab-Nya, al-Qur'an, adalah sempurna. Oleh itu, adakah lagi tambahan bagi petunjuk ke jalan lurus? Melainkan ada orang yang berani mengatakan bahawa Allah telah berdusta apabila Dia mengatakan Kitab-Nya sudah sempurna!

Tambahan lagi, orang-orang yang menganjurkan hadis qudsi didapati bercanggah atas bilangan sebenar hadis tersebut. Ada yang kata sebelas, ada yang kata satu sahaja, dan sebagainya. Perselisihan tersebut menguatkan lagi dakwaan bahawa apa yang dikatakan hadis qudsi merupakan satu lagi pendustaan terhadap Allah dan agama-Nya oleh orang-orang tertentu.

Malah, Allah telah juga berfirman yang berbunyi, "Pada hari ini, Aku sempurnakan agama kamu untuk kamu, dan Aku cukupkan rahmat-Ku ke atas kamu, dan Aku puas hati Islam sebagai agama untuk kamu." (5:3) 

Justeru, adakah lagi firman daripada Allah selepas itu dalam Islam?

Balik ke senarai soalan


32. Adakah ayat Al-Quran yang mewajibkan atau menyuruh kita ber-qurban/menyembelih sapi atau kambing pada tanggal 10 dzulhijjah, sedangkan kita tidak berada di Mekkah.

Tidak ada. Tidak juga ada ayat yang mensyariatkan Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban di dalam al-Qur'an. 

Menyentuh sedikit mengenai amalan qurban dalam Haji. Ayat berikut dirujuk:

"Maka sebutlah nama Allah pada mereka (haiwan ternakan), berdiri dalam barisan; kemudian, apabila lambungannya rebah, makanlah daripadanya, dan berilah makan kepada pengemis, dan orang yang meminta." (22:36)

Allah menyuruh orang yang mengorbankan makan daging haiwan ternakan yang dikorbankannya, iaitu setelah dagingnya dimasak, dan kemudian beri kepada pengemis, dan orang yang meminta untuk dimakan. Atau, mereka (yang beri dan yang menerima) makan bersama.

Kami sedari masalah yang sedang dihadapi. Oleh yang demikian, adalah dicadangkan, kalau kami boleh buat cadangan, iaitu daging yang begitu banyak, hasil korban orang-orang Haji, hendaklah dimasak, ditinkan, dan kemudian diedar kepada pengemis dan orang yang meminta (seperti orang miskin) di seluruh dunia. Kerana ramai penduduk dunia pada hari ini sedang lapar, terutamanya di negara-negara Islam.

Sedangkan syarikat tempatan boleh keluarkan beribu tin daging yang dimasak dalam sehari, mengapa tidak masyarakat Islam sedunia, yang dirahmati Allah dengan minyak, buat demikian - mungkin dengan lebih canggih lagi.

Atau, mereka sudah buat demikian. Jika begitu, maka gugurlah cadangan kami, dan kami memohon maaf.

Kalau orang di sini (yang mampu) ingin ikut apa yang sepatutnya dibuat di Mekah, kerana amalan memberi makan kepada pengemis dan orang yang meminta itu baik, maka mereka buat demikian tanpa syarat yang dikenakan oleh pihak tertentu, dan buatlah jangan sekali setahun sahaja. Sebab, pengemis dan orang yang meminta, mereka mengemis dan meminta tiap-tiap hari. 

Dan, kalau tujuan untuk buat mereka gembira pada hari raya, dengan beri daging mentah, maka berilah sebelum tiba hari tersebut, supaya mereka boleh sediakan masakan untuk dimakan, dengan ahli keluarga sekiranya berkeluarga, pada pagi hari raya yang disambut itu.

(Sila lihat "Qurban di luar Mekah II -muhammadabdullah84")

Balik ke senarai soalan


33. Saya tidak tahu kenapa warga Malaysia terlalu obses mencari-cari petanda kiamat selepas berlakunya bencana alam seperti tsunami di Acheh, Indonesia.

Itu adalah pandangan seorang yang bukan warga Malaysia; dibuat setelah meninjau penulisan-penulisan di internet yang diterbit oleh orang-orang yang menyokong "ilmu" tanda-tanda kiamat. 

Mungkin dakwaannya benar, kerana gejala percayai pihak-pihak tertentu dengan tanpa soal sudah lama wujud di kalangan warga negara ini.

Tidak lama dahulu, bentuk awan yang jadi seakan-akan bentuk manusia telah jadi tanda kiamat bagi sesetengah ahli agama yang terbilang. Lalu kebanyakan orang Melayu pun percayainya.

Cerita-cerita kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa, dan Yajuj dan Majuj sudah lama dipercayai sebagai tanda-tanda berlaku kiamat, di samping gerhana bulan dan matahari pada bulan Ramadan, kemunculan sejenis haiwan, dan beberapa lagi yang terbit dari semasa ke semasa. Antaranya dikaitkan dengan hadis Nabi untuk menguatkan cerita, tanpa sedari bahawa Allah telah mengingatkan iaitu baginda tidak tahu hal-hal yang ghaib (6:50).

Cerita-cerita tersebut diketengahkan supaya orang ramai bertambah yakin kepada kepercayaan orang-orang yang bercerita, yang terpisah dari al-Qur'an. Akibatnya, orang ramai jadi lalai daripada al-Qur'an, jadi bertarekat, jadi yang berwajah seperti orang Arab, jadi militant untuk melawan Dajjal umpamanya, jadi orang-orang yang selalu tinggalkan isteri dan anak-anak di rumah untuk tidur di masjid-masjid, dan ada juga yang jadi seolah Syurga sudah berada di tangan mereka - sekadar beri beberapa contoh sahaja.

Kini tsunami pulak dijadikan tanda kiamat, sehingga terdapat orang, setelah melihat gambar sebuah masjid yang tidak dibinasakan, menerima "seru" lalu terus jadi ahli salah satu daripada golongan alim yang disebut tadi. Makhluk yang mendatangkan seruan itu membuatnya lupa kepada patung-patung dan tempat ibadat agama lain yang turut tidak dibinasakan. Tidak ketinggalan, hotel-hotel yang sediakan hiburan-hiburan yang tidak terdapat di negara-negara Islam, yang turut dibina dengan konkrit, juga tidak dibinasakan oleh tsunami.

Adalah dijangka 75% daripada semua yang terkorban dalam tsunami (berjumlah 226,000 orang atau lebih)* terdiri daripada orang-orang Islam. Sementara golongan haiwan dilapor tidak dicederakan langsung. Adakah itu tanda kiamat bagi orang-orang Islam khasnya?

Mengapa tidak fikirkan bahawa peninggalan-peninggalan tersebut - sengaja ditinggalkan Allah berdiri - adalah sebenarnya penyebab bagi bencana itu berlaku akibat kermurkaan dari langit

Seorang lelaki, antara yang terselamat daripada tsunami di Aceh, telah ceritakan kedahsyatan hari tersebut, dan dengan isaf, berkata sambil menyuruh kembali kepada Allah!

Kebenarannya tidak dinafikan, yang juga merupakan peringatan daripada Allah, diumumkan sekali lagi. Maka eloklah mentaati-Nya, dengan berpegang teguh pada ajaran al-Qur'an, yang antara lain, tidak ajar tanda-tanda kiamat seperti sesetengah orang agama ajar warga Malaysia.

26 Januari 2005
sebulan selepas tsunami
*terkini - lebih daripada 280,000 terkorban
termasuk 228,429 yang mati dan hilang yang
juga dijangka mati, di Aceh (akhbar 26.1.05).

Balik ke senarai soalan